Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )
Showing posts with label KEBUSUKAN PARTI KUFUR. Show all posts
Showing posts with label KEBUSUKAN PARTI KUFUR. Show all posts

Perubahan UMNO Satu Keperluan

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 11 MEI - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan perubahan terhadap parti itu bukan lagi satu pilihan tetapi sudah menjadi satu keperluan yang tidak boleh dipandang ringan. Sehubungan itu katanya, UMNO perlu berani membuat perubahan jika parti keramat orang Melayu itu mahu terus kekal relevan terutama di kalangan generasi muda hari ini. “UMNO tiada pilihan, kalau ingin menjadi parti relevan, parti yang teras pada pemerintahan, UMNO mesti merupakan parti berani buat perubahan, menerajui pembaharuan, berada di saf hadapan untuk menunjukkan hala tuju baru bagi negara kita secara keseluruhan.” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan 63 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini. “Saya mengajukan perubahan kerana mana-mana parti yang tidak berani buat perubahan, walaupun parti itu banyak jasa, akhirnya jasa itu akan tinggal dalam lipatan sejarah,” katanya. Tambah beliau, UMNO perlu menyemai budaya-budaya baru yang berpaksi pada semangat sanggup berkhidmat dan meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain. “Budaya yang tawaduk, merendah diri, suka menyusur bersama-sama dengan rakyat mestilah budaya yang kita pupuk di kalangan ahli-ahli parti,” katanya. “Jangan ingat khidmat kita yang ikhlas itu tidak akan diperhatikan dan dihargai oleh rakyat, dan akhirnya sebagai orang Islam, kita percaya Allah SWT adalah penilai yang sebaik-baiknya kepada kita,” jelas beliau.

[Utusan Malaysia 12/05/09]

Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum jemu-jemu mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya mereka melakukan perubahan. Bagi Islam, perubahan itu adalah sesuatu yang perlu dan sewajarnya dilakukan oleh umat Islam sekiranya berlaku penyimpangan dan kerosakan di dalam masyarakat dan negara. Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW kepada masyarakat arab jahiliyyah dengan tujuan untuk merubah masyarakat jahiliyyah itu kepada masyarakat Islam.

Firman Allah SWT:

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata” [TMQ Al Jumu'ah (62) : 2].

FirmanNya lagi “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”. [TMQ Ar Ra'd (13) :11]

Inilah makna perubahan yang sebenar. Wahai umat Islam! Jika kita melihat UMNO tetap tidak mengubah dasarnya iaitu masih tetap dengan dasar assabiyyah dan terus melaksanakan sistem sekular maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam termasuklah mereka yang selama ini menyokong UMNO segera mengubah sokongan dan dokongan mereka. Berubahlah kepada Islam. Apa yang pasti, daripada seruan Najib itu, peru bahaan yang diinginkannya hanyalah perubahan penampilan dan cara ahli UMNO mendekati rakyat supaya mereka dapat menawan hati rakyat agar mereka terus menyokong UMNO. Ini bukan perubahan yang sebenar. Ia hanyalah satu perubahan di dalam strategi meraih undi dan lebih bersikap pragmatik bagi memastikan UMNO terus dapat memerintah dan menjalankan sistem sekular Kapitalisme yang ditinggalkan oleh penjajah. Kesimpulannya, perubahan sebenar yang UMNO perlu lakukan adalah dengan membuang dasar assabiyyah sekularnya dan mengambil dasar Islam di dalam merealisasikan slogan dan laungan perubahannya. Selagi ini tidak dilakukan maka slogan-slogan untuk berubah itu hanyalah satu muslihat politik untuk memenangi hati rakyat. Apa yang pasti ialah umat Islam pada ketika ini mahu kembali kepada Islam dan jika UMNO terus menentang arus perubahan itu, nescaya ia akan rebah.

Usah Terlalu Bernostalgia - Najib

by AURA JIHAD

PEKAN 10 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu. Sebaliknya, Perdana Menteri mahu mereka berusaha melakukan perubahan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan. Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, pemimpin dan ahli parti perlu menyedari bahawa semakin ramai pengundi masa kini terdiri daripada golongan pasca merdeka dan tidak pernah melalui peristiwa penting yang berjaya ditangani oleh UMNO dan BN. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan secara berkelompok mesyuarat 140 cawangan UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO di sini hari ini. Golongan muda kini juga, jelas beliau, mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan maklumat menerusi media alternatif seperti laman web dan blog. Sambil menyifatkan golongan muda sebagai 'kain putih', beliau mahu pemimpin dan ahli UMNO mencari kaedah terbaik mendekati mereka dan menyalurkan maklumat tanpa dipengaruhi anasir negatif. ''Cara kita (UMNO) berbicara dalam media alternatif adalah penting. Generasi baru mendapat maklumat melalui media alternatif dan bukan media arus perdana. ''Terpulang kepada kita, kalau mereka (golongan muda) mendapat maklumat yang betul, mereka akan sokong, kalau kita gagal, mungkin mereka akan terpengaruh walaupun maklumat yang diperoleh tidak benar," katanya.


[Utusan Malaysia: 11/05/09]


Nampaknya kegelisahan Najib tentang kemerosotan sokongan rakyat kepada UMNO tidak dapat disembunyikan lagi sehingga dalam ucapannya selepas merasmikan mesyuarat berkelompok 140 cawangan UMNO Bahagian Pekan, beliau meminta ahli-ahli UMNO tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu. Besar sangatkah jasa UMNO sehingga dilalaikan oleh nostalgianya sehingga hari ini? Yang pastinya, di antara jasa-jasa besar UMNO adalah perjuangan mereka mengekalkan sistem kufur yang ditinggalkan oleh penjajah sejak 52 tahun yang lalu dan masih terus bertahan sehingga hari ini.

Perkembangan mutakhir ini memperlihatkan kepada kita bahawa UMNO berada di dalam keadaan terdesak kerana semakin ramai rakyat menolak mereka terutamanya daripada golongan muda pasca pilihanraya umum yang ke 12 yang lalu. UMNO yang didakwa oleh Najib mencecah usia 63 tahun[ ”yang mana satu? UMNO lama atau UMNO baru”] nampaknya ibarat rumah usang yang sedang dimakan oleh anai-anai. Kecanggihan teknologi telah membuka minda rakyat menjadikan mereka lebih terbuka dan celik serta bersikap lebih kritis terhadap sesuatu isu. Kita juga dapat melihat bagaimana umat Islam mula kembali kepada Islam untuk menyelesaikan persoalan yang mereka hadapi. Inilah yang menyebabkan Najib semakin gusar dengan sikap dan sokongan rakyat kepada UMNO. Najib nampaknya terpaksa lebih kreatif untuk memikirkan apakah cara yang terbaik untuk mengekalkan dan meraih kembali sokongan rakyat kepada UMNO. Antara syor yang beliau kemukakan adalah dengan meminta ahli-ahli UMNO supaya lebih mendekati rakyat dengan harapan usaha itu akan memulihkan talian hayat UMNO yang nampaknya semakin menipis.

Sebagai seorang pemimpin Islam maka menjadi kewajiban bagi Najib kembali mengambil Islam sebagai dasar perjuangannya untuk mengurus dan mengatur kehidupan rakyat yang berada di bawah kekuasaannya. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang menjadi asas cara berfikir UMNO selama ini. Tinggalkan perjuangan assabiyyah yang masih menjadi roh batang tubuh UMNO kerana jika tidak ia akan pasti menjadi suatu penyesalan kepada dirinya sebagai seorang pemimpin di akhirat kelak. Padamkanlah nostalgia lama yang pernah dimiliki oleh UMNO dahulu dengan cara mengembalikan nostalgia kegemilangan Islam yang pernah menyinari dunia selama 1400 tahun di mana kekuasaan Islam telah terbukti berjaya mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik dan kufur kepada cahaya keimanan. Simpan dan bungkuslah nostalgia UMNO itu sebagai suatu lipatan sejarah di mana kita sebagai umat Islam dapat mengambil pengajaran bagaimana barat mencetak umat Islam yang bersama-sama dengan UMNO sebagai umat Islam yang ditipu dan tertipu oleh barat. Samada sedar ataupun tidak, mereka telah menjadi mata rantai bagi mengerakkan mesin sekular yang menghasilkan produk yang berjenama Kapitalisme sehingga hari ini. Sampai bilakah UMNO akan sedar dari nostalgia penipuan barat ini?

Sidang DUN Kelam-Kabut

by AURA JIHAD

• Raja Nazrin tunggu lima jam rasmi persidangan
• Ganesan dilantik Speaker ganti Sivakumar

IPOH: Mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam kecoh lebih lima jam dan terpaksa ditangguhkan dua kali sebelum majlis perasmian dapat disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Kekecohan bermula sebaik saja Raja Nazrin selesai memeriksa kawalan kehormatan dan menuju ke Kamar Diraja, apabila bekas Speaker, V Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang bergegas memasuki Dewan terlebih dulu serta menukar tempat duduk ke sebelah kanan Speaker, yang ditetapkan untuk pihak kerajaan. Mereka juga mengalihkan kertas tanda nama ke sebelah kanan serta mengoyak dan membuang tanda nama Adun Barisan Nasional (BN). Adun pembangkang, yang diketuai Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kemudian duduk di kerusi Menteri Besar dan Exco, manakala Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Exconya terpaksa duduk di tempat pembangkang.

Keadaan bertambah kecoh apabila Sivakumar mengarahkan Zambry serta enam Ahli Exco negeri dan tiga Adun Bebas, keluar Dewan dengan alasan keanggotaan mereka masih digantung. Beliau turut berkeras tidak akan memulakan sidang selagi 10 Adun terbabit tidak meninggalkan Dewan tetapi tidak diendahkan Zambry dan Adun berkenaan. Zambry kemudian berdiri dan membuat usul untuk memecat Sivakumar selaku Speaker, disokong oleh 27 Adun BN serta tiga ahli Bebas dengan cara mengangkat tangan tetapi ditolak oleh Sivakumar dengan alasan Zambry tidak boleh mengemukakan usul kerana telah digantung.

Sepanjang kekecohan itu, Raja Nazrin yang dijadual merasmikan sidang pada jam 10 pagi, terpaksa menunggu dalam Kamar Diraja. Persidangan semalam adalah yang pertama sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Februari lalu dan Zambry dilantik sebagai Menteri Besar.

