Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

AIR MILIK KITA

by AURA JIHAD

Air percuma! Itulah antara janji yang dimasukkan ke dalam manifesto Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) di Selangor sekitar musim Pilihan raya Umum ke-12 yang lalu. Isu itu kini disifatkan sebagai ‘tarik tali’ antara kerajaan negeri Selangor dengan rakyat, oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo. Ini kerana janji air percuma kepada rakyat Selangor sebanyak 20 meter padu pertama setiap bulan yang dijadual bermula dari April 2008 telah ditangguhkan ke bulan Jun nanti. Khir Toyo mendakwa kos sebanyak RM17 juta sebulan terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri jika perkara itu dilaksanakan. Bagaimanapun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan jumlah pampasan itu tidak mencecah sehingga RM17 juta sebulan sebagaimana didakwa Khir Toyo. Kerajaan negeri bersedia membayar pampasan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) bagi membolehkan penduduk Selangor mendapat bekalan air percuma 1 Jun ini dan saya akan bagi tahu kira-kira (jumlah pampasan) yang lebih munasabah daripada itu (RM17 juta), katanya [UM 30/04/08]. Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat membeli atau mengambil alih Syabas, dan ketika ini kerajaan negeri hanya memaklumkan secara bertulis kepada Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad mengenai pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat setiap bulan mulai 1 Jun ini [UM 05/05/08]. Penundaan ini menimbulkan sedikit keresahan di kalangan rakyat Selangor tentang janji pilihan raya yang telah ditabur ini. Sedikit sebanyak ia turut menjejaskan kredibiliti kerajaan Selangor sekarang serta memberi peluang kepada pembangkang (BN) memainkan isu ini. Antara yang diketengahkan oleh pembangkang adalah isu pendapatan kerajaan negeri. Mereka membandingkan jumlah pendapatan kerajaan negeri sebelum ini dengan perancangan kerajaan Selangor yang baru melalui kutipan cukai. Hujah mereka, jika pakej air percuma diteruskan, nescaya perolehan kerajaan negeri nanti akan berkurangan dan akan menyebabkan masalah dalam memajukan negeri Selangor [UM 25/4/08].

Walaupun usaha ini dilakukan oleh kerajaan pimpinan Parti KeAdilan Rakyat (PKR), namun sekali fikir agak pelik juga kenapa kerajaan negeri lain di bawah gabungan Pakatan Rakyat tidak melakukan usaha yang sama. Apa pun, bagi kira-kira 1.5 juta pengguna air di Selangor yang menggunakan meter individu, ‘bonus’ dari kerajaan baru Selangor ini sangat dinantikan. Maklumlah, kos sara hidup terutama di Selangor sememangnya semakin meningkat dari masa ke semasa, apatah lagi sejak kebelakangan ini. Meski pun apa yang dilakukan oleh kerajaan baru Selangor ini boleh dipuji, namun sebagai Muslim, kita perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam dan wajib pula bagi kita menilai perkara ini sama ada bertepatan dengan Islam atau tidak. Kita perlu melihat sama ada pemberian air percuma untuk 20 meter padu pertama itu benar-benar adil untuk semua orang dan menepati kehendak Islam atau tidak? Sebagai Muslim, kita wajib meletakkan piawai keadilan dan kebenaran itu kepada Islam, bukan kepada akal semata-mata. Kita wajib memerhatikan setiap tindakan kita atau tindakan saudara kita, atau tindakan pemerintah sekali pun, sama ada bertepatan dengan apa yang Allah kehendaki atau tidak. Dan wajib pula bagi kita untuk memuhasabah pemerintah jika apa yang mereka lakukan itu menyimpang dari hukum syarak, walaupun secara zahirnya ia (penyimpangan itu) nampak baik. Sautun Nahdhah minggu ini akan mengupas isu air ini dengan lebih terperinci khususnya berhubung hak pemilikan dan pengurusan air dalam sebuah negara dari perspektif Islam.

Percuma 20 meter padu – Apa Yang Tak Kena?

Memang setiap akal yang waras sepatutnya bersetuju dengan pemberian air secara percuma, walaupun hanya 20 meter padu. Namun akal yang waras sahaja, jika tidak disandarkan dengan hukum Allah, tidak akan dapat mencapai kebenaran. Dengan menggunakan akal yang waras, apabila seseorang melihat wanita yang bertudung, walaupun pendek (tudungnya), itu adalah lebih baik dari wanita yang tidak bertudung. Namun, apabila hukum Allah dijadikan sandaran, maka seseorang itu akan sampai kepada kebenaran bahawa bertudung pendek itu tetap salah kerana menyalahi syarak, kerana Allah memerintahkan seseorang wanita itu bertudung labuh menutupi bahagian dada. Begitu juga bagi lelaki yang berseluar pendek, walaupun ia dikatakan menutupi sebahagian auratnya, namun ia tetap berdosa kerana menyalahi syarak, kerana perintah Allah adalah menutupi hingga ke lutut. Justeru, sebelum kita pergi lebih jauh membincangkan tentang hukum pemilikan dan pengagihan air, kita tinjau dulu persoalan mengenai kadar 20 meter padu yang ditawarkan. Apakah nisbah ini (20 meter padu ‘per isi rumah’) adalah jumlah yang sejajar dengan keperluan ‘per individu’? Maksudnya, apakah setiap individu akan mendapat jumlah yang adil? Dengan kata lain, adakah jumlah ini mencukupi bagi sebuah keluarga besar yang menghuni dalam sebuah rumah? Sebagai contoh, bagi keluarga yang mempunyai 13 orang isi rumah, apakah 20 meter padu air percuma tersebut mencukupi untuk mereka berbanding dengan keluarga yang hanya mempunyai 5 orang isi rumah? Ini pastinya tidak akan memberi keadilan kepada keluarga yang besar, manakala bagi keluarga yang kecil pula, mungkin akan timbul sikap untuk membuang air sewenang-wenangnya selagi tidak mencecah kuota yang diberi.

