Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

PROJEK TERNAK BABI TERMODEN DI SELANGOR DITERUSKAN

by AURA JIHAD

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Permodenan Pertanian, Sumber Alam Sekitar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari memberi amaran kepada mana-mana pihak yang memutarbelitkan isu projek pembinaan ladang babi, di Ladang Tumbuk, Hulu Langat.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak mendedahkan dokumen rasmi kerajaan negeri berhubung projek yang telah diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 9 Februari 2008.


"Kami tidak teragak-agak mendedahkan dokumen ini, yang telah diluluskan kerajaan negeri BN sehingga sampai ke peringkat pengambilan tanah, walaupun ia merupakan dokumen rasmi kerajaan dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA)," tegas beliau ketika temu bual eksklusif bersama Harakahdaily, di pejabatnya, di SUK, semalam.

Beliau menegaskan, atas persetujuan Exco negeri dokumen tersebut boleh dihebahkan walaupun ia merupakan dokumen OSA.

"Kita boleh menjadikan dokumen itu bukan dokumen OSA," katanya sambil menunjukkan dokumen tersebut.

Tiada kesan negatif kepada persekitaran

Mengulas lanjut kontroversi yang dimanipulasi media arus perdana berhubung isu itu, Yaakob berkata projek RM 100 juta itu tidak akan memberi kesan negatif kepada alam persekitaran.

Jelas beliau, najis babi dari ladang akan dikumpulkan dalam satu tong yang bercampur sisa rumput, yang kemudian menghasilkan bio-gas untuk menjana kuasa elektrik bagi keperluan ladang tersebut.

"Tidak akan ada pencemaran, baik pencemaran air atau udara. Tidak akan ada sisa buangan dari ladang ke luar kawasan ladang itu. 'No discharge, no smell," tegas beliau.

Menurut Yaakob, kaedah ini diamalkan di Jerman, di mana bekas Setiausaha Politik Dato' Seri Dr Khir Toyo pernah mengadakan lawatan di negara tersebut, bersama wakil penduduk Kampung Ladang Tumbuk, sebelum ini.

"Wakil penduduk kampung itu bersetuju dengan kaedah di Jerman. Beliau turut menerangkan kepada penduduk bahawa projek itu tidak akan memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat," katanya.

Ekoran dari itu, Yaakob melahirkan kekesalan apabila wakil penduduk terbabit menafikan apa yang pernah dinyatakan sebelum itu selepas Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Selangor.

Ketika pelbagai pihak membangkitkan soal lokasi projek mega itu yang dikatakan turut membabitkan kampung Melayu, beliau menegaskan kawasan tersebut sememangnya merupakan pusat penternakan babi di negeri itu.

"Sebenarnya, babi sudah sedia ada di kawasan tersebut. Ia memang sudah menjadi pusat. Kami hanya mahu memodenkan pusat tersebut, di samping menjaga alam persekitaran dari dicemari," katanya.

Mengenai cadangan supaya projek ditempatkan di Pulau Ketam yang merupakan majoriti penduduknya adalah Cina, beliau mengatakan kawasan tersebut tidak praktikal kerana faktor geografi, terutama dari segi pasang surutnya air.

Menurut Yaakob, projek tersebut sudah berada di peringkat pengambilan tanah, di mana kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang modal bagi tujuan itu.

Malah, katanya para pelabur dikenakan bon sebanyak RM40 juta kepada kerajaan negeri untuk membiayai kos pengambilan tanah penduduk seluas 119 ekar tersebut.

Justeru, beliau meminta mana-mana pihak yang tidak memahami isu ini secara jelas agar tidak memutarbelitkan fakta, yang boleh mengelirukan rakyat./wann

Sumber : Harakahdaily 12/4/2008

Ulasan:

Tidak syak lagi bahawa kerajaan negeri Selangor akan meneruskan projek penternakan babi yang telah dipersetujui oleh kerajaan BN sebelumnya. Mengapa tidak diberhentikan sahaja projek tersebut? Bukankah mereka berkuasa penuh bagi segala hal-ehwal di dalam negeri?. Mengapa wakil PAS di dalam barisan exco kerajaan negeri tidak membantah keputusan kerajaan negeri Selangor itu? Padahal ia dengan jelas bertentangan dengan syiar Islam yang PAS perjuangkan selama ini.

Walaupun kerajaan negeri akan menerapkan teknologi canggih di dalam memastikan ladang penternakan itu tidak mencemarkan alam sekitar dan untuk mengatasi masalah penternakan babi haram, babi tetap haram diternak secara terbuka.

Keharaman ke atas babi bagi umat Islam telah pun dinyatakan dengan jelas di dalam Al Quran. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah yang baik-baik dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kalian dan hendaklah kalian bersyukur kepadaNya, jika benar-benar kalian bersembah sujud kepadaNya. Allah mengharamkan kalian dari memakan bangkai, darah, daging babi, dan daging ternak yang tidak disembelih atas nama Allah. Namun barang siapa yang berada di dalam keadaan terpaksa (memakannya) bukan atas kemahuannya sendiri, dan tidak ia melampaui batas, maka ia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ Al-Baqarah:172-173]

Walaupun orang-orang kafir dibenarkan untuk memakannya, ia haram dijual-beli secara terang-terangan apalagi untuk tujuan diternak secara besar-besaran iaitu dizahirkan kepada khalayak.

Ini dibuktikan di dalam catatan sistem perundangan Islam seperti yang tertulis di dalam Umdat al Salik wa Uddat al Nasik (kitab lama fiqh mazhab Syafii) yang ditulis oleh Ahmad ibn an-Naqib al-Misri (1302-1367) yang di dalamnya ada menyebutkan bahawa, setiap warganegera yang bukan beragama Islam harus membayar jizya, memakai pakaian yang berlainan dengan pakaian orang-orang Islam, tidak boleh mengucapkan salam kepada mereka, berjalan di sebelah tepi jalan, membina rumah tidak lebih tinggi daripada bangunan orang-orang Islam tetapi jika sudah dipunyai, tidak akan dirobohkan, tidak boleh menonjolkan arak dan babi secara terang-terangan, membaca kitab taurat atau Injil secara kuat, tidak boleh melakukan perarakan keagamaan atau pengebumian secara terang-terangan dan tidak boleh membina gereja yang baru serta tidak boleh meletakkan lambang salib di luar rumah.” Kandungan ini berdasarkan ”perjanjian Umar” dengan orang-orang kafir zimmi di Syria sebagaimana yang tercatat di dalam Siraj al-Muluk karya Abu Bakr Muhammad ibn al-Walid al-Tartushi. Ini merupakan bukti yang jelas bahawa walaupun Islam tidak melarang orang-orang kafir menjadikan babi sebagai makanan mereka, namun mereka tidak boleh melakukannya secara terbuka dan cukup sekadar keperluan mereka sahaja.

