Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

Antara periuk nasi dan hukum Allah

by AURA JIHAD

PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia menyifatkan langkah mengharamkan persembahan penyanyi wanita di negeri Kedah sebagai tidak praktil.

Sehubungan itu, Presidennya, Freddie Fernandez berkata, persatuan tersebut berharap untuk bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi membincangkan isu berkenaan.


“Kami tengah berhubung dengan Datuk Seri Azizan supaya satu pertemuan antara persatuan dengan beliau dapat diadakan untuk membincangkan semula keputusan kerajaan negeri,” katanya.


Beliau berkata, pertemuan itu perlu untuk memberikan pandangan bagi pihak seniman kepada kerajaan negeri.


“Saya bagi pihak Karyawan tidak setuju dengan pengharaman itu kerana itu akan menjejaskan periuk nasi artis-artis kita,” ujar beliau.


Menurut Freddie, pengharaman bagi penyanyi perempuan untuk mengadakan persembahan itu adalah tidak adil untuk mereka.


“Ini tidak adil bagi mereka (penyanyi) yang bergantung kepada bidang ini, mereka sepatutnya bebas untuk membuat persembahan di mana-mana negeri,” katanya.


Beliau berharap Azizan akan menimbang semula keputusan untuk mengharamkan seratus peratus persembahan penyanyi perempuan di Kedah.


Kelmarin, exco kerajaan negeri Dr Ismail Salleh menyatakan tiada kelulusan permit hiburan akan diterima di negeri berkenaan.


Freddie bertambah kenyataan Dr Ismail adalah lebih ditujukan kepada orang Islam sahaja.


“Itu lebih kepada artis (yang beragama) Islam sahaja tetapi macam mana dengan artis yang bukan Islam? Diharamkan ke dibenarkan?”



“Sebelum ini, kami banyak membuat persembahan di Kedah jika diharamkan maka kami akan mengalami kerugian yang banyak,” ujarnya.


Mengenai kenyataan PAS yang menyatakan persembahan hiburan akan memberikan kesan negatif golongan remaja adalah sangat subjektif, beliau berkata: "“Jangan copkan bidang hiburan dengan kegiatan negatif, ini adalah tidak adil".


“Kami hanya mainkan muzik sahaja dan apa salah mendengar muzik dan menghayati orang menyanyi?”katanya.


Sementara itu, artis terkenal Ziana Zain telah melahirkan perasaan sedih dengan sekatan-sekatan terhadap artis-artis yang hanya berniat untuk mencari makan.


“Masing-masing (kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan pembangkang) mempunyai cara memerintah yang berlainan, tetapi apa yang kami harap adalah berikan kelonggaran bagi kami untuk mencari rezeki,” katanya.


Ziana tidak menafikan kebenaran kenyataan Dr Ismail yang menyatakan suara juga merupakan aurat untuk wanita tetapi sebagai artis, menyanyi merupakan kerjaya mereka jika terdapat banyak sekatan dikenakan adalah susah untuk mereka menyara hidup mereka.


“Itu (suara sebagai aurat) saya akui, tetapi itu adalah antara kita dengan Allah. Duit yang kita dapat kita boleh tolong orang yang susah dan hantar mak kami pergi mengerjakan Haji,” ujarnya.


Selain Ziana, Noryn Aziz yang juga merupakan salah seorang bintang terkenal di Malaysia juga berharap agar periuk nasi mereka sebagai artis tidak disekat.


“Saya rasa ini akan menyusahkan kami untuk mencari rezeki, ini (bidang hiburan) adalah periuk nasi kami,” katanya.


Sumber: Mstar Online 03/09/08

Ulasan:

Penerapan Islam itu memerlukan kekuatan, keberanian dan political will? Kuasa telah ada di tangan mereka yang telah dipilih oleh rakyat untuk berkuasa dan memerintah. Kelak anda akan ditanya oleh Allah SWT dengan kuasa yang anda miliki. Justeru itu tindakan kerajaan negeri Kedah mengharamkan artis wanita mengadakan konsert adalah suatu tindakan yang amat di alu-alukan. Kerana bidang nyanyian sekarang adalah suatu bentuk kemaksiatan kepada Allah SWT.


Ya semakin jelas kepada kita bahawa kuasa politik itu adalah sesuatu yang perlu untuk menerapkan Islam di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Justeru, janganlah hendaknya kita tunduk dengan desakan orang-orang yang mengikut hawa nafsunya yang hanya berfikir untuk memaksiati Allah. Firman Allah SWT,


“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya, dan adalah keadaannya itu melampaui batas” [TMQ Al-Kahf (18):28].


Sebagai peringatan kepada pemimpin, kesan negatif yang muncul dari industri nyanyian ini bukan hanya datang dari penyanyi wanita, malah penyanyi lelaki juga, tidak ada beza di antara keduanya. Suara penyanyi wanita yang dikatakan aurat itu jauh lebih ‘ringan’ berbanding ‘body’ penyanyi wanita itu sendiri yang sering dipertontonkan dengan bangganya kepada umum.


Pakaian yang ketat, menjolok mata, terdedah di sana-sini, make-up yang melampau-lampau, perbuatan melompat-lompat yang lebih hebat dari katak, goyang sana-sini yang lebih hebat lipas kudung dan sebagainya, inilah reaksi artis-artis ini bila mereka melalak di pentas. Jadi, janganlah hendaknya keharaman dilihat dari aspek aurat suaranya sahaja.


Penyanyi lelaki juga tidak kurang hebatnya dengan berseluar ketat, koyak di sana-sini yang menampilkan aurat, melakukan aksi lucah dan menyanyi seperti orang yang kerasukan serta kehidupan dan pergaulan bebas yang melampaui batas, semuanya ini tidak pernah diajar oleh Islam dan menimbulkan kesan negatif yang amat membahayakan masyarakat.


Kita sudah muak dengan alasan ‘periuk nasi’ yang dilontarkan oleh artis-artis ini, seolah-olah ini sahajalah pintu rezeki yang ada untuk mereka! Demikianlah, selagi pemimpin yang ada masih ‘menghalalkan’ segala tindak-tanduk mereka, maka selagi itulah mereka akan terus mencari periuk nasi yang haram ini.


Justeru, langkah sebaiknya dan bertepatan dengan Islam adalah, bukan sekadar mengharamkan mereka ini, bahkan mengenakan takzir yang berat jika mereka terus memaksiati Allah dengan perbuatan haram mereka ini. Dan kedua-dua jenis jantina yang melakukan maksiat ini mesti diharamkan keduanya.


Seperkara lagi, selain langkah mengharamkan kemaksiatan yang dilakukan oleh penyanyi ini, banyak lagi maksiat lainnya yang juga wajib dihapuskan. Seketika dahulu, Menteri Besar Kedah pernah memberikan tiket percuma bagi menyaksikan pertandingan bola sepak yang melibatkan pasukan Kedah, tanpa mengambil kira bahawa keseluruhan pemain sebenarnya telah memaksiati Allah dengan berseluar pendek.


Sewajibnya, mereka di arahkan memakai seluar panjang dan menutup aurat dan meninggalkan segala bentuk permainan yang melalaikan. Namun hal ini ternyata tidak berlaku. Banyak lagi kemaksiatan lainnya yang wajib dihapuskan oleh mereka yang berkuasa. Firman Allah SWT,


“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan (kaffah) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” [TMQ Al-Baqarah(2):208]


Kepada pemimpin, rebutlah peluang yang diberikan oleh Allah SWT kepada kalian untuk membuat sebanyak mungkin kebaikan yang membolehkan kalian meraih redha disisiNya. Dan tidak ada kebaikan yang lebih utama melainkan kalian sebagai pemerintah yang berkuasa agar menerapkan Islam secara kaffah di dalam kehidupan ini, bukan hanya kepada perkara-perkara yang terpilih sahaja.