Jika kita benar-benar ingin mencapai keadilan, maka apa yang perlu dilihat dan dikira terlebih dahulu adalah keperluan bekalan air secara purata untuk ‘setiap individu’ penduduk Selangor. Untuk tujuan ini, kajian dapat dilakukan oleh kerajaan negeri dengan mengira purata penggunaan air berasaskan bilangan isi rumah. Setelah mendapat jumlah purata, barulah kadar air ditetapkan, dengan menisbahkan meter padu air tersebut kepada ‘setiap individu’, bukannya kepada ‘setiap rumah’. Sebagai contoh, jika setiap pengguna (individu) menggunakan 5 meter padu setiap bulan, maka pemberian air percuma berasaskan bilangan isi rumah bagi sebuah rumah yang mempunyai 10 orang ahli keluarga seharusnya menjadi 50 meter padu. Inilah pemberian yang seadilnya berbanding pemberian pukul rata sebanyak 20 meter padu setiap rumah. Kes seperti ini pernah dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab di mana pada zaman beliau, Umar pernah menulis surat kepada orang yang miskin untuk datang kepada beliau. Umar kemudian memasak satu jarib bijirin gandum dengan pencecahnya sekali untuk dimakan oleh 30 orang pada waktu tengah hari. Umar kemudian mengulanginya sekali lagi pada waktu makan malam. Setelah mendapat kira jumlah purata yang dimakan oleh 30 orang miskin tersebut, Umar lalu berkata, “Nampaknya setiap orang mencukupi untuk mereka dua jarib bijirin gandum untuk keperluan hidup mereka”. Selepas itu Umar memperuntukkan setiap 2 jarib untuk setiap ahli rumah tanpa mengira lelaki atau perempuan atau hamba [Al-Ahkam Al-Sulthaniyyah, Imam al-Mawardi]. Kaedah seperti inilah yang perlu dicontohi dalam pemberian air percuma ini (yakni) mengira secara purata penggunaan air untuk setiap individu, kemudian ditentukan kuantitinya berasaskan bilangan isi rumah. Dengan cara ini, barulah keadilan akan tercapai.

Air Adalah Milik Awam

Di Malaysia, berdasarkan Perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid, terdapat beberapa perbezaan bidang kuasa di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri berhubung persoalan air. Dalam Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) Fasal 11 (b) memperuntukkan bahawa: bekalan air, sungai dan terusan, kecuali yang keseluruhannya terletak di dalam satu negeri atau yang dikawal selia oleh suatu perjanjian antara semua negeri yang berkenaan pengeluaran, pengagihan dan pembekalan kuasa air - adalah terletak di bawah bidang kuasa pusat. Menurut Senarai II (Senarai Negeri) pula, Fasal 6 (c) memperuntukkan bahawa: tertakluk kepada Senarai Persekutuan, air (termasuk sungai dan terusan tetapi tidak termasuk bekalan dan perkhidmatan air); pengawalan kelodak dan hak riparia - adalah berada di bawah bidang kuasa negeri. Peruntukan yang berbelit-belit ini secara ringkasnya memberikan hak mengelola dan mengenakan bayaran pengurusan air kepada kerajaan negeri. Ia juga membenarkan pengelolaan ini untuk diserahkan kepada pihak ketiga yang ada perjanjian dengan kerajaan negeri (seperti Syabas).

Itulah kedudukan undang-undang di dalam negara sekular ini. Manakala di dalam Islam, Asy-Syari' (Allah Subhanahu wa Ta’ala) telah menetapkan bahawa air adalah termasuk dalam hak milik awam (milkiyyah al-'ammah), dan bukannya hak milik negara atau negeri. Hak milik awam atau harta benda awam (public properties) adalah suatu ‘aset’ yang mana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan pemilikan(ownership)nya kepada semua Muslim secara sama rata. Allah membenarkan setiap individu Muslim ‘memanfaatkannya’ (menggunakannya), tetapi setiap individu itu dilarang ‘memilikinya’. Di dalam Islam, aset (harta benda awam) ini dapat digolongkan kepada tiga kategori:-

(1) Keperluan awam (public utilities), yang mana masyarakat adalah bergantung kepadanya di dalam kehidupan;

(2) Aset atau sumber alam yang sifat (semula jadi) kejadiannya tidak membolehkan ia dimiliki oleh individu secara perseorangan (contohnya sungai, tasik, laut, terusan, jalan raya, tempat letak kereta awam, masjid, musolla, Mina, Arafah, Muzdalifah dan seumpamanya); dan

(3) Bahan galian atau mineral yang banyak atau berlebih-lebihan yang tidak putus (contohnya petroleum, gas, emas, bijih timah dan yang seumpamanya)

Semua aset di atas adalah hak milik awam (milkiyyah 'ammah) yang mesti dikongsi bersama oleh anggota masyarakat dan tidak boleh (haram) dimiliki oleh mana-mana individu, syarikat swasta mahupun negara, apatah lagi dimiliki untuk dikaut keuntungannya (sebagaimana berlaku sekarang). Oleh sebab keterbatasan ruang dan sebagai fokus perbincangan, kami hanya akan membincangkan aset kategori pertama sahaja. Kategori pertama adalah berupa suatu keperluan/kemudahan awam yang menjadi tempat bergantung masyarakat dan jika ia tidak ada, menyebabkan orang ramai bersengketa dalam usaha untuk mendapatkannya. Air adalah termasuk dalam kategori ini. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam telah menjelaskan perkara ini dalam satu hadis berkenaan ‘sifat’ keperluan awam tersebut. Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud]. Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan, “wa tsamanuhu haram” (“dan harganya adalah haram"). Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah]. Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah membenarkan semua orang berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana orang menghalangi orang lain dari menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun boleh ‘mengindividukan’ atau menswastakan suatu aset yang mana Allah telah menyediakannya kepada awam.

