Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

SISTEM EKONOMI KAPITALIS SEMAKIN RAPUH

by AURA JIHAD

Dunia sedang menghadapi krisis ekonomi. Pasaran kewangan dunia yang tidak menentu sejak kebelakangan ini merupakan penunjuk jelas ke arah itu. Ia menjadi isu yang dominan di dalam ruangan-ruangan media baik media tempatan mahupun luar negara.

Faktor utama yang mempengaruhi adalah masalah yang dihadapi Amerika Syarikat (AS) iaitu mengenai masalah gadai janji subprima dalam pasaran perumahan. Gadai janji subprima adalah pinjaman perumahan yang diberi kepada para peminjam yang tidak memiliki latar belakang kewangan yang kukuh dengan kadar faedah yang lebih tinggi.

Apabila diteliti dengan lebih mendalam, seseorang itu tidak boleh menafikan bahawa krisis ekonomi yang melanda dunia dikala ini adalah disebabkan oleh penerapan sistem ekonomi kapitalisme oleh Barat yang diterajui oleh AS. Sejarah membuktikan bahawa, penerapan sistem ekonomi kapitalisme ini akan menyebabkan munculnya kegoncangan demi kegoncangan di dalam ekonomi. Ia akan dihadapi oleh dunia dalam sela masa tertentu secara berkala. Perkara ini telah dijelaskan oleh Dr Thahir Abdul Muhsin Sulaiman dalam bukunya Ilajul Musykilah al-Iqtishadiyah bi al-Islam, yang menyebut krisis ekonomi dalam sistem kapitalisme adalah bersifat 'siklik'. Ertinya, pertumbuhan ekonomi yang terjadi hanyalah putaran menuju puncak untuk kemudian jatuh ke lembah krisis kembali dan begitulah seterusnya. Krisis ekonomi bersifat 'siklik' ini benar-benar terjadi di seluruh dunia, hanya sahaja kala putarannya berbeza-beza. Bagi negara-negara maju seperti AS, Eropah dan Jepun kala putarannya adalah sekitar 25 tahun manakala negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia, Thailand dan seangkatan dengannya biasanya sekitar 7-10 tahun. Negara-negara Asia termasuk Malaysia kali terakhir dilanda kegawatan adalah tahun 1997 dan perkara ini dijangka akan berulang pada dekad pertama abad ke-21 ini. Ironinya, ketika pembentangan belanjawan 2008 pada hari Jumaat lepas (7/8/2007), kerajaan Malaysia dikatakan perlu bersiap sedia menghadapi kelembapan ekonomi dunia kesan daripada krisis ekonomi yang melanda Amerika sejak akhir-akhir ini. Persoalannya, adakah kita sekarang berada di putaran yang menuju ke arah kegawatan ekonomi sekarang?

Sistem ekonomi kapitalisme bukan sahaja rapuh malah bersifat self-destructive atau makna langsungnya bermaksud menghancurkan diri sendiri. Inilah realiti wajah dari sistem yang terbit daripada aqidah sekular yang pasti tidak akan pernah menyelesaikan permasalahan manusia, malah menimbulkan lagi perbagai masalah yang bukan alang-kepalang kepada dunia seperti kemiskinan, jurang yang semakin melebar di antara golongan kaya dan miskin, kerosakan merata (collateral damage), hilang sifat kemanusiaan, bahkan perang dan penindasan di mana-mana.

Apabila diteliti lebih mendalam terdapat dua faktor utama yang menyebabkan sistem ini bersifat self-destructive. Pertama, persoalan mata wang yang mana mata wang suatu negara pada saat ini terikat pada mata wang lain (contohnya ringgit terhadap dollar AS), tidak pada nilainya sendiri. Demikian itu nilai mata wang tersebut tidak akan stabil, kerana sekiranya nilai mata wang tertentu bergejolak, pasti akan mempengaruhi kestabilan mata wang tersebut. Maka apabila nilai mata wang tidak stabil, maka kegiatan ekonomi secara keseluruhan akan terganggu kerana mata wang itu ibarat lokomotif yang menggerakkan gerbang kegiatan ekonomi. Kedua, kenyataannya sekarang ini, wang itu tidak lagi sekadar medium pertukaran untuk mendapat barang atau jasa perkhidmatan dalam sektor realiti, tetapi juga sebagai komoditi dalam sektor non-real iaitu diniagakan (dalam bursa mata wang dunia), diperjudikan (dalam bursa saham dan kegiatan yang sejenis) dan ditarik keuntungan (melalui interest atau dengan kata lain bunga atau riba dalam perbankan) dari setiap transaksi atau penyimpanan wang.

Dengan kata lain, yang menjadi pemicu kepada terjadinya krisis ekonomi adalah sektor non real atau keewangan, yang memang dikenali sebagai sektor yang penuh dengan spekulasi. Kekacauan di sektor ini menyebabkan kekacauan di sektor real (produksi,perdagangan dan jasa perkhidmatan). Harga-harga barang dan jasa perkhidmatan naik bukan kerana hukum permintaan dan penawaran (supply and demand) tetapi kerana riba bank yang meningkat dan terjadinya penyusutan nilai ringgit terhadap dollar AS.

Maka ditegaskan Dr Thahir Abdul Muhsin bahawa bunga bank merupakan salah satu punca ketidakstabilan sistem ekonomi dunia. Al-Quran telah meyebut sekeras-kerasnya dalam surah al-Baqarah:275-276 sebagai orang yang tidak dapat berdiri tegak bagai orang dirasuk syaitan, disebut sebagai random walk, suatu istilah yang menggambarkan pola langkah orang yang mabuk. Malah ditegaskan juga menurut hadis (riwayat al-Hakim dan Baihaqi) yang menggambarkan aktiviti ekonomi yang berteraskan riba mengundang dosa besar laksana berzina dengan ibu sendiri.

Maka penyelesaian kepada permasalahan kepada krisis ekonomi dunia adalah dengan membakul sampahkan sistem ekonomi kapitalisme, dan menerapkan sistem ekonomi yang berlandaskan syarak iaitu meletakkan halal dan haram sebagai teras kepada aktiviti ekonomi masyarakat secara keseluruhan.

Dalam hal keewangan, sistem Islam membezakan antara wang dan modal. Wang adalah public goods manakala modal adalah private goods. Wang adalah milik masyarakat (public goods), maka kerana itu, Islam melarang melakukan penimbunan wang kerana pasti akan mengurangi jumlah wang yang beredar di dalam pasaran. Semakin cepat wang berputar dalam masyarakat maka semakin baik ekonomi masyarakat. Kalau tidak, sebagai private goods, dana itu akan dilaburkan dalam bentuk syirkah (kerjasama bisnes), dishadaqahkan atau dipinjamkan (qard) tanpa riba, dikeluarkan zakat.

Wang juga dikembalikan fungsinya iaitu sebagai medium pertukaran dalam sektor realiti lantas mata wang dibuat dengan sandaran emas(dinar) dan perak(dirham). Dengan dinar dan dirham, nilai nominal dan nilai intrinsik daripada penggunaannya akan bersatu. Ertinya nilai nominal mata wang akan dijaga oleh nilai intrinsiknya, bukannya olah daya tukar terhadap mata wang lain. Tidak akan ada sektor non-real dalam sistem ekonomi Islam, ekonomi akan betul-betul digerakkan oleh sektor realiti sahaja.

MINYAK ADALAH HAK UMAT

by AURA JIHAD

SEJAK tahun lalu, banyak pihak mengatakan tahun 2008 akan diadakan pilihan raya umum ke-12. Oleh itu, janji-janji politik mula didendangkan oleh pihak pembangkang jika parti mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan.

Antara janji yang pasti memancing hati rakyat ialah menurunkan harga bahan api. Bukan sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak berasa pelik dengan dakwaan tidak logik pembangkang boleh menurunkan harga minyak, masyarakat yang celik mindanya pun akan tertanya-tanya formula yang mungkin digunakan oleh pemimpin pembangkang.

Barangkali formula yang ada dalam fikiran parti pembangkang ialah menambahkan subsidi untuk harga minyak runcit.

