Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

Si kafir pembunuh dijemput bercakap tentang kedaulatan undang-undang

by AURA JIHAD

Tidak lama dahulu perasaan sedih, sakit hati, geram dan marah bercampur-baur apabila menyaksikan pembunuhan dan penganiayaan tentera-tentera British ke atas rakyat Iraq. Pedihnya masih hingga kini terasa. Baik di kalangan pemimpin mahupun rakyat, menyumpah dan memaki kerajaan negara penjajah tersebut yang pada ketika itu dipimpin oleh Tony Blair. Persekongkolan Tony Blair dengan George Bush dalam pembunuhan yang mereka lakukan ke atas umat Islam masih segar dalam ingatan kita semua.

Namun, hari ini (Jumaat 1 Ogos 2008), pembunuh kejam, Tony Blair ini dijemput untuk membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Rule of Law and Good Governance" (Kedaulatan Undang-undang dan urus tadbir yang baik) di Kuliah Undang-undang Sultan Azlan Shah, Universiti Malaya. Sungguh mengejutkan! Tatkala Perdana Menteri Malaysia sendiri dahulu pernah mengutuk pencerobohan yang dilakukan oleh Blair di bumi Iraq, kini, kedatangan syaithan manusia ini disambut baik, malah diberi bercakap tentang kedaulatan undang-undang.!

Wajarkah kerajaan memberi penghormatan kepada seorang penjenayah perang seperti Blair? Wajarkah pembunuh umat Islam ini disambut dengan penuh hormat? Tony Blair – seorang pemimpin kafir yang telah membunuh dan menghina ribuan umat Islam iaitu saudara kita sesama Muslim dan seorang pembohong antarabangsa tatkala mengheret tenteranya untuk masuk ke Iraq dengan alasan WMD, kini disambut dengan penuh kehormatan di sebuah negara yang bergelar Negara Islam Hadhari! Sungguh hebat pemimpin Islam Hadhari!

Mungkin alasannya adalah, dia hadir sebagai seorang pembentang kertas kerja, apa salahnya? Butakah kerajaan bahawa fakta ini sama sekali tidak menghapus status Blair sebagai seorang pembunuh umat Islam? Butakah kerajaan terhadap tangan Blair yang masih dilumuri darah kaum Muslimin Iraq dan Afganistan? Butakah kerajaan bahawa berapa ramai lagi umat Islam yang masih mengerang kesakitan di katil-katil hospital yang serba dhaif dan kekurangan dari segi peralatan dan ubat-ubatan, hasil kerja tangan si Tony Blair laknatullah ini? Bagaimana mungkin seorang pembunuh saudara kita sesama Muslim disambut sebagai seorang tetamu istimewa?

Hebat sungguh pemimpin Islam Hadhari. Mungkin jika si syaithan besar Bush laknatullah datang ke Malaysia pun akan diberi sambutan yang lebih meriah lagi, penuh gilang-gemilang cemerlang dan terbilang.

Filed under having 0 Ulasan  

Apakah Hukum Mahkamah Syariah Untuk Qazaf Berlandaskan Islam atau Taghut?

by AURA JIHAD

Polemik Skandal Liwat Negara Malaysia, sedikit sebanyak telah mewarnai politik tanah air, juga mengundang tumpuan pemerhati politik antarabangsa khususnya Rejim AS. Rejim AS bersuara supaya Malaysia menegakkan ‘rule of law’ terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Walaupun kita tahu bahawa Rejim AS sendiri sering melanggar ‘rule of law’ dalam usahanya mendominasi dunia. Kaedah umum polisi Rejim AS adalah “The End Justifies The Mean” (matlamat menghalalkan cara). Bukanlah tujuan kami di sini untuk terlibat dengan kancah politik keji kapitalisme yang diterapkan di Malaysia dan juga di dunia amnya, namun kami berhasrat untuk menerangkan kepada umat bahawa dalam pada kita menjunjung Mahkamah Syariah, namun Mahkamah ini tetap menerapkan undang-undang ciptaan manusia.

Semalam Dato’ Seri Anwar Ibarhim telah pergi ke JAWI, untuk memberikan keterangan berkenaan dengan tuduhan Qazaf yang dilakukan ke atas beliau. Beliau mengemukakan pendapat Dr Taha Jabir Al-Ulwani untuk kes tersebut. Mengikut peruntukan Undang-undang Malaysia, sekiranya sesuatu kes itu telah ada perincian di Mahkamah Syariah ini bermakna Mahkamah Sivil mesti memberi laluan kepada Mahkamah Syariah untuk kes tersebut. Itulah sedikit sebanyak realiti politik yang berlaku mutakhir ini.

Namun marilah kita membandingkan bagaimana Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan akan berhukum, apakah Mahkamah Syariah ini hanya memerhatikan prosedur penghakiman dari Islam tapi mengabaikan jenis hukuman itu, dan apakah ianya bertepatan dengan Islam atau tidak? Marilah kita melihat perbezaannya dengan Al-Quran.

Hukum Hudud Qazaf mengikut Al-Quran adalah 80 kali sebatan. Firman Allah,

"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik" [TMQ Surah An-Nur (24):3]

Manakala mengikut hukum buatan manusia Mahkamah Syariah akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, bahagian V - kesalahan pelbagai, seksyen 41. tentang qazaf, memperuntukkan bahawa:-

Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Persoalannya apakah hak Parlimen dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mengubah dan melaksanakan hukum selain dari hukum Allah? Tambahan pula jika kita memasukkan perbincangan Qazaf dalam bab hudud, ini memberikan natijah bahawa seseorang itu tidak boleh meminda dan mengubah hukum tersebut, walaupun dianya adalah seorang Nabi Allah. Alangkah hebatnya ahli Parlimen dan juga Mahkamah Syariah di Malaysia!