Harus dibezakan di sini satu kedudukan di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam membenarkan beberapa individu di Khaibar dan Taif memiliki telaga yang digali masing-masing untuk kegunaan mereka sendiri bagi meminum darinya, memberi minum kepada ternakan mereka dan juga mengairi tanaman mereka. Harus difahami bahawa telaga-telaga yang digali itu adalah kecil sahaja dan tidak terdapat ‘sifat’ keperluan awam padanya. Maksudnya, masyarakat Khaibar dan Taif tidak memerlukannya kerana keperluan air mereka sudah pun terpenuhi. Jadi, kedua-dua hadis tentang kedudukan hal ini tidaklah bercanggah antara satu sama lain. Kita cuma perlu memahami kedua-dua hadis dalam konteks yang benar yakni, apabila kedudukan air itu menjadi keperluan awam, maka ia adalah milkiyyah 'ammah dan dilarang dari dimiliki oleh mana-mana individu, tetapi jika kedudukan air itu tidak lagi diperlukan awam (telah ada sumber lain), maka ia boleh dimiliki oleh individu atas usahanya sendiri, seperti air perigi. Ukurannya di sini adalah, jika benda (air) itu tiada, masyarakat akan berusaha untuk mendapatkannya dan bersengketa kerananya.

Juga, dikecualikan dalam kes ini adalah sungai-sungai besar atau tasik-tasik yang luas. Di sini setiap orang boleh memasang apa jua alat di atasnya atau di tepinya di mana dengan alat ini, dia boleh mengambil air untuk kegunaan dirinya sendiri dan juga untuk memberi minum kepada orang lain dengan mengambil upah. Ini adalah kerana, dengan pengambilan air ini ia tidak menghalang siapa pun jua untuk mengambil air dari sungai atau tasik yang sama dan ia juga tidak menghalang orang lain dari memasang peralatan yang sama untuk melakukan perkara yang sama. Dengan kata lain, kewujudan dan sifat air itu sebagai hak milik umum tidak hilang. Adapun bagi sungai atau tasik yang kecil, kolam, danau atau sebagainya yang mana jika dibuat peralatan di atasnya akan menghalangi manusia lain sehingga menyebabkan hanya segelintir manusia sahaja yang dapat memanfaatkannya, maka dalam hal ini ia tidak boleh dimilik individukan; perbuatan seumpama ini adalah haram. Ini kerana ia telah menghilangkan sifat/karakteristik air di tempat tersebut sebagai hak milik umum.

Sehubungan dengan kedudukan air sebagai milkiyyah 'ammah, perlu juga difahami bahawa apa jua peralatan yang digunakan untuk membekalkan air tersebut kepada orang ramai, maka semua peralatan tersebut juga adalah milkiyyah 'ammah, seperti mesin pengepam atau generator yang digunakan, saluran paip, loji pembersih air berserta peralatannya, menara takungan air dan sebagainya. Semua perkara tersebut adalah secara automatiknya juga merupakan hak milik awam. Inilah kedudukan hukum berkenaan pemilikan air di dalam Islam. Berdasarkan nas, cukup jelas bahawa di sisi Islam, air merupakan hak milik umum yang tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana pihak, termasuk pihak pemerintah. Sungguh malang nasib yang menimpa umat Islam hari ini apabila pemerintah tidak merujuk kepada hukum Allah di dalam pemerintahan mereka, sebaliknya mereka berhukum dengan sebuah perlembagaan yang dicipta oleh kafir penjajah. Air bukan sahaja menjadi milik kerajaan (pemerintah), malah ‘diperniagakan’ untuk dikaut keuntungannya habis-habisan. Hasilnya, rakyat yang sepatutnya menikmati kemudahan ini dengan percuma, menjadi tertindas dan dizalimi. Hak mereka dirompak, darah dan keringat mereka disedut oleh para pemerintah. Inilah natijah dari penerapan dan perlaksanaan sistem ekonomi Kapitalisme yang mana ‘keuntungan’ menjadi piawai dan ukuran untuk para penghisap darah ini terus hidup.

Strategi Pengurusan Air Dalam Negara

Setelah mengetahui hukum pemilikan air, persoalan seterusnya adalah bagaimanakah air ini boleh diurus dalam sesebuah negara. Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya berjudul Al-Amwal Fi Daulah al-Khilafah (Sistem Kewangan dalam Negara Khilafah), terdapat tiga kaedah pengurusan hak milik umum yang boleh dijalankan oleh negara. Ini termasuklah isu pengurusan air. Oleh kerana air merupakan hak milik umum dan negara merupakan badan pentadbir (kiyan tanfizi), maka wajib bagi negara mengurus bekalan air, tanpa menghilangkan sifatnya sebagai hak milik umat. Antara kaedah pengurusan yang boleh digunakan adalah:-

(1) Negara mengusahakan sendiri pengurusan air dan membekalkannya kepada rakyat. Melalui kewangan negara, negara dapat memperoleh peralatan pemprosesan air sendiri seperti saluran paip, penapis air, menara takungan dan sebagainya bagi tujuan tersebut. Dan dengan alat-alat tersebut, dibentuk suatu usaha (jabatan pengendali) menjalankan proses perbekalan air sepenuhnya tanpa campur tangan dari luar. Negara boleh mengekalkan hak pemilikan ke atas alat-alat perusahaan tersebut atau memindahkan hak miliknya kepada pemilikan umum yakni di bawah akaun pemilikan umum di dalam Baitul Mal. Jika ini berlaku (pemindahan hak milik), maka kesemua peralatan tadi akan menjadi hak milik umum, namun pengendalian dan penyelenggaraannya tetap dilakukan oleh negara.

(2) Negara boleh menyewa peralatan pemprosesan air yang dinyatakan di atas dari mana-mana pihak yang memiliki harta tersebut serta mengendalikannya sendiri (oleh jabatan pengendali). Bayaran sewa (ujr) dibayar kepada pemilik peralatan tersebut melalui akaun negara di Baitul Mal atau menggunakan mana-mana masukan kewangan dalam akaun pemilikan umum kerana ia bersangkutan dengan kepentingan umum.

(3) Negara boleh menyerahkan urusan bekalan air kepada mana-mana individu atau firma (syarikat pengendali bekalan air) dengan syarat pemilikan ke atas air masih tetap milik umum, bukannya diserahkan atau dimonopoli oleh syarikat terbabit. Dengan kata lain, pihak yang telah diserahkan negara mengendali urusan bekalan air tadi hanya akan dibayar upahnya sahaja, bukan mendapat keuntungan dari pengeluaran bekalan air tadi. Kaedah ini menjadikan rakyat tidak dibebankan oleh kenaikan kos pengeluaran oleh syarikat air, kerana tugas mereka adalah untuk menguruskannya bukannya mengambil keuntungan dari penjualan barangan milik awam ini (air). Dalam suasana sekarang, sebenarnya akibat dari air yang diurus oleh pihak swastalah, harga air akan dinaikkan bila kos penyelenggaraan meningkat.

