Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

AIR MILIK KITA

by AURA JIHAD

Air percuma! Itulah antara janji yang dimasukkan ke dalam manifesto Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) di Selangor sekitar musim Pilihan raya Umum ke-12 yang lalu. Isu itu kini disifatkan sebagai ‘tarik tali’ antara kerajaan negeri Selangor dengan rakyat, oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo. Ini kerana janji air percuma kepada rakyat Selangor sebanyak 20 meter padu pertama setiap bulan yang dijadual bermula dari April 2008 telah ditangguhkan ke bulan Jun nanti. Khir Toyo mendakwa kos sebanyak RM17 juta sebulan terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri jika perkara itu dilaksanakan. Bagaimanapun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan jumlah pampasan itu tidak mencecah sehingga RM17 juta sebulan sebagaimana didakwa Khir Toyo. Kerajaan negeri bersedia membayar pampasan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) bagi membolehkan penduduk Selangor mendapat bekalan air percuma 1 Jun ini dan saya akan bagi tahu kira-kira (jumlah pampasan) yang lebih munasabah daripada itu (RM17 juta), katanya [UM 30/04/08]. Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat membeli atau mengambil alih Syabas, dan ketika ini kerajaan negeri hanya memaklumkan secara bertulis kepada Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad mengenai pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada rakyat setiap bulan mulai 1 Jun ini [UM 05/05/08]. Penundaan ini menimbulkan sedikit keresahan di kalangan rakyat Selangor tentang janji pilihan raya yang telah ditabur ini. Sedikit sebanyak ia turut menjejaskan kredibiliti kerajaan Selangor sekarang serta memberi peluang kepada pembangkang (BN) memainkan isu ini. Antara yang diketengahkan oleh pembangkang adalah isu pendapatan kerajaan negeri. Mereka membandingkan jumlah pendapatan kerajaan negeri sebelum ini dengan perancangan kerajaan Selangor yang baru melalui kutipan cukai. Hujah mereka, jika pakej air percuma diteruskan, nescaya perolehan kerajaan negeri nanti akan berkurangan dan akan menyebabkan masalah dalam memajukan negeri Selangor [UM 25/4/08].

Walaupun usaha ini dilakukan oleh kerajaan pimpinan Parti KeAdilan Rakyat (PKR), namun sekali fikir agak pelik juga kenapa kerajaan negeri lain di bawah gabungan Pakatan Rakyat tidak melakukan usaha yang sama. Apa pun, bagi kira-kira 1.5 juta pengguna air di Selangor yang menggunakan meter individu, ‘bonus’ dari kerajaan baru Selangor ini sangat dinantikan. Maklumlah, kos sara hidup terutama di Selangor sememangnya semakin meningkat dari masa ke semasa, apatah lagi sejak kebelakangan ini. Meski pun apa yang dilakukan oleh kerajaan baru Selangor ini boleh dipuji, namun sebagai Muslim, kita perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam dan wajib pula bagi kita menilai perkara ini sama ada bertepatan dengan Islam atau tidak. Kita perlu melihat sama ada pemberian air percuma untuk 20 meter padu pertama itu benar-benar adil untuk semua orang dan menepati kehendak Islam atau tidak? Sebagai Muslim, kita wajib meletakkan piawai keadilan dan kebenaran itu kepada Islam, bukan kepada akal semata-mata. Kita wajib memerhatikan setiap tindakan kita atau tindakan saudara kita, atau tindakan pemerintah sekali pun, sama ada bertepatan dengan apa yang Allah kehendaki atau tidak. Dan wajib pula bagi kita untuk memuhasabah pemerintah jika apa yang mereka lakukan itu menyimpang dari hukum syarak, walaupun secara zahirnya ia (penyimpangan itu) nampak baik. Sautun Nahdhah minggu ini akan mengupas isu air ini dengan lebih terperinci khususnya berhubung hak pemilikan dan pengurusan air dalam sebuah negara dari perspektif Islam.

Percuma 20 meter padu – Apa Yang Tak Kena?