Walaupun apa jua alasan, semua permasalahan tentang babi ini bukan termasuk di dalam perkara ijtihadiah kerana Islam telah pun menjelaskan hal-ehwal yang menyangkut babi ini sejak zaman Khulafaur Rasyidin lagi dan tidak kira setakat mana kecanggihan teknologi untuk ’membersihkan babi’ ia tetap haram dimasukkan ke dalam sektor ekonomi Daulah Islam, inikan pula hendak ’diindustrikan.’

Filed under having 0 Ulasan  

Abdullah selar pengkritik

by AURA JIHAD

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyelar sikap dan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang disifatkan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi masing-masing.

Perdana Menteri yang sebelum ini menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan supaya meletakkan jawatan, juga dengan lantang menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap kepemimpinannya, terutama berhubung prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Abdullah yang juga Presiden Umno menegaskan, beliau wajar bersuara selepas rakyat mahukannya mempertahankan diri daripada pelbagai tuduhan yang tidak berasas.

Katanya, Dr Mahathir sering menghentamnya dengan pelbagai tuduhan seolah-olah beliau (Dr Mahathir) tidak pernah melakukan kesalahan.

"Kononnya pada zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut dan ada yang kata saya ini lembik, tetapi (dalam masa yang sama) takut pula pada si lembik," katanya pada sidang media selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno, yang pertama diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 8 Mac lalu.

Taklimat selama 90 minit yang diadakan secara tertutup di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri lebih 1,000 Ketua Penerangan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta ahli Majlis Tertinggi (MT). Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah mengakui Dr Mahathir memang mempunyai kekuatan dan pengaruh, tetapi menegaskan bekas Perdana Menteri itu menyalahgunakan kekuatannya sehingga merugikan parti.

"Tun Mahathir kata dia kuat, tetapi beliau menyalahgunakannya. Dulu masa kita (BN) menang pada pilihan raya 2004, beliau berkata kuat sangat, tak boleh, tak elok, kena ada pembangkang.

"Apabila keputusan pilihan raya 2008 pembangkang naik (menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen), kita ingat dia nak celebrate (raikan), tapi kita kena hentam pula. Mengapa jadi begini?

"Menang banyak tak boleh dan menang sikit pun tak boleh... (jadi) apa yang boleh?" katanya mempersoalkan keikhlasan Dr Mahathir mengkritik kepemimpinannya.

Ditanya sama ada beliau akan berlawan dengan Dr Mahathir, Abdullah berkata: "Saya bercakap apa yang perlu saya cakap dan saya tidak bercakap apa yang saya tidak perlu bercakap."

Mengenai dakwaan Dr Mahathir yang beliau terlalu berkuasa sehingga anggota Kabinet dan MT Umno tidak berani bersuara, Abdullah berkata ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri itu, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir.

"Selepas Dr Mahathir mengambil alih pemerintahan daripada Tun Hussein Onn, bekas Perdana Menteri itu terus mengarahkan wartawan supaya tidak menyiarkan berita dan gambar Hussein.

"Saya tahu, bukan saya tidak tahu... orang tertentu ditekan oleh akhbar. Ini arahan daripadanya... ia berlaku dari semasa ke semasa dan Dr Mahathir masih melakukan perbuatan sama dengan cuba menjatuhkan kepemimpinannya," katanya.

Abdullah secara sinis juga berkata, semua menteri seolah-olah bodoh dan hanya menantunya, Khairy Jamaluddin saja yang pandai.

"Tuduhan ini dibuat tanpa batasan dan terus hentam saja," katanya menjawab tuduhan kononnya beliau membiarkan dirinya dipengaruhi oleh Khairy dalam membuat keputusan dan mentadbir negara.

Mengenai usaha Anwar untuk memancing 30 Ahli Parlimen BN Sarawak menyertai pakatan pembangkang pula, Abdullah berkata itu adalah perbuatan keji dan bersifat rasuah.

Beliau menegaskan perbuatan keji Anwar itu tidak didorong sebab lain, kecuali kerana cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri.

"Ini dilakukan semata-mata kerana ketua mereka hendak menjadi Perdana Menteri. Jika mereka menggunakan wang, ini adalah satu perbuatan rasuah.

"Dia akan cakap dan buat apapun, tapi ini satu rasuah jika pendekatan yang akan diambil menggunakan wang. Pada saya, ini perbuatan keji kerana tidak mengiktiraf hakikat bahawa Ahli Parlimen yang menang adalah atas kehendak rakyat," katanya.

Abdullah berkata, Anwar yang dikatakan sedang berusaha memujuk Ahli Parlimen BN menyertai pembangkang, memang tidak sabar-sabar untuk menjadi Perdana Menteri.

Katanya, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, pemimpin pembangkang itu menyifatkan dirinya sebagai pemimpin alternatif dan kini menganggap dirinya sebagai 'leader in waiting'.

"Biarlah dia menunggu," katanya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai peranan dalam pembebasan Anwar daripada hukuman penjara, Abdullah berkata keputusan itu dibuat mahkamah dan beliau langsung tidak terbabit.

"Kerja itu saya tidak buat, orang lain saya tidak tahulah," katanya merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada September 2004 membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat selepas menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan menyalahgunakan kuasa.

Mengenai kecaman Tengku Razaleigh dan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti pada Disember ini, Abdullah berkata Ahli Parlimen Gua Musang itu perlu menilai dirinya terlebih dulu.

"Dialah yang menyebabkan Umno kalah. Dialah yang menyebabkan Kelantan jatuh kepada Pas (ketika Tengku Razaleigh bersama Semangat 46 pada Pilihan Raya Umum 1990)," katanya.

Malah, katanya, Tengku Razaleigh tidak pernah membantu Umno Kelantan dalam usaha merampas kembali Kelantan daripada Pas.

Abdullah berkata, satu daripada kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tengku Razaleigh, iaitu Galas, juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Sumber: Beritah Harian 07/04/08

Ulasan:

Nampaknya peribahasa “biar pecah di perut jangan pecah di mulut” sudah tidak lagi boleh digunakan oleh UMNO. Pergaduhan yang berlaku di dalam UMNO nampaknya sudah menghampiri kemuncak apabila Presidennya sendiri yang juga Perdana Menteri Malaysia, telah ‘mengisytiharkan’ perang terbuka dengan orang yang mengkritiknya. Bila perang dah diisytiharkan, bukan sahaja senjata-senjata baru yang dikeluarkan, senjata-senjata lama pun turut dibawa sekali. Apa yang selama ini hanya ‘pecah di perut’ kini telah mula ‘pecah di mulut’. Permusuhan dalaman yang selama ini membusuk dalam UMNO sudah tidak lagi dapat di selindungkan.