Mengeluarkan janji memang mudah jika ia dibuat tanpa mengambil kira perbelanjaan seperti untuk menguruskan perkhidmatan di hospital, sekolah dan membangunkan infrastruktur dan kemudahan awam untuk rakyat dan negara.

Hakikat sekarang ialah harga minyak di pasaran dunia sudah begitu mahal. Ia berada pada paras sekitar AS$96 setong atau RM317 setong pada bulan lalu.

Daripada satu aspek, negara melalui Petronas memang boleh mendapat keuntungan besar. Tetapi dari satu sudut lain pula, negara juga terpaksa membayar harga yang mahal untuk menyediakan keperluan lain untuk rakyat.

Kebanyakan kita mungkin tidak berasa harga barangan keperluan yang sepatutnya lebih mahal daripada yang dibayar sekarang kerana sebahagiannya telah diberi subsidi.

Sebagaimana dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, walaupun negara kita mengeksport minyak tetapi segala keuntungan hasilnya perlu digunakan bagi projek pembangunan negara dan tidak boleh digunakan sepenuhnya untuk subsidi.

Jika negara ini ditadbir pihak pembangkang dan menggunakan hasil negara semata-mata untuk memuaskan hati rakyat dan memberi subsidi, lambat-laun negara akan kekurangan wang serta jatuh bankrap. Apabila ia terjadi maka pembangunan negara dan kesejahteraan hidup rakyat juga akan terjejas.

Kita perlu maklum bahawa jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan untuk mengawal harga minyak di pasaran tempatan sekarang bukannya kecil.

Jika dahulu kerajaan menaikkan harga minyak ketika harga di pasaran dunia sekitar AS$70 setong dan kita dapat menjimatkan RM4 bilion daripada penarikan subsidi minyak.

Tetapi kini, bayangkan berapa banyak peruntungan subsidi disedut semula gara-gara kenaikan harga minyak dunia yang melambung lebih AS$95 setong.

Malah sepanjang tahun 2007 lalu berlaku ketidakstabilan harga minyak dunia, tetapi kerajaan tidak bertindak menaikkan harga pun.

Namun kita percaya selagi kerajaan mampu menguruskan kewangan negara dengan bijak dan rakyat berjimat menggunakan bahan api, lupakan sahaja janji-janji pembangkang yang hanya hendak memancing undi.

Sumber: Utusan Malaysia 01/01/08

Ulasan:

Turunkan harga minyak untuk memancing undi? Inilah andaian yang dibuat oleh pihak kerajaan dalam berhadapan dengan parti pembangkang sekarang dalam kemelut kenaikan harga minyak di pasaran dunia.

Polemik yang diutarakan oleh pemimpin negara ini sebenarnya tidak lebih dari helah untuk menutup kelemahan sistem pengurusan dana awam umat Islam, marilah kita melihat hal ini dalam versi yang benar ini kerana negara Malaysia mengimport dan mengeksport minyak, bahkan kenaikan harga minyak di pasaran dunia memberikan pendapatan bersih kepada negara (ada untung dari kenaikan).

Mengikut laporan Asian Development Bank, dalam buku laporan tahun 2007 tentang Malaysia (hal. 217),

“As a net hydrocarbons exporter, high international energy prices provide a cushion for government spending. In 2006, a $1 per barrel rise in the price of crude oil corresponded to RM228 million ($62 million) higher oil-related revenues. Such revenues represented 37% of central government income; however, remaining retail fuel subsidies could absorb up to one quarter of these receipts.” [www.adb.org]

Kalau dilihat dari angka statistik, Malaysia mendapat nilai tambah hasil sebesar RM228 juta bila berlaku kenaikan petroleum sebanyak USD1 setong. Bagaimana mungkin ¼ subsidi dari keuntungan penjualan bersih petroleum, boleh membantutkan program pembangunan, sedangkan ¾ lagi hasil keuntungan dari kenaikan ini masih ada bakinya?

Inilah hakikat pemimpin yang ada. Mereka langsung tidak peduli akan hukum Islam dan tanggungjawab mereka di dalam mentadbir negara. Minyak itu bukan hasil pendapatan negara, tapi ia merupakan kekayaan milik umum (milkiatul ammah) dengan kata lain ia adalah milik umat Islam secara keseluruhan. Hadis Rasulullah adalah begitu jelas di dalam hal ini dan hanya pemimpin yang jahil yang tidak mahu kembali kepada Islam sahaja yang tidak mahu berhukum dengannya.

Minyak adalah sumber tenaga manusia dan merupakan bahan galian yang disebut sebagai ma’ul addi (galian yang tidak putus) dalam istilah fiqh. Ia termasuk dalam perbincangan nas syarak tentang pemilikan umum dalam sifatnya sebagai:-

(1) sumber bahan api
(2) melimpah-ruah (kuantiti yang besar)

Adapun sifatnya sebagai bahan api (tenaga), ini sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah saw,

“Kaum Muslimin bersekutu kepada tiga perkara iaitu air, api dan padang rumput” [HR Ahmad, Abu Daud dan juga Ibn Majah; Sunan Ibn Majah, Al-Ahkam, no #2743].

Imam As-Syaukaani memberi komentar berkenaan dengan lafaz (an-nar - api) dalam hadis tersebut, dikatakan sebagai,

“kayu-kayan yang dijadikan bahan pembakar untuk kegunaan manusia, ada yang mengatakan untuk mendapatkan pelita dan sinaran cahaya daripadanya, dan ada yang mengatakan bahawa ia adalah arang batu yang dapat menjadi bahan pembakar yang berada di tanah mati.” [Nailul Authar, As-Syaukaani, Ihya Ulmawat]

Meskipun ada perbezaan pendapat yang diutarakan oleh Imam As-Syaukani, tetapi maksud ‘api’ itu tidak dapat lari dari makna sumber bahan api (sumber tenaga). Jadi, petroleum yang ada hari ini yang digunakan sebagai sumber tenaga dan untuk menjana kuasa elektrik adalah termasuk. Ia dapat dikategorikan dalam makna ‘api’ dalam hadis ini. Jadi adalah salah untuk ia di monopoli oleh syarikat kapitalis atau negara kerana ia adalah milik umum umat Islam.

Adapun sifatnya petroleum sebagai bahan yang berkuantiti besar (ma’ul addi/air yang tidak putus) yang memasukkannya ke dalam milkiatul ammah, ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw yang pernah menarik balik pemberian lombong garam bukit yang kuantitinya banyak yang diberikan kepada Abyad. Sebagai mana dicatat oleh Imam Tarmizi, dalam hadits tersebut, Abyad diceritakan telah meminta kepada Rasul untuk dapat mengelola sebuah tambang garam, lalu Rasul meluluskan permintaan itu, tapi segera diberitahu oleh seorang sahabat,

“Wahai Rasulullah, tahukah engkau, apa yang engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikan sesuatu yang bagaikan air yang mengalir (maa'ul Addi)” Rasulullah kemudian bersabda: “(Jika begitu) tarik kembali pemberian tersebut darinya". [HR Tarmizi, dipetik dari kitab Nizhamul Iqtisadi Fil Islam, Taqiuddin Nabhani, ms 215].

Tugas negara dalam hal ini adalah menjadi penyelia kepada milik awam, dalam bentuk pembahagian agihan milik awam ini. Adalah haram bagi negara atau mana-mana syarikat untuk mengaut untung dari hasil minyak ini, sebaliknya negara wajib mengagihkannya secara percuma kepada rakyat.

Filed under having 0 Ulasan  

KABINET BENARKAN ISLAM SAHAJA GUNA KALIMAH ALLAH

by AURA JIHAD

PUTRAJAYA 3 Jan. – Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar masing- masing bagi mengelakkan wujud suasana tidak harmoni.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, keputusan itu dibuat kerana penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain dijadikan perbahasan umum yang menggambarkan seolah-olah tiada kebebasan beragama di negara ini.

‘‘Semalam, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ seperti mana yang telah diputuskan dalam mesyuaratnya pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

‘‘Lagipun, mengikut amalan sejak sekian lama di negara ini, kalimah ‘Allah’ hanya merujuk kepada Tuhan penganut agama Islam sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1429/2008 yang akan disambut pada 10 Januari ini di sini hari ini.