Filed under having 0 Ulasan  

OH MERCEDES BENZ PUJAANKU!!!

by AURA JIHAD

Beri betis nak peha! Itulah agaknya pepatah Melayu yang tepat untuk ditujukan kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu yang baru. Sudah puas memakai Perdana V6, ingin pula mencuba Mercedes Benz. Pepatah Melayu juga menyebut, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Itulah apa yang berlaku. Riuh rendah di dada akhbar mengenai isu kerajaan Terengganu ingin membeli 14 buah kereta Mercedes dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang dibeli pada tahun 2004. Kata Menteri Besar Terengganu, pertukaran ini perlu disebabkan oleh kos penyenggaraan yang tinggi bagi Perdana V6 yang mencecah hingga RM175,229.97 untuk tempoh empat tahun.

Kalau difikirkan logik, betul juga pandangan MB baru ini, tapi kalau difikirkan logik juga, apakah kos penyelenggaraan Mercedes itu nanti ‘pasti’ lebih murah dari Perdana V6. Dan kalau difikirkan logik juga, bukankah kos penyelenggaraan Proton Saga atau Proton Wira jauh lebih rendah dari Perdana V6? Kalau nak bermain dengan logik, memakai Proton Saga adalah jauh lebih murah kos penyelenggaraannya. Namun, pemimpin mana yang nak pakai Proton Saga, walau Proton Saga baru sekalipun??? Jatuh standard dibuatnya.

Tentu sekali dalam budaya pemerintahan Kapitalisme, keterampilan menjadi perkara paling utama. “Standard” seseorang adalah diukur dengan kekayaan yang mereka miliki, bukan lagi berdasarkan syakhsiyyah (keperibadian) yang mulia yang ada padanya. Bagi pemimpin yang mana “standard”nya adalah terletak pada harta, maka, memanglah naik Proton Saga akan menyebabkan standardnya jatuh. Manakala jika pemimpin itu menaiki Mercedes, maka standardnya akan mengangkasa tinggi, walaupun dia seorang kaki rasuah, kaki tipu, kaki judi, kaki botol, kaki betina dan pelbagai jenis kaki busuk lainnya. Dalam pemerintahan Kapitalis, pemimpin mesti mempunyai penampilan yang mewah, barulah kepimpinannya akan dihormati, dilihat sebagai bergaya, berwibawa dan berkarisma! Biarpun sebenarnya rakyat disedut keringat dan peluh mereka (melalui cukai) habis-habisan bagi membiayai semua kemewahan yang dimiliki pemimpin.

Dalam perjuangan MB Terengganu untuk mendapatkan Mercedes idamannya ini, fail Pekeliling Perbendaharaan telah dibuka dan dipertontonkan kepada sekalian rakyat jelata, kononnya membenarkan pembelian tersebut. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang menyelar tindakan kerajaan negeri Terengganu, beliau menjelaskan bahawa MB telah tersalah faham mengenai peruntukan Pekeliling tersebut. Menurutnya, kenderaan yang dimaksudkan oleh peruntukan tersebut hanyalah melibatkan kenderaan selain kereta.

Sejak seminggu lepas, begitulah drama tarik-tali yang diwayangkan di hadapan rakyat Malaysia di atas pentas politik untuk merebut sebuah kereta bernama Mercedes Benz. Duit rakyat yang dirampas bukan lagi menjadi isu, tetapi “kereta mewah” manakah yang perlu dimiliki pemimpin, itulah yang menjadi isu utamanya. Walhal isu yang sepatutnya di bawa oleh pemimpin adalah bagaimana untuk “menjaga” rakyat, ini tidak, para pemimpin membincangkan isu bagaimana nak “menjaga dan memuaskan nafsu aku”.

Inilah kekejian drama politik Kapitalisme yang sangat menyayat hati bagi orang-orang yang berfikir. Di sebalik kemewahan yang mewarnai kehidupan sang pemimpin, terpapar realiti kehidupan rakyat yang sangat daif dan penuh penderitaan. Segala kekayaan negara dibolot oleh para bangsawan (pemimpin) manakala rakyat di biar sengsara, bahkan diwayangkan pula kerakusan pemimpin tersebut merebut kemewahan ini di hadapan rakyat jelata. Para pemimpin ini sudah tidak segan silu menunjukkan aksi rakus dan gelojoh mereka melahap habuan dari keringat serta darah rakyat.

Masihkah rakyat mahu menyanjung mahupun berharap kepada para pemimpin seperti ini? Astaghfirullahal azhim. Di manakah pemimpin zuhud yang kita dambakan? Di manakah Abu Bakar as-Siddiq, di manakah Ali bin Abi Thalib, di manakah Umar bin Abdul Aziz? Di manakah kalian semua wahai Khalifah Allah yang soleh? Kami semua merindui pemimpin-pemimpin seperti kalian. Semoga Allah menggantikan pemimpin yang ada sekarang dengan seorang Khalifah yang akan disayangi oleh sekalian rakyat jelata. Amin.