Setelah tidak tahan dikritik hebat oleh orang kuat UMNO sendiri (Mahathir dan Ku Li khususnya) dan juga bekas orang kuat UMNO (Anwar Ibrahim), maka beberapa ‘urusan politik’ yang selama ini didiamkan telah dibuka oleh Pak Lah. Pak Lah telah mula menyerang balas dengan membidas semua pengkritiknya dan biasalah, dalam peperangan politik dalaman sebegini, segala keburukan orang lain semasa pemerintahan dahulu akan didedahkan sebagai senjata utama.

Nah, sekarang tiada siapa lagi dapat menyembunyikan kebusukan yang ada di dalam UMNO selama ini apabila Presiden dan bekas Presiden dan juga bekas Timbalan Presiden telah berperang secara terbuka.

Satu pihak di dalam UMNO mahu UMNO dipulihkan dengan melakukan ‘overhaul’ manakala pihak yang lain masih tetap dengan pendirian ‘membaiki sedikit-sedikit’. Orang di luar UMNO yang selama ini memusuhi UMNO, kini sedang menjolok habis-habisan agar UMNO gugur dengan secepatnya dan mereka pula boleh berada di atas.

Bagi musuh UMNO, mereka tentunya gembira dengan kekalutan yang berlaku di dalam UMNO sekarang dan apa lagi, bodohlah jika mereka tidak mengangguk di air keruh. Bagi orang dalam UMNO sendiri, kedudukan retak menanti belah yang melanda ini tidak boleh didiamkan begitu sahaja, mereka perlu terus hidup dengan kuasa dan kemewahan yang dikecapi. Jadi, golongan ini sedang berfikir hebat dan melihat apa yang akan berlaku. Jika perlu, ‘lompat parti’ adalah pilihan yang paling selamat untuk mengekalkan status quo.

Apa yang tidak disedari ramai dalam perbalahan politik kotor ini adalah, kebanyakan yang terlibat dan sedang tamak menuju kekuasaan adalah terdiri dari ‘orang-orang Islam’ sendiri. Kuasa punya pasal, ‘ikatan akidah’ bukan lagi dijadikan ukuran, tetapi ‘ikatan manfaat’lah yang mengatasi segala-galanya. Masing-masing sekarang ini sedang ‘berperang’ sama ada ingin mengekalkan manfaat/kuasa yang sedia ada (di satu pihak), atau berjuang untuk meraih manfaat/kuasa, di pihak yang satu lagi. ‘Islam’ tidak lagi dijadikan ukuran untuk menyatukan mereka, apatah lagi untuk dijadikan hukum Allah yang wajib diterapkan, Islam kini (dan dulu juga) sudah dicampakkan oleh golongan sekular yang bergaduh ini. ‘Manfaat’ adalah matlamat dan agenda utama perjuangan yang evergreen bagi mereka.

Pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini sudah melalaikan firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul(Nya) dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya” [An-Nisa’ (4):59].

Mereka bukan lagi mengembalikan persengketaan mereka kepada Al-Quran dan Sunah, namun dikembalikan kepada hawa nafsu. Pada hal apa yang sepatutnya mereka lakukan adalah melantik seorang Khalifah yang merupakan Ulil Amri bagi seluruh kaum Muslimin dan mengembalikan segala persengketaan kepada Allah dan RasulNya. Alangkah jauhnya mereka dari kebenaran, kerana itulah mereka tidak akan habis-habis bergaduh dan berperang sesama sendiri, sehinggalah Allah menggantikan kepimpinan mereka dengan seorang Khalifah yang akan menyatupadukan bukan sahaja mereka, malah kaum Muslimin di seluruh dunia. Insya Allah.

Filed under having 0 Ulasan  

Sikap pilih kerja punca 400,000 belia menganggur

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 6 April - Sikap rakyat tempatan yang tidak mahu bekerja dalam persekitaran kotor merupakan antara sebab utama kira-kira 400,000 belia menganggur dan kekosongan itu direbut oleh warga asing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, sikap memilih belia tempatan itu menyebabkan mereka sukar mencari pekerjaan dan mendorong pertambahan jumlah warga asing di negara ini.

''Gaji yang berpatutan dibayar kepada pekerja tempatan berbanding pekerja asing, namun mereka hanya bertahan sehingga dua atau tiga minggu dalam perkhidmatan seperti hospitaliti, pelancongan dan penyediaan serta penjualan makanan.

''Peluang pekerjaan yang terdapat dalam sektor ini tidak dihargai oleh belia tempatan dan mereka rela menjadi penganggur sehingga mendapat kerjaya yang diminati," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Subramaniam mendedahkan mengenai kira-kira 400,000 rakyat tempatan menganggur kerana tidak mahu bekerja dalam sektor yang menjadi tumpuan warga asing.
Tambahnya, latihan kemahiran yang dicadangkan oleh kementeriannya diharap dapat membantu mengubah fikiran dan sikap warga tempatan untuk terus berkhidmat dalam industri seperti ini.

''Tidak ada cara terbaik selain latihan kemahiran untuk mengubah fikiran para belia, sedangkan gaji yang dibayar dalam sektor tersebut adalah berpatutan.

''Gaji tidak menjadi masalah tetapi sikap rakyat tempatan yang tidak bersedia untuk bekerja keras seperti warga asing menyebabkan masalah pengangguran dan pertambahan warga asing di negara ini," tegasnya.

Katanya, jika rakyat tempatan tidak bersedia untuk berkhidmat dalam sektor berkenaan maka warga asing terpaksa dibawa ke negara ini bagi mengisi kekosongan itu.

Sumber: Utusan Malaysia 07/04/08

Ulasan:

Sejak dulu lagi, isu pengangguran tak pernah sunyi dari peredaran zaman. Ia wujud hampir di semua negara di dunia. Maslah pengangguran yang berlaku sering dikaitkan dengan taraf pendidikan, memilih kerja, faktor ekonomi, kurangnya daya saing dan lain-lain lagi. Bagi negara yang mengamalkan sistem ekonomi Kapitalisme, kadar pengangguran yang tinggi merupakan suatu yang lumrah. Dan dalam negara Kapitalis, individu yang menganggur itu sendirilah perlu menyelesaikan masalahnya. Seperti yang dikatakan oleh Dr. Subramaniam di atas, masalah pengangguran adalah kerana sikap penganggur, bukan yang lain.