Islam adalah satu agama yang sempurna dari segenap aspek, agama yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur seluruh kehidupan manusia sama ada dalam persoalan hubungannya dengan Al-Khaliqnya (akidah dan ibadah), hubungan dengan dirinya sendiri (akhlak, makanan, pakaian) dan juga hubungan dirinya dengan manusia yang lain (‘uqubat dan mu’amalat). Wallahu a’lam.

Filed under having 0 Ulasan  

Jika ingin ‘amar makruf nahi mungkar’ demokrasi wajib ditolak

by AURA JIHAD

PERMATANG PAUH, 1 Sept - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, keturunan atau bangsa mengamalkan 'amar makruf nahi mungkar' jika mahu segala masalah seperti kadar jenayah, kecurian, rasuah dan penyelewengan dapat dikurangkan.

Ujarnya, ia juga dapat menyelamatkan negara daripada hancur akibat pengamalan perbuatan terkutuk. Di samping itu, kesan pengamalan 'amar makfur nahi mungkar' juga dapat memajukan negara, ujar beliau sempena Makan Malam Pakatan Rakyat Pulau Pinang meraikan kemenangan Dato' Seri Anwar Ibrahim di tapak Ekspo Seberang Jaya semalam.

Beliau juga menggariskan lima (5) prinsip yang patut diikuti untuk mengujudkan situasi yang aman dan makmur dalam urus tadbir pemerintahan. Antaranya, pemerintahan yang bersih, cekap dalam pengurusan/pentadbiran, pemerintahan berlandaskan demokrasi yang betul dan lain-lain [dipetik dari harakahdaily.net].

Jika direnung dengan teliti, kelihatan kenyataan beliau agak baik dan menepati cita rasa kaum Muslimin, boleh jadi juga ada yang menilai kata-kata Lim Guan Eng ini sebagai jauh lebih ‘Islamik’ dari Pak Lah! Namun hakikatnya, Ketua Menteri Pulai Pinang ini tentunya mempunyai agenda peribadi dengan apa yang cuba dilontarkan. Jika benar beliau yakin dengan konsep amar makruf nahi mungkar yang digariskan oleh Islam, dan beliau yakin bahawa hanya inilah satu-satunya konsep yang dapat menyelamatkan negara, maka beliau tentunya memilih untuk beragama Islam kerana yakin dengan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah swt. Ini kerana konsep amar makruf nahi mungkar adalah datangnya dari Allah Yang Maha Bijaksana!

Namun sayangnya, dalam pada Guan Eng menyeru kepada pelaksanaan konsep tersebut, beliau telah terkeliru dan mencampur adukkannya dengan idea-idea kufur yang ada dalam sistem demokrasi. Idea-idea kufur yang bertentangan dengan Islam seperti persamaan agama, pluralisme, dan sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan) di‘rojak’nya sekali dalam ucapan beliau. Keinginan beliau kepada keadilan Islam amatlah dialu-alukan, namun dalam masa yang sama kita tidak mahu ia menjadi umpama tikus membaiki labu atau umpama si buta cuba melukis gambarnya sendiri. Lim Guan Eng perlu mendalami tsaqafah Islam yang sebenar, tanpa perlu mencampur adukkannya dengan selain Islam.

Kita tidak tahu sejauh mana keikhlasan Ketua Menteri Pulau Pinang ini di dalam lontaran kata-kata yang diucapkannya. Diharap dia tidak mempunyai motif tersembunyi, iaitu semata-mata kerana ingin meraih sokongan dari kaum Muslimin terhadap pemerintahannya atau terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang sekarang ingin mengambil alih pemerintahan negara.

Pengertian amar makruf nahi mungkar tidaklah semudah yang diperkatakan, bahkan ia amat bertentangan dengan konsep demokrasi yang dinyatakan. Demokrasi bukanlah berasal dari Islam dan ia merupakan sistem pemerintahan yang diharamkan oleh syarak. Demokrasi berasal dari kuffar Barat an ia sepatutnya difahami dari hakikat sebenar, sejarah dan perlaksanaannya. Penjelasan amar makruf nahi mungkar dalam konteks demokrasi melalui premis sekularisme, tidak sepatutnya mengaburi mata kaum Muslimin. Ia tidak lebih hanyalah merupakan sebuah konsep yang menjadi pilihan golongan ‘Islam moderat’. Ini kerana, mengamalkan demokrasi itu sendiri yang jelas-jelas merupakan sebuah sistem pemerintahan kufur yang berasal dari Barat, bererti mengamalkan ‘amar mungkar dan nahi makruf’. Sistem demokrasilah yang menjadi punca kepada segala kerosakan yang wujud pada hari ini, baik dari segi sosial, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain. Sistem kufur ini wajib dibuang jika kita benar-benar ingin memulihkan keadaan yang rosak pada hari ini. Firman Allah,

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki? Walhal (hukum) siapakah lagi yang lebih baik dari hukum Allah bagi mereka yang yakin? [TMQ Al-Ma’idah (5):50]

Justeru, selama mana seruan yang dikumandangkan, baik oleh orang kafir mahupun orang Islam, jika ia masih lagi dalam ruang lingkup demokrasi kufur ciptaan Barat, maka ia tidak lain dari seruan Jahiliyyah yang wajib dijauhi oleh kaum Muslimin. Sesungguhnya sistem pemerintahan Islam itu adalah Sistem Khilafah, bukannya sistem demokrasi! Hanya dengan kembali kepada sistem Khilafah, barulah segala kerosakan dan kezaliman yang ada pada hari ini (yang muncul dari sistem demokrasi) dapat di atasi. Insya Allah.

Filed under having 0 Ulasan  

Antara sumpah Saiful dan sumpah Anwar

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 28 OGOS - Anwar Ibrahim telah pun mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru setelah menang dalam pilihan raya kecil pada 26 Jun lepas. Anwar yang menang dengan majoriti 15,671 mengalahkan dua pencabarnya dari UMNO dan juga AKIM, kini telah berjaya melangkah kaki ke Parlimen setelah lebih kurang 10 tahun terhalang dari berbuat demikian. Jika dulu Anwar, sebagai Timbalan Perdana Menteri merupakan jaguh di Parlimen membela UMNO/BN, kini, Anwar muncul di Parlimen sebagai barisan pembangkang, malah bakal dilantik sebagai ketua pembangkang sedikit masa lagi. Jika dulu UMNO dibela, kini UMNO tentunya akan dihina oleh bakal ketua pembangkang yang baru ini.

Apa pun, upacara angkat sumpah Anwar telah pun selesai dilakukan pada pukul 10.05 pagi di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.


Sebelum Anwar Ibrahim mengangkat sumpah di Dewan Parlimen, lebih kurang dua minggu lepas, Saiful Bukhari juga telah melafazkan sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan. Sumpah Saiful adalah bahawa dia telah diliwat oleh Anwar, manakala sumpah Anwar adalah untuk menumpahkan taat setia kepada Malaysia sebagai anggota Parlimen. Sebenarnya terdapat banyak perbezaan dan persamaan di antara kedua-dua sumpah tersebut.