Memang setiap akal yang waras sepatutnya bersetuju dengan pemberian air secara percuma, walaupun hanya 20 meter padu. Namun akal yang waras sahaja, jika tidak disandarkan dengan hukum Allah, tidak akan dapat mencapai kebenaran. Dengan menggunakan akal yang waras, apabila seseorang melihat wanita yang bertudung, walaupun pendek (tudungnya), itu adalah lebih baik dari wanita yang tidak bertudung. Namun, apabila hukum Allah dijadikan sandaran, maka seseorang itu akan sampai kepada kebenaran bahawa bertudung pendek itu tetap salah kerana menyalahi syarak, kerana Allah memerintahkan seseorang wanita itu bertudung labuh menutupi bahagian dada. Begitu juga bagi lelaki yang berseluar pendek, walaupun ia dikatakan menutupi sebahagian auratnya, namun ia tetap berdosa kerana menyalahi syarak, kerana perintah Allah adalah menutupi hingga ke lutut. Justeru, sebelum kita pergi lebih jauh membincangkan tentang hukum pemilikan dan pengagihan air, kita tinjau dulu persoalan mengenai kadar 20 meter padu yang ditawarkan. Apakah nisbah ini (20 meter padu ‘per isi rumah’) adalah jumlah yang sejajar dengan keperluan ‘per individu’? Maksudnya, apakah setiap individu akan mendapat jumlah yang adil? Dengan kata lain, adakah jumlah ini mencukupi bagi sebuah keluarga besar yang menghuni dalam sebuah rumah? Sebagai contoh, bagi keluarga yang mempunyai 13 orang isi rumah, apakah 20 meter padu air percuma tersebut mencukupi untuk mereka berbanding dengan keluarga yang hanya mempunyai 5 orang isi rumah? Ini pastinya tidak akan memberi keadilan kepada keluarga yang besar, manakala bagi keluarga yang kecil pula, mungkin akan timbul sikap untuk membuang air sewenang-wenangnya selagi tidak mencecah kuota yang diberi.

Jika kita benar-benar ingin mencapai keadilan, maka apa yang perlu dilihat dan dikira terlebih dahulu adalah keperluan bekalan air secara purata untuk ‘setiap individu’ penduduk Selangor. Untuk tujuan ini, kajian dapat dilakukan oleh kerajaan negeri dengan mengira purata penggunaan air berasaskan bilangan isi rumah. Setelah mendapat jumlah purata, barulah kadar air ditetapkan, dengan menisbahkan meter padu air tersebut kepada ‘setiap individu’, bukannya kepada ‘setiap rumah’. Sebagai contoh, jika setiap pengguna (individu) menggunakan 5 meter padu setiap bulan, maka pemberian air percuma berasaskan bilangan isi rumah bagi sebuah rumah yang mempunyai 10 orang ahli keluarga seharusnya menjadi 50 meter padu. Inilah pemberian yang seadilnya berbanding pemberian pukul rata sebanyak 20 meter padu setiap rumah. Kes seperti ini pernah dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab di mana pada zaman beliau, Umar pernah menulis surat kepada orang yang miskin untuk datang kepada beliau. Umar kemudian memasak satu jarib bijirin gandum dengan pencecahnya sekali untuk dimakan oleh 30 orang pada waktu tengah hari. Umar kemudian mengulanginya sekali lagi pada waktu makan malam. Setelah mendapat kira jumlah purata yang dimakan oleh 30 orang miskin tersebut, Umar lalu berkata, “Nampaknya setiap orang mencukupi untuk mereka dua jarib bijirin gandum untuk keperluan hidup mereka”. Selepas itu Umar memperuntukkan setiap 2 jarib untuk setiap ahli rumah tanpa mengira lelaki atau perempuan atau hamba [Al-Ahkam Al-Sulthaniyyah, Imam al-Mawardi]. Kaedah seperti inilah yang perlu dicontohi dalam pemberian air percuma ini (yakni) mengira secara purata penggunaan air untuk setiap individu, kemudian ditentukan kuantitinya berasaskan bilangan isi rumah. Dengan cara ini, barulah keadilan akan tercapai.