Acara tahunan kali ini yang bertemakan ‘Menjana Ummah Gemilang’ itu akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Pada 31 Disember lalu, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah ‘Allah’.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Timbalan Menteri KKDN, Datuk Johari Baharum menegaskan, sekali pun permit akhbar itu diperbaharui, larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ masih kekal.

Sehubungan itu, Abdullah memberitahu, pihaknya akan memaklumkan secara rasmi kepada KKDN berhubung keputusan tersebut secepat mungkin.

Beliau berkata, selain kalimah ‘Allah’, kalimah solat, Kaabah dan Baitullah adalah dilarang penggunaannya dalam penerbitan agama lain.

‘‘Ia berdasarkan keputusan Kabinet pada 31 Julai 2002,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 04/01/08

Ulasan:

Apa yang diputuskan oleh Kabinet ini menggambarkan kecelaruan berfikir yang amat parah dalam diri mereka. Sungguh malang kerana keputusan ini bukan datang dari satu orang, tetapi dari Kabinet, apatah lagi diulas oleh seorang Menteri yang dipertanggungjawab dengan hal-ehwal agama Islam.

Alasan yang diberikan sungguh tidak masuk akal dan bertentangan dengan realiti. Tidak membenarkan penganut agama lain menggunakan perkataan ‘Allah’ di dalam akhbar mereka dikatakan untuk menjaga keharmonian dan sensitiviti umat Islam. Keharmonian apa yang nak dijaga, sensitiviti apa yang nak dimaksudkan? Walau apa alasan yang diberikan sekalipun, ia menggambarkan betapa sempitnya pemikiran pemimpin-pemimpin yang ada, apatah lagi hal ini menyentuh kefahaman tentang akidah.

Tidakkah pemimpin ini belajar dan faham bahawa ‘Allah’ adalah Tuhan untuk semua manusia, tidak kira bangsa dan agama apa dia sekalipun. Allah adalah Tuhan bagi orang Arab, orang Eropah, orang Melayu, orang Afrika, orang Cina dan orang apa sekalipun dan agama apa sekalipun. Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya dan menyembah Allah yang Satu. Ini adalah akidah kita. Dan akidah kita juga mengajar bahawa Allah adalah Satu-SatuNya Tuhan bagi semua manusia, bukan Tuhan bagi orang yang sudah masuk Islam sahaja. Akidah Islam mewajibkan kita meyakini bahawa Allah adalah Tuhan bagi orang Kristian, Allah adalah Tuhan bagi orang Yahudi, bagi orang Hindu, Budhha dan sebagainya dan Allah adalah Satu-SatuNya Tuhan yang wajib dipercayai dan disembah oleh mereka. Inilah ajaran akidah Islam.

Jadi, bila disebut atau ditulis kalimah ‘Allah’ maka kita perlu faham bahawa Allah adalah Tuhan bagi seluruh manusia dan bahkan Tuhan bagi seluruh makhluk, alam dan kehidupan.

Orang-orang kafir Jahiliyyah dan orang-orang sekarang pun mengakui yang Allah adalah Tuhan, cuma mereka mengambil sembahan selain Allah (dengan tidak menafikan yang Allah adalah Tuhan – kecuali atheis), kononnya untuk mendekat diri mereka kepada Allah.

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?” [TMQ al-Ankabut (29):61].

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)” [TMQ Luqman (31):25]

“Tanyakanlah (Wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?" Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?" [TMQ al-Mukminun (23):84-87]

Allah swt telah menjelaskan bahawa orang-orang kafir ini mengakui bahawa Allah adalah Tuhan mereka, walaupun mereka tidak beriman. Jadi, tidak ada salahnya jika orang-orang kafir, hatta orang-orang athies sekalipun jika mereka ingin menggunakan atau menyebut kalimah Allah. Bahkan, mereka ini (menurut Islam) wajib mengakui dan mengucap bahawa “Tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah”. Malah menjadi tugas dan kewajiban setiap Muslim agar mereka ini mengenal Allah dan beriman kepada Allah yang Satu.

Oleh yang demikian, amat naif sekali hujah yang diberikan untuk tidak membenarkan orang-orang kafir menggunakan kalimah ‘Allah’. Setakat ini apa yang kita tahu, orang kafir masih berani untuk memburuk-burukkan atau menghina Rasulullah, tapi kita tidak pernah mendengar ada orang kafir berani menghina Allah secara terang-terangan. Selaknat-laknat orang Yahudi sekali pun, kita tidak pernah mendengar yang mereka berani menghina Allah secara terang-terangan sekarang ini, sehingga boleh menaikkan kemarahan kaum Muslimin. Jadi apatah lagi penganut agama lain. Jika benar mereka akan buat atau mereka berani buat sekalipun, cukuplah Allah yang akan membalas ‘tindakan berani’ mereka itu. Dan kita yakin jika mereka benar-benar berbuat demikian, maka Allah sendiri akan membalas perbuatan mereka.

Inilah padahnya apabila yang memimpin umat Islam adalah golongan sekular yang tidak memahami ajaran Islam dengan benar dan tidak merujuk kepada Al-Quran dalam setiap tindakan mereka. Sudahnya, mereka akan menjauhkan lagi penganut agama lain dari Allah, bukannya berusaha untuk memberi kefahaman ISlam yang benar untuk mendekatkan mereka dengan Allah.

Filed under having 0 Ulasan  

MB PERSOAL SEKOLAH PISAH LELAKI - PEREMPUAN

by AURA JIHAD

SEREMBAN: Sebuah sekolah menengah di Taman Seremban Jaya di sini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa kerana mengasingkan pelajar perempuan dan lelaki dalam semua aktiviti termasuk ketika membeli makanan di kantin.

Perkara itu akhirnya dibawa ke pengetahuan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta Jabatan Pelajaran Negeri segera menyiasat dakwaan itu.

"Kita tidak mahu ada sekolah buat dasar baru. Dasar kita ialah sekolah bercampur, kalau nak asing-asingkan murid baik tidak payah buat sekolah campur," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco hari ini.

Katanya amalan mengasingkan pelajar bukan merupakan satu amalan biasa di Negeri Sembilan dan sekolah berkenaan telah membuat satu dasar baru yang bertentangan dengan dasar pendidikan sedia ada.
"Saya tidak mahu sentuh soal boleh atau tidak, cuma kalau sebuah sekolah sudah buat dasar baru, bayangkan kalau sekolah-sekolah lain juga buat dasar masing-masing. Sebelum keadaan menjadi tidak terkawal ... buatlah tindakan sekarang," katanya.

Dalam isu lain, Mohamad berkata projek menghubungkan Port Dickson dengan Seremban melalui keretapi akan tetap dilaksanakan dan ia dalam peringkat kajian sekarang.

"Keretapi Tanah Melayu Berhad sedang buat kajian mengenai kos termasuklah membaiki kepala keretapi dan gerabak lama serta menyesuaikan landasan," katanya.

Katanya sistem perhubungan itu lebih menjurus kepada aspek pelancongan sebagai tambahan kepada pengangkutan bas.

"Memang kita sengaja pakai keretapi lama yang pernah digunakan semasa 1980-an dahulu. Kali terakhir sistem keretapi penumpang wujud antara Port Dickson dan Seremban adalah pada 1970-an, sekarang cuma keretapi untuk mengangkut minyak sahaja yang masih memakai landasan itu," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia 10/01/2008

Ulasan :

Sistem sekular yang telah dibentuk oleh bekas penjajah British menyebabkan Malaysia bukan sahaja mengamalkan sistem pemerintahan sekular, namun mewarisi semua bentuk kesekularan, termasuklah di bidang pendidikan. Kurikulum sekolah yang telah disekularkan sejak sekian lama sehingga kini masih melekat tebal di benak pemimpin yang ada sehingga mereka ini (pemimpin) sudah tidak lagi dapat berfikir menurut kehendak Islam. Teguran yang diberikan oleh MB Negeri Sembilan ini merupakan salah satu bukti yang pemikiran pemimpin masih lagi terjajah. Lihatlah sahaja kata-kata beliau yang nampaknya langsung tidak meletakkan Allah dan Rasul di hadapan, sebaliknya cuba mengekalkan status quo sekular yang ada,

"Saya tidak mahu sentuh soal boleh atau tidak, cuma kalau sebuah sekolah sudah buat dasar baru, bayangkan kalau sekolah-sekolah lain juga buat dasar masing-masing."