Untuk perbezaan, rasanya semua pembaca dapat membuat perbezaan tersebut. Namun, mungkin ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa terdapat persamaan di antara kedua-dua sumpah tersebut. Di bawah ini dinyatakan beberapa persamaan untuk difikirkan bersama:-


(1) Kedua-dua sumpah adalah ‘sumpah politik’. Saiful bersumpah di dalam keadaan semua rakyat Malaysia tahu bahawa terdapat agenda politik kotor di sebaliknya. Malah, imam yang menghadiri upacara sumpah tersebut telah mengisytiharkan secara terang-terangan bahawa beliau telah ‘diperangkap’ oleh orang politik untuk menjadi saksi sumpah tersebut. Manakala sumpah Anwar juga adalah sumpah untuk melibatkan diri dalam politik, dan siapa tidak tahu politik di Malaysia adalah politik kotor ala Machiavelli.


Politik yang, hari ini seseorang boleh berada dalam satu parti dan menghentam habis-habisan parti lawan, esoknya dia akan lompat ke parti lawan dan menghentam habis-habisan pula partinya sebelum ini. Lusa, dia akan masuk semula ke dalam parti asalnya dan mengutuk habis-habisan pula parti yang pernah dilompatinya...dan begitulah seterusnya, demi mencapai ‘manfaat’.


(2) Kedua-dua sumpah disifatkan sah oleh para mufti. Mufti yang dibayar sedikit gaji oleh kerajaan mengakui yang sumpah Saiful adalah sah, walaupun hakikatnya sumpah tersebut bertentangan dengan hukum baiyyinat (pembuktian) Islam. Manakala sumpah Anwar juga boleh dikatakan sah oleh para Mufti, kerana setakat ini tidak ada seorang Mufti pun yang menyatakan sumpah ahli Parlimen adalah batil. Jadi, sumpah yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh si kafir Lord Reid itu tentunya dinilai sah oleh para Mufti.

Untuk makluman pembaca, berikut adalah lafaz sumpah sebagai anggota Parlimen yang terdapat di dalam Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan:-

Sumpah sebagai Ahli Parlimen dan Sumpah Setia


"Saya,........................................................................................, setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."


Jika sumpah Saiful disensasikan sedemikian rupa sejak awal lagi bahawa ia selaras dengan Islam, malah difatwakan lagi bahawa (selepas upacara sumpah) sebagai sah, maka sebagai seorang Muslim, kita juga wajib mengkaji dari segi hukum syarak apakah sumpah ahli Parlimen yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh si kafir Lord Reid ini, juga selaras dengan Islam.


Sebagaimana disebutkan oleh para mufti, ‘sumpah’ ada kaedah dan tatacaranya tersendiri di dalam Islam dan tidak boleh keluar atau melanggar ketetapan syarak. Contohnya, sumpah hendaklah dimulakan dengan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Wattallahi”, dan isi sumpah pula tidak boleh mengandungi perkara-perkara batil atau memaksiati Allah.


Justeru, apakah sumpah untuk taat setia kepada Malaysia, yang nyata-nyata bersifat “wathaniyyah” (patriotisme) adalah selaras dengan Islam? Apakah Allah dan RasulNya redha akan sumpah sebegini? Bagaimana kesetiaan kita kepada Mekah, Madinah yang berada di Arab Saudi dan juga Masjidil Aqsa yang berada di Palestin? Bukankah ini adalah tanah suci umat Islam yang wajib dijaga dengan harta dan darah? Bukankah bumi Iraq, Iran, Mesir, Lebanon, Jordan, Sudan, Pakistan, Indonesia, selatan Thailand dan lain-lain lagi merupakan bumi kita semua, bumi umat Islam, bumi yang Allah anugerahkan kepada umat Muhammad?


Bagaimanakah kesetiaan kita kepada tanah-tanah umat Islam ini, yang telah dibuka oleh Rasulullah dan para Khalifah dengan pengorbanan harta dan nyawa mereka? Bukankah ini semuanya bumi Allah, yang diwariskan kepada orang-orang yang beriman yang tidak ada bezanya di antara satu tanah dengan tanah yang lain?


Seterusnya, kita juga wajib mengkaji dari segi hukum syarak, apakah sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan Islam? Kita wajib mengetahui apakah hukumnya mempertahankan Perlembagaan yang dicipta oleh orang kafir yang bernama Lord Reid? Kita semua tahu bahawa berapa banyak dari peruntukan dalam Perlembagaan yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunah. Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan contohnya, menyatakan dengan jelas bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, yang mana ia bermaksud kedudukan Perlembagaan itu lebih tinggi dari Al-Quran dan As-Sunah. Jika mana-mana hukum Allah ingin dilaksanakan di Malaysia, tetapi bertentangan dengan Perlembagaan, maka hukum Allah itu akan terbatal, kerana bertentangan dengan Perkara 4. Masya Allah! Inilah kedudukan Perlembagaan Malaysia!


Justeru, apakah sumpah untuk memelihara Perlembagaan ini selaras dengan Islam, walhal ia jelas-jelas membelakangkan Al-Quran dan Sunah? Sepatutnya, sebagai seorang Islam, sumpah yang dilafazkan adalah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Al-Quran dan As-Sunah, bukannya untuk mempertahankan Perlembagaan yang dibuat oleh Lord Reid, sebuah Perlembagaan yang jelas-jelas bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunah!


Saudara seagamaku sekalian! Fikir-fikirkanlah akan hal ini. Letakkanlah Allah dan Rasul di depan di dalam membuat keputusan, bukannya menjadikan alasan ‘maslahat, mudharat’ dan sebagainya sebagai bahan justifikasi akal untuk memaksiati Allah dan Rasul. Pegangan kita dalam menentukan hukum adalah Al-Quran dan As-Sunah, bukannya akal, walau sebijak mana sekalipun akal kita!

Wallahu ‘alam.

Filed under having 0 Ulasan  

Kemenangan PKR bukan kemenangan Islam!

by AURA JIHAD

PERMATANG PAUH 27 Ogos 2008 - Sudah tentu pihak pembangkang bergembira dengan kemenangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di dalam Pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam. Menurut ramai penganalisis, kemenangan PKR sudah pun dijangka. Bahkan sebelum masuk bertanding pun, Barisan Nasional (BN) sendiri sudah menjangka akan kesukaran calon mereka, Datuk Arif Shah Omar Shah untuk mencapai kemenangan.

Manakala kekalahan teruk calon daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) iaitu Hanafi Mamat juga sudah dijangka. AKIM sendiri sebagai sebuah parti yang sebelumnya tidak pernah diketahui kewujudannya hampir tidak mendapat sokongan berdasarkan jumlah undi yang sangat kecil diterimanya dan penyertaannya di dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh banyak menimbulkan tanda tanya. Tidak kurang yang mendakwa bahawa AKIM hanyalah calon ‘tajaan’ UMNO untuk memecahbelahkan undi pembangkang.


PKR sudah menang dan tidak siapa dapat menafikan kemenangan ini. Persoalannya adalah, apakah yang akan berlaku selepas ini? Jika dilihat daripada asas penubuhan PKR, ia adalah parti yang jelas tidak berlandaskan kepada matlamat untuk menegakkan Islam mahupun Negara Islam. Matlamat yang selalu disampaikan oleh PKR adalah untuk menegakkan keadilan, namun keadilan yang bagaimanakah yang didambakan?