Kekecohan semakin tidak terkawal apabila ahli Dewan saling mencemuh antara satu sama lain. Zambry kemudian mengulangi membuat usul yang sama dengan disokong oleh Adun BN dan tiga ahli Bebas. Sivakumar bagaimanapun tidak berganjak dan mengarahkan Bentara Dewan membawa keluar 10 Adun itu, tetapi Zambry menegaskan Sivakumar telah dipecat.

Kira-kira jam 10.48 pagi, Timbalan Speaker, Hee Yit Foong (Bebas-Jelapang) mengambilalih sidang daripada tempat duduk Adun, manakala Sivakumar terus duduk di kerusi Speaker. Zambry kemudian mengemukakan usul melantik bekas Adun Sungkai, Datuk R Ganesan sebagai Speaker yang baru dan disokong oleh semua Adun BN serta ahli Bebas.

Selepas usul pelantikan Speaker baru diluluskan, Hee menjemput Ganesan memasuki Dewan dan dipakaikan jubah Speaker oleh Dr Zambry. Ganesan kemudian mengangkat sumpah jawatan di bahagian tempat duduk ahli Dewan dan mengambilalih tugas daripada Hee. Ketika itu, Adun Pakatan Rakyat hanya memerhati sambil membuat bising tetapi Ganesan meneruskan sidang tanpa menghiraukan gangguan pembangkang.

Beliau menerima empat usul pelantikan ahli jawatankuasa yang baru, iaitu Jawatankuasa Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) serta usul tidak mengiktiraf 'Sidang DUN Bawah Pokok' pada 3 Mac lalu.

Semua usul dibentang oleh Datuk Hamidah Osman (BN-Sungai Rapat) dan disokong oleh Datuk Shaarani Mohammad (BN-Kota Tampan) serta diluluskan tanpa bahas oleh Adun BN dan Bebas dengan cara mengangkat tangan.

Ketika Ganesan mengumumkan usul pertama diluluskan, Adun Pakatan Rakyat dan Sivakumar menjerit mengatakan 'haram'. Keadaan tenang seketika apabila Ganesan mengumumkan penangguhan sidang selama sejam bermula 11.15 pagi.

Selepas sesi bermula pada jam 12.20 tengah hari, Sivakumar yang tidak bergerak dari tempat duduk Speaker, mengarahkan Ganesan keluar dari Dewan hingga mencetuskan semula pertikaman lidah antara Adun BN dan Pakatan Rakyat.

Beberapa Adun pembangkang turut mengelilingi Ganesan bagi mendesaknya keluar Dewan dan berlaku tolak-menolak sehingga memaksa Speaker baru itu mengumumkan sidang ditangguhkan selama sejam lagi bermula jam 1 petang.

Semua Adun mematuhi arahan itu dan keluar makan tengah hari, tetapi Sivakumar masih terus tidak bergerak dari kerusi Speaker. Apabila persidangan disambung semula kira-kira jam 2 petang, kekecohan sekali lagi tercetus apabila beberapa Adun pembangkang cuba menarik keluar Ganesan secara kasar.

Berikutan itu, polis terpaksa campur tangan pada jam 2.20 petang kerana keadaan menjadi tidak terkawal dan bertambah agresif dengan ada insiden tolak-menolak dan pergaduhan di kalangan Adun.

Bentara juga dikasari sebanyak tiga kali oleh Adun pembangkang sehingga cedera di kaki ketika beliau cuba mengosongkan kerusi Speaker yang masih diduduki Sivakumar. Kekecohan itu berakhir pada jam 2.40 petang apabila Sivakumar diiring keluar oleh anggota polis sebelum Raja Nazrin yang menunggu lebih lima jam dalam Kamar Diraja, memasuki Dewan bagi merasmikan sidang itu.

Baginda menyampaikan titah ucapan perasmian kira-kira setengah jam bermula 3.15 petang dan sebelum berangkat pulang, Raja Nazrin berkenan berbual mesra dan bersalaman dengan semua Adun.

Persidangan Dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Berita Harian: 07/05/09

Demokrasi Telah Memuntahkan Kebusukannya

Inilah keburukan dan kerosakan sistem demokrasi yang diciptakan oleh akal-akal manusia. Persidangan Dun Perak yang kelam kabut dan kecoh semalam merupakan muntahan pembohongan yang ada di dalam sistem demokrasi. Perebutan kuasa di kalangan pihak kerajaan dan pembangkang yang dilabelkan“halal” dan “haram” dapat disaksikan oleh seluruh dunia. Barat dan musuh-musuh Islam sudah pasti terbahak-bahak ketawa dengan gelagat lakonan yang ditunjukkan oleh wakil-wakil yang telah dipilih oleh rakyat di pilihanraya yang lepas itu. Majoriti rakyat secara amnya juga dapat menyaksikan teater lawak yang paling hebat di alaf ini, dengan para pelakonnya yang terdiri dari wakil-wakil rakyat yang mereka pilih sendiri. Kekecohan yang berlaku bukanlah untuk mempertahankan hukum Allah SWT tetapi sebaliknya “pertempuran” ini hanyalah kerana untuk merebut jawatan dan kedudukan. Faktanya, sesiapa sahaja yang memerintah samada PR mahupun BN kita sebagai umat Islam telah dapat menyaksikan bahawa Islam tetap tidak diterapkan malah terus dipinggirkan. Apa yang lebih malang lagi ialah, ada di kalangan umat Islam yang telah termakan racun kufur demokrasi dengan merasakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN), tempat di mana berlakunya teater lawak tersebut, adalah tempat yang paling mulia! Hakikatnya, secara syar’i, DUN tempat berlangsunganya drama teater lawak tersebut adalah tempat yang paling hina di sisi Islam kerana di sinilah manusia yang sombong dan angkuh menggubal undang-undang sendiri dengan mengenepikan hukum Allah SWT.

Wahai umat Islam, ketahuilah bahawa demokrasi yang sedang berjalan di negeri-negeri umat Islam saat ini adalah merupakan anak kandung idea kufur sekularisme. Justeru itu, wahai umat Islam, tinggalkan dan campakkanlah jauh-jauh demokrasi yang pasti akan membawa sesalan bagi kalian di hari akhirat kelak. Sekiranya kalian berselisih mengenai apa jua perkara maka kembalilah kalian kepada hukum Allah dan rasulNya. Sumber hukum untuk menyelesaikan apa jua perselisihan yang berlaku adalah dengan al-Quran dan as-Sunnah bukannya menggunakan akal-akal dan hawa nafsu manusia! Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”. [TMQ An Nisaa' (4) :59].

Persoalannya kini apakah kedua-dua pihak yang saling bersandiwara itu mahu berhukum dengan al-Quran dan as-Sunnah?

JAMIL KHIR PERTAHAN 1 MALAYSIA

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan garis panduan mengenai konsep 1Malaysia sebagai panduan kepimpinan negara, bagi mengelak salah tafsiran dan tanggapan negatif masyarakat mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, kepimpinan negara memerlukan garis panduan khusus mengenai konsep itu supaya apa yang diucapkan dapat difahami rakyat. Katanya, sehingga kini rakyat belum dapat memahami konsep tersebut secara mendalam kerana matlamat dan gagasan 1Malaysia sering diputar belit pihak tertentu untuk kepentingan sendiri. "Sebelum konsep ini dipolemikkan dengan lebih parah oleh pihak berkepentingan, kita perlu menyediakan panduan supaya gagasan ini dapat diperjelaskan dengan lebih terperinci supaya ia berupaya membangunkan agama, bangsa dan negara," katanya selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat mengenai Konsep 1Malaysia di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini. Jamil Khir berkata, garis panduan itu akan dirangka berdasarkan resolusi yang akan dihasilkan semasa persidangan meja bulat tersebut. Beliau berkata, garis panduan itu akan terkandung dalam buku kecil yang akan disebarkan ke seluruh negara agar semua pihak memahami hasrat baru kepimpinan negara. Beliau menyarankan pihak media turut memainkan peranan mereka dengan menyebarkan resolusi itu.

Persidangan sehari itu dihadiri oleh Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; bekas penasihat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Muhammad Uthman Al-Muhammady.

[Berita Harian 05/05/09]

Konsep 1Malaysia (One Malaysia) yang akan terus menerapkan sistem sekular kini sedang cuba dipertahankan bermati-matian oleh para ulama yang dilantik oleh kerajaan diketuai oleh Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom. Sebagai orang-orang agama yang paling dekat dengan pemimpin No.1 negara, mereka sepatutnya melakukan muhasabah kepada pemimpin negara supaya berubah dan segera melaksanakan seluruh syariat Islam bukannya terus bersekutu di dalam meneruskan agenda 1Malaysia. Sebagai seorang Islam kita dituntut untuk menyatakan kebenaran walaupun ia selalunya pahit. Konsep dan slogan 1Malaysia yang mempunyai matlamat bertentangan dengan Islam seharusnya dihapuskan dan diganti dengan Syariat Islam sepenuhnya. Kini, bukan setakat mempertahankan, malah mereka kini menjadi mata tombak untuk menyebarkannya ke seluruh negara dengan merancang untuk menerbitkan buku kecil dan diagih-agihkan ke seluruh Negara.

Jika dahulu slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang terpapar di papan-papan tanda, akhbar dan media, kini slogan 1Malaysia pula bakal menghiasi semuanya itu. Walaupun 1001 macam slogan mahupun penampilan dibuat, namun selagi ia masih berteraskan konsep sekularisme dan mewarisi perlembagaan yang dicipta dan digubal oleh manusia, semuanya itu tidak ada nilainya di sisi Allah Azza wa Jala. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beramal satu amalan yang bukan diatas perintah kami, maka ianya tertolak”. [HR. Muslim].

Tindakan para ulama kerajaan berkumpul untuk mempertahankan 1Malaysia itu pasti akan menerima nasib yang sama dengan Islam Hadhari iaitu ia tetap akan menemui kegagalan. Firman Allah SWT:

“Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah kebatilan; sesungguhnya kebatilan itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".[TMQ al-Israa’ (17) : 81].

Ayat ini menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa walaupun seluruh kekuatan dikumpulkan untuk mempertahankan kebatilan, nescaya ia tetap akan dilenyapkan oleh Allah SWT. Jadi perancangan dan tindakan yang dilakukan oleh para ulama kerajaan itu adalah perbuatan yang sia-sia bahkan merugikan masa, tenaga dan wang ringgit.