Teguran ini langsung tidak menunjukkan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang beragama Islam. Dia seharusnya menyokong sebarang usaha ke arah kebaikan yang dilakukan oleh pihak sekolah. Setidak-tidaknya tanya dan lihatlah dahulu apa yang cuba dilakukan oleh pihak sekolah kerana mungkin dengan langkah tersebut, budaya pergaulan bebas yang sudah parah sekarang, dapat disekat dari awal. Mungkin inilah yang cuba diikhtiarkan oleh pihak sekolah. Adakah Mohamad Hasan begitu jahil sehingga tidak tahu bahawa faktor utama keruntuhan akhlak di kalangan sebahagian besar remaja Islam sejak dulu adalah akibat daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan?

Syariat Islam diturunkan untuk mengatur hubungan antara manusia. Hubungan di antara manusia itu termasuklah mengatur bagaimana individu manusia yang berlainan jenis seharusnya bergaul. Di dalam Islam, hukum asal bagi kehidupan lelaki dan wanita adalah terpisah (diasingkan). Islam melarang percampuran di antara lelaki dan wanita kecuali di dalam hal yang memerlukan interaksi seperti jual-beli, bekerja, perubatan, pertanian, industri dan sebagainya. Namun, apabila berada di luar urusan yang memerlukan interaksi tersebut, maka seorang wanita haram melakukan interaksi dengan lelaki kecuali dengan mahramnya. Firman Allah swt,

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” [TMQ al-Ahzab (33):35]

Ayat di atas ingin menerangkan kedudukan wanita yang sentiasa menjaga kehormatannya iaitu dengan menutup aurat dan larangan bagi lelaki dan wanita yang bukan mahram untuk duduk-duduk bersama tanpa tujuan yang dibenarkan oleh Syariat Islam. Ia menjadi dalil umum yang membataskan pergaulan seseorang wanita dengan lelaki. Inilah had yang ditetapkan oleh Allah swt di samping kewajiban untuk menerapkan Sistem Uqubat Islam bagi sesiapa yang melampaui had batasan yang telah ditetapkan oleh Syariat Islam. [Syeikh Taqiyyuddin An Nabhani, Nizham al Ijtima’i fi al-Islam].

Semoga MB Negeri Sembilan melihat isu ini dengan lebih positif dan membuang jauh-jauh pemikiran sekular yang ada di benaknya. Sistem yang diwarisi dari British ini telah lama mengongkong umat Islam dan tidak layak untuk kita anuti. Ia adalah sebuah sistem yang datang dari penjajah kuffar mush Allah yang sepatutnya telah lama kita buang.

Filed under having 0 Ulasan  

TIGA BERANAK DIAMI RUMAH BEKAS BANGSAL KAMBING

by AURA JIHAD

BALING 13 Jan. – Akibat kesempitan hidup, tiga beranak terpaksa tinggal di bangsal kambing yang terletak di kebun getah di Kampung Kemangi, Kupang dekat sini sejak dua tahun lalu.

Bekas bangsal kambing yang didiami Esah Mohd. Yusoff, 40, bersama dua anaknya Firdaus, 13, dan Siti Khadijah, 2, itu tidak mempunyai dinding tetapi hanya ditutup dengan jaring besi.

Menurut wanita tersebut, dia tiada pilihan kerana mempunyai adik-beradik yang ramai.

“Nak buat macam mana saya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa tinggal di bekas bangsal kambing ini,” katanya.

Esah yang memperoleh pendapatan dengan menoreh getah milik arwah bapanya turut mengakui kesempitan hidupnya membuatkan dia selesa tinggal di situ.

Bagaimanapun bekas bangsal itu mempunyai bekalan elektrik manakala sumber air diperoleh daripada Projek Bekalan Air Masyarakat.

Wanita yang mempunyai 11 adik-beradik ini berkata, dia terpaksa membahagikan pendapatan hasil jualan getah dengan adikberadik yang lain setiap hari.

Lebih malang lagi apabila suaminya yang dikenali sebagai Rosli Abdul Rahim, 38, menghilangkan diri sejak Oktober tahun lalu.

Tambah Esah, setiap hari dia akan keluar menoreh getah sementara anaknya, Siti Khadijah akan dijaga oleh Firdaus. Firdaus belajar di Sekolah Menengah Jerai dekat sini.

Bagi menampung keperluan seharian, Esah turut menanam sayur-sayuran bagi membuktikan dia begitu menghargai masa selepas pulang menoreh.

Dakwa wanita ini, dia pernah memohon untuk mendapatkan bantuan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada pihak tertentu seperti pejabat daerah namun gagal.

“Mungkin ada orang lain lebih layak daripada saya,” ujarnya.

ADUN Bayu, Mohd. Salleh Yaakob ketika dihubungi berjanji akan merujuk kes ini ke Pejabat Daerah Baling untuk tindakan selanjutnya.

‘‘Jika terbukti Esah sekeluarga layak menerima bantuan, kita akan mempertimbangkannya di bawah program Baiti Jannati di bawah kerajaan negeri iaitu RM5,000 untuk membina rumah,’’ katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kemangi, Mohd. Ali Ahmad mengesahkan pihaknya pernah mengajukan permohonan PPRT bagi pihak Esah kepada Pejabat Daerah tetapi sehingga kini tidak ada jawapan.

Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang dimaklumkan mengenai nasib malang Esah terus mengunjungi keluarga ini untuk menghulurkan bantuan.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling memberi jaminan pihaknya akan membina segera rumah untuk keluarga ini.

“Kita sedih dengan nasib keluarga ini dan akan membina rumah yang selesa secepat mungkin,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 14/01/08

Ulasan:

Jika ada sahaja kemiskinan dijumpai di Kelantan, maka kerajaan BN akan terus mengaitkannya dengan pemerintahan kerajaan PAS, walhal rakyat umumnya mengetahui bahawa di mana-mana pun di Malaysia ini, termasuklah di kawasan pimpinan BN, terdapat kemiskinan. Nah, sekarang lihatlah di Baling, yang dikuasai oleh BN dengan ahli Parlimennya terkenal sebagai orang kuat agama BN, Dr. Mashitah, pun terdapat kemiskinan yang amat parah dan menyedihkan. Apa tidaknya, bekas bangsal kambing dijadikan tempat tinggal!!! Di manakah kerajaan BN selama ini sehingga tidak menyedari di Baling ada keluarga yang begitu daif kehidupannya? Atau keluarga tersebut baru jatuh miskin beberapa hari yang lepas sehingga tidak disedari oleh kerajaan yang memerintah???

Apa pun, berita yang dilaporkan nampaknya tetap menjadikan kerajaan BN dan UMNO sebagai ‘hero’ penyelamat rakyat. Merekalah kononnya orang yang paling prihatin dengan penderitaan dan kemiskinan rakyat, merekalah orang yang pertama akang menghulurkan bantuan bila terdengar berita kemiskinan.

Rakyat yang celik memang telah lama sedar bahawa apabila dekat dengan pilihan raya, maka ramailah orang-orang miskin yang menjadi ‘buruan’ pihak-pihak yang bertanding dalam pilihan raya, dan segala bentuk bantuan yang diberi akan diperbesar-besarkan agar semua orang tahu. Membantu golongan miskin bukan lagi dianggap sebagai tanggungjawab, tetapi dilakukan untuk meningkatkan lagi populariti dan sokongan untuk meraih sekeping undi. Segala-galanya kerana pilihan raya! Inilah manifestasi dari sistem demokrasi di mana parti-parti yang bertanding di dalam pilihan raya berebut-rebut untuk menunjukkan ‘kebaikan’ masing-masing agar dilihat oleh para pengundi.