Sebenarnya banyak aspek yang menyumbang kepada angka pengangguran yang dinyatakan. Salah satunya adalah dasar penswastaan negara dan beberapa polisi serta undang-undang pekerjaan. Tambahan lagi, oleh kerana peruntukan undang-undang yang mewajibkan caruman dan juga undang-undang pekerjaan yang ketat yang ke atas pekerja tempatan, maka sudah semestinya majikan atau pengelola suatu projek atau industri lebih cenderung mengambil pekerja warga asing berbanding pekerja tempatan.

Bayangkan berapakah kos yang diperuntukkan di bawah undang-undang perlindungan (keselamatan dan hospitaliti) pekerja yang perlu ditanggung oleh majikan terhadap pekerja tempatan berbanding pekerja warga asing? Dan berapa pulakah kos tambahan yang perlu dikeluarkan oleh majikan kepada caruman pekerja bagi pekerja tempatan berbanding pekerja warga asing? Sudah tentu dalam dunia sumber tenaga manusia ini, majikan memilih untuk meraih untung besar dengan melakukan penjimatan melalui peruntukan tersebut. Akhirnya menyebabkan senario di mana tidak wujud daya saing antara pekerja tempatan dan pekerja warga asing dalam beberapa sektor terutama pembinaan, buruh kasar, pengeluaran, pertanian dan lain-lain.

Bagi negara-bangsa (nation-state) yang mengamalkan ideologi Kapitalis seperti Malaysia, lambakan ‘pekerja asing’ dalam pasaran kerja negara memang merupakan satu masalah yang perlu diatasi. Mereka melihat ‘pekerja asing’ sebagai satu masalah. Walhal menurut Islam, dalam sesebuah Negara Islam, langsung tidak timbul isu pekerja asing atau pekerja tempatan. Mana-mana Muslim dari negara mana sekalipun boleh datang dan bertempat tinggal serta mencari pekerjaan di dalam Daulah Islam. Dan mereka tidak akan dikenali sebagai pekerja asing atau di diskriminasi mahupun di manipulasi. Ini kerana mereka akan menjadi warganegara Daulah (jika mereka Muslim), walau datang dari negara mana sekalipun. Ini dari satu aspek.

Dari aspek yang lain, dalam sesebuah Negara Islam, masalah pengangguran (jika wujud) tidak boleh dipersalahkan kepada penganggur semata-mata. Jika benar penganggur tersebut yang tidak mahu bekerja, walhal peluang pekerjaan terbuka luas, maka memang itu adalah kesalahannya sendiri. Di dalam Islam, kewajipan atas suami atau ayah untuk mencari nafkah bagi keluarganya.

"..dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang makruf.." [TMQ Al-Baqarah (2):233]

Namun, jika tiada peluang pekerjaan di dalam Daulah hingga menyebabkan wujud pengangguran, maka hal ini mestilah diselesaikan oleh pemerintah dengan menyediakan sebanyak mungkin sektor pekerjaan hinggalah masalah pengangguran tersebut dapat di atasi. Dalil ini di ambil dari beberapa hadis Rasulullah antaranya, kisah di mana seorang penganggur di dalam Daulah yang datang berjumpa Rasulullah, maka baginda terus memberikan kapak dan seutas tali kepada penganggur tersebut untuk ke hutan dan memotong kayu api untuk dijual. Hal ini sebenarnya termasuk di dalam ri’ayah (pengurusan) seorang ketua Negara. Rasulullah bersabda,

"Imam (Khalifah) itu pemelihara dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya" [HR Muslim]

Oleh kerana wujud peruntukkan dalam hukum syarak tentang kewajiban bekerja, maka bagi seseorang Muslim yang terkena taklif, dia wajib berusaha untuk mencari pekerjaan bagi menampung hidupnya dan keluarganya. Dia boleh memilih kerja, namun tidak dibolehkan hingga ke tahap menganggur kerana tidak berminat dengan sebarang kerja yang ada (terlalu memilih).

Kapitalisme sering menuding kesalahan kepada pihak individu mahupun majikan, tanpa sedikit pun memandang bahawa kesalahan perlu diletakkan di atas bahu negara. Tidak sedikit dari masalah pengangguran yang berpunca dari dasar negara itu sendiri yang mengabaikan soal keperluan asas individu dan rakyat keseluruhannya. Inilah antara kebobrokan sistem Kapitalis dan bagaimana kedudukan dan keindahan Islam sebagai deen yang mengatur kehidupan manusia mengikut apa yang Allah tentukan. Deen ini Insya Allah akan menggantikan sistem Kapitalis yang sudah semakin hancur ini.

Filed under having 0 Ulasan  

MB KEDAH MINTA KARPAL SINGH TUTUP MULUT

by AURA JIHAD

Polemik sensitif yang berlanjutan berikutan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh tentang negara Islam telah mengundang balas daripada Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak untuk menyanggah kata-kata beliau sebelum ini.

Malah Ustaz Azizan menyifatkan Karpal tiada pemahaman jelas berhubung isu tersebut sehingga menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan ramai di samping mendapat teguran daripada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Menurut laporan, Azizan meminta Pengerusi DAP Karpal Singh menutup mulut dan berhenti bercakap tentang PAS dan kaitan dengan negara Islam sebaliknya harus memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar yang boleh dibincangkan di antara PAS dan DAP.

"Saya rasa perkara terbaik adalah dia berhenti bercakap tentang perkara tersebut.

"Banyak lagi isu-isu lain yang lebih besar untuk diperkatakan,"kata Azizan yang dipetik daripada akhbar berbahasa Inggeris.

Beliau berkata Karpal bebas untuk menyatakan pendapatnya dan tidak ada sesiapa yang akan menghalangnya.

"Kita juga tidak katakan kepada Karpal supaya jangan menentang usaha-usaha PAS untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negera Islam,

"Karpal ada pandangannya terhadap hudud, tetapi ada juga pendapat lain tentang undang-undang Syariah.

"Sebenarnya dia bukan sahaja kurang faham tentang perkara tersebut, bahkan dia tak faham langsung," kata Ustaz Azizan.

Beliau berkata, kerajaan Kedah yang diketuai oleh PAS tidak pernah berbincang tentang pelaksanaan hudud di Kedah sebab ia tidak termasuk di dalam manifesto PAS Kedah dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Mereka yang takut kepada hudud adalah perompak dan barang siapa yang tidak mencuri atau merompak, tidak takut kepada perlaksanaan Hudud," katanya.