Ketahuilah bahawa sekiranya semua negara umat Islam termasuk Malaysia ingin berjaya sepertimana yang pernah dicapai oleh para Sahabat dan tabiin, maka Allah SWT telah memperjelaskannya di dalam Surah al-A’raaf (7), ayat ke-96 yang bermaksud:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. Mana mungkin umat Islam ini akan dapat mencapai nilai ketakwaan jika tidak menjadikan al-Quran sebagai petunjuk di dalam kehidupan mereka. Firman Allah SWT: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”. [TMQ al-Baqarah (2) : 2].

PM seru berbaiah?

by AURA JIHAD

PUTRAJAYA 4 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam mewujudkan satu bentuk perhubungan berasaskan ikatan janji kesetiaan dan komitmen padu bagi mengukuhkan pencapaian sektor berkenaan. Perdana Menteri berkata, perhubungan berasaskan konsep al-wa‘ad dan al-bai‘ah itu adalah lebih kukuh berbanding konsep perkongsian kerana ia mampu mewujudkan suasana kerja yang lebih baik dan tenteram. Beliau menjelaskan, konsep tersebut bukan bermaksud satu sistem pengarahan kerja bersifat satu hala iaitu ‘suruh itu dan ini’ daripada pihak atasan, sebaliknya anggota pentadbiran turut berperanan menjaga kebajikan para penjawat awam.

‘‘Di atas bahu para anggota pentadbiran untuk menjaga penjawat awam agar mendapat kepuasan kerja, skim perkhidmatan yang boleh kita perbaiki dan menentukan latihan pembangunan kerjaya dilakukan dengan tersusun dan menjaga perasaan serta hati mereka dengan mengeluarkan arahan kerja secara bersopan dan berhemah. ‘‘Apabila kita dapat mengasaskan hubungan iaitu penjawat awam membuat kerja dengan komitmen dengan kesetiaan tidak berbelah bagi dan pentadbiran kerajaan menjaga kepentingan kebajikan penjawat awam, saya percaya akan wujud satu hubungan yang sangat baik dan tenteram dalam kalangan kita,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini. Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri Di JPM, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Jamil Khir Baharom serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Dalam ucapan pertamanya pada majlis perhimpunan bulanan JPM sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu, Najib turut mengelak daripada menggunakan istilah ‘kakitangan kerajaan’ sebaliknya lebih selesa memakai perkataan penjawat awam. Perdana Menteri berkata, tujuan mewujudkan perhubungan yang lebih kukuh dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam adalah bagi memastikan rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan awam berasaskan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

‘‘Rakyat yang berpuas hati dengan kerajaan itulah rakyat yang akan bersama-sama dengan kerajaan, insya-Allah,” katanya. Katanya lagi, anggota pentadbiran dan penjawat awam harus sedar bahawa penanda aras muktamad ialah sejauh mana rakyat melahirkan rasa puas hati mereka terhadap kerajaan. ‘‘Kadang kala dalam rutin kerja, kita lupa sebenarnya analisis akhir ditentukan oleh rakyat. Di sebalik KPI, saya sebenarnya mengajak anda semua untuk sentiasa ingat bahawa penanda aras muktamad ialah memberikan kepuasan hati rakyat sama ada dari segi perkhidmatan, usaha menambah kekayaan dan selesaikan masalah.

‘‘Mudah-mudahan dengan usaha ini, kita akan beri tumpuan kepada cara-cara bagaimana kita boleh menambahkan lagi indikator kepuasan hati rakyat,” katanya. Perdana Menteri juga menekankan tentang pendekatan menggabungkan nilai produktiviti, inovatif dan kreativiti bagi memastikan sektor awam mampu mencapai lonjakan berganda dalam pelbagai bidang. ‘‘Kita tidak mungkin dapat menonjolkan Malaysia sebagai negara yang berjaya kalau kita tidak dapat membudayakan pemikiran inovatif dan kreatif. ‘‘Pendekatan ini mesti bermula dari sistem persekolahan kita, saya tahu Muhyiddin sedang mengkaji perkara ini,” katanya. Katanya, inovatif dan kreativiti bukan sahaja perlu ada dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagaimana yang dilakukan sektor swasta malah ia turut membabitkan sektor awam iaitu membentuk proses kerja dan penyelesaian masalah yang lebih inovatif. ‘‘Bila adunkan produktiviti dan kreativiti, kita akan dapat lonjakan berganda dari segi prestasi dan pencapaian untuk negara,” kata beliau.

Sumber : Utusan Malaysia, 05/05/09


Apakah PM Faham Tuntutan Perkataan Bai’ah Yang Dilafazkannya Itu?

Bai’ah adalah suatu perkataan yang mempunyai makna bahasa dan juga makna syara’ dan merupakan istilah yang memiliki banyak makna. Satu kaedah penting yang mesti kita fahami adalah bahawa setiap perkataan yang datang dari Allah dan Rasul-Nya mesti kita fahami dengan makna syar’i dan bukannya dengan makna bahasa. Jika kita perhatikan Rasulullah SAW yang pernah melafazkan perkataan tersebut dan para sahabat yang pernah melakukan perbuatan bai’ah itu sendiri, maka kita akan dapati dengan jelas bahawa bai’ah itu adalah merupakan istilah yang terkait dengan makna syara’. Bai’ah itu adalah merupakan satu-satunya metode syara’ (Islam) dalam rangka memilih dan mengangkat seorang pemimpin (khalifah) yang dilakukan oleh umat. Umat memberikan bai’ahnya kepada khalifah agar menjalankan pemerintahan menurut apa yang diturunkan oleh Allah SWT iaitu menjalankan pemerintahan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Persoalan bai’ah ini telah banyak tercantum didalam al-Quran dan al-Hadis. Di antaranya ialah,

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan perkara itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar” [TMQ Al Fath (48): 10].

Terdapat juga hadis Rasulullah SAW dari Ubadah bin Shamit yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud,

“Kami telah membaiat Rasulullah SAW agar senantiasa mendengar dan menaatinya baik dalam keadaan yang kami senangi mahupun yang tidak kami senangi; agar kami tidak merebut kekuasaan dari orang yang berhak; dan agar kami senantiasa mengerjakan atau mengatakan yang haq dimana sahja kami berada tanpa takut kerana Allah SWT kepada celaan orang-orang yang suka mencela”.

Justeru itu, bila kita melihat PM mengeluarkan dan menggunakan perkataan bai’ah dalam menekankan persoalan hubungan di antara anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam, maka sesungguhnya ini adalah merupakan penggunaan yang tersasar dari makna yang telah ditentukan oleh syara’. Apa yang wajar adalah, sekiranya Najib ingin menggunakan istilah bai’ah itu, maka adalah wajib bagi beliau untuk mengistiharkan dirinya sebagai seorang khalifah bagi umat Islam dan meminta umat Islam untuk membai’ah dirinya dan seterusnya menjadi kewajiban bagi beliau untuk menerapkan hukum Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunah dan mencampakkan undang-undang sekular tinggalan penjajah yang selama ini masih berakar di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara seperti apa yang kita saksikan saat ini.

Siang Kerja, Malam Pun Kerja Hanya Untuk Mu BE END!!!!

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR, 27 April - Ketua Penerangan UMNO yang baru, Ahmad Maslan berjanji akan bekerja siang dan malam demi membantu memperkukuhkan kembali UMNO. Katanya, komitmen yang jitu diperlukan bagi memastikan UMNO terus relevan di mata dan hati rakyat. "Saya berjanji untuk melakukan yang terbaik dan mahu memastikan UMNO memainkan peranan bagi membantu Barisan Nasional (BN) menang lebih dua pertiga majoriti dalam pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang akhbar pada hari pertama beliau memasuki pejabatnya di Menara Dato' Onn di sini hari ini.

Ahmad, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dilantik menjawat jawatan Ketua Penerangan menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Selain itu, Ahmad juga adalah Ketua Penerangan paling muda dalam sejarah UMNO. Katanya, antara usaha terpenting memperkukuhkan UMNO yang difikirkan ialah memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi jentera penerangan semua peringkat. "Saya cadangkan Ketua Penerangan mempunyai KPI daripada segi jumlah program penerangan yang dibuat terutamanya oleh UMNO cawangan, bahagian, negeri dan pusat," katanya. Jelas Ahmad, pihaknya akan bermesyuarat bagi menentukan jumlah aktiviti penerangan yang perlu dipenuhi oleh jentera penerangan UMNO di semua peringkat bagi memastikan ia menepati KPI yang dikehendaki. Katanya, aktiviti penerangan di negeri-negeri yang kini dikuasai oleh pembangkang akan dipertingkatkan dengan lebih banyak lagi.

Bagi mendekatkan diri dengan para ahli UMNO pula, katanya, beliau akan memikirkan beberapa kaedah yang luar biasa seperti bermalam di rumah-rumah peneroka setiap minggu. "Saya ingin membuat kaedah-kaedah yang mungkin difikirkan remeh oleh orang lain," jelas Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu. Namun katanya, kaedah-kaedah biasa seperti seminar, kursus, ceramah dan sebagainya tetap akan diteruskan kerana ia juga penting. Beliau juga bercadang untuk memberikan penekanan terhadap empat aspek media iaitu media bersemuka, media elektronik, bercetak dan maya. "Saya mahu menjadikan kawasan yang gelap kepada samar dan kemudiannya terang," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 28/04/09

Kerja Siang Malam Untuk Apa?

Biasalah bila dapat jawatan baru yang sebelum ini mungkin tidak pernah diimpikan. Seperti mendapat tenaga baru, Ketua Penerangan UMNO yang baru ini nampaknya sanggup memberikan komitmen yang agak luar biasa apabila beliau berjanji akan bekerja siang dan malam untuk UMNO. Sayangnya komitmen beliau itu diberikan untuk memperkukuhkan UMNO yang ashobiyyah. Alangkah baiknya kalau Ketua Penerangan baru itu bekerja siang dan malam untuk mengubah UMNO dari sebuah parti politik ashobiyyah kepada parti politik yang berasaskan Islam. Sewajarnya, Ketua Penerangan baru UMNO itu cuba merenungi pengajaran dari kisah dakwah nabi Nuh kepada kaumnya, di mana baginda telah melakukan dakwah siang dan malam tanpa rasa jemu untuk menyeru kaumnya agar tunduk dan taat kepada perintah Allah SWT, firmanNya,

“(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)”. [TMQ Nuh (71): 5].