Filed under having 0 Ulasan  

Rejim AS berusaha melestarikan kejayaan 3 Mac 1924

by AURA JIHAD

Tanggal 28 Rejab 1342H (3 Mac 1924M), mengingatkan kita (umat Islam) tentang kejayaan Rejim Britain dan Rejim Perancis menghancurkan Daulah Khilafah. Mereka yang dari dulu tanpa jemu-jemu berusaha untuk menghancurkan Daulah Islamiah, akhirnya dengan berbagai cara mereka telah berjaya melakukannya. Dimulai dengan perang tsaqafah (kebudayaan), diikuti dengan perang missionaries (ghazwah tabsyiriyyah), barulah diteruskan dengan perang yang sebenar-sebenarnya (fizikal), dengan memperalatkan paderi Kristian, Gerakan Zionis dan juga tali barut mereka iaitu Mustafa Kamal, maka Daulah Khilafah berjaya mereka hancurkan. Setelah berjaya menghancurkan Daulah Islam ini, mereka tidak berhenti di situ, mereka malah terus berusaha untuk memastikan kelestarian kejayaan ini dengan berbagai program pembaratan (westernisation). Hasilnya, mereka berjaya membelah masyarakat Turki kepada 3 bahagian:-

1. Golongan tentera, yang menjaga keluhuran sistem sekularnya;
2. Golongan ahli politik, yang majoriti mencintai Islam, tetapi terpaksa akur dengan pandangan umum tentang sekularisme dan terlalu ditekan oleh tentera;
3. Golongan rakyat, yang kebanyakannya sudah menyedari kemuliaan mereka hanya dapat dicapai dengan Islam bukannya dengan sekularisme, telah mula menyerahkan mandat mereka kepada ahli politik parti yang cenderung kepada Islam.

Namun begitu, peristiwa dalam negara sekular Turki tidak dapat dipisahkan secara langsung dengan peranan negara (Barat) yang menghancurkan Khilafah dahulu. Selepas perang dunia kedua, Rejim AS mendominasi dunia dan meninggalkan Rejim Great Britain di tangga kedua super-power dunia. Dari sini, tibalah giliran AS untuk mengambil alih tugas-tugas durjana membasmi kebangkitan Islam di Turki.

Akhbar berbahasa Turki menyebutkan tentang usaha Rejim AS untuk menjauhkan masyarakat Turki dari Islam dan menggantikannya dengan Kristian. Sebagaimana surat khabar berbahasa Turki, Jeims Glas, begitu juga Timbalan dan Penasihat Diplomatik Awam Rejim AS dalam sebuah ceramahnya di Yayasan Washington, mengatakan, “hingga kini Rejim AS tidak melepaskan Turki secara sepenuhnya”. Menurutnya walaupun hasil dari pungutan suara yang dilakukan oleh Yayasan Piyo menyebutkan, bahawa masyarakat Turki memiliki pandangan negatif terhadap Rejim AS, namun hal ini bukanlah bermakna Rejim AS telah meninggalkan Turki. Memang beberapa waktu yang lalu Yayasan Piyo melakukan pungutan suara yang hasilnya majoriti masyarakat Turki membenci Rejim AS dan Bush. [www.hidayatullah.com/18 July 2008]. Namun ingatlah bahawa ada gerakan Islam yang bersungguh-sungguh menyeru penyatuan semula cebisan-cebisan negara umat Islam yang telah dilakukan dengan polisi divide and rule oleh rejim penjajah dulu. Sekularisme pasti akan dihancurkan dan khilafah pasti berdiri pada satu masa nanti, sebagaimana janji Allah dan Rasulnya.

Filed under having 0 Ulasan  

Pemimpin Islam terus masuk perangkap kuffar

by AURA JIHAD

Sekali lagi pemimpin umat Islam masuk perangkap kuffar. Mereka akan melaungkan satu idea yang sememangnya datang dari Barat dan bercanggah sama sekali dengan Islam. Dalam mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-41 yang akan diadakan sehingga 24 Julai ini, delegasi Malaysia akan diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan beliau dijangka memberi penekanan kepada bentuk pengisian hak asasi manusia yang akan dimasukkan ke dalam Piagam ASEAN.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa berkata, negara-negara Timur memiliki nilai-nilai tersendiri dalam aspek menjaga hak asasi manusia dan Rais dijangka membentangkan input-input itu kepada rakan-rakan sejawatannya dalam mesyuarat AMM itu.

Hak Asasi Manusia yang sebelumnya dikenali sebagai ‘hak-hak tabii’ (Natural Rights) merupakan sebuah produk pemikiran yang dominan di sekitar zaman pencerahan (renaissance) di Eropah. Ia lahir sebagai suatu penentangan terhadap manipulasi pihak gereja dan Raja Eropah terhadap rakyat atas nama hak ketuhanan yang ada pada raja (divine rights of the king). Sebelum zaman pencerahan Eropah, golongan gereja dan bangsawan selalu menghisap darah rakyat dan mendakwa mereka mewarisi hak dari Tuhan di mana rakyat tidak memiliki hak selain patuh kepada institusi gereja dan raja. Kemudian, disebabkan rasa tidak puas hati kerana sering ditindas semahunya oleh gereja dan golongan bangsawan, golongan cendekiawan dan kelompok-kelompok pedagang yang terpaksa membayar cukai yang tinggi kepada Institusi beraja mula bangkit. Mereka memobilisasi kelompok karyawan dan pekerja untuk mencetuskan Revolusi Perancis (1779-1789) dan dari saat inilah mereka mempopularkan idea hak asasi yang kemudiannya dijadikan slogan Revolusi Perancis. HAM kemudian dijadikan piagam dalam konstitusi Perancis yang ditetapkan tahun 1791. Sebelum itu slogan-slogan ini diangkat dalam revolusi Amerika Syarikat pada tahun 1776. Secara umum, HAM kemudian diterima pakai oleh seluruh negara Eropah pada abad ke 19, cuma pada saat itu HAM hanya menjadi urusan dalam negara masing-masing.