Sesungguhnya tidak akan ada keadilan dan tidak akan dinamakan keadilan sedikit pun jika hukum Allah tidak dilaksanakan! Keadilan hanya akan berlangsung apabila hukum-hakam Islam diterapkan, menggantikan hukum sekular yang dianuti pada hari ini. Keadilan hanya akan dikecapi apabila syariat Islam diterapkan secara kaffah dan semua manusia diperintah dengan hukum Allah. Jika menerapkan sebahagian hukum Islam dan sebahagian sistem kufur itu pun sudah menjadikan manusia itu hina, apatah lagi jika hukum kufur sekular diterapkan sepenuhnya seperti yang ada hari ni. Firman Allah SWT,


“Apakah kamu beriman hanya kepada sebahagian dari Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu di antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan dikembalikan kepada azab seksa yang pedih. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [TMQ Al-Baqarah (2):85]


Kerajaan UMNO/BN terkenal zalim. Kenaikan harga minyak, tol, barang makanan, pelbagai bil perkhidmatan dan pelbagai jenis cukai yang menindas, riba PTPTN, rasuah di kalangan orang atasan, penyelewengan di dalam pembinaan kemudahan asas rakyat, ketirisan dan kebocoran di dalam mengagihkan kekayaan negara dan pelbagai bentuk kezaliman lagi telah menyebabkan undi penduduk Permatang Pauh tidak berganjak, malah sebahagian lainnya telah berpindah kepada PKR. Mereka mengharapkan dengan kehadiran Anwar Ibrahim di dalam Parlimen, maka segala bentuk kezaliman tersebut akan terhapus.


Namun, sayangnya, sokongan rakyat ini tidak akan diterjemah oleh Anwar Ibrahim dengan menerapkan Islam, kerana Islam bukanlah agenda Anwar? Dilihat dari segi komposisi anggota Majlis Tertinggi PKR sendiri pun yang terdiri dari orang Islam dan orang kafir, ini sendiri sudah menjawab ke mana hala tuju Anwar dengan PKR.


Bagi golongan yang fanatik kepada Anwar, maka mereka terus menyifatkan bahawa kemenangan Anwar adalah kemenangan rakyat. Walhal, jauh panggang dari api, suara Anwar bukanlah mewakili suara seluruh rakyat Malaysia. Golongan Islam yang ikhlas memperjuangkan tegaknya agama Allah tidak pernah berpihak kepada Anwar, kecuali golongan yang cuba meraih ‘manfaat’ sahaja yang sanggup menempel dengan Anwar. Justeru, kemenangan Anwar di Permatang Pauh, walaupun disifatkan sebagai kemenangan rakyat, ia bukanlah kemenangan Islam. Anwar tidak membawa agenda Islam, apatah lagi agenda Negara Islam.


Anwar ada agenda tersendiri dalam usahanya melangkah menuju Putrajaya, namun sayang, Islam tidak dibawanya bersama.

Kemenangan Islam hanya akan tercapai apabila hukum Allah dan Rasul diterapkan di dalam kehidupan. Kemenangan Islam hanya akan dinikmati apabila Al-Quran dan Sunah menjadi undang-undang negara.


Dengan kemenangan Anwar Ibrahim menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh dengan tidak menjadikan Islam sebagai agendanya, dan jika agenda sekularlah yang akan terus dibawa oleh Anwar, maka kemenangan Anwar hanyalah merupakan kemenangan kepada sekular, bukannya kemenangan kepada Islam. Sesungguhnya hanya dengan mewujudkan Daulah Khilafah dan membai’ah seorang Khalifah untuk menerapkan hukum berdasarkan Kitabullah dan Sunah RasulNya, maka hanya dengan ini sahajalah kemenangan Islam akan tercapai.

Filed under having 0 Ulasan  

Berkuasa menjadi sekular -vs- Berkuasa menjadi Khalifah Allah

by AURA JIHAD



Setelah laporan liwat dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008 lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah dengan lantangnya menyatakan bahawa itu semua merupakan konspirasi politik yang ingin membunuh karier politiknya sebagaimana yang pernah terjadi pada tahun 1998 dahulu. Malah, beliau turut menyatakan bahawa “komplot” tersebut dibuat semata-mata untuk menyekatnya daripada mengumumkan yang beliau akan bertanding di pilihan raya kecil serta mengumumkan 5 orang ahli parlimen BN yang akan menyeberang ke Pakatan Rakyat (PR) pada minggu tersebut. Semasa melakukan road-show di beberapa tempat di serata Malaysia, DSAI membayangkan beberapa tempat yang bakal menyaksikannya bertanding dalam pilihan raya kecil.


Pelbagai teka-teki dimainkan yang akhirnya terjawab apabila Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, selaku penyandang kerusi parlimen P.044 Permatang Pauh selama 10 tahun ini, mengumumkan pengundurannya sebagai wakil rakyat pada 31 Julai 2008 dan sekali gus memberikan laluan kepada suaminya, DSAI untuk bertanding dalam pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan terancang kerusi tersebut.

Pada 8 Ogos 2008, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen P.044 dan terbuka untuk dipertandingkan. Sehari sebelum penamaan calon yang menyaksikan pertandingan 3 penjuru berlaku antara Datuk Arif Shah Omar dari Barisan Nasional (BN), DSAI dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat, Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta menjadi saksi akan Mohd Saiful Bukhari Azlan melafazkan sumpah laknat dengan menyatakan bahawa DSAI telah meliwatnya pada 26 Jun 2008. Lantas, dengan itu ada pihak yang mendakwa bahawa sumpah Saiful Bukhari tersebut semata-mata merupakan permainan kotor BN untuk semakin mencemarkan peribadi DSAI yang memang sudah sedia ada terpalit kotoran terutamanya menjelang penamaan calon pada keesokan harinya.

Kempen terus dilangsungkan dengan diwarnai pelbagai adegan seperti yang dilaporkan media massa. Memang ini merupakan lumrah bagi kempen pilihan raya dalam sistem demokrasi yang diwarnai dengan adegan memukul wakil media, gaduh, raba, aksi lucah, isu bom palsu di bilik gerakan serta laporan polis yang telah lebih dari 40 laporan diterima, meskipun dilaporkan bahawa Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando 69 telah ditempatkan di Permatang Pauh. Selain ‘agendanya’ dimulai di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib Tun Razak turut bersumpah di Masjid Jamek Guar Perahu pada 22 Ogos 2008 semasa majlis penyampaian sumbangan sebanyak RM1.4 juta kepada masjid-masjid di sekitar Permatang Pauh dengan menyatakan yang beliau tidak terlibat dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Syaariibuu, malah tidak mengenalinya dengan harapan sumpahnya mampu membersihkan diri dari pertuduhan yang sering dilontarkan oleh DSAI yang sering mengaitkannya dengan kes tersebut. Selain itu, Pak Lah turut tidak terlepas berkempen dengan mengumumkan langkah popularnya menurunkan harga minyak antara 8 sen ke 22 sen seliter bermula 23 Ogos 2008.