Air Adalah Milik Awam

Di Malaysia, berdasarkan Perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid, terdapat beberapa perbezaan bidang kuasa di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri berhubung persoalan air. Dalam Jadual Kesembilan, Senarai I (Senarai Persekutuan) Fasal 11 (b) memperuntukkan bahawa: bekalan air, sungai dan terusan, kecuali yang keseluruhannya terletak di dalam satu negeri atau yang dikawal selia oleh suatu perjanjian antara semua negeri yang berkenaan pengeluaran, pengagihan dan pembekalan kuasa air - adalah terletak di bawah bidang kuasa pusat. Menurut Senarai II (Senarai Negeri) pula, Fasal 6 (c) memperuntukkan bahawa: tertakluk kepada Senarai Persekutuan, air (termasuk sungai dan terusan tetapi tidak termasuk bekalan dan perkhidmatan air); pengawalan kelodak dan hak riparia - adalah berada di bawah bidang kuasa negeri. Peruntukan yang berbelit-belit ini secara ringkasnya memberikan hak mengelola dan mengenakan bayaran pengurusan air kepada kerajaan negeri. Ia juga membenarkan pengelolaan ini untuk diserahkan kepada pihak ketiga yang ada perjanjian dengan kerajaan negeri (seperti Syabas).

Itulah kedudukan undang-undang di dalam negara sekular ini. Manakala di dalam Islam, Asy-Syari' (Allah Subhanahu wa Ta’ala) telah menetapkan bahawa air adalah termasuk dalam hak milik awam (milkiyyah al-'ammah), dan bukannya hak milik negara atau negeri. Hak milik awam atau harta benda awam (public properties) adalah suatu ‘aset’ yang mana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan pemilikan(ownership)nya kepada semua Muslim secara sama rata. Allah membenarkan setiap individu Muslim ‘memanfaatkannya’ (menggunakannya), tetapi setiap individu itu dilarang ‘memilikinya’. Di dalam Islam, aset (harta benda awam) ini dapat digolongkan kepada tiga kategori:-

(1) Keperluan awam (public utilities), yang mana masyarakat adalah bergantung kepadanya di dalam kehidupan;

(2) Aset atau sumber alam yang sifat (semula jadi) kejadiannya tidak membolehkan ia dimiliki oleh individu secara perseorangan (contohnya sungai, tasik, laut, terusan, jalan raya, tempat letak kereta awam, masjid, musolla, Mina, Arafah, Muzdalifah dan seumpamanya); dan

(3) Bahan galian atau mineral yang banyak atau berlebih-lebihan yang tidak putus (contohnya petroleum, gas, emas, bijih timah dan yang seumpamanya)

Semua aset di atas adalah hak milik awam (milkiyyah 'ammah) yang mesti dikongsi bersama oleh anggota masyarakat dan tidak boleh (haram) dimiliki oleh mana-mana individu, syarikat swasta mahupun negara, apatah lagi dimiliki untuk dikaut keuntungannya (sebagaimana berlaku sekarang). Oleh sebab keterbatasan ruang dan sebagai fokus perbincangan, kami hanya akan membincangkan aset kategori pertama sahaja. Kategori pertama adalah berupa suatu keperluan/kemudahan awam yang menjadi tempat bergantung masyarakat dan jika ia tidak ada, menyebabkan orang ramai bersengketa dalam usaha untuk mendapatkannya. Air adalah termasuk dalam kategori ini. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam telah menjelaskan perkara ini dalam satu hadis berkenaan ‘sifat’ keperluan awam tersebut. Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud]. Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan, “wa tsamanuhu haram” (“dan harganya adalah haram"). Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah]. Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah membenarkan semua orang berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana orang menghalangi orang lain dari menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun boleh ‘mengindividukan’ atau menswastakan suatu aset yang mana Allah telah menyediakannya kepada awam.