Apa pun yang negara lakukan, hukum syarak terhadap air ini adalah kekal, tidak berubah - iaitu ia adalah milik umum. Di dalam Islam, negara (pemerintah), sesuai dengan sifatnya sebagai pemelihara rakyat, hanyalah menjadi badan yang mengelola agar milkiyyah 'ammah ini sampai kepada rakyat dengan cara yang telah digariskan oleh Islam. Berbeza dengan keadaan sekarang di bawah sistem sekular di mana negara menjadi perampas hak rakyat. Walaupun pemerintah pada hakikatnya telah merompak hak rakyat, namun mereka bebas dari hukuman, kerana merekalah yang membuat peraturan yang membenarkan mereka mengaut segala kekayaan. Di dalam Islam, tidak timbul soal pembahagian kuasa yang berbelit-belit di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sehingga hak rakyat di suatu kawasan/negeri ‘ditentukan’ oleh sebuah kerajaan tersendiri, manakala hak rakyat di kawasan/negeri lain, ditentukan pula oleh kerajaan lain. Rasulullah tidak pernah menunjukkan kepada kita perkara ini. Hak rakyat di dalam Daulah Islam, di mana jua pun mereka tinggal adalah sama di sisi syarak kerana hukum Allah itu sama sahaja bagi semua kaum Muslimin, tanpa mengira kawasan. Rasulullah mengajar kepada kita bahawa pemerintahan dalam Daulah Islam adalah bersifat kesatuan, bukannya bersifat Federasi sebagaimana yang diajar oleh Lord Reid.

‘Kuasa pemilikan’ ke atas air yang ada pada kerajaan negeri sekarang adalah salah menurut syarak. Hakikatnya, dengan kuasa inilah, rakyat telah dirampas hak mereka oleh pemerintah sejak 50 tahun lepas. Pengurusan bekalan air dan mekanisme harga air diserahkan oleh pemerintah kepada syarikat persendirian (swasta) yang menjadikan harga (tarif) air yang dikenakan ke atas rakyat adalah tergantung kepada syarikat terbabit. Kerananya, jika syarikat tersebut menghendaki keuntungan yang besar, maka dinaikkan tarif air sehingga memenuhi jumlah keuntungan yang telah disasarkan. Air yang menjadi hak milik umum dijadikan satu ‘bahan’ untuk mengaut keuntungan oleh syarikat-syarikat Kapitalis dengan restu kerajaan yang memerintah. Inilah yang sebenarnya menjadi akar permasalahan – kerana penerapan sistem Kapitalis. Kapitalisme merupakan sebuah sistem kufur lagi keji yang menyajikan peluang kekayaan yang melimpah ruah kepada pemerintah dan para pemilik modal (Kapitalis) yang menjadi kroni mereka untuk menghisap darah rakyat dan menyedut segala kekayaan yang ada dalam negara. Kejahilan, keegoan dan ‘pertimbangan manfaat’ yang ada pada pemerintah menyebabkan mereka tetap kekal berhukum dengan hukum Jahiliyyah moden ini, dengan membelakangkan hukum Islam yang sempurna. Padahal, Islam telah menyajikan suatu sistem ekonomi yang cukup sempurna dan tidak mengandungi cacat cela sedikit pun, namun oleh pemerintah yang hati-hatinya tertutup, undang-undang kufur juga yang menjadi pilihan.

Justeru, sekalipun usaha membekalkan air secara percuma pada kadar 20 meter padu dilihat oleh ramai pihak sebagai usaha yang baik, namun pada hakikatnya ia masih dalam koridor sistem Kapitalis. Walaupun ada yang berhujah bahawa keadaan ini jauh ‘lebih baik’ dari keadaan sebelumnya, namun sebagai Muslim, kita wajib memahami bahawa, ukuran ‘baik dan buruk’ itu adalah di tangan Allah, bukan pada akal kita. Sesuatu itu hanya dikatakan baik apabila ia bertepatan dengan hukum Allah, dan sesuatu itu adalah buruk apabila menyalahi ketentuan Allah. Akal kita mungkin menyatakan bahawa orang yang berusaha untuk berpuasa separuh hari itu lebih baik dari orang yang langsung tidak berpuasa, namun hukum Allah menyatakan bahawa kedua-duanya adalah buruk. Hanya orang yang berpuasa penuh hingga ke maghrib, itulah yang baik. Begitu jugalah di dalam kes air percuma ini. Ia adalah baik apabila keseluruhan air itu diberikan secara percuma kepada rakyat, bukannya hanya sekadar 20 meter padu pertama. Oleh yang demikian, kita menyeru agar pemimpin-pemimpin Muslim yang ada untuk berhukum dengan hukum Allah secara sepenuhnya, tanpa sebarang sekat batasnya. Hukum Allah adalah hukum yang terbaik untuk kita dan ia adalah hukum yang terbaik untuk seluruh manusia. Dan demi sesungguhnya, hukum Allahlah satu-satunya hukum yang wajib bagi kita.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Wahai pemimpin kaum Muslimin! Masalah politik air yang melanda ini hanyalah simptom dari kerosakan sistem ekonomi yang mencengkam hidup kita semua. Selama mana kalian tidak kembali kepada hukum Allah secara kaffah, maka selama itulah kalian sebenarnya masih terperangkap dengan jerat kufur Barat. Kalian sebenarnya masih terperangkap dan terbelenggu dengan Ideologi Kapitalisme yang penuh dengan penindasan dan kekejaman. Ideologi ini sesungguhnya adalah sebuah ideologi kufur yang sedang menuju kehancuran, namun kalian masih berpaut padanya. Sepatutnya kalian menyedari hakikat ini dan melepaskan ikatan kalian darinya. Kalian sepatutnya berpegang kepada ideologi Islam. Kalian sepatutnya sedar bahawa kalian tidak hidup di bawah naungan syari’ah. Inilah yang menjadi punca kepada segala malapetaka yang ada. Allah Azza wa Jalla telah memberikan kepada sebahagian dari kalian akan kekuasaan, maka apakah kalian melupakan Allah sesudah itu? Apakah dengan kekuasaan yang ada, kalian masih ingin memberi alasan kerana tidak menerapkan hukumNya? Apa jua alasan yang kalian berikan untuk tidak menerapkan hukum Allah, kalian sesungguhnya telah menambahkan kegembiraan kepada orang-orang kafir dan kalian juga sesungguhnya telah memperpanjangkan umur kebatilan. Fikirkanlah sama ada alasan yang kalian berikan di dunia pada hari ini dapat menyelamatkan kalian dari azab Allah di akhirat kelak? Kenapa kebatilan yang kalian kekalkan, walhal kuasa ada di tangan kalian untuk merubahnya? Hizbut Tahrir dengan ini menyeru agar kalian menghijrahkan pemikiran kalian kepada Islam agar kalian keluar dari kepompong kehidupan yang penuh kehinaan ini menuju kehidupan yang penuh kemuliaan. Sesungguhnya tidak ada kemuliaan tanpa Islam, tidak ada Islam tanpa syariah dan tidak akan tegak syariah kecuali dengan adanya Daulah al-Khilafah. ALLAHU AKBAR!