Hari pengundian dijalankan pada 26 Ogos 2008 dengan kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan cuti umum agar memudahkan urusan pengundi- pengundi di Permatang Pauh untuk turun mengundi. Pos-pos mengundi dibuka seawal jam 8.00 pagi dan ditutup 5.00 petang sebelum proses penjumlahan undi dilakukan di Institut Perguruan Tuanku Bainun, Mengkuang dengan peti yang terakhir tiba pada pukul 8.25 malam dari Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir. Semasa proses pengiraan undi dijalankan, beribu- ribu orang berkumpul di tempat penjumlahan undi dari penyokong parti-parti yang bertanding. Apabila keputusan pilihan raya kecil ini diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), keputusan memihak kepada DSAI, yang telah menang dengan majoriti 15,671 undi dan disambut dengan tepuk sorak penyokong-penyokong yang sanggup berkumpul semenjak lewat petang. Ramai yang menyatakan bahawa, kemenangan DSAI bukanlah kemenangan bagi pengundi di Permatang Pauh, malah merupakan kemenangan bagi seluruh rakyat Malaysia. Bagi Timbalan Perdana Menteri pula, ia merupakan ”cermin kepada amalan demokrasi yang masih segar” di Malaysia.

Itulah senario yang berlaku. Lalu apakah reaksi kita? Sebagai umat Islam, kita haruslah memandang bahawa memimpin dan menjadi seorang pemimpin merupakan satu amanah daripada Allah dan pembawa amanah ini haruslah menyempurnakan amanah tersebut dengan sebaik-baiknya berlandaskan suruhan serta larangan Allah. Amanah tersebut pastinya akan dipertanyakan oleh Allah di akhirat nanti. Hadis dari Ibnu Umar r.a meriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya bahawa Baginda telah bersabda:

“Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.”

Oleh itu, meskipun kemenangan yang diraih oleh DSAI melalui sistem demokrasi kufur yang diterapkan sekarang ini, ia tetap merupakan satu amanah daripada Allah. Amanah agar mentadbir dan memimpin dengan hukum-hukum yang telah diturunkan Allah, dan bukannya dengan hukum-hukum selainnya. Kekuasaan merupakan anugerah Allah, dan bukannya satu barang perebutan, percakaran dan seterusnya menjadi agen perpecahan sesama umat Islam. Meskipun pelbagai konspirasi dilakukan dan pelbagai usaha dilaksanakan untuk meraihnya, sekiranya Allah tidak menghendakinya, ia pasti tidak akan terjadi. Sebagaimana firman Allah :

“Katakanlah, ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [TMQ Ali Imran (3):26]

Bagi pejuang- pejuang yang benar-benar ikhlas menegakkan agama Allah di muka bumi ini dengan mendirikan semula Daulah Khilafah yang telah runtuh, mereka pastinya tidak akan lupa akan firman Allah :

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [TMQ An-Nur (24):55]

Bagi DSAI pula, ini merupakan peluang cerah bagi beliau untuk melakukan muhasabah secara lebih terbuka terhadap para pemimpin Malaysia, agar kembali kepada agama Allah, dengan menerapkan Islam dalam pemerintahan dan bukannya memerintah menurut hawa nafsu yang tanpa panduan dari Al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Muhasabah ini haruslah dilakukan sedaya upaya agar keadilan dan keamanan yang dilaksanakan oleh pemerintah merupakan keadilan dan keamanan Islam, dan bukannya keadilan dan keamanan sekular yang sebenarnya tak pernah berlaku adil tak pernah aman.

Akhir sekali, DSAI Anwar sewajibnya berusaha untuk menegakkan kembali Khilafah, sebuah institusi politik agung umat Islam yang diwajibkan penegakannya oleh Allah dan Rasul ke atas umat Islam. DSAI tidak sepatutnya mengimpikan untuk menjadi Perdana Menteri, malah lebih jauh dari itu, jika beliau benar-benar ingin menjadi ketua negara, maka beliau sepatutnya berusaha ke arah menjadi seorang Khalifah, yang akan memerintah dengan kitabullah dan sunah RasulNya, bukannya memerintah dengan sistem demokrasi dan undang-undang kufur yang ada sekarang. Peluang kini ada di depan mata, pilihan pula ada di tangan, jalan ke syurgakah atau jalan ke nerakakah yang akan dipilih, dan jangan lupa, ada Zat Yang Maha Kuasa sedang memerhatikan!

Filed under having 0 Ulasan  

Anwar menang, demokrasi kekal

by AURA JIHAD

PERMATANG PAUH 27 Ogos 2008 - “Kita akur..” itulah kata-kata yang mampu diluahkan oleh Datuk Seri Najib Razak selepas menerima kekalahan BN di Permatang Pauh (P44) semalam. Calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh 31,195 undi menewaskan Datuk Arif Shah Omar (BN) yang mendapat 15,524 undi, sementara calon bebas dari parti AKIM hanya memperoleh 92 undi. Seperti biasa, dalam mana-mana pilihan raya kecil, pertandingan 3 penjuru sering diguna pakai sebagai strategi untuk memecah undi pihak lawan yang dikatakan ‘kuat’.

Apa pun strategi parti-parti dalam pilihan raya, proses demokrasi yang dimainkan oleh mana-mana parti amat menggalakkan lagi penyuburan sistem politik kufur tersebut. Lihat sahaja kejadian-kejadian kotor yang baru sahaja berakhir, perbalahan, fitnah-memfitnah, keji-mengeji, tipu-menipu, rasuah dan sebagainya yang telah menjadi lumrah di dalam mana-mana proses pilihan raya di dalam sistem demokrasi kufur ini. Tidakkah ini semua menggambarkan perpecahan di kalangan umat Islam? Apakah ini yang diperlukan oleh umat Islam, yakni sebuah proses yang penuh kemaksiatan ke arah menuju kepimpinan? Selama mana umat Islam bergelumang di dalam sistem demokrasi, nampaknya selama itulah perbalahan dan permusuhan akan tetap bertapak di hati mereka, setiap kali menjelang pilihan raya.

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, Amerika dan Barat sedang bergembira menyaksikan kaum Muslimin masih berjuang di dalam sistem demokrasi kufur ciptaan dan tinggalan mereka. Barat ketawa besar melihat umat Islam masih terkinja-kinja sakan dengan tarian assobiyyah, panji nasionalisme, sorakan wathaniyyah (patriotisme) dan pelbagai bentuk kerosakan lainnya yang telah mereka tanam di bumi umat Islam sepeninggalan mereka dahulu. Mereka tersenyum riang menonton siaran langsung di kaca TV mahupun di Internet akan gelagat kaum Muslimin yang masih berpegang teguh dengan sistem demokrasi yang mereka jajakan di seluruh dunia Islam. Betapa ‘untung’nya mereka (orang-orang kafir Barat) dengan benih tanaman mereka di bumi umat Islam yang masih tumbuh subur hingga sekarang. Umat Islam pula, sama ada sedar atau tidak, masih tetap terperangkap dengan jerat demokrasi hina yang dipasang Barat bagi memastikan Sistem Khilafah tidak kembali ke dunia Islam.

Kita sendiri maklum, kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak dalam sistem demokrasi hina ini tidak akan pernah memenangkan Islam! Yang menang akan ke Parlimen dan membuat undang-undang, merubah hukum Alllah dengan tangan-tangan mereka, manakala yang kalah pula, akan sentiasa mencari jalan untuk meraih kemenangan di lain kali dengan taktik yang lebih kotor. Yang menang mungkin akan membawa sedikit perubahan dan bersifat hanya sementara, tetapi pastinya tidak akan pernah merubah kesemuanya dan selamanya.