HAM baru menjadi peraturan antarabangsa setelah Perang Dunia Kedua dan setelah berdirinya PBB, iaitu pada saat diumumkan UDHR pada tahun 1948. Kemudian, pada tahun 1961, deklarasi ini disusuli dengan Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak Sivil dan Politik (International Covenant on Civil and Political Rights). Pada tahun 1966, diumumkan pula Perjanjian Antarabangsa Tentang HAM, Ekonomi, Budaya dan Sosial. Meskipun demikian, semua ketetapan mengenai HAM tetap kekal sebagai sebuah peraturan antarabangsa dan AS baru berjaya menjadikannya sebagai undang-undang sejagat (iaitu peraturan yang tidak hanya diterima pakai oleh negara, tapi oleh individu rakyat di dalam negara) selepas tahun 1993, atau dua tahun selepas AS mendominasi PBB secara solo di peringkat antarabangsa setelah kejatuhan Sosialisme. Untuk mengukuhkan lagi HAM sebagai undang-undang dunia, AS kemudian menjadikan HAM sebagai salah satu asas strategi polisi luar negerinya. Ini terjadi pada akhir dekad 70-an pada masa kepimpinan Presiden Jimmy Carter. Sejak dari itu, Jabatan Luar Negara rejim AS selalu mengeluarkan penilaian tahunan mengenai komitmen negara-negara dunia untuk menerapkan HAM. Penilaian tahunan itu juga menilai sejauh mana negara-negara itu memberikan toleransi kepada rakyatnya untuk menjalankan HAM.

HAM yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia mahupun yang diperjuangkan oleh segelintir rakyat Malaysia sesungguhnya berakar umbi dari UDHR yang telah diumumkan oleh PBB. Sebagai sebuah badan kufur dan didominasi oleh negara-negara kufur, sudah selogiknyalah UDHR/HAM itu digubal menurut pemikiran kufur mereka. Tunjang kepada HAM adalah ‘kebebasan’ dan secara amnya, empat jenis kebebasan menjadi tunggak utamanya yang mana hal ini termanifestasi dari setiap peruntukan undang-undang atau amalan yang dipraktikkan dalam mana-mana negara pun, termasuklah Malaysia.

Selama mana umat Islam masih tetap membincangkan isu HAM ini, maka selama itulah bermakna umat Islam terus terjerat dengan agenda kuffar Barat ini untuk menghancurkan lagi Islam.

Menurut undang-undang HAM, semua manusia adalah sama, tidak kira lelaki atau perempuan, anak sahtaraf atau anak zina. Bagi mereka lelaki dan perempuan adalah sama, tidak ada aurat yang membezakan. Mereka membolehkan anak zina mewarisi harta bapa, mereka membolehkan perkahwinan sesama wanita dan juga sesama lelaki dan banyak lagi kekejian lainnya yang mereka bawa atas nama HAM. Adapun Islam telah merincikan hak manusia dari dalam kandungan lagi di mana adanya hukum diyat ke atas janin yang dibunuh atau terbunuh. Janin mempunyai hak untuk hidup dan haram bagi ibunya melakukan pengguguran dengan sengaja. Jika si ibu sengaja menggugurkan janinnya, maka dia wajib membayar satu per sepuluh diyat dan diyat ini dibayar kepada Negara. Namun jika si suami memukul isterinya hingga menyebabkan keguguran, diyat (yang sama jumlahnya) hendaklah dibayar kepada si isteri tadi. Dari segi pemilikan harta umum pula (milkyyahl ‘ammah) seperti hasil gas, petroleum dan bahan galian lainnya, janin mempunyai hak yang sama sebagaimana orang dewasa dan tidak boleh dikurangkan sedikit pun. Ini baru sedikit rincian hukum Islam ke atas janin, belum lagi kita membincangkan keseluruhan hukumnya dan belum masuk lagi hukum-hukum yang lain. Apakah dengan sempurnanya hukum Allah sejak lebih 1,300 tahun yang lalu (sebelum HAM diperkenalkan lagi), kita masih sanggup ingin memperjuangkan HAM?

Di bawah HAM, seseorang wanita itu dibolehkan untuk melahirkan atau menggugurkan kandungannya (tidak kira sama ada anak itu hasil dari perkahwinan, perzinaan atau perkosaan) bergantung kepada keputusan si ibu. Isu ini telah mengundang suatu perdebatan moral yang tidak putus-putus di kalangan mereka. Mereka bergaduh dan berdebat di seputar hak janin di dalam kandungan wanita sama ada ia (janin) mempunyai hak untuk hidup atau tidak. Perdebatan sekitar hak asasi ibu dan hak asasi janin ini berlanjutan tanpa adanya kata putus [lihat wikipedia Pro-life vs Pro Choice]. Perdebatan moral yang tidak berkesudahan juga timbul di kalangan mereka apabila mereka membincangkan tentang kahwin sesama jenis di mana kelompok-kelompok gay dan lesbian akhirnya mendapat hak mereka di bawah nama HAM. Kekejian ini malah menular ke dalam institusi gereja, sehingga menyebabkan gereja berpecah kepada dua iaitu golongan liberal dan konservatif di mana gereja liberal telah menjadi tempat kelompok gay dan transeksual mendapat ‘restu’ atas perbuatan keji mereka [BBC 16 Jun 2007].

Ini baru muqaddimah HAM, yang telah pun memberi gambaran tentang kejijikan dan kebobrokan idea yang di bawa oleh HAM dan bagaimana ia bertentangan dengan Islam secara nyata, apatah lagi jika ditinjau HAM secara keseluruhan!