SURUHANJAYA PELANTIKAN HAKIM - Apakah Kita Memerlukannya?

by AURA JIHAD

Isu penubuhan suruhanjaya untuk melantik hakim mula dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini yang berharap pelantikan pengganti Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad yang akan tamat tempohnya Oktober ini dilakukan melalui sebuah suruhanjaya. Beliau berkata, langkah tersebut amat mustahak untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada sistem kehakiman negara apabila pelantikan hakim dapat dilakukan melalui satu proses yang lebih telus, ketat dan meyakinkan. Katanya, ini kerana apabila adanya suruhanjaya, seseorang calon itu akan dikaji dan disiasat kebolehan, rekod serta moralnya oleh suruhanjaya yang dianggotai wakil daripada pelbagai bidang yang terlibat dalam undang-undang. “Dalam tempoh masa agak singkat ini, saya akan berusaha keras supaya suruhanjaya dapat ditubuhkan bermula dengan pelantikan Ketua Hakim Negara sebelum diikuti dengan yang lain-lain” , katanya [UM 30/03/08]. Semasa berucap pada makan malam Majlis Peguam Malaysia beberapa hari lepas, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri. Beliau berkata, suruhanjaya tersebut akan membantu menilai dan menapis calon-calon secara sistematik dan berwibawa berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas. Semakan itu juga perlu memandangkan wujudnya permintaan dan keperluan mendesak untuk meletakkan jawatan kehakiman pada tangga yang sepatutnya bagi memastikan ia mampu menarik serta mengekalkan bakat yang terbaik, tegas Abdullah [UM18/04/08].

Dalam majlis tersebut, Abdullah juga bersetuju membuat bayaran ex-gratia sebagai penghargaan kepada enam hakim yang terbabit dalam krisis badan kehakiman pada 1988. Beliau menjelaskan bahawa bayaran ex-gratia itu akan diberikan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas dan bekas Hakim Mahkamah Agung, Datuk George Seah dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh yang dipecat daripada jawatan, 20 tahun lalu. Bayaran ex-gratia itu juga katanya, akan dibayar kepada Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh. “Kerajaan mahu mengiktiraf sumbangan enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka menegakkan keadilan dan mengakui penderitaan serta kesengsaraan yang mereka lalui. Walaupun pengiktirafan ini terlewat 20 tahun, ia dibuat dengan penuh harapan bahawa kesengsaraan dan kehilangan itu masih boleh sembuh”. Abdullah berkata, beliau tidak mengandaikan bayaran yang diberikan kerajaan itu setimpal dengan sumbangan para hakim tersebut tetapi berharap ia diterima sebagai tanda membetulkan kesilapan yang berlaku. “Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama. Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan" , jelasnya [UM18/04/08].

Dalam responsnya, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memberi jaminan rangka tindakan Suruhanjaya Pelantikan kehakiman akan dikaji daripada segenap aspek supaya pelaksanaannya kelak benar-benar menepati fungsinya untuk mengenal pasti calon hakim yang berwibawa dan berintegriti tinggi. Beliau yang gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu berkata, sudah tiba masanya cadangan tersebut dilaksanakan [UM 19/04/08]. Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu wajar berikutan badan kehakiman negara sejak kebelakangan ini berhadapan dengan pelbagai masalah. Menurut beliau, masalah itu menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi perundangan negara. ''Jika kerajaan melakukan sesuatu yang baik, kami sebagai pembangkang sentiasa menyokong langkah-langkah itu” , ujar Anwar [UM 19/04/08].

Sekilas Fakta Krisis Kehakiman 1988

Antara isu utama yang menjadi ‘penghubung’ kepada cadangan penubuhan suruhanjaya pelantikan hakim ini adalah isu yang pernah menggemparkan tanah air yang berlaku pada tahun 1987 dan 1988. 1987 menjadi sejarah hitam bagi UMNO apabila terjadi pertandingan jawatan presiden UMNO antara Dr. Mahathir (penyandang) dan Tengku Razaleigh (pencabar). Dr. Mahathir mencapai kemenangan tipis dengan 761 undi berbanding 718 undi untuk Razaleigh (majoriti 43 undi). Penyokong-penyokong Razaleigh (yang dikenali sebagai ‘UMNO 11’) mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi untuk memperoleh perintah mahkamah bagi mengisytiharkan bahawa keputusan pemilihan tidak sah, seterusnya dapat diadakan pemilihan yang baru. Mereka mendakwa bahawa 78 orang wakil telah dipilih daripada cawangan-cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu, tidak layak mengundi. Selepas beberapa siri perbicaraan, Hakim Harun Hashim telah memutuskan bahawa di bawah undang-undang, beliau tiada pilihan melainkan mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966. Perpecahan besar UMNO ‘secara rasminya’ bermula selepas keputusan ini di mana Dr. Mahathir telah mengumumkan penubuhan ‘UMNO Baru’, menggantikan ‘UMNO lama’ yang telah diharamkan, manakala Tengku Razaleigh pula telah menubuhkan parti baru yang diberi nama ‘Semangat 46’.