Renungilah juga komitmen dan pengorbanan yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW ketika melakukan dakwah untuk mengubah masyarakat arab jahiliyyah ketika awal Islam seorang diri hingga berjaya menzahirkan Islam mengatasi seluruh sistem kehidupan kufur saat itu. Baginda tanpa rasa jemu dan penat, siang dan malam, memikul tugas dakwah ini semata-mata untuk meraih keredhaan di sisi Allah SWT.

Berperwatakan Baik Dengan Bermain Golf?

by AURA JIHAD

PUTRAJAYA 16 April - Persatuan Golf Malaysia (MGA) hari ini mendapat suntikan kewangan berupa geran berjumlah RM1 juta daripada kerajaan untuk Program Pembangunan Remaja bagi melahirkan lebih ramai pemain golf bertaraf dunia di kalangan remaja. Bantuan tersebut disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden MGA, Datuk Robin Loh di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini. Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Robin berkata, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana begitu prihatin dengan program tersebut.

''Perdana Menteri juga mahu lebih ramai kanak-kanak mengambil bahagian dalam golf kerana ia dapat membentuk disiplin tinggi dan perwatakan baik," katanya. Beliau memberitahu, seramai 4,500 remaja berusia 18 tahun ke bawah dijangka mendapat manfaat daripada program tersebut berbanding 3,000 orang tahun lalu. ''Kita harapkan pada Olimpik 2006, golf akan menjadi salah satu acara dan mereka yang terlibat dengan program ini nanti diharap boleh mewakili negara. Pada masa itu, mereka ini akan berusia di antara 17 hingga 19 tahun," ujarnya. Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, golf tidak lagi boleh dilihat sebagai permainan untuk golongan elit tetapi sukan rakyat bagi menarik lebih ramai pihak terlibat. Jelasnya, golf merupakan sejenis sukan yang mampu membentuk karakter baik kepada pemainnya. "Jika disiplin sebegini dapat diterapkan, nescaya kita berupaya melahirkan masyarakat yang baik dan teguh," katanya

Sumber : Utusan Malaysia, 17/4/09

Membentuk perwatakan yang baik melalui bermain golf? Walaupun mungkin kenyataan tersebut tidak disengajakan tetapi ia tetap menimbulkan tandatanya. Adakah dengan bermain golf itu dapat menyelesaikan masalah disiplin pelajar? Tempat untuk mendidik anak-anak adalah di sekolah dan bukan di padang golf. Berlatih bermain golf hanya menjadikan seseorang remaja itu sebagai seorang pemain golf yang baik, tidak lebih dari itu. Jika kita menjadikan tatacara bersukan itu akan melahirkan seseorang remaja lebih berdisiplin dan berpewatakan baik, maka ia adalah satu kesilapan. Bermain alat-alat sukan seperti badminton, ping-pong dan lain-lain sebagai aktiviti riadah dibenarkan oleh Islam kerana ia adalah aktiviti yang menyihatkan. Namun, aktiviti sedemikian tidak akan merubah pemikiran dan jiwa untuk membentuk perwatakan seseorang remaja. Perwatakan dan sahsiah remaja bergantung kepada apa yang ia faham dan yakini. Jika bermain golf itu boleh membentuk perwatakan pelajar, maka peruntukan RM 1 juta itu sudah tentu tidak mencukupi kerana kita memerlukan lebih RM1 billion untuk melatih setiap remaja di seluruh negara bermain golf supaya mereka boleh menjadi individu yang lebih berdisiplin dan berpewatakan yang baik.

Allah SWT mengutus Rasulullah SAW supaya baginda dapat merubah pemikiran dan jiwa masyarakat pada masa itu. Firman Allah SWT :

Yakinlah bahawa umat Islam tidak memerlukan pemain golf bertaraf dunia seperti Tiger Woods kerana yang diimpikan oleh umat Islam adalah ikon yang berjaya di dunia dan bahagia di akhirat. Siapa lagi kalau bukan generasi sahabat yang telah dibentuk dan dibina oleh Rasulullah SAW? Apakah kita sedang bergerak kearah itu?

Gula-gula Slogan

by AURA JIHAD

KUANTAN 18 April - Gagasan Satu Malaysia adalah kesinambungan cogan kata dilaungkan dua Perdana Menteri sebelum ini iaitu Cemerlang, Gemilang dan Terbilang serta Wawasan 2020. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cogankata Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan merupakan satu proses yang sampai ke destinasinya.

"Setelah melihat apa yang dilaungkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, saya rasa lebih baik memberi tumpuan kepada ramuan, formula dan pelengkap untuk proses itu sampai kepada matlamat kita.

Ulasan

Tradisi PM! Setiap kali lahir seorang PM, pasti dia ingin membawa suatu kebaikan yang lebih baik dari PM sebelumnya. Pelbagai idea dan perancangan diluahkan bagi memenangi hati rakyat. Seolah-olah ianya mampu mengatasi permasalahan yang semakin menimpa-nimpa rakyat umum ketika ini. Namun seperti biasa, memang lumrahnya tradisi kapitalisme, para pemimpin cuba ‘membeli’ hati rakyat dengan gagasan, slogan dan strategi agar mereka terus dapat meneraju tampuk kepimpinan dan rakyat terus menggaji mereka sebagai pemimpin. Itulah retorika kepimpinan ideologi kapitalisme di mana sahaja sejak zaman berzaman lamanya.

Cogankata seolah-olah kalimah keramat yang mampu mengubah segala-galanya. Ia digubah dengan seperangkat idea, strategi dan perancangan yang diatur agar mampu memenuhi kehendak semasa dan rakyat. Kepentingan diri kerap merupakan asas dan tunjang agenda tersembunyi. Mustahil bagi seorang pemimpin kapitalis untuk ikhlas memimpin demi rakyat tanpa menjadikan kepentingan diri sebagai landasan utama. Tidak akan wujud dalam hati mereka walau sezarahpun keinginan untuk memimpin jika ditawarkan semata-mata pahala atau beban tanggungjawab akhirat tanpa imbalan dunia yang memuaskan. Cogankata para pemimpin jenis ini hanyalah ‘harga’ yang diharap mampu ‘membeli’ rakyat, namun hakikatnya tak akan pernah membawa kemakmuran kepada rakyat keseluruhannya, melainkan diri mereka sahaja.

Khalifah merupakan jawatan tertinggi dalam hieraki pemerintahan Islam (al-Khilafah). Jawatan ini merupakan tanggungjawab yang dibebankan dengan hukum Allah, bukan kepentingan semasa mahupun diri. Setiap tindakan kepimpinannya dipandu oleh kepimpinan berfikir (qiyadah fikriyyah) Islam akibat dari ketundukan terhadap wahyu Allah SWT. Oleh itu, tidak akan wujud suatu gagasan yang ‘istimewa’ di antara Khalifah yang terkini dan yang terdahulu kerana masing-masing memikul Islam yang satu dalam kepimpinan mereka di mana yang paling utama dan didahulukan adalah hukum Allah, bukan cogankata atau aspirasi peribadi terhadap ‘kemajuan’ dan seumpamanya sepertimana hari ini.

Sejak gelombang kebangkitan berfikir Islam mula membadai dunia, umat Islam mula berfikir secara Islami. Mereka sudah muak dengan cogankata demi cogankata yang hanya slogan tanpa langsung mengangkat permasalahan mereka. Hidup mereka kian terhimpit akibat dari sistem hidup yang dipimpin oleh ‘pemimpin slogan’. Umat kini mengharapkan kembalinya seorang Khalifah yang bertugas menerap setiap hukum Allah sepenuhnya ke atas rakyat dan dikembangkannya Islam ke serata muka bumi agar setiap manusia tunduk hanya kepada Allah, bukan kepada manusia dan cogankatanya.

Bukan Kecemerlangan Akademik Sahaja Perlu Dikejar

by AURA JIHAD

JABATAN Pelajaran Kedah (JPN) akan menganjurkan Klinik UPSR bagi memberi peluang pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat pendedahan teknik menjawab soalan peperiksaan secara tepat dan berkesan.

Klinik anjuran bersama Unit Pendidikan Berita Harian itu akan diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, pada Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, JPN, Rooslee Ismail, berkata program bertema ‘Menjana pelajar ke arah kecemerlangan akademik’ itu membabitkan sekolah rendah dari seluruh negeri itu.

Katanya, sepanjang program peserta akan menginap dan mengikuti klinik di UUM, manakala majlis perasmian disempurnakan isteri Naib Canselor UUM, Sabariah Mohd Sharif. Rooslee berkata, program kali kedua ini diadakan berikutan perkembangan positif diperoleh calon yang menyertai program sama tahun lalu.

“Proses kecemerlangan akademik seharusnya tidak dijadikan halangan pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan rendah dan hal ini terbukti dengan pencapaian cemerlang golongan berkenaan,” katanya.

"Atas kesedaran itu pihaknya mengambil inisiatif menganjurkannya, selain Seminar PMR dan SPM yang turut mendapat sokongan Pejabat Pembangunan Ekonomi Negeri Kedah dan Jabatan Perdana Menteri," katanya.


ULASAN

Jabatan Pendidikan Negeri begitu bersungguh-sungguh di dalam usaha mereka membawa pelajar ke arah kecemerlangan akademik, namun, jarang sekali kita mendengar usaha bersungguh -sungguh dijalankan untuk menjadikan para pelajar cemerlang di dalam syakhsiah mereka. Kalau adapun, sekadar melepaskan batuk di tangga, sebagai 'pelengkap' kepada subjek lain yang lebih 'penting' ... tidaklah serancak program akademik yang dijalankan saban tahun dengan peruntukan yang bukan sedikit.

Tidak sukar untuk memahami mengapa ini berlaku. Dunia hari ini yang sekular dan kapitalis berjalan dengan pandangan yang cukup sempit. Kehidupan dunia adalah segala-galanya bagi ideologi rosak ini. Akibatnya, segala polisi, termasuklah polisi pelajaran diarahkan kepada pemenuhan kehendak dunia semata-mata. Pada pandangan pendokongnya, jika mereka (dan anak-anak mereka) gagal bererti gelaplah masa depan dunia mereka. Mereka akan rasa kerdil, hina dan perasaan rendah diri sentiasa menghantui mereka. Begitulah tanggapan kejayaan dunia yang diukur dengan kecemerlangan akademik yang dimiliki oleh pendokong ideologi rosak ini.