Sumber : Harakah 9/4/208

Ulasan:

Apa lagi yang ditunggu-tunggu oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh PAS? Setiap kali ditanya berkenaan penerapan hukum-hakam Islam, pelbagai alasan telah diberikan oleh Ustaz Azizan iaitu Menteri Besar Kedah yang mewakili PAS. Umat Islam masih menantikan penerapan syariat Islam secara kaffah dan semakin hari mereka semakin kecewa dengan pendirian PAS yang masih lagi berdolak-dalik. Perlaksanaan syariat Islam dengan penubuhan Negara Islam kini dijadikan polemik dengan Karpal Singh. Isu yang ditimbulkan oleh Karpal Singh akan terjawab dengan sendirinya apabila syariat Islam diterapkan secara kaffah. Selagi syariat Islam tidak diterapkan secara kaffah, bagaimana si Karpal Singh itu hendak memahami bagaimana syariat Islam dapat menjamin kehidupan yang sejahtera di bawah naungan negara Islam?

Menubuhkan negara Islam merupakan suatu kewajiban yang paling utama kerana hanya dengan cara itu sahaja syariat Islam dapat dilaksanakan ke atas individu rakyat. Sebagai seorang yang beriman, kita tidak boleh condong atau terhalang oleh tuntutan sesiapa pun terutama orang-orang kafir. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:


"Sebahagian besar ahli kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri."[TMQ Al-Baqarah(2):109]

Menerapkan hukum Allah subhanahu wa ta'ala merupakan kewajiban utama yang sebenar tanpa mengira samada ia terkandung di dalam manifesto ataupun tidak. Jika kuasa sudah berada ditangan, seseorang pemimpin itu wajib melaksanakan syariat Islam secara kaffah. Firman Allah swt yang bermaksud:

"dan hendaklah kamu memutuskan pekara diantara mereka menurut apa yang telah diturunkan Allah, dan janganlah kamu menuruti hawa nafsu mereka. Juga, berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkanmu dari sebagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. [TMQ Al-Maidah(5):49]


Kini, kuasa sudah pun ditangan, sampai bilakah umat harus menanti? Jika sebelum pilihanraya dahulu PAS bermunajat dan berserah kepada kekuasaan Allah, kini mereka juga harus yakin dengan pertolongan Allah untuk menegakkan negara Islam tanpa mempedulikan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain.

Filed under having 4 Ulasan  

BABI : PEMIMPIN ISLAM TERKELIRU ATAU TERSEPIT?

by AURA JIHAD

Tidak lama dulu di Malaysia nama ‘babi’ telah ditukar kepada ‘khinzir’ yang mana pertukaran tersebut dilakukan kerana sebutan khinzir dikatakan ‘lebih lembut’ dari sebutan babi. Walaupun hakikatnya, babi (bahasa Melayu) dan khinzir (bahasa Arab) adalah ‘dua’ makhluk yang sama, namun kerana jijiknya binatang najis ini, maka menyebut perkataan babi sendiri pun dirasa amat memualkan. Kini, media arus perdana mempopularkan semula istilah ‘babi’ setelah isu ini timbul di Selangor yang kini merupakan sebuah negeri di bawah kerajaan yang ingin dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Isu babi ini menjadi hangat apabila kerajaan negeri Selangor bersetuju meneruskan pembinaan ladang ternakan babi di Kampung Tumbuk, Kuala Langat di bawah Parlimen Sepang yang telah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu. Penerusan projek ini telah dipersetujui dalam mesyuarat Exco kerajaan Negeri Selangor pada 2 April lalu. Dilaporkan bahawa ladang penternakan babi itu akan dimodenkan dengan kepakaran teknologi dari luar negara dan ia akan menelan belanja sebanyak RM100 juta. Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional yang dalam keadaan sentiasa mengintai ‘kesalahan’ kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, terus memainkan isu ini di televisyen dan akhbar-akhbar utama dengan mengutip pendapat beberapa persatuan dan juga individu, termasuklah penduduk tempatan yang dikatakan membantah projek tersebut. Akhbar telah mendedahkan bahawa terdapat 137 ladang babi di Selangor, keempat tertinggi selepas Pulau Pinang yang mempunyai 227 ladang, Perak (152) dan Kelantan (151) [UM 10/04/08]. Agak pelik kenapa statistik babi di negeri Pakatan Rakyat menarik ‘minat’ Kerajaan Pusat untuk didedahkan, walhal semua ladang ini adalah ‘ladang warisan’ kerajaan BN juga. Agak pelik juga bagaimana kerajaan BN boleh tidak sedar yang mereka (dengan membesar-besarkan isu ini) sebenarnya sedang membuka pekung di dada sendiri?

Di dalam responsnya sebagaimana dilaporkan di dalam harakahdaily.net bertarikh 12/04/08, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pemodenan Pertanian, Sumber Alam Sekitar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari memberi amaran kepada mana-mana pihak yang memutarbelitkan isu projek pembinaan ladang babi ini. Beliau berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak mendedahkan dokumen rasmi kerajaan negeri berhubung projek yang telah diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 9 Februari 2008. “Sebenarnya, babi sudah sedia ada di kawasan tersebut. Ia memang sudah menjadi pusat. Kami hanya mahu memodenkan pusat tersebut, di samping menjaga alam persekitaran dari dicemari”, tegasnya. Di dalam penjelasannya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kajian terbabit bagi menguatkan lagi kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebagai jaminan kepada orang ramai tidak ada masalah yang akan timbul selepas pelaksanaan projek itu yang dijangka memakan masa selama setahun. Katanya, kajian EIA telah pun dilakukan sebelum ini oleh kerajaan BN yang turut mengadakan lawatan ke Jerman dan Belanda bagi mengenal pasti teknologi yang digunakan di ladang ternakan babi moden di negara terbabit. “Kita amat telus dan akan umumkan kepada rakyat supaya mereka memahami dan menghayati apa yang kita usahakan”, ujar beliau. Abdul Khalid berkata kerajaan negeri ada tiga pilihan untuk menyelesaikan isu tersebut iaitu sama ada terus membiarkan ladang babi yang mencemar alam sekitar di seluruh negeri terus beroperasi; menutup semua operasi ladang berkenaan; atau mengadakan ladang ternak yang menggunakan sistem moden serta berkelompok [harakahdaily.net 12/04/08].