Menurut salah seorang ahli ‘UMNO 11’, Abdul Rahim Abdul Rahman, keputusan hakim pada masa itu memeranjatkan mereka. Ini kerana UMNO 11 bukan bertujuan hendak mengharamkan UMNO tetapi hanya mahukan supaya keputusan pemilihan dianggap tidak sah dan pemilihan diadakan semula. Abdul Rahim berkata mereka mengambil keputusan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Agung kerana rayuan mereka supaya pemilihan diadakan semula tidak dilayan. Mereka sebaliknya dituduh oleh Dr. Mahathir dan Setiausaha Agung UMNO pada masa itu Tan Sri Sanusi Junid sebagai pengkhianat yang bertanggungjawab mengharamkan parti. Menurut Datuk George Seah, Tun Salleh Abas ketika itu sudah pun membuat keputusan untuk melantik sembilan orang panel hakim untuk mendengar rayuan UMNO 11. Arahan ini diberi pada 24 Mei 1988 tetapi pada 27 Mei 1988, Tun Salleh Abas berkata beliau telah digantung dari tugasnya bermula pada 26 Mei 1988. Antara arahan Tun Salleh Abas yang diberikan kepada Pembantu Kanan Pendaftar dan disaksikan bersama Datuk George Seah dan Tan Sri Hashim Yeop Sani adalah untuk mendengar kembali kes UMNO 11 pada 13 Jun 1988. Dengan penggantungan tugas beliau sebagai Ketua Hakim Negara, kes rayuan UMNO 11 tidak dibicarakan oleh mahkamah yang dijadualkan pada 13 Jun 1988. [http://ms.wikipedia.org/wiki/UMNO_11]

Tun Salleh Abas kemudian dihadapkan ke tribunal yang ditubuhkan oleh Dr. Mahathir, atas tuduhan salah laku kerana sepucuk surat aduannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Tun Salleh Abas telah mengambil tindakan guaman dalam Mahkamah Tinggi untuk mencabar Tribunal tetapi telah ditolak. Bagaimanapun, lima orang hakim Mahkamah Agung iaitu Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah kemudiannya bersidang dan mengumumkan bahawa Tribunal itu tidak sah dari segi perlembagaan. Sebagai tindak-balas, kerajaan telah menggantung perkhidmatan kelima-lima hakim tersebut dan tribunal kemudiannya memutuskan Tun Salleh Abas dan dua daripada lima hakim tersebut bersalah iaitu Tan Sri George Seah dan Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh. Ketiga-tiga mereka kemudiannya dipecat.

Autoriti Melantik Hakim

Dalam sistem sekarang yang merupakan hasil rekaan Lord Reid, Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja [Perkara 122B (1) Perlembagaan]. Dan sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara [Perkara 122B (2)]. Inilah kedudukan sekarang berhubung pelantikan hakim-hakim. Sebelum kalah teruk dalam pilihan raya baru-baru ini, terdapat satu kes yang menggugat badan kehakiman yang didedahkan oleh pembangkang iaitu kes VK Lingam. Bermula dari sini, institusi kehakiman yang sudah sedia retak menjadi bertambah parah. Semua pihak tampil dan mula mempertikaikan kewibawaan hakim dan sistem kehakiman yang ada. Sebelum itu pun, badan kehakiman telah lama dicemari dengan skandal rasuah, penyelewengan kuasa, tiada kredibiliti, jawatan tertinggi yang sering dirujuk sebagai ‘jawatan politik’ dan pelbagai kerosakan lainnya. Namun, oleh sebab pembesar politik dari kalangan eksekutif senantiasa masuk campur dalam urusan ini, maka tidak ramai yang berani bersuara dan kebanyakan skandal (jika berlaku) selalunya dapat ‘ditutup’ dengan baik. Namun, pendirian kerajaan berhubung pelantikan hakim-hakim ini terpaksa ‘direformasi’ setelah mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya lepas, dengan mencadangkan proses pelantikan hakim diubah, untuk memulih imej badan tersebut.

Hakim atau peguam yang menjadi pengamal undang-undang sekarang adalah terdiri mereka yang mendapat pendidikan sekular. Jika ada yang mendapat pendidikan Islam sekalipun, mereka tetap belajar ‘undang-undang Islam Malaysia’, bukannya undang-undang Islam yang sebenar. Contoh yang mudah adalah jika mereka belajar bab hukuman bagi pencuri, mereka akan belajar bahawa hukumannya adalah penjara (undang-undang Malaysia) dan bukannya potong tangan. Begitu juga jika mereka belajar bab hukuman bagi penzina, mereka akan diajar bahawa hukuman maksimum adalah 3 tahun penjara, RM5000 denda atau 6 kali sebatan (undang-undang ‘Islam’ Malaysia), bukannya 100 kali sebatan (undang-undang Islam sebenar). Pendek kata, mereka belajar untuk mengamalkan hukum (undang-undang) yang dibuat oleh manusia, bukannya untuk mengamalkan undang-undang yang diturunkan oleh Allah. Hakim atau peguam yang ada sekarang sudah sebati dengan undang-undang kufur-sekular yang ada dan mereka biasanya tidak dapat berfikir luar dari tempurung pemikiran yang telah dibentuk oleh penjajah. Pemikiran mereka hanya sebatas mengamalkan undang-undang kufur yang telah ditinggalkan oleh kuffar penjajah. Begitu jugalah halnya berkenaan undang-undang pelantikan hakim. Baik hakim, peguam, ahli politik mahupun ulama yang ada, mereka langsung tidak dapat dan tidak mahu berfikir di luar kotak (out of the box) bahawa di luar sana terdapat satu undang-undang ciptaan Allah yang wajib kita amalkan dan kita wajib menggantikan undang-undang kufur tinggalan penjajah ini dengan undang-undang yang datangnya dari Allah.