Ini bukanlah bermakna kecemerlangan akademik tidak perlu dititikberatkan. Namun, apa yang perlu diperhatikan adalah meskipun para pelajar berjaya dengan penuh gemilang dalam akademik, tetapi jika aqidah dan syakhsiah mereka tandus dan gersang, maka semakin ramai lagilah yang akan hanyut dalam bah hawa nafsu keduniaan. Apa yang perlu ditekankan adalah, ilmu Islam itu seharusnya menjadi asas kepada sistem pendidikan itu sendiri dan kemudian, barulah ilmu-ilmu akademik yang lainnya dibina di atas asas ini. Apa yang diperlukan adalah usaha yang benar dan ikhlas ke arah memartabatkan SYAKHSIAH pelajar-pelajar kita dengan ISLAM yang telah terbukti cemerlang gemilang dan terbilang selama puluhan abad. Selama ini kita dipapah oleh ideologi kapitalisme yang uzur dan akibat dari itu, seluruh rakyat menerima kesannya hasil dari sistem pendidikan yang tidak ada arah tuju dan thariqah yang jelas dan terfokus...ibarat si buta yang meraba sang gajah. Firman Allah SWT,

"..walhal kamulah umat yang paling tinggi (kedudukannya dan syakhsiahnya) jika kamu benar-benar beriman (iman dan amal mengikut syariat ALLAH, Tuhan pencipta kamu yang mengetahui semua keperluan kamu)" [al-Imran 139]


"(Sibghah (Deen) kami adalah) Sibghah Allah, siapa (sibghah mana) yang lebih baik dari (sibghah) Allah? Dan kami merupakan hamba-hambaNya" [al-Baqarah 138]

Apakah Nasihat Yang Paling Baik Untuk Pasukan Baru Najib?

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR, 9 April - Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata sebuah Majlis Penasihat Ekonomi akan ditubuhkan bagi tujuan pemulihan dan pembaharuan ekonomi negara. Perdana Menteri berkata majlis itu akan menjadi keutamaan tertinggi kerajaan dalam usahanya mencari penyelesaian dan melaksanakan pelan jangka panjang dalam pembaharuan ekonomi. Majlis itu akan bertindak memberi khidmat nasihat pakar yang bersifat bebas dan objektif dalam mengharungi suasana ekonomi yang cukup mencabar dan pada masa yang sama membina – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia, 09/04/09

Apakah Nasihat Yang Paling Baik Untuk Pasukan Baru Najib?

Tiada nasihat dan ajakan yang lebih baik untuk diberikan oleh Majlis Penasihat Ekonomi yang bakal dibentuk oleh kerajaan baru pimpinan Najib kepada kerajaan di bawah pimpinan beliau melainkan menasihati dan menyeru kerajaan agar menerapkan sistem ekonomi Islam dan membuang jauh-jauh sistem ekonomi Kapitalisme. Firman Allah SWT: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!". [TMQ Fushshilat(41):33].

Inilah peluang yang sepatutnya digunakan oleh mereka yang bakal dilantik nanti untuk melaksanakan tugas yang besar menyeru pemerintah agar mengambil ajaran Islam secara keseluruhannya. Ingatilah pasukan baru Najib itu bahawa adalah menjadi kewajiban mereka untuk menerapkan ajaran Islam secara keseluruhannya. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”. [TMQ al-Baqarah(2):208].

Rebutlah kebaikan yang besar ini dengan memuhasabah pasukan baru Najib - apakah hukum jahiliyyah legasi Lord Reid itu yang akan mereka tetap pertahankan? Firman Allah SWT: “sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukuman yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ al-Maa-idah(5):50].

Ubah cara Politik UMNO. Nak Ubah Apa?

by AURA JIHAD

PUTRAJAYA, 9 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua peringkat pemimpin UMNO bahawa mereka mesti berani membuat perubahan dengan mengubah cara metodologi politik bagi memastikan parti itu terus relevan dan dikasihi rakyat.

Berucap pada majlis kesyukuran di Sri Satria malam ini, Presiden UMNO itu menegaskan, sekiranya ahli UMNO masih alpa dan tidak mengambil kira persekitaran baru sekarang, risikonya parti itu akan tewas di tangan lawannya sekali gus lenyap dan dilupakan begitu sahaja.

‘‘Semasa zaman muda saya, waktu itu letak songkok dan pokok pisang pun, kita pasti menang tapi keadaan sekarang berbeza. Kalau kita lihat pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, parti lawan menggunakan metodologi baru tapi UMNO dan BN masih guna yang lama.

‘‘Oleh itu salah satu penugasan yang perlu dilakukan adalah untuk kita tanya apakah yang patut kita lakukan agar metodologi kita bertepatan dengan zaman yang kita lalui sekarang. Saya anggap ini satu agenda penting bagi UMNO yang kita hasratkan akan dibincangkan metodologi ini dalam mesyuarat pertama Majlis Tertinggi UMNO nanti,” kata beliau.

Sumber : Utusan Malaysia, 10/04/09


Apa Yang Perlu Diubah?

Ya sudah semestinya UMNO perlu mengubah cara berpolitiknya - dari cara berpolitik yang berasaskan politik sekular kepada politik Islam. UMNO perlu memahami apakah yang sepatutnya perlu diubah. Tidak ada perubahan yang paling baik melainkan perjuangan UMNO itu sendiri diubah kepada Islam. UMNO perlu membuang jauh-jauh perjuangan ashobiyyahnya dan merangkul perjuangan Islam. Renungilah firman Allah SWT:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ a-li-‘Imran(3):104].

Ayat di atas menjelaskan bahawa hanya Islamlah asas yang selayaknya menjadi dasar bagi mana-mana parti politik. Ahli-ahli UMNO adalah orang-orang Islam tetapi malangnya perjuangan parti UMNO itu berasaskan fahaman sekular. Sudah lebih 50 tahun UMNO berkuasa namun selama itu jugalah UMNO telah gagal untuk meletakkan Islam sebagai asas dan dasar kepada negara ini. Sampai bilakah UMNO akan berubah? Firman Allah SWT:

“ Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka”. [TMQ al-Hadiid(57):16].

Masih belum terlambat bagi UMNO untuk berubah kepada perjuangan yang berasaskan Islam.

My Team A.K.A Kufurisme Team

by AURA JIHAD

altKUALA LUMPUR, 9 April - Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan barisan Kabinet yang baru dilantik sebagai positif dan bukti 'pembersihan dalam parti' sedang berlaku."(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bertindak bijak dengan menggugurkan kebanyakan mereka yang dituduh mengamalkan rasuah walaupun seorang dua entah kenapa turut terselit," katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini di Tingkat 86, Menara Petronas. Dr. Mahathir juga berkata, jika beliau boleh mempengaruhi keputusan Najib, beberapa orang yang dilantik juga tidak akan berada dalam Kabinet.Mengenai pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata: "Saya fikir dia memang layak dilantik kerana setakat yang saya tahu dia tak guna wang untuk dapat sokongan."

Sumber : Utusan Malaysia,10/4/2009
Begitulah komen bekas PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Persoalannya adalah, adakah hanya kerana tidak mengamalkan politik wang semasa pemilihan jawatan parti, mereka dianggap sebagai barisan kabinet yang baik? Apakah mereka ’kesemuanya’ benar-benar bebas dari amalan politik wang? Masih banyak tandan tanya... Apakah dengan kabinet baru ini, perubahan benar-benar akan berlaku? Hakikatnya, selagi Islam tidak menjadi asas di dalam menegakkan hukum, selagi itulah kita akan terus menyaksikan ketidakstabilan sistem ekonomi, peningkatan di dalam statistik kes kerosakkan sosial dan kemelut lain yang melanda. Itulah yang bakal menimpa masyarakat apabila barisan kabinet yang dilantik tetap akan meneruskan sistem kapitalisme kufur warisan penjajah.

”Maka putuskanlah perkara di antara manusia dengan apa yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kau mengikut hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu’[TMQ Al Maidah : 48]

Nasihat Agar Kekal Sebagai Sekular?

by AURA JIHAD

TAIPING: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan terima tawaran jawatan Menteri Kanan dalam Kabinet baru Datuk Seri Najib Razak kerana ingin terus menjadi seorang pesara. Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau sedia menimbang untuk menjadi penasihat kepada kerajaan sekiranya diminta tetapi atas kapasiti tidak rasmi.

"Ya, saya tak akan terima sebarang jawatan menteri nanti tapi boleh jadi penasihat kepada kerajaan atas kapasiti tidak rasmi. "Saya sudah bersara dan akan terus sebagai pesara," katanya pada sidang akhbar pertamanya selepas menyertai semula Umno, Sabtu lalu. Beliau berada di Bukit Gantang di sini sejak pagi tadi dengan menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang PPP di Simpang, disusuli makan tengah hari dan majlis perjumpaan dengan kakitangan kerajaan, peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sebuah resort di Bukit Larut.

Dr Mahathir ditanya sama ada beliau bersedia menduduki jawatan Kabinet sebagai Menteri Kanan jika ditawarkan nanti.

Sumber : Berita Harian, 06/04/09

Nasihat Untuk Terus Kekal Sekular?

Kesedian Mahathir Mohamad untuk menjadi penasihat memperlihatkan kepada kita betapa bersungguh-sungguhnya beliau untuk membantu kerajaan sedia ada untuk meneruskan sistem sekular sebagaimana yang diinginkan oleh penjajah kufur yang telah memberikan kemerdekaan kepada Malaysia. Jawapan beliau bukanlah suatu yang memeranjatkan kerana sejarah telah membuktikan bahawa selama 22 tahun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri Malaysia, sistem yang diterapkannya adalah sistem kapitalisme sekular. Kita boleh menjangkakan bahawa sekiranya beliau menjadi penasihat kepada kerajaan, agendanya adalah, terus mempertahankan sekularisme dan kapitalisme. Apakah ini yang diinginkan oleh umat Islam?

Benar, Deen itu adalah nasihat. Menurut sebuah hadis dari Tamim ad-Daari, bahawa nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Deen(agama) itu adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” beliau menjawab, “Untuk Allah, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin dan rakyatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 55).