Tambah malang, yang diubah adalah sistem sekular dan diganti dengan sistem sekular yang lain, manakala sistem Islam masih tetap berkubur. Sedangkan kehidupan kita sekarang memerlukan suatu reformasi yang sangat-sangat mendasar! Negara ini, dan umat Islam ini memerlukan reformasi bukan sekadar pertukaran (replacement) anggota Parlimen, tapi pertukaran sistem, dari sistem kufur menuju sistem Islam, dari sistem demokrasi menuju sistem Khilafah. Ya, reformasi yang mendasar inilah yang kita perlukan, yang tentu sekali akan merubah kekufuran menuju keIslaman dan merubah kegelapan menuju cahaya. Reformasi ini sudah tentu jauh lebih mulia dan diredhai Allah, berbanding reformasi yang berdasarkan akal manusia. Janganlah hendaknya kita menilai kemenangan itu dengan ‘orang’nya, tetapi hendaklah kemenangan itu dinilai dengan ‘sistem’ yang diterapkan, apakah Islam atau sekular!

Filed under having 0 Ulasan  

Sumpah Saiful Sah – Mufti – so, what’s next?

by AURA JIHAD

Setelah Imam Masjid Wilayah Persekutuan muncul di Permatang Pauh untuk membersihkan namanya dalam isu Sumpah ‘mubahalah’ dan mengkritik cara sumpah tersebut. Maka datanglah beberapa kenyataan untuk mempertahankan perbuatan Saiful Bukhari ini. Mufti Wilayah Persekutuan sebagai contohnya telah memperkatakan bahawa sumpah Saiful ini sah, dengan nada memperlekehkan kelulusan Ramlang Porongi, [kenyataan ini boleh dilihat dalam laporan akhbar-akhbar utama]

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh sangsi dengan kredibiliti imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang tampil membuat pengakuan bahawa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah tidak sah. Menurut beliau, mana-mana individu yang ingin mengeluarkan sebarang fatwa atau hukum dalam Islam perlu mendalami ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab Feqah bagi memperkukuhkan hujah mengenai sesuatu perkara.

"Saya sangsi sama ada beliau boleh baca kitab (Feqah) atau tidak. Apabila kita mengeluarkan fatwa yang berkaitan dengan soal hukum, kita seolah-olah bercakap bagi pihak Allah…Jadi kita perlu bercakap dengan ilmu dan sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa merujuk sebarang kitab yang berkaitan maka akan menerima seksaan dari Allah di neraka," katanya dalam sidang media di Pusat Islam.

Semalam, Ramlang tampil membuat pengakuan di Permatang Pauh bahawa sumpah yang dilakukan Mohd Saiful tidak sah dan beliau 'dipaksa' untuk menjadi saksi dalam upacara tersebut. Ramlang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam dengan gred perkhidmatan S17. Beliau ditempatkan di Masjid Wilayah Persekutuan sebagai imam, jurunikah dan ketua amil.

Bagaimanapun Wan Zahidi menolak dakwaan tersebut dan mengakui sumpah laknat yang dilakukan Mohd Saiful itu adalah sah mengikut hukum Islam. [petikan dari myStar]

Sebelum dari kejadian ini juga Mufti Perlis telah menggunakan istilah ‘mubahalah’ untuk peristiwa sumpah ‘sebelah pihak’ ini, ternyata penggunaan istilah itu sendiri tidak tepat, kerana mubahalah dari segi konteks bahasa sendiri bermaksud ‘saling-laknat melaknati antara dua pihak atau lebih’.

Kebanyakan orang yang bercakap tentang sah atau tidak sah sumpah Saiful Bukhari ini, kemudian mereka membisu dengan isu ‘kandungan sumpah’ Saiful tadi. Jika diperhatikan kata-kata/sumpah yang keluar dari mulut Saiful sendiri, di mana dalam pengakuan tersebut tidak ada perkataan ‘dipaksa’, sebagaimana diwar-warkan sebelum ini oleh media. Tambahan pula pendakwaan atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah berdasarkan Kanun Keseksaan seksyen 377B yang mana ‘seksyen dakwaan’ tersebut menunjukkan yang Saiful Bukhari merelakan dirinya untuk diliwat.

Jika benar beliau dipaksa, sepatutnya kalau Saiful Bukhari mesti membuktikannya. Jika dia gagal, maka ini bermaksud dia telah melakukan perbuatan tersebut secara sukarela, dan sebagai hukuman Islam ke atasnya, dia hendaklah dibunuh mengikut hudud Islam.

Di dalam Islam, syarat untuk hukuman bunuh ke atas pelaku liwat (sama ada yang meliwat atau yang diliwat) ada 3 yakni (i) akil (ii) baligh dan (iii) tidak ada paksaan yang bersangatan (ikrahul mulji’) yakni paksaan yang boleh membawa kecederaan atau kematian. Jika ada ikrahul mulji’ maka pelaku liwat tidak boleh dibunuh, tetapi jika tiada ikrahul mulji’, maka pelaku liwat hendaklah dibunuh.

Bukan setakat sumpah yang dibuat di masjid Wilayah, malah dalam semua laporan polis dan kenyataan Saiful Bukhari tidak mengandungi perkara ini (ikrahul mulji’). Pendakwa Raya sendiri nampaknya ‘takut’ untuk menggunakan Seksyen 377C kerana susah untuk dibuktikan. Menurut Fiqh Islam, pengakuan hanya sah untuk diri sendiri sahaja, tidak sah untuk orang lain. Jadi, sumpah Saiful hanya terpakai untuk dirinya sendiri sahaja manakala DSAI tidak boleh dikaitkan dengan pengakuan sebelah pihak ini. Lain halnya jika DSAI sendiri mengaku melakukannya dan sanggup bersumpah.

Mungkin Tuan Mufti yang belajar Fiqh juga perlu menjelaskan isu ini sejelas-jelasnya, kerana kita berhukum dan berhubung dengan Allah semasa memberikan fatwa. Mungkin Tuan Mufti boleh menjelaskan bagaimana ‘fatwa liwat’ yang terdapat dalam Akta 559. Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian IV Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan Seksyen 25, yang menyebut,

“Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Kitab Fiqh manakah yang Tuan Mufti belek yang menjelaskan bahawa hukum liwat adalah di denda RM5,000 atau dipenjara tidak lebih dari 3 tahun?

Sedangkan Hadis Nabi SAW menjelaskan,

"Barang siapa yang kamu jumpa, yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya." [HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tarmizi]

Jadi, jika sumpah Saiful dinilai sah oleh para mufti, maka persoalannya, what’s next? Jika Tuan Mufti ingin berhukum dengan hukum Allah, maka Saiful wajib dibunuh, kerana beliau telah bersumpah dan mengaku diliwat. Tuan Mufti sepatutnya menyampaikan fatwa ini kepada Pak Lah atau Najib atau kepada pihak mahkamah, bahawa Saiful wajib dibunuh. Inilah hukum Allah ke atasnya. Atau Tuan Mufti takut karier Tuan Mufti ‘terbunuh’ apabila berbuat demikian? Tuan Mufti sepatutnya lebih takutkan Allah dari takutkan manusia...Azab Allah di akhirat jauh lebih bersangatan berbanding terlepasnya jawatan mufti di dunia.

Filed under having 0 Ulasan  

APA ITU DEMOKRASI??

by AURA JIHAD

Beginilah cara mudah dan senang yang mungkin membantu anda semua pahami demokrasi yang maha jijik ni...ni pun mengikut pemahaman ana yang dangkal serta daif ni...