Hukum Yang Berkaitan Penternakan Dan Jual Beli Babi

Perlu difahami bahawa apabila Islam mengharamkan umatnya memakan daging babi maka ia sekali gus bermakna haram untuk menternaknya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih kerana selain Allah...” [TMQ Al-Maidah (5):3]. Ayat ini juga sebenarnya meng-isyarah-kan pengharaman terhadap ‘penternakan’ babi. Itulah pengertian yang dimaksudkan oleh nas yang meng-isyarah-kan hukum tersebut. Oleh kerana itu jika hukum syara’ telah secara jelas mengharamkan memakan babi maka hukum syara’ juga menjelaskan akan keharaman untuk menternaknya. Para ulama ahli usul telah menetapkan definisi bahawa dalalatul isyarah (dalil isyarat) sebagai “Kalimat yang susunannya bermaksud menerangkan suatu ketentuan hukum atau menunjukkan suatu ketetapan hukum jika di dalamnya mengandungi pengertian hukum selain yang diterangkan oleh susunan kalimat itu”. Maksudnya, bagi ketetapan ‘hukum lain’ yang tidak langsung dimaksudkan oleh kalimat tersebut, maka pengertiannya ditunjukkan dengan isyarah; itulah yang dinamakan sebagai dalil iltizam.

Terdapat banyak contoh dalam persoalan ini, antaranya ialah firman Allah, “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka kahwinilah perempuan-perempuan lain yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki... [TMQ an-Nisa’(4):3]. Ayat ini secara jelasnya menerangkan kedudukan lelaki yang berkahwin dengan dua, tiga atau empat orang wanita. Namun demikian, ayat ini juga mengandungi isyarah yang menunjukkan ‘pembatasan’ jumlah isteri kepada empat orang sahaja, walaupun ‘ketentuan pembatasan’ itu tidak disebut secara langsung di dalam susunan ayatnya. Demikian juga halnya dengan setiap ayat yang mengandungi pengertian seperti itu walaupun ayat itu sendiri tidak langsung bermaksud menerangkan atau menunjukkan persoalannya. Pengertian itu berupa isyarah yang terkandung di dalam makna kalimat tersebut. Itulah yang dinamakan dalalatul isyarah. Dengan demikian, firman Allah yang bermaksud, “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah dan daging babi...” di dalamnya terkandung pengertian berdasarkan dalalatul iltizam yang mengharamkan aktiviti menternak babi. Sekalipun susunan kalimat ayat tersebut tidak secara langsung menerangkan pengharaman menternak atau menggembala babi, namun pengertian sedemikian itu lazim tercakup di dalam makna itu sendiri. Ini adalah kerana pengharaman makan daging babi sudah pasti juga mengandungi pengertian mengharamkan juga apa-apa perbuatan yang berkaitan dengan babi mulai dari menternak, mengembang-biakkannya, menggembalanya dan sebagainya. Tegasnya ialah, jika Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan atau melarang sesuatu, maka pengertian yang terdapat di dalam perintah dan larangan itu tidak semata-mata mengandungi makna menurut al-manthuq (teks yang diucapkan), namun termasuk juga makna yang di ambil berdasarkan dalalatul iltizam.

Tambahan dari itu, dalam persoalan jual-beli babi pula, dinyatakan bahawa Jabir ra pernah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Allah Subhanahu wa Ta’ala mengharamkam penjualan dan pembelian arak, bangkai dan babi’. Seorang sahabat bertanya, “ Wahai Rasulullah! bagaimanakah dengan lemak babi, ia dapat digunakan untuk mengecat perahu, untuk menghaluskan kulit dan digunakan pula sebagai penerang (lampu)?’ Baginda menjawab. ‘Tidak, ia tetap haram!’ Kemudian baginda melanjutkannya lagi, ‘Allah mengutuk orang-orang Yahudi. Allah mengharamkan mereka makan lemak babi, tetapi mereka mengumpukkannya lalu menjualnya dan makan duit hasil dari penjualan khinzir” [HR Bukhari, Muslim dan Ashabul-Sunan]. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda, “Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuk orang-orang Yahudi, mereka diharamkan makan lemak babi tetapi mereka menjualnya dan makan duit hasil dari penjualan babi. Sesungguhnya bila Allah Subhanahu wa Ta’ala mengharamkan suatu kaum daripada makan sesuatu, maka diharamkan juga makan duit dari penjualannya” [HR Ahmad dan Abu Dawud].

Babi Yang DiTernak Oleh Orang Kafir

Keharaman babi ke atas orang Islam sudah pun jelas, tidak kiralah sama ada dagingnya, lemaknya, kulitnya atau sebagainya, termasuklah juga aktiviti menternak, memelihara, memperjualbelikan atau mengambil apa jua keuntungan dari binatang najis ini, keharamannya sudah tidak perlu dipertikaikan lagi. Yang masih menjadi kekeliruan atau persoalan kepada sebahagian dari umat Islam adalah ketentuan berkaitan hukum babi ini ke atas orang kafir, khususnya aktiviti menternak atau memperjualbelikannya. Sebelum menjelaskan hukum-hakam yang berkaitan, marilah kita sama-sama melihat bagaimana pemimpin-pemimpin Islam terdahulu yang jauh lebih mulia dari pemimpin-pemimpin yang ada sekarang, menangani masalah binatang haram ini dalam pemerintahan mereka.

Abu Umamah meriwayatkan bahawasanya Khalifah Umar Al-Khattab ra pernah berkata, “Berlatihlah ketangkasan berkuda, berhati-hatilah dan jangan kamu berakhlak seperti orang-orang ‘ajam (orang bukan Isam), jangan mendekati khinzir atau menegakkan salib di antara orang-orang Muslim”. Laits bin Abi Sulaim meriwayatkan bahawasanya Khalifah Umar ra pernah menulis surat kepada penguasa daerah dan memerintahkan mereka supaya membunuh khinzir dan membayar ganti rugi dengan mengurangkan pembayaran jizyah (bayaran yang wajib dibayar oleh kafir zimmi kepada Daulah Islam). Semuanya itu menunjukkan bahawa kaum Muslimin mahupun kafir zimmi dilarang memelihara atau pun melakukan perdagangan babi baik di dalam negeri mahupun dengan pihak luar negara. Diriwayatkan juga bahawa Khalifah Umar Al-Khatab mengecam Samurah bin Jundub yang mahu menerima pembayaran kharaj dan jizyah dari kafir zimmi yang berupa hasil penjualan arak dan khinzir. Ketika itu Khalifah Umar berkata dengan tegas, “Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuk Samurah iaitu pegawai kami di Iraq kerana dia mencampurkan harga arak dan khinzir ke dalam belanjawan hak kaum Muslimin itu. Arak dan khinzir adalah haram dan hasilnya juga adalah haram!” (Lihat kitab Musannaf, Abdurrazzaq Jilid VI halaman 75 dan jilid X halaman 196). Lebih jauh dari itu Khalifah Umar berkata, “Tidak halal berjualbeli sesuatu yang tidak dihalalkan memakan dan meminumnya” [Sunan Al-Baihaqi 6/14].