Di dalam Islam setiap warganya mempunyai hak dan tanggungjawab untuk melakukan muhasabah kepada negara bagi memastikan negara tetap menerapkan hukum syara' dalam mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman”). [TMQ a-li ‘Imran(3):110].

Di samping itu juga kewujudan parti politik di dalam Daulah Islam adalah bertujuan untuk menjadi badan yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar. “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ a-li ‘Imran(3):104].

Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan kepada kita bahawa apabila setiap komponen yang wujud, samada individu ataupun masyarakat termasuk parti politik, memainkan peranannya dengan memikul tanggungjawab untuk berperanan melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar maka Daulah Islam yang pernah wujud dahulu telah berjaya membawa kesejahteraan kepada rakyatnya. Ini adalah kerana adanya jaminan dari Allah SWT sendiri bahawa kedatangan Rasulullah SAW untuk membawa ajaran Islam itu adalah untuk menyebarkan rahmat ke seluruh alam. Firman Allah SWT:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ al-Anbiyaa’(21)107].

Namun apakah nasihat seperti ini yang diharapkan dari Dr. Mahathir?

Buaya Kembali Ke Lubuk

by AURA JIHAD

altPUTRAJAYA, 4 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini kembali menyertai UMNO setelah hampir setahun meninggalkan parti tersebut. Bekas Presiden UMNO itu bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menyerahkan borang keahlian yang kekal bernombor 001 dan 002 kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna di Sri Satria di sini.

Bercakap kepada pemberita, Dr. Mahathir, 84, melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali dan diterima semula oleh UMNO. ‘‘Walaupun saya berada di luar UMNO tetapi dalam hati saya masih orang UMNO. Walaupun saya tegur UMNO, saya fikir teguran itu adalah untuk membina UMNO, bukannya untuk menghancurkan UMNO. ‘‘Oleh itu saya berharap yang keluar UMNO sama dengan saya akan kembali semula dan harap parti akan menerima mereka,” katanya.
Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. Pada majlis itu juga, anak Dr. Mahathir iaitu Datuk Mokhzani turut mengambil langkah sama menyertai semula UMNO. Dr. Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO dalam satu ceramah di Alor Setar pada 19 Mei tahun lalu kerana hilang keyakinan terhadap parti itu. Pada sidang akhbar yang dihadiri puluhan wartawan tempatan dan media asing tersebut, bekas Perdana Menteri itu secara berseloroh tidak menafikan penyertaan semula beliau ke dalam UMNO hari ini mirip perkara sama 40 tahun lepas ketika parti itu di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Razak Hussein.

‘‘Satu pakatan kekeluargaan yang tidak sengaja tetapi benarlah, saya dapat masuk balik UMNO dahulu pun kerana Tun Razak yang menerima saya dan kali ini, anaknya yang terima saya. ‘‘Mengenai jawatan (dalam UMNO atau kerajaan), tak payahlah tetapi kalau nak kerjasama, saya bila-bila masa bersedia untuk memulihkan semula parti kerana saya dipercayai oleh rakyat,” katanya. Serentak itu, Dr. Mahathir menyatakan kesediaannya untuk membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau serta Batang Air.

Ini kerana, kata beliau, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai ahli UMNO untuk terus membantu parti dan BN termasuk berkempen pada pilihan raya walaupun telah bersara. ‘‘Saya tidak suka kalau dah bersara ini, kita pisah diri sama sekali dengan UMNO kerana saya naik pun kerana UMNO. ‘‘Dari dulu pun, saya menawarkan diri untuk berkempen jika diperlukan dan hari ini nampaknya saya diminta untuk berkempen. Saya sudah bersedia kerana ia adalah parti saya,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan meneruskan sikap kritikalnya terhadap UMNO sebagaimana sebelum ini, Dr. Mahathir berkata, sikap demikian berlaku apabila ‘kesilapan dilakukan’. ‘‘Jika tidak, saya rasa Tidak perlu jadi kritikal dan saya rasa Datuk Seri Najib tidak akan terkeluar dari landasan (corak kepimpinan) yang telah ditetapkan oleh bapanya dan bukan oleh saya,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 05/04/09

Buaya Kembali Ke Lubuk


Mungkin itu frasa yang paling sesuai diungkapkan kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yg ke-empat ini setelah beliau hampir setahun keluar dari lubuk UMNO. Beliau yang sebelum ini membuat kejutan dengan menghadiri hari terakhir persidangan UMNO turut sama meraikan perlantikan Najib sebagai presiden UMNO yang baru. Sebelum ini beliau tidak menghadiri persidangan pembukaan UMNO dengan alasan bahawa UMNO merupakan parti yang telah rosak dan boleh dilabelkan sebagai parti rasuah di mana orang yang telah disabitkan atas tuduhan melakukan politik wang (baca : rasuah) telah dibenarkan bertanding dan memenangi jawatan yang dipertandingkan.

Kenapa perlu kembali kepada UMNO? Kenapa tidak kepada Islam? Apa yang sepatutnya beliau lakukan adalah kembali kepada Islam dan menyeru seluruh pemimpin dan ahli UMNO agar meninggalkan perjuangan ashobiyyah dan berjuang untuk ketuanan Islam bukannya ketuanan Melayu. Ingatlah, salah satu dari soalan yang akan Allah kemukakan apabila kita dibangkitkan nanti adalah ke manakah sisa- sisa umur kita telah dihabiskan dan kemanakah dilaburkan harta yang telah dikurniakan Allah? Lebih berat lagi bagi seorang pemimpin - apakah telah dilaksanakan amanah yang telah Allah bebankan dengan sempurna dan benar? Apakah Islam telah dilaksanakan?

Tugas Pertamaku...Sebagai Pemerintah Perut ku Didahulukan,Rakyat Biarkan Kemudian...

by AURA JIHAD

altDatuk Seri Najib Tun Razak yang baru dilantik ke jawatan Perdana Menteri terus memulakan tugas rasminya dengan menghadiri Majlis Gala Grand Prix Malaysia 2009 di Hotel J.W Marriot, Kuala Lumpur, malam tadi. Beliau yang hadir bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Turut hadir mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta beberapa menteri kabinet. Majlis yang diadakan sempena kejohanan Grand Prix Formula Satu (F1) di Malaysia tahun ini bertujuan meraikan acara perlumbaan sukan bermotor paling berprestij itu yang bakal mencapai kemuncaknya di Litar Sepang, esok.

Sumber : Utusan Malaysia: 04/04/09

Tugas Pertama Adalah Amanah Untuk Kamu

Semua manusia secara umumnya sukakan pengalaman/perkara yang pertama. Hari pertama bertugas, malam pertama perkahwinan, mendapat nombor pertama dalam pertandingan pemilihan parti, tempat pertama dalam peperiksaan dan sebagainya. Orang pertama Malaysia yang baru diperkenankan semalam juga telah memulakan tugas pertamanya dengan menghadiri Majlis Gala Grand Prix Malaysia 2009. Semalam juga kita dapat mendengar ucapan sulung beliau dengan beberapa kejutan kecil yang agak biasa dilakukan oleh pemimpin yang baru dilantik, seperti mana sebelumnya.

Kalau dulu Pak Lah diingati dengan slogannya “mari bekerja bersama saya” dan “gemilang, cemerlang dan terbilang”, nampaknya kini giliran Najib pula melontarkan slogan pertamanya “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Dan yang pastinya selepas ini akan ada lagi retorik-retorik baru untuk digula-gulakan kepada rakyat. Persoalan pertama yang ingin kita lontarkan ialah kalau “rakyat didahulukan” maka sepatutnya persoalan rakyatlah yang wajib diutamakan bukannya menghadiri majlis Grand Prix Formula Satu (1). Inilah masalahnya, jika negara dibina mengikut acuan Barat dan penjajah, maka kita akan sering terperangkap dengan agenda dan acuan serta aturcara Barat. Ketika barat menganjurkan F1 kita pun berlumba-lumba untuk menganjurkannya tanpa melihat kepada hukum syara’. Ingatlah! Sabda nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin, dia ditanya tentang rakyatnya. Seorang lelaki itu pemimpin kepada ahlinya dan dia ditanya tentang rakyatnya. Seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah suaminya dan dia ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan dia ditanya tentang rakyatnya. Maka semua kamu adalah pemimpin dan ditanya tentang rakyatnya.” [Muttafaqun ‘Alaihi].

Insaflah!

“Kalian akan berebut untuk mendapatkan kekuasaan. Padahal kekuasaan itu adalah penyesalan pada hari kiamat; nikmat di awal dan pahit di ujung” (HR al-Bukhari).

Renungilah kata-kata Umar bin al-Khaththab ra, ketika beliau menjadi khalifah dan begitu terkenal dengan kata-katanya yang menunjukkan kapasitinya sebagai seorang pemimpin yang agung (al-imâm al-a’zham):

“Seandainya ada seekor keldai terperosok kakinya di kota Bagdad karena disebabkan jalan yang rosak, aku khawatir Allah SWT akan meminta pertanggungjawaban diriku di akhirat nanti.”

Fahamilah!

“Siapa saja yang diberi oleh Allah kekuasaan untuk mengurus urusan kaum muslim, kemudian tidak melayani mereka dan memenuhi keperluan mereka, Allah pasti tidak akan melayani dan memenuhi keperluannya (HR Dawud).

Dalam sejarah ulama salaf, diriwayatkan bahawa Khalifah Umar bin Abdil Aziz dalam setiap shalat malamnya sering membaca firman Allah SWT berikut:

(Kepada para malaikat diperintahkan): Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman sejawat mereka dan sesembahan yang selalu mereka sembah selain Allah. Tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka. Tahanlah mereka di tempat perhentian karena sesungguhnya mereka akan dimintai pertanggungjawabannya. [QS ash-Shaffat (37): 22-24].

Beliau mengulangi ayat tersebut beberapa kali kerana merenungi besarnya tanggung jawab seorang pemimpin di akhirat, di hadapan Tuhan Yang Maha Agung, Allah SWT. Lalu bagaimana dengan para pemimpin yang ada saat ini? Di manakah kamu pada hari pertama kamu bertugas?