Filed under having 0 Ulasan  

Tol - Sampai bila rakyat akan terus diperbodohkan?

by AURA JIHAD

Pengguna jalan raya pada masa hadapan mungkin tidak perlu berhenti di pondok tol untuk membuat bayaran sebaliknya masih boleh berbuat demikian walaupun ketika sedang memandu pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam. Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan membuat ujian sistem pembayaran tol baru pada November ini yang dinamakan Laluan Pantas PelbagaiGuna. Beliau berkata jika sistem baru itu berkesan dan digunakan, pemandu tidak lagi perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk membayar tol seperti amalan sekarang dan sekali gus mengatasi masalah kesesakan.

Di pandang dari sudut teknologi, maka memanglah hebat cadangan Menteri Kerja Raya baru ini. Begitu juga jika dipandang dari sudut usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol, maka tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah satu cadangan yang cemerlang gemilang dan terbilang.

Namun, satu perkara yang juga tidak dapat dinafikan ialah, inilah pemikiran Kapitalis yang ada pada pemimpin di dunia umat Islam saat ini. Mereka berusaha untuk terus memperbodohkan umat yang berada dibawah tanggungjawab mereka dengan memberikan pelbagai penyelesaian yang kononnya seolah-olah baik untuk rakyat. Tetapi pada hakikat dan faktanya mereka terus menipu dan mengkhianati rakyat yang memberikan amanah kepada mereka.

Di dalam kes ini, punca kepada segala masalah adalah “tol” itu sendiri! Bukannya “cara” atau “masa” nak bayar tol. Kerana adanya tol-lah, rakyat menderita, kerana adanya tol-lah, berlakunya kesesakan dan kerana adanya tol-lah, pemimpin Kapitalis dan kroni mereka kaya-raya kerana dapat membolot duit rakyat. “Tol”lah yang menjadi punca kepada segala-galanya, bukannya “cara” nak bayar tol.

Selepas rakyat diperbodohkan dengan kereta elektrik dan teknologi hydrofuel untuk mengatasi masalah kenaikan harga minyak, kini satu lagi cadangan yang cukup jelas memperbodohkan rakyat telah cuba untuk diperkenalkan. Menteri kerja raya yang baru ini nampaknya cuba untuk menjadi jaguh bagi menandingi bekas menteri yang lama. Inilah hakikat apabila “sistem” pemerintahan tidak bertukar, tapi yang berukar hanyalah “orang”nya sahaja. Ibarat kata seperti kereta buruk yang dipandu oleh pemandu yang baru. Kalau dahulu pemandunya bernama Samy Vellu, kini pemandunya telah diambil alih oleh orang lain pula.

Isu bagi rakyat ialah tol yang dikenakan, bukanya cara atau masa pembayaran tol. Memperkenalkan teknologi canggih ini tidak lain adalah cara mengubati simptom, bukannya menyelesaikan masalah itu sendiri. Ibarat kata, jika berlaku banyak kes rogol di negara ini, maka pemimpin mencadangkan agar diperbanyakkan rumah pelacuran. Masalah tidak selesai, malah dosa pemimpin terus bertambah! Tol adalah satu bentuk cukai yang dikutip oleh kerajaan terhadap pengguna jalanraya. Cukai ini adalah jelas lagi nyata merupakan suatu yang haram di dalam Islam. Justeru, apa yang sewajibnya dilakukan oleh kerajaan adalah untuk menghapuskan tol, bukannya memodenkan “cara” pembayaran tol. Hanya dengan menghapuskan tol sahajalah (menerapkan sistem Islam), barulah penderitaan rakyat akan selesai, barulah masalah kesesakan akan selesai, dan yang paling penting, barulah menghapuskan dosa para pemimpin itu sendiri.

Wahai pemimipin umat Islam! Sedarilah bahawa jalanraya adalah milik umum (milkiyyah ‘ammah) dan haram hukumnya pemerintah berniaga dengan rakyat sama seperti minyak, gas, air, api dan lain-lainnya, semuanya adalah harta milik umum. Perlu kita sedari bahawa kewujudan tol itu adalah kesan dari penerapan sistem ekonomi kapitalisme yang diterapkan saat ini dimana akhirnya kerajaan yang ada akan terus berniaga dengan rakyat untuk membolot keuntungan. Oleh itu, selagi sistem Kapitalis yang diamalkan, maka siapa sahaja pemimpin yang naik, penderitaan rakyat akan tetap berterusan. Dengan itu, marilah kita sama-sama mencampakkan sistem ekonomi yang bobrok ini dengan kita mengembalikan semula sistem Khilafah yang sudah pasti akan menerapkan Islam secara kaffah dan akan mengembalikan segala hak rakyat. Firman Allah SWT:

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah” [TMQ al-Ma’idah (5):50]

Filed under having 0 Ulasan  

Kehebatan kereta elektrik dalam menyelesaikan masalah

by AURA JIHAD

Dalam pelannya untuk membantu rakyat yang telah ditindasnya habis-habisan, kerajaan kini memperkenalkan kereta elektrik. Kerajaan telah pun mengarahkan Proton mengeluarkan kereta elektrik di Malaysia selewat-lewatnya tahun depan bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel. Itulah kata Perdana Menteri Malaysia.


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memandu uji kereta elektrik Lotus, model yang dikeluarkan oleh anak syarikat Proton di United Kingdom, berpuas hati dengan penggunaan teknologi baru itu yang langsung tidak menggunakan petrol. Kereta yang menggunakan bateri yang perlu dicas tenaga elektrik selama enam jam di rumah itu mampu dipandu sejauh 320 kilometer. Kuasanya dapat bertahan sehingga 36 jam. Kos untuk menggerakkan kereta itu hanya 18 sen sekilometer.