Jika dulu Rasulullah membantu golongan miskin kerana tanggungjawab baginda sebagai seorang pemerintah dan kaum Muslimin yang ada sering membantu golongan miskin kerana tanggungjawab mereka sebagai seorang Muslim, kini, bantuan diberi bukan dilakukan atas dasar kewajipan yang Islam letakkan, namun atas dasar ‘manfaat’ untuk berkuasa. Kerana itulah, ‘bantuan’ itu perlu di heboh dan diperbesar-besarkan agar semua orang mengetahuinya dan agar mereka (yang menghulurkan bantuan) di pangkah di dalam pilihan raya nanti. Ya Allah! Semoga keburukan ini akan segera berakhir dengan terlantiknya seorang Khalifah yang akan memerintah sebagaimananya Rasulullah dan para Khulafa’ Rasyidun dahulu memerintah rakyat mereka.

Filed under having 0 Ulasan  

BUKA BAJU DIPERSOAL MAJLIS MAKSIAT DIBIAR

by AURA JIHAD

Faizal Tahir akan kena tindakan

KUALA LUMPUR: 8TV akan mengambil tindakan tegas terhadap naib juara pertandingan realiti One In A Million (OIAM) musim pertama, Faizal Tahir berikutan tindakannya menanggalkan baju ketika membuat persembahan meraikan sambutan ulang tahun keempat stesen televisyen itu, malam kelmarin.

Penyanyi yang popular dengan lagu Mahakarya Cinta dan juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-22 itu melakukan adegan yang dianggap mencolok mata terbabit di hadapan kira-kira 8,000 penonton di Central Park Avenue, Bandar Utama, kelmarin.

Rancangan berkenaan turut diikuti penonton di rumah apabila ia disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar, berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap Faizal yang dianggap melakukan perbuatan memalukan tetapi sehingga ini beliau belum memutuskan bentuknya.

“Kami tidak akan mengambil mudah perkara ini dan akan bertindak di atas perbuatan Faizal. Buat masa ini, kami masih belum memikirkan bentuk tindakan yang akan diambil terhadapnya.

“Saya sendiri terkejut dengan perlakuan Faizal dan langsung tidak menyangka dia akan berbuat sedemikian rupa,” kata Ahmad Izham ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Tindakan yang akan dikenakan ke atas penyanyi yang mula membabitkan diri dalam dunia hiburan melalui kumpulan nasyid Mirwana itu akan hanya diputuskan Izham sekembalinya beliau daripada Manila, Filipina atas urusan kerja minggu depan.

Ahmad Izham dalam kenyataannya kepada Harian Metro semalam berkata, pihaknya akan segera bersemuka dengan penyanyi itu bagi memastikan perbuatan sedemikian tidak berlaku lagi pada masa depan.

Sementara itu, Berita Harian yang cuba mendapatkan penjelasan penyanyi berusia 30 tahun itu gagal dihubungi tetapi Pegawai Perhubungan Awam, syarikat rakaman yang dinaunginya, Monkey Bone Sdn Bhd, Mohd Helmy Hamdan berkata Faizal dinasihatkan supaya tidak memberikan sebarang ulasan mengenai kontroversi membabitkan dirinya.

“Faizal dinasihatkan supaya berdiam diri buat sementara waktu. Satu sidang media akan diadakan esok (hari ini) untuk memberi peluang kepada Faizal menerangkan perkara sebenar dan juga untuk berlaku adil kepada semua media,” katanya.

Faizal sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi gara-gara tindakan keterlaluannya meluncur di atas pentas apabila dua lagunya Kasih Tercipta dan Mahakarya Cinta diumumkan mara ke peringkat akhir kategori Balada, Anugerah Juara Lagu ke 22 yang akan berlangsung 27 Januari ini.

Sumber: Berita Harian 15/01/08

Ulasan:

Terkejut? Hairan? Benci? Suka? Lantaklah?….. Mungkin inilah perasaan sebahagian masyarakat saat ini apabila mendengar dan membaca berita di atas. Berita yang ditonjol seolah-olah membawa mesej bahawa masyarakat kita masih tidak dapat menerima aksi artis yang sebegitu rupa. Malangnya apa yang dipersoalkan adalah perbuatan “membuka baju” semasa menyanyi di sebuah konsert, bukannya “konsert” itu sendiri! Walhal konsert itu sendiri sudah dipenuhi dengan maksiat di mana terjadinya ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan wanita, tetapi ini tidak pula dipersoalkan. Hakikatnya, baik Faizal Tahir mahupun pihak penganjur berserta 8,000 penonton persembahan itu sendiri telah berdosa kerana terlibat dengan program maksiat seperti itu!!!

Inilah keadaan masyarakat Malaysia yang sudah rosak saat ini. Mereka boleh menerima aksi artis perempuan yang tidak pernah bertudung, membuka aurat di sana-sini, mereka juga tidak pernah mempersoalkan konsert-konsert maksiat itu sendiri, ikhtilat di antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya di tempat-tempat maksiat yang sebegitu dan banyak lagi perbuatan haram lainnya. Tetapi perbuatan seorang artis lelaki yang membuka baju pula yang diperbesar-besarkan. Faktanya aurat lelaki itu adalah di antara pusat dengan lutut. Maka jika Faizal Tahir itu membuka baju dan bahagian auratnya masih terjaga, dia masih tidak berdosa. Yang berdosanya adalah perbuatan beliau yang terlibat dengan konsert-konsert seperti itu.

Inilah gambaran kerosakan masyarakat yang telah membelakangkan hukum Allah. Tidak suka dengan perbuatan membuka baju hanyalah datang dari ‘emosi’ yang langsung tidak diikat dengan suatu pemikiran yang didasarkan kepada akidah Islam. Sedangkan sebagai seorang Muslim, perasaan suka/cinta atau tidak suka/benci itu wajib disandarkan dengan akidah Islam, yakni kita mesti mencintai dan membenci perbuatan seseorang kerana (ukurannya) dia mentaati atau melanggar perintah Allah swt. Inilah rosaknya pemikiran apabila adat/budaya itu didahului daripada syara’. Contohnya, budaya masyarakat kita melihat wanita yang berbaju kurung dan berkebaya itu adalah sopan walaupun tidak menutup aurat (rambutnya) tetapi jika seorang lelaki keluar berjalan di khalayak ramai dengan tidak berbaju walaupun auratnya masih dijaga dianggap tidak sopan.

Inilah bahayanya apabila hanya akal semata-mata digunakan untuk mengukur baik dan buruknya sesuatu perbuatan bukannya hukum syara’. Akal itu sepatutnya tunduk kepada hukum syara’ dan akal itu hanyalah berperanan untuk memahami hukum syara’, namun sekarang akal telah dijadikan sumber hukum atau ukuran perbuatan baik atau buruk. Hasilnya hukum Allah diketepikan dan akal-lah yang dijadikan panduan. Amat hinalah manusia yang menjadikan akalnya sebagai tolok ukur di dalam menentukan baik atau buruk sesuatu perbuatan!

Filed under having 0 Ulasan  

20 PAPAN TANDA LARANG MAKSIAT

by AURA JIHAD

MELAKA: Sebanyak 20 papan tanda peringatan mengenai kesalahan syariah sudah dipasang di 20 lokasi strategik dan tumpuan orang ramai terutama di kawasan pantai serta taman rekreasi di negeri ini dalam usaha membendung masalah perlakuan sumbang umat Islam. Selain itu, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) turut mengadakan siri ceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesalahan syariah. Pengarah Jaim, Datuk Alias Md Saad, berkata pihaknya juga menyusun strategi bagi memperkuatkan lagi unit penguatkuasaan untuk memastikan kadar jenayah syariah tidak membimbangkan.

Sumber: Harian Metro 26/01/08

Ulasan:

Kita melihat usaha untuk mencegah mungkar yang diusahakan oleh Jaim itu sesuatu yang baik dan perlu diteruskan dan dipertingkatkan, tetapi apa yang perlu dimuhasabah di sini adalah:

1. Apakah (jenis) kesalahan yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan syariah?

2. Adakah cukup sekadar 20 papan tanda untuk menjelaskan kesalahan jenayah?

3. Apakah hukumannya jika kesalahan jenayah itu tetap dilakukan? Apakah hukuman syariah yang akan digunakan atau hukum kufur? Contohnya jika seseorang itu ditangkap berzina, apakah hukumannya?