Sebagai seorang Muslim, kita wajib sedar bahawa sesungguhnya sistem kehakiman yang ada sekarang adalah sistem kufur. Ia adalah sistem yang diwarisi dari British dan ia bertentangan seratus lapan puluh darjah dengan Islam. Sistem kehakiman kufur yang diamalkan di Malaysia sejak ratusan tahun lamanya ini sewajarnyalah mempunyai 1001 jenis keburukan dan kejahatan di dalamnya. Sebagai seorang Muslim juga, kita wajib sedar bahawa dalam sistem pemerintahan Islam, seorang hakim itu dilantik oleh ketua negara, yakni Khalifah. Semasa pemerintahannya, Rasulullah merupakan seorang Ketua Negara yang memikul secara langsung urusan kehakiman dan baginda juga melantik orang lain sebagai hakim. Selain dirinya sendiri yang merupakan seorang hakim/qadhi, Rasulullah juga pernah melantik Ali bin Abi Thalib sebagai qadhi di Yaman. Rasulullah juga melantik Muaz bin Jabal sebagai qadhi di daerah Janad dan juga Yaman. Rasulullah juga pernah melantik Amr bin al-Ash untuk mengurusi urusan kehakiman. Terdapat banyak sekali dalil yang menunjukkan bahawa semua pelantikan hakim ini dijalankan oleh Rasulullah sebagai Ketua Negara. Perbuatan baginda ini menunjukkan bahawa ‘hak dan kuasa’ untuk melantik hakim berada di tangan Ketua Negara, tidak pada yang lain. Tidak ada apa yang dinamakan sebagai ‘badan bebas’ (seperti suruhanjaya atau seumpamanya) yang berkuasa atau yang diberi kuasa untuk melantik hakim/qadhi.

Begitu jugalah apa yang diteruskan oleh Khulafa’ Rasyidin di mana mereka (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali) yang memikul secara langsung urusan kehakiman dan dalam masa yang sama melantik hakim-hakim di beberapa wilayah Islam yang lain. Di dalam Islam terdapat 3 jenis hakim/qadhi yang kesemuanya wajib dilantik oleh Ketua Negara iaitu Qadhi al-Muhtasib, Qadhi al-Khusumat dan Qadhi Mazhalim. Tidak ditemukan langsung khilaf di kalangan mazhab bahawa kuasa pelantikan qadhi berada di tangan orang lain. Mereka sepakat bahawa hanya di tangan Khalifahlah terletaknya ‘kuasa’ untuk melantik semua qadhi. Justeru, apakah kita sebagai Muslim boleh bersetuju dengan adanya sebuah ‘badan bebas’ untuk melantik hakim-hakim, walhal perkara ini jelas-jelas bercanggah dengan apa yang diajar oleh Rasulullah kepada kita dan berbeza sama sekali dari apa yang ditunjukkan oleh Khulafa’ Rasyidun dan pendapat para ulama?

Selain pelantikan, Islam juga pastinya turut merangkumi hukum berkenaan pemecatan hakim. Di dalam Islam, Qadhi Mazalim adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan sebarang bentuk persengketaan antara rakyat dan pemerintah. Qadhi Mazhalim adalah orang yang bertanggungjawab menghilangkan segala bentuk kezaliman pemerintah ke atas rakyatnya. Dengan kata lain, Qadhi Mazhalim berkuasa untuk memecat Khalifah dan mana-mana pegawai negara yang melakukan kezaliman. Dalam pada itu, sebagaimana yang telah dijelaskan, kuasa melantik qadhi/hakim, termasuklah Qadhi Mazhalim adalah terletak pada Khalifah dan seiring dengan kuasa melantik ini, Khalifah juga adalah orang yang berkuasa untuk memecat mana-mana hakim yang telah dilantiknya. Walaupun Khalifah berkuasa memecat Qadhi Mazhalim, akan tetapi terdapat satu keadaan di mana haram bagi Khalifah melakukan pemecatan tersebut. Keadaan ini berlaku di dalam situasi di mana apabila terdapat kes yang diajukan berhubung kezaliman yang dilakukan oleh Khalifah atau para wazir (pembantu Khalifah) atau oleh Qadhi Qudhat (Ketua Qadhi – yang diberi kuasa oleh Khalifah melantik dan memecat Qadhi Mazhalim), maksudnya di dalam keadaan di mana Khalifah (atau wazir atau Qadhi Qudhat) sedang dibicarakan kerana suatu kezaliman, maka Khalifah (atau Qadhi Qudhat) tidak boleh memecat Qadhi Mazhalim yang sedang membicarakan kes tersebut.

Dalam keadaan ini, kaedah syara’ al-wasilah ilal haram haram (sarana yang menghantarkan kepada yang haram adalah haram) adalah terpakai. Ini adalah kerana, Qadhi Mazhalim tersebut sedang menjalankan suatu yang wajib dilakukannya, di mana adalah haram bagi Khalifah ‘menghalangnya’ dari menyempurnakan kewajipan tersebut. Jadi, jika Khalifah memecatnya di kala ini, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kaedah tersebut. Inilah keindahan dan kesempurnaan Islam di dalam menyelesaikan masalah di mana jika hukum Allah ini diterapkan dalam pemerintahan, maka pasti krisis kehakiman sebagaimana yang wujud pada tahun 1988 dahulu dapat diselesaikan dengan baik.

Cara Lantik Berubah, Undang-Undang Tetap Kufur

Suruhanjaya untuk melantik hakim ini dikatakan telah lama dicadangkan, lebih dari 10 tahun yang lalu. Mengikut bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Mohd. Ismail, antara tokoh yang tidak pernah berhenti memperjuangkan penubuhan suruhanjaya, biarpun pelbagai alasan diajukan kepada beliau oleh mereka yang menyanggah cadangan tersebut, bagi beliau, institusi kehakiman tidak boleh menunggu lebih lama untuk memulihkan imejnya serta meningkatkan integriti para hakimnya dan kesemuanya itu boleh dilaksanakan menerusi penubuhan sebuah suruhanjaya. Katanya lagi, “..selepas merdeka, prosedur kita mencontohi amalan di Britain..” . Pendapat yang hampir sama dikemukakan oleh Peguam Amer Hamzah Arshad yang berkata, Majlis Peguam sentiasa melobi penubuhan suruhanjaya seumpama itu kerana pelantikan hakim adalah satu perkara yang penting untuk hanya diputuskan oleh individu tertentu sahaja. “Suruhanjaya ini menjadikan proses pelantikan hakim lebih telus dan membabitkan calon yang lebih layak serta kurang kontroversi” , katanya [UM 31/03/08].