DEMOKRASI

Demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang tercipta hasil daripada pemikiran dangkal manusia kufur yang ingkar untuk menerapkan hukum islam dan mengambil 100% adaptasi dari apa yang dibawa oleh junjungan nabi SAW dan yang telah diwajibkan oleh Allah SWT...jadi terciptalah sistem demokrasi yakni satu sistem yang memperjuangkan kebebasan.kebebasan dalam demokrasi terbahagi pula kepada beberapa bahagian yang menjadi tunjang atau asas demokrasi iaitu:

1.kebebasan beragama
2.kebebasan hakmilik
3.kebebasan beragama
4.kebebasan bersosial(berpakaian,bergaul dan sebagainya)

semua kebebasan-kebebasan ini semuanya adalah merujuk kepada satu kebebasan yang maha KUFUR yakni kebebasan manusia memimpin dan mentadbir negara,mengatur kehidupan didunia ini tanpa ada pengaruh agama,atau dengan kata lain pemisahan agama dari kehidupan.agama bagi sistem kufur ini tidak boleh dicampur-adukkan dengan kehidupan dunia ini,agama dilihat dan dianggap hanya sebagai amalan kerohanian semata-mata dan dimalaysia ini khasnya,untuk tidak dilihat anti agama terlampau,maka agama masih lagi boleh diamalkan dalam bab nikah-kahwin-cerai,bab solat puasa,zakat haji,itu saja tak lebih dari itu!!!

Apakah relevan hukum yang menolak serta mengecilkan skop agama dalam kehidupan untuk kita ambil dan pegang berdasarkan prinsip2nya yang nyata menyeleweng terus dari ISLAM YANG MAHA SUCI??agama ISLAM adalah satu agama syumul,yakni menyeluruh,meliputi seluruh aspek,sama ada kehidupan,kematian bahkan sejak dari dalam rahim kandungan ibu lagipun,agama ISLAM hadir dengan kupasan dan hukum hakamnya tersendiri...apabila tiba kita didunia ini,tiba-tiba demokrasi yang wajib kita anuti?

Fikir-Fikirkanlah sementara masa untuk kita berfikir masih lagi diberikan Allah swt untuk menilai betapa jijik dan hina haramnya demokrasi menangkal sistem pemerintahan islam...sekian terima kasih...Wallahuaklam

Akta DNA 2008 - Lagi kezaliman akan muncul

by AURA JIHAD

Semalam, 18 Ogos 2008 merupakan hari sebutan pertama rang Undang-undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 di Dewan Rakyat. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang membentangkan rang-undang-undang itu berkata, kerajaan sudah merancang untuk mewujudkan akta tersebut sejak tahun 2001 bagi memudahkan proses pengecaman penjenayah.

Undang-undang tersebut mampu menguatkuasakan suatu peraturan yang mewajibkan suspek jenayah memberi sampel DNAnya sebagai membantu siasatan pihak berkuasa. Di samping itu, undang-undang yang pertama kali diperkenal di Malaysia itu juga bakal membangunkan Bank Data Forensik DNA, analisis DNA, penggunaan profil DNA dan sebarang maklumat berkaitannya yang diperoleh dalam proses pengumpulan bahan bukti.

Walaupun Syed Hamid menjelaskan bahawa perancangan menggubal akta tersebut telah wujud dari tahun 2001, amat aneh kenapa ia baru dibentangkan di Parlimen pada tahun 2008. Apakah begitu susah untuk membentangkan sesuatu akta sehingga perlu mengambil masa sehingga 8 tahun? Apa pun justifikasi yang diberikan, namun rakyat tidaklah sebodoh itu untuk menilai bahawa akta tersebut hanya dibentangkan selepas keengganan Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNAnya kepada pihak berkuasa, berhubung kes liwat yang dihadapinya. Selepas akta ini diluluskan, sesiapa sahaja suspek yang enggan memberikan sampel DNAnya, maka ini dengan sendirinya menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum. Ini dari satu aspek.

Dari aspek yang lain, kesan dari kelulusan undang-undang itu nanti, pastinya akan melahirkan lebih banyak kezaliman. Bayangkan manipulasi yang boleh dilakukan oleh pihak yang berkenaan di dalam suatu kes yang melibatkan DNA. Yang pasti, tentunya hanya hospital atau pusat perubatan yang diluluskan oleh kerajaan sahaja yang akan dibenarkan memeriksa dan ‘mensahkan’ sesuatu kes yang terkait dengan DNA. Jadi, rakyat yang kebanyakannya ‘buta-DNA’ akan pasti boleh ‘dizalimi’ dengan begitu mudah sekali. Contohnya, jika seorang yang bernama Hamid merupakan seorang yang dibenci dan ingin ditangkap oleh kerajaan, maka DNAnya hanya dengan mudah dapat ‘dicuri’ darinya dan diletakkan di tempat kejadian. Dengan kecekapan pihak polis dalam melakukan ‘set up’, hal ini lebih mudah dilakukan umpama meletakkan dadah di rumah suspek, dan kemudian menangkap suspek kerana disyaki mengedar dadah. Tidak berhenti di situ, dadah tersebut akan dibawa ke makmal (yang telah disahkan oleh kerajaan) untuk ditimbang. Suspek itu sendiri selalunya tidak pernah tahu akan berat dadah tersebut, maka ‘terpulanglah’ kepada kerajaan menentukan berat ringannya, dan suspek tadi pastinya tidak akan diberi peluang untuk memerhati apakah dadah tadi ditimbang dengan cara yang benar atau tidak. Bayangkan hal yang sama berlaku ke atas kes ‘pemeriksaan’ DNA oleh pihak kerajaan! Jadi, bayangkanlah betapa mudahnya urusan ‘set up’ jika ia ingin dilakukan nanti.

Itu ditinjau dari aspek perundangan sekular. Akta ini juga turut menjadi bukti kepada satu lagi projek ‘pembuatan’ undang-undang oleh kerajaan sekular Malaysia Darul Hadhari! Dari aspek perundangan Islam, mereka tidak pernah mengkaji sama ada penggunaan DNA sebagai salah satu aspek bayyinat (pembuktian) dibenarkan oleh Islam atau tidak!

Ahkamul bayyinat (hukum pembuktian) di dalam Islam telah pun jelas dan sempurna sejak zaman Rasulullah lagi. Menurut Ahmad ad-Da’ur di dalam kitabnya, Ahkamul Bayyinat Fil Islam, hanya ada empat kategori ‘pembuktian’ (bayyinat) sahaja yang diterima oleh Islam iaitu pengakuan, kesaksian, sumpah dan juga dokumen bertulis yang meyakinkan. Selain dari ini, ia tidak termasuk sebagai pembuktian, tetapi hanyalah sebagai ‘qarinah’ (indikasi) yang menyokong. Qarinah yang menyokong tidak boleh mensabitkan seseorang itu dengan kesalahan, kerana qarinah bukan salah satu dari bentuk atau hukum pembuktian itu sendiri. Contohnya di dalam kes zina, Islam telah menetapkan hukum pembuktiannya yakni mesti mendatangkan empat orang saksi (lelaki). Tidak cukup dengan empat saksi, Islam menetapkan lagi bahawa kesemua saksi itu mestilah melihat dengan jelas kejadian zina itu umpama timba masuk ke dalam perigi. Selain pembuktian melalui empat orang ‘saksi’, Islam juga menetapkan ‘pengakuan’ dari penzina sebagai sabit kesalahan.