“Saya anggap ini satu langkah yang kreatif dan amat menepati kehendak waktu ini supaya kita terus mencari bahan tenaga baru dengan tidak hanya bergantung kepada petrol, diesel dan gas yang harganya melambung tinggi,” ujarnya.



Inilah antara rancangan hebat kerajaan untuk membantu rakyat! Kita tidak pasti sama ada pemimpin Malaysia ini sedar atau tidak bahawa yang menjadi masalah sekarang bukanlah kereta. Tidak kiralah apa jenis keretanya, kereta minyak ke, kereta air ke atau kereta elektrik ke, yang menjadi masalah sekarang ialah harga minyak yang telah dinaikkan oleh kerajaan sesuka hati, bukannya kereta. Masalah rakyat adalah harga minyak (petrol, diesel) yang mencanak ke kemuncak penderitaan yang sekali gus telah menaikkan harga barang, termasuk barang makanan, tarif elektrik dan segala macam kos sara hidup lainnya.



Kereta hanyalah sebahagian dari keperluan hidup yang tergolong dalam keperluan sekunder. Asas bagi survival manusia adalah makanan, tempat tinggal dan pakaian, bukan kereta. Tanpa kereta manusia boleh hidup, tetapi dengan harga makanan yang melambung tinggi (hasil kenaikan harga minyak) manusia menghadapi titik kritikal untuk terus hidup. Inilah kerenah pemimpin Kapitalis di dalam menyelesaikan masalah. Secara logiknya pun, apakah mereka boleh menjawab beberapa persoalan di bawah, demi untuk mengurangkan penderitaan rakyat?



1. Selesaikah masalah kenaikan harga barangan keperluan lain, termasuk barang dapur (yang timbul akibat kenaikan harga minyak), dengan kita membeli kereta elektrik?
2. Berapa banyakkah kereta elektrik ini akan dikeluarkan oleh Proton? Dianggarkan terdapat lebih kurang 10 juta pemandu kenderaan berdaftar di Malaysia, bolehkah Proton mengeluarkan 10 juta kereta elektrik? Jika 5 juta berjaya dikeluarkan sekalipun, apakah semua 5 juta pemandu mampu membelinya? Kalau 5 juta pemandu mampu membelinya sekalipun, bagaimana pula nasib 5 juta pemandu lain yang tidak mampu? Pokoknya, hanya yang mampu memiliki kereta elektrik sahajalah yang boleh mengelak dari membayar harga minyak yang tinggi. Persoalannya, berapa ramaikah golongan yang mampu ini?
3. Dengan adanya kereta elektrik ini di pasaran, tentunya bank-bank riba akan mengaut keuntungan berlipat ganda apabila setiap orang meminjam wang dari mereka untuk membeli kereta tersebut. Sudahnya, wang rakyat, walaupun tidak mengalir ke stesen minyak, akan mengalir ke bank-bank haram ini pula, dan rakyat, sudah tentu bertambah dosa dengan pinjaman riba yang di ambil. Pemimpin pula, semakin menggunung dosa yang mereka pikul hasil kerja tangan mereka yang kreatif ini. Maka bertambah lagilah statistik maksiat di Malaysia hasil ‘kebijakan’ pemimpin memperkenalkan kereta elektrik ini.
4. Dengan adanya kereta elektrik ini, kerajaan dan kroni juga tentunya akan bertambah kaya-raya, apa tidaknya, setiap kereta kena bayar road tax, kena bayar insuran dan lain-lain bayaran sampingan yang kerajaan cekup dari rakyat seperti tol, parking, saman dan lain-lain.
5. Sebagai sebuah kereta baru, jika berlaku kerosakan, siapakah yang mampu membaikinya, dan berapa banyak pula kos baiki dan kos penyelenggaraannya. Silap-silap, hanya Proton sahaja yang mempunyai kemampuan untuk baiki dan juga membekalkan spare part. Akhirnya, kerajaan juga yang untung. Kononnya kerajaan ingin mengurangkan beban rakyat!



Inilah hakikat pemikiran dan sistem Kapitalis. Pemimpin Kapitalis ini sedar, dicelah-celah rakyat yang sedang nazak sekalipun, mereka masih boleh mengaut keuntungan. Tindakan menolong rakyat diambil, kononnya dengan memperkenalkan kereta elektrik tersebut, kos sara hidup dan kesengsaraan rakyat kembali pulih. Padahal isu yang mendominasi kos hidup adalah kerana kezaliman mereka menaikkan harga minyak. Dengan kata lain, kezaliman mereka kerana tidak berhukum dengan hukum Islam.



Semua ini hanyalah penyelesaian simptom kepada masalah, bukannya menyelesaikan masalah itu sendiri. Ibarat kata, kerajaan seperti ingin menyelesaikan masalah jalan raya yang rosak dan berlubang-lubang yang selalu menyebabkan kemalangan dan kematian, dan apa yang kerajaan lakukan ialah memperbanyakkan lagi workshop/bengkel, agar setiap kereta boleh dibaiki. Lebih hebat, kerajaan juga memperbanyakkan tanah perkuburan, agar setiap orang yang mati dalam kemalangan tersebut dapat ditanam.

Filed under having 0 Ulasan  

Pergi dengan perintah Allah atau perintah selainNya?

by AURA JIHAD

Malaysia sekali lagi menghantar sekumpulan tentera ke Lebanon. Kumpulan pendahulu Kontinjen Malaysia (Malcon III) terdiri 160 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah pun berlepas ke Lebanon semalam (20 Julai), untuk bertugas di bawah Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) selama sembilan bulan. Kumpulan ini akan membuat persediaan bagi mengambil alih sepenuhnya tugas Malcon II pada 30 Ogos ini, manakala baki anggota Malcon III terdiri daripada 200 pegawai dan anggota dijangka berlepas ke Lebanon sehari sebelum itu.