Dalam pada ramai pihak, termasuklah pembangkang yang menyambut baik cadangan PM ini, satu perkara yang seolah-olah langsung tidak dipedulikan oleh ramai pihak adalah ‘kedudukan hukum (undang-undang)’ yang ada di Malaysia yang sebenarnya langsung tidak berubah. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa walaupun undang-undang ‘pelantikan hakim’ ingin diubah, tetapi hukum (undang-undang) yang sedia ada yang diguna pakai sekarang sebenarnya tetap sama (yakni) tetap undang-undang kufur. Apa guna adanya seorang atau berpuluh-puluh orang hakim yang hebat yang bakal dilantik oleh suruhanjaya nanti, namun mereka tetap menghukum orang yang mencuri dengan dipenjarakan, bukan dipotong tangannya. Apakah kebaikannya jika beratus-ratus orang hakim yang kononnya dilantik dengan telus dan adil di bawah suruhanjaya, namun apabila mereka memutuskan hukum nanti, mereka tetap berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan ciptaan si kafir Lord Reid, mereka tetap memutuskan hukum berdasarkan akta-akta atau enakmen-enakmen yang digubal oleh tangan-tangan manusia? Apakah gunanya semua ini? Apakah gunanya melantik hakim di bawah sebuah suruhanjaya apabila Al-Quran dan Sunnah tetap diketepikan oleh mereka, malah langsung tidak dipandang sedikit pun oleh mereka di dalam memberikan penghakiman masing-masing di Mahkamah!? Lantiklah siapa yang paling hebat dan paling berwibawa sekalipun di kalangan hakim-hakim yang ada, namun apa gunanya apabila undang-undang yang dilaksanakan adalah tetap undang-undang kufur ciptaan manusia, bukannya undang-undang Islam ciptaan Allah.

Wahai kaum Muslimin! Cuba renungkan sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, di mana semasa melantik dan mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman sebagai qadhi, Rasulullah bersabda, “ 'Dengan apakah engkau akan memutuskan hukum?’ Muaz menjawab, ‘Aku akan memutuskan hukum dengan apa yang ada dalam kitabullah’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak dapatinya dalam kitabullah?’. Muaz menjawab, ‘(Aku akan memutuskan hukum) dengan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam’. Rasul bertanya lagi, ‘Jika engkau tidak dapatinya dalam sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam?’. Muaz menjawab, ‘Aku akan berijtihad sesuai pendapatku’. Rasul bersabda, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan apa yang diredhai oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.” Inilah tindakan (dalam berhukum) yang dipuji oleh Rasulullah, yakni menghukum segala sesuatu dengan Kitabullah, Sunnah dan juga ijtihad. Amat kejilah mereka yang berhukum dengan hukum kufur.

Justeru, apakah kita kagum dan terpesona dengan perubahan cara ‘melantik hakim’ ini walhal hakim tersebut tetap akan memutuskan hukum berdasarkan hukum kufur? Inilah hasilnya apabila umat Islam menilai sesuatu berdasarkan sentimen dan emosi semata-mata, bukannya menilai apa yang dilakukan menurut pandangan Allah. Umat Islam naik angin apabila badan kehakiman ditunggang oleh badan eksekutif, umat Islam melenting apabila badan kehakiman diperalatkan oleh parti pemerintah dan umat Islam benar-benar marah apabila melihat badan kehakiman diperkosa oleh badan eksekutif sedemikian rupa. Sudahnya, apabila badan eksekutif mengumumkan ‘sedikit perubahan’ terhadap cara pelantikan hakim-hakim, umat Islam terus menarik nafas lega dan terus bersetuju dengan apa yang dicadangkan, seolah-olah satu ‘sinar harapan’ yang baru yang selama ini dinanti-nantikan telah muncul untuk menyelamatkan keadaan. Di manakah pertimbangan umat Islam? Di manakah penyeru-penyeru keadilan? Di manakah pejuang-pejuang di jalan kebenaran? Apakah yang kalian fikirkan? Apakah dengan hanya satu lagi undang-undang sekular yang di cadang untuk menggantikan undang-undang sekular yang sedia ada menyebabkan kalian telah melihat bahawa ini sebagai cahaya Islam? Tidakkah kalian faham bahawa yang dikatakan keadilan itu adalah apabila kita berhukum dengan hukum Allah? Tidakkah kalian sedar bahawa yang dikatakan kebenaran itu adalah apabila kita berpandu dengan panduan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam? Apakah yang dicadangkan oleh pemerintah sekular ini merupakan hukum yang turun dari langit hingga kalian boleh bersetuju dengannya? Sedarlah dan kembalilah kepada cara berfikir Islam!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Jika hadis yang tersebut di atas masih belum membuka hati kalian, renungkanlah kata-kata yang lebih tegas, terang dan nyata dari lisan Nabi kalian bahawa “Qadhi/Hakim itu terbahagi kepada tiga golongan, dua golongan berada dalam neraka dan segolongan lagi berada dalam syurga. Adapun (golongan) yang masuk syurga adalah (qadhi) yang mengetahui akan haq/kebenaran dan memutuskan dengannya (haq). Adapun (qadhi) yang mengetahui akan haq tetapi tidak menghukum dengannya, malah bertindak zalim dalam memutuskan hukum, maka dia ke neraka. Dan (qadhi) yang tidak mengetahui akan haq dan memutuskan hukum di antara manusia berdasarkan kejahilan, maka dia (juga) ke neraka” [HR Abu Daud].

Saudaraku, jawablah dengan hati yang penuh keimanan dan keikhlasan – apakah Suruhanjaya Pelantikan Hakim dengan undang-undang dan sistem kufur-sekular warisan British ini yang kita perlukan atau sebuah sistem dan undang-undang Islam warisan dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan Khulafa’ Rasyidun yang kita mahukan? Semoga jawapan kalian sama dengan jawapan kami dan kita sama-sama bergerak untuk merealisasikannya. ALLAHU AKBAR!