Justeru, jika tidak ada saksi dan tidak ada pengakuan, tetapi jika diperiksa dan di dapati melalui kaedah DNA dan ternyata terdapat DNA lelaki dan wanita yang berzina tersebut di dalam tubuh masing-masing, hak ini hanyalah menjadi ‘qarinah’ bahawa telah terjadi perzinaan di antara lelaki dan wanita terbabit. Namun, tanpa adanya empat orang ‘saksi’ atau ‘pengakuan’ dari mereka yang berzina, maka mereka tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina atau dengan kata lain tidak boleh dihukum. Ini kerana, tidak adanya ‘pembuktian’ yang ditetapkan oleh nas, untuk membolehkan mereka disabit atau dihukum. Yang wujud hanyalah ‘aktiviti’ zina (melalui pengesahan DNA), namun ‘pembuktian’ (bayyinat) zina langsung tidak wujud!

Selain dari ini, di bawah sistem Kapitalis sekular yang diamalkan di Malaysia, dengan ribuan kes dan bentuk rasuah dan penyelewengan yang dilapor melibatkan hakim-hakim dan pegawai-pegawai atasan polis, apakah kita akan meyakini bahawa Akta DNA nanti akan dapat merubah keadaan kepada lebih baik? Atau sebaliknya, kes rasuah dan penyelewengan hakim dan polis akan terus bertambah dengan wujudnya akta baru yang bertentangan dengan Islam ini?

Yang lebih penting, apakah para pembuat undang-undang kita masih merasakan mereka hebat dari Allah SWT sehingga mereka sekali lagi mengambil hak Allah dalam membuat hukum? Alangkah beraninya mereka dengan azab Allah!!!

Filed under having 0 Ulasan  

Kes Siti Fatimah Tan berulang di Kuantan!

by AURA JIHAD

Kuantan 18 Ogos - Sekali lagi umat Islam telah dipertontonkan dengan penghinaan oleh Mahkamah Syariah Tinggi sendiri terhadap hukum-hakam Islam, apabila Hakim Datuk A Rahman Yunus membenarkan permohonan murtad, seorang yang telah 14 tahun memeluk Islam. Nampaknya hujah yang digunakan sama dengan teknik yang diinovasi dari peguam Ahmad Jailani dalam kes Siti Fatimah Tan Abdullah di Pulau Pinang, iaitu kononnya si kafir ini tidak pernah masuk Islam. Akhirnya ia disahkan murtad mengikut jejak langkah seperti yang dilakukan sama persis dalam kes Fatimah Tan Abdullah. Semasa kes Siti Fatimah diputuskan, ramai Muslim telah membayangkan bahawa kes yang sama akan berlaku, dan ternyata kini, kes sebegini telah benar-benar berulang. Dan ia nampaknya akan terus berulang selama mana Mahkamah Syariah menjadikan udang-undang ciptaan manusia sebagai sumber penghakiman.

Berita Harian yang memetik dari sumber Bernama, dengan tajuk Mahkamah benar kontraktor keluar Islam. Mengikut laporan tersebut, Hakim Rahman yang membenarkan permohonan seorang mualaf untuk mengisytiharkan bersetuju bahawa dia bukan lagi seorang Islam kerana tidak mengamalkan ajaran itu sejak memeluk agama itu, 14 tahun lalu. Hakim ketika membacakan keputusan mahkamah itu berkata bahawa selepas mendengar keterangan empat saksi dalam perbicaraan yang dijalankan sebelum ini, mahkamah mendapati Jeffrey Or Abdullah, atau Or Boon Hua, 36, jelas keluar daripada Islam.

“Mengikut keterangan saksi, pemohon (Jeffrey) tidak mengamalkan ajaran Islam sejak mula lagi dan mahkamah memutuskan bahawa pemohon bukan lagi seorang Islam,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya.

A Rahman berkata mengikut keterangan saksi, Jeffrey turut melakukan ibadat di tokong, memasang colok di rumah serta makan makanan yang haram di sisi Islam.

“Jeffrey juga pernah menyatakan kepada saksi bahawa dia tidak pernah percaya dengan agama Islam dan kekal mengamalkan cara hidup seperti sebelum memeluk Islam,” katanya. Hakim turut memerintahkan supaya Majlis Agama Islam Pahang membatalkan sijil pendaftaran memeluk Islam Jeffrey.

Rahman berkata Jeffrey hendaklah menukarkan status agama di kad pengenalannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana mahkamah itu tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Menurut pernyataan tuntutannya, Jeffrey berkata dia memeluk Islam sekadar mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang wanita Islam tempatan.

Hakim syari’e perlu sedar bahawa adalah haram bagi mereka untuk berhukum dengan hukum yang dibuat oleh manusia. Mereka wajib menjadi hakim yang memutuskan sebagaimana Rasulullah memutuskan (berdasarkan hukum wahyu). Mereka perlu bertaubat dari dosa-dosa mereka dan mereka perlu bangkit untuk merubah hukum kufur sekular yang ada pada hari ini dan menggantikannya dengan hukum Allah. Kita tidak mahu lagi hidup di dalam sistem sekular yang hanya menjadikan seseorang itu ‘Muslim’ hanya berdasarkan sekeping sijil, kemudian jika dia ingin keluar dari Islam, maka boleh dibenarkan dan sijil tersebut dibatalkan. Ramai di kalangan umat Islam yang mendakwa bahawa kita tidak ada pilihan lain kecuali mengikut sahaja undang-undang yang sedia ada. Kita manfaatkan undang-undang kufur yang sedia ada untuk kebaikan Islam, hujah mereka. Hujah ini bukan sahaja keliru, malah bercanggah dengan Islam. Yang benarnya ialah kita dilarang (haram) untuk berhukum dengan hukum kufur dan kita wajib berjuang untuk menggantikannya dengan hukum Islam. Kita tidak dituntut untuk memanfaatkan sistem kufur, tetapi kita dituntut untuk menukarnya kepada sistem Islam.

Suatu yang haram itu haram untuk dimanfaatkan dan wajib diganti dengan yang halal, bahkan ‘jalan’ yang menuju kepada yang haram pun adalah haram (al-wasilatul ilal haram, haram). Kaedah syarak juga menyebut bahawa ridha bil kufr, al-kufr (redha dengan kekufuran itu adalah satu kekufuran). Hakim syari’e yang mengendalikan kes ini nampaknya gagal memahami bahawa murtad itu adalah satu kesalahan di bawah hudud, sepertimana mencuri atau berzina. Jika beliau faham dan meletakkan bahawa murtad adalah satu kesalahan/keharaman, maka tentunya beliau tidak akan membuat permohonan yang menjadi wasilah (jalan) menuju keharaman. Di dalam Islam ‘kesalahan’ itu adalah sesuatu yang wajib dihukum, bukan dipohon. Contohnya, jika seseorang mengaku telah berzina di hadapan hakim, apakah hakim itu dibolehkan untuk mengisytiharkan/mengesahkan bahawa sianu telah berzina atau sianu adalah seorang penzina? Begitu juga jika seseorang itu telah mengaku mencuri, apakah hakim dibolehkan hanya membuat pengisytiharan/pengesahan mahkamah bahawa, ya benar sianu telah mencuri dan sianu sekarang adalah seorang pencuri? Apakah hakim itu pula, setelah mendengar pengakuan salah dan bukti-bukti, dibolehkan mengeluarkan ‘pengesahan’ bahawa, ya benar sifulan bin sifulan telah murtad dan sekarang dia adalah seorang kafir, tanpa menghukum orang itu?

Alangkah malunya untuk kita menggelar seseorang hakim mahkamah syariah itu sebagai hakim syar’ie, kerana ternyata penghakimannya langsung tidak syar’ie.


Filed under having 0 Ulasan