Persoalannya, untuk tujuan apakah pasukan tentera ini dihantar? Menjaga keamanan? Keamanan siapakah yang akan dijaga? Keamanan Lebanon atau keamanan Israel? Keamanan orang-orang Islam atau keamanan orang-orang kafir? Dan apakah tugas tentera ini hanyalah untuk “menjaga keamanan”, bukannya untuk berperang/berjihad menghapuskan musuh Allah?

Kita semua mengetahui bahawa buat masa sekarang, perang Lebanon-Israel sudah tamat untuk sementara waktu, walaupun kemungkinan serangan atau perang boleh berlaku pada bila-bila masa. Namun, dengan kehadiran pasukan “tentera pengaman” dari Malaysia ini, sekurang-kurangnya Israel akan berasa lebih selesa dan selamat dari serangan Hizbullah atau gerakan Islam lainnya. Israel cukup-cukup yakin bahawa pasukan pengaman yang dihantar di bawah panji PBB ini tentunya akan ‘menjaga’ mereka (Israel) kerana PBB hanyalah kuda tunggangan Amerika dan Amerika pula adalah sahabat baik Israel. Justeru, Israel tentunya akan berada dalam zon yang lebih selesa.

Inilah yang amat menyedihkan kita! Pasukan tentera kita dihantar bukannya untuk berjihad menghapuskan musuh Allah, sebaliknya dihantar untuk ‘mengamankan’ dan ‘menyelamatkan’ musuh Allah!

Sesungguhnya kewajipan tentera dalam Islam adalah berjihad. Dan berjihad ini adalah di dalam rangka untuk menghapuskan musuh Allah, menjaga agama Allah dan menyebar luaskan agamaNya ke seluruh alam. Inilah tugas tentera di dalam Islam. Kewajipan tentera adalah untuk menegakkan agama Allah, “berkhidmat” kepada Allah di dalam menjaga agamaNya, bukannya berkhidmat kepada PBB. Sungguh malang dan amat mengecewakan apabila pemerintah menghantar mereka untuk berkhidmat di bawah panji kufur Unifil. Mereka kini tunduk kepada ‘arahan’ dari PBB, bukannya arahan dan perintah Allah. Apakah pemerintah kita buta bahawa PBB hanyalah sebuah organisasi kafir pembunuh umat Islam yang dikawal sepenuhnya oleh musuh Allah dan musuh kita, Amerika Syarikat dan sekutunya?

Semoga setiap anggota tentera yang berangkat ke sana tidak redha dengan perintah pemimpin ke atas mereka ini dan semoga mereka segera ‘mengubah’ niat masing-masing untuk berkhidmat kepada Allah, bukannya kepada PBB. Dan semoga Allah mengampuni dosa mereka yang ikhlas.

Kepada pemerintah yang bekerjasama dengan PBB - kenapakah kalian sanggup bernaung dan merasa bangga berada di bawah naungan PBB? Sungguh hairan dengan pemimpin-pemimpin ini, perintah Allah diketepikan, perintah Rasulullah dilanggari, perintah PBB dipatuhi! Insaflah kalian yang memegang kekuasaan, bertaqwalah kalian kepada Allah dan takutlah kalian akan azabNya yang amat pedih!

Semoga mereka yang memegang kekuatan tentera sujud menghadap Allah dan bertanya diri sendiri, apakah penghantaran pasukan pengaman ini merupakan perintah dari Allah atau perintah dari selainNya? Fikirkanlah oleh kalian apakah “hukumNya” menghantar pasukan pengaman yang bernaung di bawah panji-panji PBB! Fikirkanlah bahawa jika berlaku serangan dan tentera Islam yang dihantar terkorban di sana – apakah mati mereka mati syahid, walhal mereka berada di sana di bawah perintah PBB, bukannya perintah Allah? Mereka mati bukan kerana meninggikan kalimah Allah? Syahidkah mereka?

Demi Allah! Para pemimpin umat Islam wajib menghantar pasukan tentera untuk menyelamatkan umat Islam dari kekejaman kaum kuffar, untuk membebaskan tanah-tanah umat Islam yang ditakluki kuffar, untuk menyatukan keseluruhan negeri Islam di bawah satu payung pemerintahan, Daulah Khilafah, bukannya untuk mengamankan musuh-musuh Allah! Inilah yang diperintahkan oleh Allah kepada semua umat Islam, khasnya kepada mereka yang memegang kekuatan ketenteraan!

Filed under having 0 Ulasan  

Semoga laknat Allah menimpa pelaku maksiat!!!!!

by AURA JIHAD

Johor Bahru 19 Julai - Kecoh dan gegar seluruh negara apabila penyanyi dangdut terkenal Indonesia Inul Daratista gagal untuk mengemparkan Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin, Johor Bahru dalam konsert yang dijadual berlangsung semalam. Ramai peminat maksiat yang telah lama tertunggu-tunggu akan konsert maksiat ini kecewa dengan apa yang berlaku. Inul yang paling kecewa hingga hampir pitam jadinya apabila konsert maksiatnya dibatalkan di saat akhir.