Memang menjadi kewajiban bagi setiap golongan umat Islam sama ada individu, masyarakat mahupun negara untuk mencegah sebarang kemungkaran yang berlaku. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud

"Barang siapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangan, jika tidak mampu maka cegahlah dengan lidah (lisan), jika tidak mampu cegahlah dengan hati (membencinya) dan itu (cegah dengan hati) adalah selemah-lemah iman".

Masalah dengan umat Islam hari ini adalah mereka memahami bahawa (maksud) maksiat itu adalah khalwat dan zina sahaja, manakala pelanggaran perintah Allah yang lain tidak dikategorikan sebagai maksiat. Kesalahan seperti riba, rasuah, tidak menerapkan hukum Allah dan banyak lagi tidak dikategorikan sebagai maksiat!!! Konsert karnival Jom Heboh, kedai-kedai judi dan arak (yang dibenarkan dan dilesenkan untuk bebas beroperasi mengaut keuntungan), penternakan babi yang berjumlah ratusan ribu ekor yang mungkin lebih banyak bilangannya dengan orang yang memakan daging babi itu sendiri, sistem mahkamah dan lain-lain lagi yang jelas-jelas terlahir dati produk demokrasi-kufur – semua ini tidak dikategorikan sebagai maksiat!!!

Kita sebagai umat Islam perlu memahami bahawa Islam adalah sebuah mabda’ (ideologi) yang sempurna untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT, dengan dirinya sendiri mahupun dengan manusia yang lain. Mabda. Islam adalah suatu ajaran yang mencakupi aspek ‘fikrah dan thariqah’ (thought and methode). Islam itu akan hanya mampu dilihat sebagai penyelesaian kepada kehidupan manusia sekiranya pakej fikrah dan thariqah ini dijalankan secara bersepadu. Jika fikrah Islam mengatakan riba itu haram maka sudah semestinya wajib ada perlaksanaan hukum yang bersifat fizikal (thariqah) bagi menghukum perlanggaran terhadap hukum syara’ oleh pihak negara. Contohnya Islam mengharamkan mencuri (fikrah) dan mencuri adalah satu maksiat, jika masih terdapat orang yang mencuri, maka dia wajib dihukum potong tangan, setelah diputuskan bersalah oleh Mahkamah. Adanya mahkamah dan hukuman potong tangan adalah thariqah yang wajib bagi pelaksanaan hukum Allah.

Tetapi pada hari ini fikrah Islam itu tidak berjalan seiring dengan thariqahnya. Secara fikrah umat Islam mengetahui zina itu haram tetapi thariqah Islamnya tidak berjalan kerana hukum zina yang ditetapkan oleh Islam realitinya tidak diterapkan saat ini. Maka tidak hairan kenapa kadar jenayah dan pelbagai masalah yang dihadapi oleh umat Islam semakin lama semakin bertambah dan meningkat. Islam juga telah menjelaskan bahawa bagi menjaga masyarakat maka ada 3 faktor utama yang perlu diperhatikan iaitu individu, masyarakat dan negara. Ketiga-tiganya perlu menjalankan peranan mereka masing-masing. Ketakwaan setiap individu itu perlu disuburkan. Ini tidak berlaku pada hari ini. Yang berlaku ialah golongan yang melakukan maksiat [contohnya: artis] disanjung dan dihargai. Pemerintah yang tidak menerapkan hukum Allah juga disanjung dan ditaati oleh sebahagian besar umat Islam.

Inilah perkara yang perlu disedari oleh umat Islam dan yang wajib dilakukan oleh pihak pemerintah. Tatkala masih banyak kewajipan yang wajib dilakukan oleh kerajaan, kita sedih apabila hanya 20 papan tanda sahaja yang diperjuangkan!

Filed under having 0 Ulasan  

JANGAN GADAI MASA DEPAN MENGUNDI PEMBANKANG

by AURA JIHAD

PADANG TERAP 27 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak menggadai masa depan mereka dengan mengundi parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang kerana pemimpin pembangkang hanya pandai berjanji.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat membela nasib rakyat dengan menjamin keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang dikecapi negara sejak dahulu.

Keadaan itu, kata beliau, adalah berbeza dengan parti pembangkang yang tiada kesepakatan sesama mereka.

"Kita tidur sebantal, mimpi pun sama. Tetapi pembangkang mimpi lain-lain walaupun tidur sebantal. Macam mana pembangkang nak tadbir negara kalau tiada kata sepakat? Tapi BN kongsi kuasa (secara) bersama, sebab itu berjaya.

"Kerajaan BN tidak bohong tetapi hanya bercakap yang benar. Kita dapat laksanakan segala janji untuk rakyat. Kerajaan BN boleh membuat perubahan dan boleh menjadikan impian menjadi realiti dan cita-cita menjadi kenyataan," katanya.

Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO berkata demikian di hadapan kira-kira 10,000 hadirin terdiri daripada kalangan peneroka dan ahli-ahli parti komponen BN ketika melancarkan Gerak Kerja Pilihan Raya BN Kedah di Felda Lubuk Merbau di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran yang diadakan serentak dengan Perhimpunan Peneroka Felda Wilayah Utara itu ialah Pengerusi BN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, konsep pembahagian kuasa yang diamalkan oleh kerajaan BN telah membawa keamanan kepada Malaysia.

Menurutnya, sejak memerintah negara 50 tahun lalu, kerajaan BN berjaya membela nasib rakyat dengan membuat pelbagai pembangunan dan pembaharuan bagi menambah nilai dalam kehidupan mereka.

Beliau memberikan contoh tanah rancangan Felda yang telah mengalami arus perubahan pembangunan ketara berbanding pada awal kewujudannya dahulu.
Malah, kata beliau, nasib generasi kedua dan ketiga Felda juga akan terus dibela oleh kerajaan BN.

"Dalam tangan saya ini ada lebih daripada 40 pembaharuan yang dilakukan sejak menjadi 'Menteri Felda' dan banyak lagi akan dibuat selepas ini.

"Itulah kerajaan di bawah BN. Kita dapat melihat pembaharuan dengan menunjukkan hari ini adalah lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini," kata Najib.

Sumber: Berita Harian 27/01/08

Ulasan:

Sering terjadi bila dekat dengan pilih raya umum, kerajaan atau pembangkang akan mengeluarkan sebuah manifesto umum untuk pilihan raya yang mengandungi janji-janji yang akan dilakukan jika menang pilihan raya. Saban tahun kita melihat, berlaku pembaikan atau penambahan dalam manifesto tersebut. Di samping manifesto tidak kurang juga dengan beras, basikal dan kain pelikat disogokkan untuk mengundi parti masing-masing. Dan tanpa segan silu ada yang berfatwa bahawa hukum ‘rasuah pilihan raya’ ini, disamakan dengan hukum zakat untuk orang-orang muallaf qulubuhum (yang dijinakkan hati). Ini merupakan pemesongan hukum Allah yang jelas akibat tidak memahami ilmu fiqh dan usul fiqh.

Bagi pihak pemerintah pula mereka sering menggunakan saluran-saluran TV kerajaan (yang dikutip dari wang rakyat) untuk melakukan propaganda mereka, sepatutnya TV ini digunakan untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan parti pemerintah untuk mengekalkan status quo mereka. Namun TV dan akhbar perdana terus dipergunakan untuk kempen mengundi parti sekular yang sedia ada.