Tun Mahathir Bantu Jentera BN

by AURA JIHAD

SUNGAI PETANI, 2 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadualkan akan turun membantu jentera Barisan Nasional (BN) pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, dalam tempoh terdekat. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien yang mengesahkan perkara itu berkata, kehadiran negarawan berkenaan amat dialu-alukan. "Tun sudah menyatakan kesediaan untuk bersama kita. Di Bukit Selambau, beliau akan tiba pada hari Isnin tetapi masa belum ditetapkan lagi," katanya. Menurut Hishammuddin, kesudian Dr. Mahathir membantu jentera BN pilihan raya kecil kali ini juga mengembalikan kekuatan UMNO dan boleh menangkis tanggapan bahawa BN tidak bersatu.

"Inilah keramat UMNO dan BN kerana saya rasa bahawa di hati kecil Tun sendiripun, beliau tak mahu orang ramai tertipu dengan dakyah-dakyah kosong," katanya. Beliau berkata, kehadiran Dr. Mahathir juga boleh meyakinkan lagi pengundi terutama di Bukit Selambau bahawa rakyat tiada pilihan lain untuk mengecapi pembangunan melainkan memilih UMNO dan BN.

Sumber : Utusan Malaysia, 03/04/09

Dimana akhir-akhir usia mu?

Nampaknya UMNO semakin bersemangat apabila bekas presidennya Mahathir Mohammad dijangka akan turun untuk berkempen di kempen pilihanraya kecil Bukit Selambau. Diberitakan juga beliau akan turut turun berkempen di Bukit Gantang. Nampaknya usia bukan penghalang buat beliau untuk terus berjuang bagi membantu mempertahankan kedudukan UMNO yang nampaknya semakin parah. Satu kejutan memandangkan selama ini beliau sendiri mempertikaikan UMNO dan turut mengisytiharkan keluar dari UMNO.

Hakikatnya, sebagai seorang Muslim, kita perlu melihat untuk apa kita hidup di atas muka bumi ini? Apakah bukan untuk menjadi hamba Allah SWT? Firman Allah SWT

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu” [Adz Dzariyaat(51):56].

Oleh itu, satu soalan yang sepatutnya beliau fikirkan ialah, apakah usia beliau yang masih berbaki ini akan terus digunakan untuk mempertahankan dan memperjuangkan faham ashobiyyah dan sekular yang menjadi dasar dan perjuangan UMNO selama ini? Mungkin kisah sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub Al Ansari, dapat memberikan iktibarnya kepada kita semua amnya dan khususnya kepada beliau sesuai dengan usinya.

Abu Ayub Al Ansari adalah seorang sahabat dari kaum Ansar. Rasulullah SAW pernah tinggal di rumah Abu Ayub ketika berhijrah ke Madinah. Meskipun umurnya sudah tua, namun Abu Ayub tetap berkeras untuk berangkat berperang untuk menawan kota Konstantinopel. Hatinya sangat yakin dengan Rasulullah SAW dan ingin menagih janji Rasulullah SAW sebagaimana tersebut dalam hadis baginda: “Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.” Setelah tiba di Konstantinople tentera Islam bergabung, pasukan dari Mesir diketuai oleh Uqbah bin Amir dan dari Syam diketuai oleh Fudalah bin Ubaid r.a. Barisan tentera Romawi amat besar sekali dengan kelengkapan perang yang jauh lebih hebat. Tentera Islam pun berbaris untuk menghadapi mereka. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan tentera Islam telah menerjah masuk ke dalam barisan tentera Romawi. Melihat tindakannya itu, tentera-tentera Islam pun berteriak kepadanya:

“Maha Suci Allah! Dia mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan.” Mendengar kata-kata mereka itu, Abu Ayub Al Ansari segera tampil lalu berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang seumpama itu. Kami lebih mengetahui mengenai ayat tersebut. Sesungguhnya ia telah diturunkan kepada kami golongan Ansar. Tatkala Allah menguatkan agama-Nya dan bertambah ramailah pengikutnya, kami telah berkata sesama kami secara rahsia dari pengetahuan Rasulullah SAW: “Sesungguhnya harta-harta kita telah terbiar, adalah elok kita tinggal di sana dan memperbaiki apa yang telah kehilangan dan kerugian terhadap harta-harta tersebut.” Allah SWT berfirman:

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” [TMQ Al Baqarah(2): 195].

Ada pun kebinasaan itu adalah tinggal bersama kaum keluarga di mana kami telah berkeinginan untuk melakukannya, demi untuk memperbaiki harta benda kami. Maka kami telah diperintahkan untuk keluar berghuzwah (berperang). Demikianlah pendirian Abu Ayub, sebab itulah dia gigih berjuang walaupun umurnya sudah lanjut. Dalam peperangan membebaskan Konstantinopel itu, syahidlah para syuhada bagai kembang-kembang berseri yang gugur di taman-taman syurga. Pada hari itu bermati-matian Abu Ayub bertempur dari terbit matahari sampai tenggelam. Akhirnya Abu Ayub jatuh sakit, terbaring lesu tidak dapat bergerak lagi. Tentera-tentera Islam datang melawatnya. Setiap yang datang, akan mendoakan:

“Ya Allah, sihatkanlah ia dan sembuhkanlah ia.”

Mendengar doa itu, Abu Ayub menoleh kepada mereka dan berkata,

“Jangan doakan begitu. Tapi ucapkanlah, ya Allah, kalau ajalnya sudah dekat, ampunilah ia dan berilah dia rahmat. Akan tetapi sekiranya ajalnya masih belum tiba, sihatkanlah dia dan sembuhkanlah ia segera dan berilah dia ganjaran.”

Ketika sakitnya semakin tenat, Abu Ayub berwasiat agar jasadnya dikuburkan di benteng Kota Konstantinopel. Diwaktu kematiannya(usianya ketika itu lebih kurang 80 tahun), peperangan masih bergelora. Jenazah sahabat yang mulia itu dibawa ke benteng Konstantinopel untuk dikuburkan. Ternyata beliau bukan orang yang dijanjikan Tuhan untuk menawan kota Konstantinople itu. Namun begitu, pahala untuk beliau tetap diganjari Allah SWT kerana cuba membuktikan Hadis Nabi SAW. Itulah yang menjadi kekuatan Abu Ayub untuk berjihad habis-habisan di kota tersebut. Setelah 800 tahun berlalu, Muhammad Al Fateh berjaya membebaskan kota itu pada tahun 1463M. Beliaulah yang menepati Hadis Nabi SAW tersebut.

Abu Ayub Al Ansari adalah salah seorang yang telah cuba membuktikan kebenaran Hadis Nabi itu. Ini diikuti pula dengan Muhammad Al Fateh dan beliaulah pemimpin yang dijanjikan Allah. Abu Ayub Al Ansari terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Rom Byzantine sejak mula perjuangan hinggalah ke zaman pemerintahan Muawiyah. Beliaulah yang diisyaratkan oleh baginda dalam hadisnya yang bermaksud:

"Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan akan dikuburkan di bawah kubu kota Konstantinopel".

Apakah kita juga menjadikan Hadis Nabi SAW sebagai pendorong untuk mengakhiri kehidupan kita ini sebagaimana sahabat Abu Ayub Al Ansari? Ataukah kita menjadi penerus kepada legasi Lord Reid?

Umno akan berubah atau UMNO akan rebah?

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR, 28 Mac - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan janji beliau untuk melakukan beberapa perubahan besar dalam parti bagi memastikan kelangsungan berterusan UMNO pada masa hadapan. Antaranya ialah mengubah sistem pemilihan parti dengan hak menentukan kepimpinan tertinggi UMNO tidak lagi terletak di tangan kira-kira 2,600 perwakilan semata-mata.
Menurut beliau, kuasa memilih akan berpindah ke tangan 60,000 ahli pada peringkat bahagian dengan mesyuarat kesemua 191 bahagian di seluruh negara diadakan secara serentak. "Banyak yang berpendapat bilangan 2,600 perwakilan ini tidak mencerminkan kehendak dan aspirasi tiga juta ahli UMNO.

"Ada juga yang khuatir jumlah yang kecil ini bukan sahaja nama mereka kita hafal, muka kita ingat dan nombor telefon pun kita tahu. Salam pun ada. Ada yang kata, salam SK (salam kosong) dan ada yang kata salam SI (salam isi)," katanya dalam ucapan penerimaan jawatan Presiden dan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO Ke-59. Kenyataan beliau itu disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Najib berkata, prasarana untuk membolehkan kesemua 191 bahagian bersidang serentak boleh dibina dalam zaman moden ini. Katanya, proses pemilihan UMNO yang berintegriti adalah jalinan kelangsungan kuasa UMNO sebagai parti yang berdaulat.

"Selagi proses ini tercemar, selama itulah orang akan hilang kepercayaan kepada UMNO," katanya. Najib juga menjanjikan satu lagi perubahan yang drastik apabila mahu sistem kuota dirombak dan diturunkan ke satu tahap yang boleh dikatakan sebagai munasabah.

"Saya tidak mahu berselindung di belakang kouta untuk menjadi Presiden UMNO," katanya. Namun, kata beliau, sistem kuota tidak boleh dihapuskan sepenuhnya bagi mengelakkan mana-mana 'pelawak' tampil menawarkan diri bertanding jawatan-jawatan tertinggi parti. Katanya, bilangan 58 pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden parti umpamanya adalah terlalu tinggi dan tidak mungkin dicapai.

"Hendak tanding Naib Presiden pula perlukan 20 pencalonan, katakan hanya dapat 19 sahaja, mahu melilau nak cari satu lagi," jelasnya. Perkara lain yang akan turut disemak, kata beliau, ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk berbincang dengan bahagian-bahagian UMNO seluruh negara.

"Kita akan dapat pendapat, cadangan daripada bahagian kemudian MT akan rumuskan dan membuat cadangan," katanya.

Katanya, Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun ini akan menjadi Perhimpunan Agung Khas bagi melakukan pindaan perlembagaan bagi perubahan-perubahan tersebut.

"Persidangan tahun ini adalah persidangan tahun sudah. Jadi kita kena bersidang sekali lagi, marilah kita gunakan kesempatan itu untuk meminda Perlembagaan UMNO supaya UMNO menjadi parti yang lebih dihormati oleh rakyat," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keperluan perubahan-perubahan itu, Najib berkata, UMNO perlu mengambil iktibar daripada isyarat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
"Sebab itu, sayalah antara pemimpin pertama yang telah mengungkapkan berubah sebelum diubah dan berubah sebelum kita rebah.