Pihak penganjur konsert maksiat tersebut juga nampaknya dua kali lima pemikirannya, dengan perasaan yang tidak memikirkan dosa dan pahala mereka tetap mencuba sehingga ke saat akhir untuk terus membuat rayuan kepada pihak berkuasa [Pejabat Daerah Johor Bahru] bagi membenarkan Inul menjayakan konsert maksiat yang mereka anjurkan itu. Walaupun gagal melangsungkan konsert Inul di JB pihak penganjur telah memberikan jaminan untuk tetap meneruskan kerja-kerja maksiat mereka itu dengan perancangan untuk mengubah tempat ke Bukit Jalil pada 27 Julai ini. Mereka nampaknya tidak putus berusaha untuk membuat pesta najis ini, tidak dapat di tempat A maka mereka tetap mencari di tempat B pula, dan jika gagal, mereka mungkin mencari di tempat C dan mungkin sampai ke tempat Z sekalipun, shinggalah mereka akhirnya dapat menikmati najis yang kotor lagi jijik ini.

Sungguh keji, tanpa rasa berdosa dan takut kepada azab Allah SWT, Inul meluahkan kekecewaannya dengan mengatakan “Saya merasakan usaha saya hanya sia-sia. Apa salah saya hingga diperlakukan seperti ini. Mungkin dugaan Tuhan untuk menguji keimanan saya. Pun begitu, saya tetap ingin mendengar penjelasan sebenar.

“Saya tidak pasti sama ada akan menerus konsert melainkan mampu berkata Insya-Allah”.

Inul bersama dengan pihak penganjur konsert maksiat itu juga memberikan komen dengan mengatakan pihak Pejabat Daerah Johor Bahru gagal memberikan alasan kenapa konsertnya tidak dibenarkan.

Beginilah haru-birunya pemikiran apabila hukum Allah dibelakangkan! Tanyalah akidah Islam yang anda miliki. Apakah Allah SWT yang anda imani itu membenarkan perbuatan maksiat yang anda lakukan? Tidak perlulah anda mengharapkan jawaban dari Pejabat Daerah JB untuk mengetahui alasannya. Renunglah firman Allah SWT,

“Dan jagalah diri kamu daripada dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksaNya” [TMQ al-Anfal(8):25]

Filed under having 0 Ulasan  

Tambah rebat - Penyelesaian Akal Kapitalis

by AURA JIHAD

Sidang parlimen diteruskan pada 16hb lalu dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan meningkatkan jumlah rebat tunai yang dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak. Ini, menurut pandangan ahli-ahli Parlimen sebagai satu penyelesaian. Adakah ia benar-benar satu penyelesaian? Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang), Datuk Baharum Mohamad (BN-Sekijang), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud).Menurut Hamim, polisi rebat tunai yang diperkenalkan oleh kerajaan amat baik tetapi jumlahnya tidak sesuai kerana penduduk berpendapatan rendah tidak mendapat bantuan sepenuhnya bagi menghadapi beban kenaikan harga petrol dan diesel.

Rebat sebanyak RM625 dan RM150 yang diberikan kepada pengguna kereta di bawah 2,000cc dan motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc sebagai menampung pertambahan kos minyak akibat kenaikan harga minyak mendadak baru-baru ini tidak boleh dilihat sebagai satu bentuk penyelesaian yang sebenar dan menyeluruh walaupun ia dapat meredakan sedikit kesusahan. Ini adalah kerana, kesan sampingan lain seperti kenaikan harga barang makanan, keperluan dan barang domestik lain pastinya tidak akan diberi ‘pampasan’ yang sama oleh kerajaan.

Lebih menyedihkan lagi apabila melihat wakil-wakil rakyat di Parlimen membangkitkan isu ketidakcukupan jumlah rebat yang diberikan kepada pengguna kenderaan. Para perwakilan yang duduk di dalam kerusi empuk Parlimen tidak pernah berfikir di luar daripada kepompong pemikiran kapitalis. Disebabkan itulah segala penyelesaian yang diberikan tidak pernah menyelesaikan masalah. Wakil rakyat di Parlimen seharusnya melihat apakah penyelesaian kepada isu kenaikan harga minyak dari perspektif Islam. Perkara yang menjadi masalah utama bukanlah isu rebat. Rebat ini hanyalah umpama gula-gula yang diberi oleh pemerintah sahaja, untuk menutup mulut rakyat. Isu utama di sini ialah para pemerintah Kapitalis yang telah merampas harta milik rakyat (minyak) ini dan diperlakukan sedemikian rupa untuk mengkayakan mereka. Walhal menurut Islam, minyak adalah milik umat dan segala kekayaan daripada hasil minyak wajib dikembalikan kepada umat. Inilah yang sepatutnya mereka lakukan, yakni mengembalikan kekayaan milik umat ini ke tangan umat, bukannya dengan merampas harta rakyat dan menggula-gulakan rakyat dengan rebat.

Walaupun Hamim percaya bantuan rebat tunai yang lebih tinggi kepada pemilik-pemilik kenderaan terutama motosikal akan memberi insentif kepada mereka untuk memperbaharui cukai jalan yang selama ini tidak diendahkan, ia sebenarnya tidak membantu umat secara keseluruhannya.

Baharum pula ketika mencelah memberitahu, rebat tunai perlu ditingkatkan kepada pemilik motosikal kerana mereka adalah golongan berpendapatan rendah manakala pemilik kereta merupakan golongan berpendapatan lebih tinggi.

Inilah hakikat yang dapat kita saksikan apabila yang memerintah adalah sang Kapitalis. Mereka bertengkar di Parlimen kerana masing-masing mempunyai penyelesaian yang muncul akal masing-masing, bukannya yang muncul dari Al-Quran dan Hadis. Di kala para pemimpin yang kaya-raya bertekak sesama sendiri untuk kebaikan rakyat (kononnya), rakyat jelata terus dihimpit derita dan sengsara.

Filed under having 0 Ulasan