Yang mengecewakan kita ialah pemikiran umat Islam yang masih lagi berfikir ‘siapakah’ yang perlu menjadi pemimpin, bukannya ‘sistem apa’ yang wajib diterapkan atau yang selayaknya bagi umat Islam? Memandangkan pemerintah kita adalah beragama Islam, persoalan utama bagi umat Islam hari ini adalah ‘bagaimana’ untuk menerapkan sistem Islam, bukan ‘siapa’ yang akan diundi. Sistem Islamlah yang perlu untuk kita dalam menangani kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang ada dalam negara ini. Pokoknya, tidak kiralah sama ada pemerintah atau pembangkang yang naik/menang, keadaan umat Islam akan sama sahaja, jika ‘sistem’ yang memerintah adalah demokrasi-kapitalis, bukannya sistem Islam (Khilafah)! Namun, jika kerajaan yang ada hari ini ingin menerapkan sistem Khilafah dan Islam secara kaffah, maka tidak timbullah soal siapa yang perlu diundi. Jadi, persoalan kita sekarang adalah ‘sistem’ yang wajib ditukar, bukannya ‘orang’. Bertukar ‘orang’ tetapi ‘sistem’nya sama adalah tidak berguna, tetapi jika bertukar ‘sistem’, walaupun ‘orang’ yang sama, maka inilah yang kita inginkan.

Filed under having 0 Ulasan  

KERAJAAN LANCAR PERANG MAKLUMAT MELALUI "SAHIH"

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan menubuhkan Pusat Rujukan Maklumat Sahih (Sahih) yang akan beroperasi 1 Feb ini bagi menangani penyebaran maklumat palsu, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Menterinya Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata penubuhan Sahih dapat memastikan hanya maklumat tepat dan benar disampaikan kepada rakyat dengan menggunakan kemudahan teknologi sedia ada.

"Kepantasan dan kemudahan teknologi juga telah mendemokrasikan maklumat hinggakan masyarakat ataupun mana-mana pihak juga boleh menjadi punca maklumat dan menyebarkannya dengan pantas menerusi internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya.

"Ini termasuklah maklumat-maklumat palsu yang sengaja dieksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab atas kepentingan tertentu," katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri di sini Khamis.

Menurutnya pusat Sahih akan menggunakan empat mekanisme iaitu hotline, e-mel serta SMS DAPAT, menghantar secara `broadcast', menghantar secara `cell broadcast' dan langganan maklumat sahih.

Menerusi mekanisme hotline, e-mel dan SMS DAPAT, orang ramai boleh menghubungi Pusat Sahih melalui nombor telefon 03-22843114 (beroperasi waktu pejabat dan 24 jam apabila Parlimen bubar), faksimili 03-22822979, e-mel di alamat sahih@kempen.gov.my dan SMS di alamat SAHIH_mesej (dan hantar ke) DAPAT (32728).

Zainuddin berkata panggilan telefon dan e-mel akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik Kementerian Penerangan yang telah dilatih.

Katanya semua SMS itu akan terus disalurkan oleh DAPAT ke Pusat Sahih untuk tujuan pengesahan.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menggunakan pusat itu bagi mendapat pengesahan terhadap sebarang maklumat atau SMS meragukan selain bagi membolehkan kementeriannya mengambil tindakan sewajarnya.

Orang ramai juga boleh melaporkan sumber-sumber penyebaran maklumat palsu untuk perhatian kerajaan menggunakan SMS yang disediakan secara percuma ini, katanya.

Beliau berkata menerusi mekanisme penghantaran secara `broadcast', Pusat Sahih akan menghantar maklumat secara pakej kepada semua pengguna telefon manakala SMS berdasarkan kriteria tertentu contohnya berdasarkan kawasan seperti Petaling Jaya pula akan dihantar melalui mekanisme menghantar secara `cell broadcast'.

Zainuddin berkata orang ramai juga boleh melanggan kesemua maklumat yang dikeluarkan menerusi Pusat Sahih dari semasa ke semasa.

Beliau berkata penyebaran maklumat yang tidak diketahui kesahihannya adakalanya tidak akan memberi impak yang serius, tetapi ada juga yang mampu menimbulkan masalah dan kekecohan di kalangan masyarakat.

"Antara beberapa maklumat (palsu) yang berlaku tidak lama dahulu termasuklah penyebaran khabar angin mengenai pergaduhan kaum yang dikatakan melibatkan kematian di Johor Baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Institut Jantung Negara dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau berkata sesetengah penerima akan membuang SMS atau maklumat seperti ini tetapi ada juga yang akan menyebarkannya kepada rakan lain sehingga mampu menimbulkan suasana panik dan kurang senang di kalangan masyarakat.

"Justeru, kerajaan berpendapat jika trend yang amat membimbangkan ini tidak ditangani secara berkesan, ia akan merosakkan jaringan masyarakat hingga boleh menjejaskan kesejahteraan orang ramai, mencetuskan prasangka kaum dan memporak-perandakan negara," katanya

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak yang akan cuba menggunakan pusat itu untuk menyebarkan maklumat palsu.

"Kita mempunyai mekanisme untuk mengesan perbuatan sebegini kerana setiap panggilan atau maklumat akan dinilai dan jika didapati menjejaskan keyakinan rakyat, perkara itu akan dijelaskan segera bergantung kepada tempoh yang diperlukan bagi mengesahkannya," katanya.

Beliau juga menafikan pusat itu ditubuhkan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Penerangan untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat berkualiti," katanya.

Zainuddin berkata penyebaran maklumat palsu dijangka meningkat menjelang pilihan raya umum kali ini.

Sumber : BERNAMA 24/1/2008

Ulasan:

Seseorang itu tidak perlu mempunyai tahap pemikiran yang tinggi untuk memahami bahawa penubuhan Sahih pada ketika hampir Pilihan Raya Umum ke 12 ini, adalah semata-mata kerana pilihan raya. Walaupun hakikat ini dinafikan oleh Zainuddin, namun rakyat sekarang sudah tahu menilai, mudahnya ‘apa yang dinafikan oleh kerajaan itu, itulah yang sebenarnya’. Contohnya, dalam kes jerebu tidak lama dulu, kerajaan menafikan udara kita dalam tahap bahaya, maka rakyat terus memahami bahawa maksudnya ‘memang udara kita di tahap bahaya’. Kerajaan juga menafikan ada perbalahan kaum dan pembunuhan, maka rakyat terus faham bahawa ‘memang ada perbalahan kaum dan pembunuhan’. Kerajaan juga menafikan bahawa ISA adalah digunakan oleh kerajaan untuk kepentingan politik, maka rakyat terus memahami bahawa ‘ISA memang digunakan oleh kerajaan untuk kepentingan politik’. Dan begitulah seterusnya.

Jika setakat hendak menepis khabar angin tentang pembohongan berita kematian menteri atau yang lain-lain seumpamanya, patut dan logikkah kerajaan menubuhkan sesuatu seperti Sahih? Tidak cukupkah selama ini dengan media arus perdana yang telah dikawal oleh kerajaan sepenuhnya untuk menerangkan ‘kesahihan’ sesuatu berita sehingga perlu ditambah dengan e-mel, sms dan lain-lain sarana lagi? Hakikatnya, penubuhan Sahih sudah tentulah akan digunakan oleh kerajaan untuk menangkis segala propaganda pembangkang yang dilihat semakin kuat menggunakan saluran seperti internet, e-mel, sms dan sebagainya untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat. Pelbagai isu termasuklah kes pembunuhan kejam Altantuya Shaaribu yang dikaitkan dengan TPM, Datuk Seri Najib Tun Razak, kegagalan kerajaan di dalam menangani kes rasuah, kenaikan tol, petrol dan barangan runcit dan sebagainya, semua ini sudah cukup merimaskan kerajaan. Jadi, ditubuhkanlah Sahih agar semua dakyah pembangkang dapat ‘dicounter’ menjelang pilihan raya nanti.

Putar belit dan penafian fakta sebenar sudah tentu akan menjadi uslub/cara utama Sahih di dalam menangkis serangan pembangkang. Banyak isu-isu besar yang ditutup dan diputar belitkan selama ini menyebabkan rakyat Malaysia semakin memahami dan membenci permainan politik kerajaan. Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan terpaksa dipertahankan dan diperjelas dengan sedemikian rupa (oleh kerajaan) kerana rata-rata rakyat tidak menerimanya, malah diperlecehkan oleh banyak pihak. Melihat kepada kes rasuah, penyelewengan kuasa, jenayah, kemiskinan, keruntuhan akhlak dan pelbagai majlis maksiat yang semakin meningkat dari hari ke hari, masyarakat umumnya telah menjadikan konsep Islam Hadhari ini sebagai bahan lawak dan perli sahaja. Ini semua perlu ditangkis oleh kerajaan yang sudah terdesak sekarang menjelang pilihan raya. Ini belum lagi mengambil kira pandangan gerakan-gerakan Islam yang semakin marahkan kerajaan kerana sering dituduh sebagai ektremis, radikal dan seumpamanya. Ini adalah contoh antara pembohongan fakta dan salah penafsiran yang jelas yang dibuat oleh kerajaan sendiri.