"Saya tetap yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti yang merupakan pilihan utama orang Melayu. Mereka tidak menolak UMNO, sebenarnya mereka mahu UMNO berubah," katanya.

Beliau menzahirkan keyakinan UMNO akan kembali kuat di hati orang Melayu apabila segala perubahan yang dirancang menjadi kenyataan.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Najib berkata, melalui kaedah mesyuarat serentak seluruh negara yang dirancang itu, adalah diyakini masalah politik wang dalam parti akan dapat dibanteras.

"Daripada itu, pemantauan dan tindakan punitive (hukuman) akan mewujudkan mekanisme memantau dari segi salah guna kuasa dan politik wang, namun dengan perubahan perlembagaan jika diluluskan nanti akan jadi satu sejarah baru dalam proses pemilihan UMNO yang lebih berintegriti," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 29/03/09

Umno akan berubah atau UMNO akan rebah?

Umno akan berubah. Itulah kata-kata dan impian yang dinyatakan oleh Presiden Baru UMNO Najib Razak. Betul! UMNO perlu berubah. Tetapi persoalannya ke arah mana dan bagaimana ianya akan berlaklu. Ya, memang fitrah manusia itu inginkan perubahan dan sememangnya manusia itu boleh berubah. “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri”. [TMQ ar-Ra’d (13):11].

Perubahan adalah sesuatu yang dikaitkan dengan pemikiran, perasaan dan sikap. Perubahan boleh berlaku samada dari baik kepada buruk ataupun sebaliknya. Persoalannya kini ialah apakah akan berlaku perubahan kepada UMNO jika asas parti itu masih berteraskan ashobiyyah? Ini adalah kerana ashobiyyahlah yang sebenarnya menjadi kanser dan barah kepada apa yang berlaku di dalam UMNO. Seumpama seperti kita menanam biji durian. Selagi biji durianlah yang kita tanam maka sudah pasti pokok durianlah yang akan tumbuh tanpa mengira siapa yang menanamnya dan di kawasan mana kita menanam biji durian itu. Pokok rambutan tidak tumbuh dari biji durian.

Sekiranya ashobiyyah yang menjadi asas perjuangan, selama itulah perspektif dan aspirasi kebangkitan tidak menghala ke arah yang betul. Lantas, perubahan bagaimana lagi yang diinginkan? Apakah kita tidak mengambil iktibar dari perubahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW? Kejayaan Rasulullah SAW membawa perubahan kepada masyrakat Arab jahiliyyah adalah bukti bahawa hanya Rasulullah SAW sahajalah satu-satunya individu yang berjaya membawa perubahan yang sebenarnya..

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ al-Jumu’ah(62):2].

Justeru itu bagi pihak yang ingin membawa perubahan dan menginginkan perubahan yang hakiki maka jadikanlah Rasulullah SAW sebagai model perubahan.”Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iIaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” [TMQ al-Ahzab(33):21].

Apa yang pasti, apapun retorik yang dilontarkan, UMNO tidak akan berubah selagi mereka tidak melihat bahawa ashobiyyah itu adalah sesuatu yang haram disisi Islam dan tidak akan pernah membawa kepada sebarang perubahan dan kebangkitan bagi UMNO dan umat Islam umumnya.

(Mahathir + Abdullah) x Najib = Simbol kebangkitan UMNO?

by AURA JIHAD

Gandingan dua negarawan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat UMNO pada era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kelak akan menjadi simbol kepada kebangkitan semula parti dalam membela masyarakat Melayu. Ahli veteran UMNO, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, nasihat kedua-dua negarawan tersebut akan mengembalikan keyakinan rakyat negara ini terhadap UMNO dan memastikan parti itu terus relevan dalam perjuangan memajukan orang Melayu pada masa depan.

Sementara itu, seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik berkata, beliau melihat pertemuan Abdullah dan Dr. Mahathir semasa perhimpunan agung UMNO baru-baru ini sebagai permulaan yang baik ke arah pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan sebagai penasihat UMNO yang sememangnya memerlukan nasihat pemimpin terdahulu.

Sumber : Utusan Malaysia, 30/3/2009

Simbol kebangkitan? Adakah apa yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin itu sebelum ini boleh membangkitkan umat Islam? Apa yang jelas, semasa pemerintahan mereka, kedua-duanya terus mengekalkan warisan penjajah; perjuangan ashobiyyah dan sistem kapitalis kufur peninggalan penjajah British. Jika itulah yang dijadikan simbol kebangkitan, maka kasihanlah rakyat kerana mereka akan terus dizalimi, ditindas dan dipermain-mainkan. Mereka akan terus diselubungi kemelut politik, ekonomi, pendidikan dan sosial yang berpanjangan. Bukankah simbol dan tauladan ke arah ke kebangkitan itu mesti diambil daripada Rasulullah SAW? Oleh itu, bersegeralah kalian semua untuk turun berjuang mengubah sistem kufur warisan penjajah yang ada pada hari ini kepada Sistem Islam secara kaffah.

UMNO-Lah Petualang!

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 25 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO bertekad menentang habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh petualang bangsa yang tergamak menyemai benih kebencian, menghina tanah air serta mempersendakan institusi raja demi memuaskan nafsu rakusnya.

Begitulah tekad atau azam atau resolusi atau apa jua istilah yang senada dengannya bagi menggambarkan semangat Pemuda UMNO tatkala di dalam majlis gilang gemilang parti tersebut. Hakikatnya, laungan, seruan dan teks ucapan adalah tak lebih dari retorik, janji palsu, penipuan, pembohongan dan omong kosong.
Sejarah mampu mengukir pencapaian UMNO dalam perjuangannya. Sejarah tidak akan berbohong untuk mengatakan UMNO gagal meletakkan status Melayu lebih maju dan terkedepan berbanding bangsa lain. Melayu masih tercorot dalam segala hal, termasuk bertambahnya kebejatan moral di kalangan mereka.

Semua ini berlaku kerana Islam tidak diambil sebagai agenda perjuangan. UMNO yang didasarkan pada perjuangan bangsa sudah pasti tidak akan mendukung Islam kerana Islam merupakan duri baginya. Islam mengharamkan ashobiyyah, politik wang, rasuah, kronisme, nepotisme, monopoli dan lain-lain penyakit sosial yang telah menjadi darah-daging UMNO selama ini. Islam dilihat sebagai ‘musuh’ yang tidak mungkin diperjuangkan oleh para pemimpin UMNO. Akibatnya, wujud monopoli kuasa, kronisme, nepotisme, rasuah dan pelbagai penyakit sosial samada di dalam parti mahupun jentera pentadbiran negara. Nah! Siapakah sebenarnya petualang?

Pemuda Harapan atau Pemuda Pemusnah?

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 25 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baru, Khairy Jamaluddin mahu seluruh ahli pergerakan itu terutama para penyokong dua pesaingnya merapatkan kembali barisan untuk mengukuhkan sayap kanan tersebut.

Beliau menyifatkan pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO hari ini berlangsung dalam suasana demokrasi yang cukup matang. ‘‘Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Saya dapat 304 undi daripada 793 perwakilan yang ini bukan satu majoriti. Ini hanya majoriti calon tiga penjuru.
‘‘Walaupun (saya) bertanding atas (slogan) Setiakawan, ada Berani Berubah (slogan dibawa oleh Datuk Mukhriz Mahathir) dan Pemuda Berani (oleh Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo), kita sebenarnya berani menuntut perubahan demi setiakawan Pemuda UMNO,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangannya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di sini malam ini. Difahamkan dalam pertandingan itu, Mohamad Khir memperoleh 254 undi manakala Mukhriz meraih 232 undi.

Dalam ucapannya pada majlis yang turut dihadiri Mukhriz tanpa kelibat Mohamad Khir itu, Khairy mengungkapkan: ‘‘Dalam kepimpinan Pemuda baru ini, ada Berani Berubah, jadi saya rayu supaya Berani Berubah berdiri bersama saya untuk berdepan dengan kubu-kubu pembangkang pada tiga pilihan raya kecil nanti (Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai).

‘‘Kepada Pemuda Berani, apabila pikul amanah seperti mana kata Timbalan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) semalam kalau tidak berubah, kita rebah, maka tuan-tuan kena bersama-sama saya.’’

Kepada Pemuda Setiakawan (para penyokongnya), Khairy secara sentimental mengungkapkan:

‘‘Satu ketika dulu ada yang tulis kata saya tidak ada masa depan tanpa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (bapa mertuanya)...habis, pencalonan (yang diterima saya) nyawa-nyawa ikan.

‘‘Bila turun ke bawah, arus menentang (kata mereka) tapi saya kembali kepada asas perjuangan, kalau tidak kerana Setiakawan (para penyokongnya), lama dah kita tinggalkan (UMNO).’’

Sumber : Utusan Malaysia, 26/03/2009

Ulasan

Pemenang sudah diketahui dan yang kalah sedikit terkilan tetapi masih mampu tersenyum, itulah lumrah pertandingan dan perebutan sesuatu jawatan di dalam mana-mana organisasi. Di dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di sini malam tadi, Khairy Jamaludin selaku Ketua Pemuda UMNO yang baru telah menyeru pihak-pihak yang bertanding supaya bersatu untuk menentang dan berdepan dengan parti-parti pembangkang di dalam pilihanraya nanti.

Seruan ini dibuat atas dasar kepentingan (ikatan maslahat) sesaat, yang PASTI akan hancur apabila maslahat atau kepentingan tersebut sudah tercapai. Ikatan ini tidak membawa kebaikan dan keuntungan yang berpanjangan kerana ia adalah ikatan yang batil dan langsung tidak mempunyai nilai dalam membangkitkan umat. Ikatan yang sebenar yang PASTI akan membawa kepada kebaikan yang berpanjangan adalah ikatan yang berasaskan kepada suatu mabda' atau ideologi yang telah menyatukan umat manusia dari Indonesia hingga ke Sepanyol di bawah satu aqidah dan matlamat yang satu - ISLAM - hidup untuk Islam dan mati kerana Islam. Dengan asas inilah kita telah melihat Daulah Islam menjadi satu " *super power*" yang digeruni oleh kawan dan lawan dalam masa yang begitu singkat sejak Rasulullah mendirikannya di Madinah.