Oleh kerana itulah, kita dapati bahawa Khalifah Umar ra menetapkan syarat bagi kafir zimmi agar tidak membiarkan khinzir milik mereka berkeliaran di jalan-jalan tempat lalu lintas kaum Muslimin. Kemudian beliau mengambil tindakan yang lebih keras lagi iaitu memerintahkan pembunuhan khinzir yang ada pada kafir zimmi dan membayar penggantian harganya dengan dipotong dari jizyah yang wajib mereka bayar kepada Daulah. Semua yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khatab ra memperkuatkan lagi mafhum ayat tentang keharaman segala jenis aktiviti yang terkait dengan khinzir, termasuk penternakan. Dalam suratnya yang dikirimkan kepada pemerintah-pemerintah daerah, beliau mengatakan antara lainnya “Jangan ada seekor khinzir yang berdekatan dengan kamu, jangan ada orang-orang Nasrani di antara kamu yang menegakkan salib-salibnya dan jangan menghadiri jamuan makan yang di dalamnya ada orang yang minum arak. Berlatihlah menunggang kuda dan belajarlah memanah”. Apa yang diperintah oleh Khalifah Umar itu tidak dibantah oleh seorang sahabat pun. Mereka sepakat bersetuju dengan tindakan Umar yang melarang penternakan khinzir dan tidak membolehkan seorang Muslim ataupun kafir zimmi memelihara khinzir di dalam Daulah Islam.

Ibnu Abbas berpendapat bahawa kafir zimmi mesti dilarang memiliki, memelihara dan memperjual-belikan khinzir. Sebuah riwayat yang berasal dari Ibnu Abbas sendiri menerangkan ketika dia ditanya tentang orang ‘ajam (orang kafir non-Arab), “Apakah mereka boleh membangunkan kuil dan gereja di daerah-daerah/bandar yang dibangunkan oleh orang-orang Arab (Islam)? (jawabnya) ‘Mereka tidak dibolehkan membangunkan kuil atau gereja, tidak boleh memperlihatkan arak dan tidak boleh memelihara khinzir”. Ibnu Abbas berpendapat kafir zimmi yang bermukim di daerah-daerah kaum Muslimin dilarang memelihara khinzir, samalah dengan pendapat Khalifah Umar Al-Khatab ra. Kedua-dua pendapat mereka ini telah dipersetujui para sahabat dan kita perlu faham bahawa adalah sesuatu yang mustahil bagi para sahabat (secara ijmak) bersetuju/bersepakat di atas ketentuan sesuatu hukum kecuali setelah mereka mengetahui dan memahami dalil syar’i yang berasal dari Al-Quran atau pun dari ucapan, perbuatan mahu pun taqrir Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dengan penjelasan di atas maka adalah jelas bahawa secara amnya memelihara atau menternak khinzir adalah diharamkan bagi kaum Muslimin, Nasrani, Yahudi dan kaum musyrikin serta atheis yang ada di dalam Negara Islam. Oleh kerana itu penternakan dan perdagangan khinzir di Negara Islam, baik yang dilakukan oleh kaum Muslimin mahupun kafir adalah dilarang tetapi dibenarkan bagi orang kafir untuk kegunaan mereka sendiri sahaja dan dalam kuantiti yang terbatas. Mereka dibenarkan memakan (termasuk berjual beli - sesama mereka sahaja) atau memelihara binatang najis ini (untuk kegunaan sendiri), tetapi dalam jumlah yang kecil sahaja dan langsung tidak dibenarkan ke atas mereka menternak atau memperdagangkan benda haram ini dalam skala yang sederhana mahupun besar (sebagaimana berlaku sekarang). Dalam hal ini kita perlu faham bahawa, meskipun orang kafir memandang yang meminum arak dan makan babi dibolehkan oleh agama mereka, tetapi ia tetap tertakluk kepada undang-undang Islam yang merupakan ‘undang-undang negara’ tempat mereka hidup/tinggal. Perintah Khalifah wajib mereka taati. Negara Islam adalah negara yang mana hukum Allah wajib diberlakukan di dalamnya, termasuklah ke atas orang-orang kafir sekalipun. Kafir zimmi dan mana-mana orang kafir yang dibenarkan tinggal di dalam Daulah adalah golongan yang wajib tunduk kepada semua hukum Allah yang menjadi hukum (undang-undang) Daulah Islam, kecuali beberapa perkara yang dibenarkan oleh Islam ke atas mereka sahaja.

Apa Tindakan Kita?

Hakikat yang terpaksa kita hadapi sekarang adalah aktiviti penternakan babi haram ini telah pun wujud dan ‘merajalela’ di dalam Negara Islam Hadhari ini. Dilaporkan bahawa jumlah ladang ternakan babi di seluruh negara setakat ini adalah sebanyak 870 buah yang mana 666 adalah di Semenanjung, 53 (Sabah) dan 151 (Sarawak). Jumlah pengeluaran daging babi pada tahun 2006 pula ialah 210,510 tan, melebihi keperluan masyarakat bukan Islam tempatan iaitu hanya 197,513 tan. Menurut perangkaan yang dikeluarkan menerusi laman web Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), lebihan pengeluaran itu ialah sebanyak 12,997 tan. Perangkaan pada tahun itu menunjukkan wujud perbezaan ketara dengan pengeluaran daging lembu di negara ini yang hanya berjumlah 31,885 tan. Jumlah itu adalah amat sedikit berbanding permintaan besar terhadap daging lembu oleh orang ramai iaitu sebanyak 146,373 tan. Dalam pada itu, perangkaan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) pula menunjukkan nilai pengeluaran daging babi di Malaysia adalah lebih besar berbanding lembu dan kambing. Jumlah ternakan babi pula ialah 1.8 juta ekor iaitu 1.5 juta di Semenanjung Malaysia, 70,000 di Sabah dan 290,000 di Sarawak [UM 15/04/08].

Begitulah hebatnya statistik babi di negara ini. Dengan teknologi moden yang akan di bawa ke Selangor yang bakal menelan belanja hingga RM100 juta, tidak mustahil jumlah binatang haram ini akan terus bertambah. Bagi yang prihatin, memang tersirap darah dibuatnya dengan statistik yang dibentangkan. Apa tidaknya, dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya adalah Muslim, tetapi jumlah pengeluaran daging lembu dan kambing jauh lebih rendah berbanding jumlah pengeluaran binatang haram tersebut. Walaupun secara emosinya darah kita naik dek situasi ini, namun, sebagai seorang Muslim, diri kita hendaklah dipandu mengikut hukum syarak, bukannya emosi semata-mata. Umat Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia umumnya juga sepatutnya bukan hanya sekadar sensitif dengan isu babi tetapi mereka juga sepatutnya peka dengan isu kilang arak Carlsberg di Shah Alam dan juga Guinness Stout di Petaling Jaya, kasino judi di Genting Highland, bank-bank riba yang tinggi menjulang dan juga lain-lain pusat maksiat yang bersepah-sepah di negara ini. Umat Islam juga mestilah sedar dan peka apabila melihat bangunan Parlimen dan bangunan Dewan Undangan Negeri yang tersergam megah yang mana sesungguhnya inilah antara (tempat) punca dan pusat maksiat terbesar di Malaysia di mana dari sinilah segala keharaman yang ada di Malaysia telah ‘diluluskan’ dengan jayanya.