Sebagai seorang Muslim, Allah swt telah mengajar kita bagaimana cara untuk kita menerima maklumat dan memastikan kesahihannya. Dalam hal ini, Allah swt berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan" [TQM al-Hujurat (49):6].

Allah swt juga mengajar kita bagaimana untuk mengenal orang yang fasik. FirmanNya,

“...dan barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik"
[TMQ al-Ma’idah (5):47].

Apakah kerajaan kita sekarang berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah?

Jadi, Allah swt mengingatkan setiap individu Muslim agar meneliti dahulu setiap maklumat, tidak kiralah berkaitan dengan ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan lain-lain, semuanya wajib diteliti kesahihannya jika yang menyampaikannya adalah orang-orang yang fasik. Nampaknya, dengan tertubuhnya Sahih ini membuktikan lagi keterdesakan kerajaan di saat-saat akhir pilihan raya ini untuk menangkis habis-habisan apa yang cuba dilemparkan oleh kubu lawan.

Filed under having 0 Ulasan  

KERAJAAN JAMIN EKONOMI KEKAL BAIK

by AURA JIHAD

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan, dengan pengalaman yang luas mengharungi pelbagai krisis, akan memastikan kedudukan ekonomi kekal baik walau pun terdapat cabaran kemelesatan ekonomi di negara-negara lain.

Katanya Malaysia tidak ada pilihan selain berhadapan dan bersedia dengan cabaran seperti kelembapan ekonomi.

"Bukan tidak ada masalah, bukan tidak ada bencana kelembapan ekonomi tempat-tempat lain, kita kena bersedia dari kesan-kesan yang melemahkan kita," katanya ketika melancarkan koridor pembangunan sabah di pelabuhan kontena Teluk Sapangar di sini Selasa.

Katanya Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh hasil dasar mesra kerajaan dan kepelbagaian sumber ekonomi dan pasaran, bersedia berhadapan dengan cabaran.

"Saya rasa kita menguruskan ekonomi dengan baik," katanya.

Abdullah berkata Malaysia tidak melihat China dan India sebagai ancaman terhadap ekonomi negara tetapi menganggap kedua-dua negara itu sebagai kawan dalam hubungan ekonomi.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata rizab negara yang terkini berjumlah AS$101 bilion telah meletakkan Malaysia di kedudukan kesembilan di dunia dari segi pencapaian rizab.

Mata wang Malaysia iaitu Ringgit juga mengukuh dan kini berada pada paras 3.2 berbanding 3.8 sebelum ini, katanya.

"Ringgit telah kukuh, tidak terumbang ambing seperti dahulu," katanya.

Abdullah berkata segala usaha untuk membangunkan ekonomi negara kini telah menunjukkan tanda-tanda yang baik.

Katanya beliau berharap negara dapat terus meningkatkan nilai dagangan yang kini berjumlah lebih RM1 trilion. BERNAMA

Sumber: http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_c4f2a12b-c0a85062-910df400-9893012d – 29/01/08

Ulasan:

Berbicara mengenai kekuatan atau kejatuhan ekonomi, sistem ekonomi Kapitalisme yang diamalkan sepenuhnya di Malaysia sekarang hanya mengukur ekonomi negara atau kesejahteraan masyarakat berdasarkan kepada KDNK, bukannya berdasarkan pemenuhan keperluan masyarakat (distribution of wealth). Maju dan mundur ekonomi suatu negara dilihat dari skop yang sempit, yakni pencapaian pendapatan negara, pengekalannya, nilai matawang, rizab bank dan yang sejenisnya. Walhal ini semua langsung tidak mencerminkan kesejahteraan hidup setiap individu dalam masyarakat, malah nilaian ekonomi yang dibuat dengan cara tersebut semuanya jelas-jelas merupakan satu pembohongan yang nyata

Para pemimpin sering menggula-gulakan rakyat dengan isu ekonomi dari aspek status ekonomi negara yang diukur dengan indeks itu dan ini. Hakikatnya berapa ramai individu masyarakat yang hidup miskin dan menderita kerana ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan oleh negara. Kerajaan membolot semua kekayaan negara dan mengagihkannya kepada sanak saudara dan kroni-kroni sahaja, namun dalam masa yang sama menerangkan kepada rakyat bahawa pencapaian ekonomi masyarakat dalam keadaan baik. Ya, bila diukur secara purata dengan ukuran Kapitalis memang baik, contohnya kita ambil Negara XYZ yang ada 10 orang penduduk yang mempunyai pendapatan seperti berikut -

A = $100,000 / sebulan
B = $90,000
C = $500
D = $800
E = $100
F = $200
G = $0
H = $0
I = $1000
J = $300
--------------------
$192,900
--------------------

Jika di campur pendapatan semua orang = $192,900 dan bila dibahagikan jumlah ini dengan jumlah penduduk (10 orang), maka kita mendapat jumlah purata pendapatan setiap orang = $19,290.

Jadi, mengikut sistem ekonomi Kapitalis, negara tersebut mempunyai pencapaian ekonomi yang baik kerana purata pendapatan penduduk sebulan adalah sebanyak $19,290 seorang. Walaupun ada 2 orang penduduk (G dan H) yang langsung tidak mempunyai pendapatan, namun apabila diukur secara purata, G dan H juga mempunyai pendapatan sebanyak $19,290 sebulan. Begitu jugalah kedudukannya dengan penduduk miskin yang lain yang mempunyai pendapatan bulanan sebenar di bawah $500, tetapi apabila diukur secara purata, maka pendapatan mereka semua adalah $19,290 sebulan. Secara hakikatnya, orang yang betul-betul kaya dalam Negara XYZ adalah A dan B sahaja (yang membolot semua kekayaan negara), tapi mengikut pengiraan Kapitalis, semua orang adalah kaya.

Inilah realiti sistem ekonomi Kapitalis yang diamalkan hari ini di Malaysia dan juga lain-lain negara umat Islam. Inilah yang kami maksudkan dengan ‘pembohongan yang nyata’ apabila kerajaan menyatakan pertumbuhan ekonomi kita adalah baik.

Dalam Islam setiap individu rakyat adalah dijaga. Islam menangani masalah ekonomi dengan melihat kepada setiap individu, bukannya kepada purata pendapatan atau pun KDNK. Inilah yang kami maksudkan bahawa masalah ekonomi yang wujud sekarang (dalam negara Kapitalis seperti Malaysia) adalah kerana pembahagian kekayaan yang tidak betul di mana sebahagian besar kekayaan negara hanya dimiliki oleh segelintir individu sahaja, yakni golongan Kapitalis, yang rata-ratanya terdiri dari orang yang memegang jawatan tinggi kerajaan atau pun suku sakat mereka sahaja.

Kepincangan hidup yang berlaku adalah kerana Sistem Islam tidak dijadikan peraturan hidup. Sistem Kapitalismelah yang diterapkan secara utuh dan inilah yang menjadi akar kepada permasalahan bagi setiap aspek kehidupan yang muncul. Selama mana negara menerapkan ideologi kufur Kapitalisme ini, selama itulah rakyat akan terus menderita dan sengsara dan akan terus ditipu dan ditipu dengan pelbagai ‘pertumbuhan ekonomi’. Sesungguhnya umat Islam benar-benar memerlukan sebuah negara (Daulah Khilafah) yang akan menerapkan seluruh sistem dan hukum-hakam Islam yang benar-benar nanti akan dapat menjamin kesejahteraan setiap individu rakyat, Insya Allah.

Filed under having 0 Ulasan