Wahai Kaum Muslimin! Isu babi ini hanyalah secebis dari malapetaka penerapan hukum kufur yang dilaksanakan di negara umat Islam. Kita sudah lama hidup dalam sistem yang penuh keburukan dan kehinaan ini. Justeru, persoalan dan kewajiban kita sekarang adalah bagaimana untuk mengubah keadaan buruk ini kepada keadaan yang diredhai oleh Allah. Isu binatang jijik ini adalah isu bagi seluruh umat Islam yang wajib ditangani oleh semua pihak yang memiliki akidah Islam. Setiap Muslim mestilah menanggapi isu ini dengan kesatuan pemikiran dan perasaan yang lahir dari aqidah dan hukum-hakam Islam. Bagi para mufti yang ada, janganlah hanya terus selesa duduk di kerusi empuk dengan dikelilingi kitab-kitab fikih yang tersusun rapi di rak-rak kayu jati yang beribu harganya. Beleklah kitab-kitab tersebut dan lihatlah hukum Allah yang dibawa oleh para Khalifah Rasyidun dan ulama terdahulu tentang hukum penternakan dan perdagangan babi di dalam sebuah negara Islam. Bagi mereka yang pakar dalam alam sekitar, buatlah kajian dan turunlah ke lapangan serta dedahkan dan hebahkanlah segala kesan buruk dari penternakan babi ini kepada masyarakat dan penguasa. Bagi media arus perdana, janganlah hanya terus-menerus memperhambakan diri kepada parti pemerintah dengan memperbesar-besarkan isu babi ini dalam rangka memburukkan ‘musuh’ sang penguasa pusat. Dedahkanlah segala kejijikan tentang babi, terangkanlah segala keburukan dari segi ekosistem dan siarkanlah segala pandangan Islam tentang binatang muka bermuncung ini agar hukum-hukum Allah diketahui oleh semua orang termasuklah orang-orang kafir. Mudah-mudahan mereka beroleh hidayah.

Yang paling penting adalah bagi mereka yang berkuasa, lihatlah apa yang dikehendaki (hukum) Allah dalam masalah ini, bukan melihat apa yang dikehendaki oleh penternak, pedagang atau penggemar babi. Kepada yang memegang kekuasaan, sampai bilakah kalian akan terus meletakkan Deen Allah di bawah kehendak orang-orang kafir? Sampai bilakah kalian akan terus memerintah atas asas kerjasama dengan orang-orang kafir dengan melaksanakan apa jua undang-undang atau polisi yang disukai oleh orang-orang kafir, walaupun jelas-jelas kalian telah melanggar hukum Allah? Apa jua pakatan dan kerjasama yang kalian lakukan dengan orang-orang kafir hanyalah akan ‘menyempitkan’ kehidupan kalian dan akan membuatkan kalian terus tersepit. Lebih penting, kalian hanya akan mengundang murka Allah di dunia dan akhirat. Pemimpin pusat yang beragama Islam mahupun pemimpin negeri yang juga beragama Islam perlulah melihat bahawa isu ini adalah isu Islam dan ia adalah isu bersama umat Islam. Azab Allah akan menanti kalian jika kalian membelakangkan hukum Allah dalam apa jua masalah. Ratusan juta yang kalian belanjakan, jika tidak kerana Allah, maka penyesalan jualah yang akan menunggu kalian di akhirat kelak. Alangkah mulianya jika wang ratusan juta itu dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah, daripada dibelanjakan ke jalan yang diredhai oleh orang-orang kafir. Mengapa akal dan kudrat yang ada diperah dan diguna untuk berfikir dan bersungguh-sungguh berusaha bagi memoden dan ‘mengindahkan’ sesuatu yang haram, walhal akal tersebut sepatutnya diguna untuk memahami hukum-hukum Allah dan kudrat itu wajib diguna untuk bersungguh-sungguh berusaha untuk meninggikan syiar Allah. Amat malang sekali apabila babi yang menjadi ‘syiar’ bagi orang-orang kafir dijaga rapi, manakala hukum-hukum Allah yang menjadi syiar Islam diketepi.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Di dalam Negara Islam, syiar kufur seperti ladang ternakan babi ini tidak boleh wujud atau dibenarkan beroperasi. Syiar Islamlah yang satu-satunya wajib ditonjolkan dan syiar kufur wajib dihapuskan. Mengapakah pemimpin Islam sekarang perlu terus ‘membela’ atau ‘menjaga’ binatang haram ini walhal pemimpin Islam yang terdahulu telah pun menghapuskannya. Bahkan, Nabi Allah yang akan datang nanti pun akan turut menghapuskan binatang najis ini. Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, sungguh akan turun di tengah kalian Ibnu Maryam (Isa) as sebagai hakim yang adil. Ia akan memecahkan salib-salib, membunuh babi-babi dan menggugurkan jizyah serta membagikan harta hingga tidak ada yang menerimanya seorang pun” [HR Bukhari & Muslim]. Berdasarkan hadis ini, adalah tidak mustahil bahawa babi yang diternak di ladang ternakan moden yang bernilai RM100 juta nanti pun (termasuklah 870 buah ladang dan 1.8 juta ekor babi yang ada di Malaysia - jika masih wujud di kala itu) adalah termasuk di dalam babi-babi yang akan dimusnahkan oleh Nabi Allah Isa as. Jika Nabi Isa as akan diturunkan oleh Allah untuk antara lainnya memusnahkan babi, mengapa pula pemimpin yang ada perlu terus mewujud dan memodenkannya? Saudaraku, yakin dan ketahuilah bahawa apabila munculnya seorang Khalifah nanti dan syariat Islam diterapkan secara kaffah, maka segala kebatilan dan kekufuran yang ada akan hancur musnah. Dan hakikat ini Insya Allah hanya akan dapat dicapai dengan kerjasama dari semua pihak untuk berusaha menegakkan semula Daulah Khilafah yang mana apabila tertegaknya institusi politik agung umat Islam ini, maka kemenangan dan pertolongan Allah akan terus tercurah ke atas kita dan pada waktu ini, orang-orang kafir akan masuk ke dalam agama Allah secara berbondong-bondong, Insya Allah.