Harus dibezakan di sini satu kedudukan di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam membenarkan beberapa individu di Khaibar dan Taif memiliki telaga yang digali masing-masing untuk kegunaan mereka sendiri bagi meminum darinya, memberi minum kepada ternakan mereka dan juga mengairi tanaman mereka. Harus difahami bahawa telaga-telaga yang digali itu adalah kecil sahaja dan tidak terdapat ‘sifat’ keperluan awam padanya. Maksudnya, masyarakat Khaibar dan Taif tidak memerlukannya kerana keperluan air mereka sudah pun terpenuhi. Jadi, kedua-dua hadis tentang kedudukan hal ini tidaklah bercanggah antara satu sama lain. Kita cuma perlu memahami kedua-dua hadis dalam konteks yang benar yakni, apabila kedudukan air itu menjadi keperluan awam, maka ia adalah milkiyyah 'ammah dan dilarang dari dimiliki oleh mana-mana individu, tetapi jika kedudukan air itu tidak lagi diperlukan awam (telah ada sumber lain), maka ia boleh dimiliki oleh individu atas usahanya sendiri, seperti air perigi. Ukurannya di sini adalah, jika benda (air) itu tiada, masyarakat akan berusaha untuk mendapatkannya dan bersengketa kerananya.

Juga, dikecualikan dalam kes ini adalah sungai-sungai besar atau tasik-tasik yang luas. Di sini setiap orang boleh memasang apa jua alat di atasnya atau di tepinya di mana dengan alat ini, dia boleh mengambil air untuk kegunaan dirinya sendiri dan juga untuk memberi minum kepada orang lain dengan mengambil upah. Ini adalah kerana, dengan pengambilan air ini ia tidak menghalang siapa pun jua untuk mengambil air dari sungai atau tasik yang sama dan ia juga tidak menghalang orang lain dari memasang peralatan yang sama untuk melakukan perkara yang sama. Dengan kata lain, kewujudan dan sifat air itu sebagai hak milik umum tidak hilang. Adapun bagi sungai atau tasik yang kecil, kolam, danau atau sebagainya yang mana jika dibuat peralatan di atasnya akan menghalangi manusia lain sehingga menyebabkan hanya segelintir manusia sahaja yang dapat memanfaatkannya, maka dalam hal ini ia tidak boleh dimilik individukan; perbuatan seumpama ini adalah haram. Ini kerana ia telah menghilangkan sifat/karakteristik air di tempat tersebut sebagai hak milik umum.

Sehubungan dengan kedudukan air sebagai milkiyyah 'ammah, perlu juga difahami bahawa apa jua peralatan yang digunakan untuk membekalkan air tersebut kepada orang ramai, maka semua peralatan tersebut juga adalah milkiyyah 'ammah, seperti mesin pengepam atau generator yang digunakan, saluran paip, loji pembersih air berserta peralatannya, menara takungan air dan sebagainya. Semua perkara tersebut adalah secara automatiknya juga merupakan hak milik awam. Inilah kedudukan hukum berkenaan pemilikan air di dalam Islam. Berdasarkan nas, cukup jelas bahawa di sisi Islam, air merupakan hak milik umum yang tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana pihak, termasuk pihak pemerintah. Sungguh malang nasib yang menimpa umat Islam hari ini apabila pemerintah tidak merujuk kepada hukum Allah di dalam pemerintahan mereka, sebaliknya mereka berhukum dengan sebuah perlembagaan yang dicipta oleh kafir penjajah. Air bukan sahaja menjadi milik kerajaan (pemerintah), malah ‘diperniagakan’ untuk dikaut keuntungannya habis-habisan. Hasilnya, rakyat yang sepatutnya menikmati kemudahan ini dengan percuma, menjadi tertindas dan dizalimi. Hak mereka dirompak, darah dan keringat mereka disedut oleh para pemerintah. Inilah natijah dari penerapan dan perlaksanaan sistem ekonomi Kapitalisme yang mana ‘keuntungan’ menjadi piawai dan ukuran untuk para penghisap darah ini terus hidup.

Strategi Pengurusan Air Dalam Negara

Setelah mengetahui hukum pemilikan air, persoalan seterusnya adalah bagaimanakah air ini boleh diurus dalam sesebuah negara. Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya berjudul Al-Amwal Fi Daulah al-Khilafah (Sistem Kewangan dalam Negara Khilafah), terdapat tiga kaedah pengurusan hak milik umum yang boleh dijalankan oleh negara. Ini termasuklah isu pengurusan air. Oleh kerana air merupakan hak milik umum dan negara merupakan badan pentadbir (kiyan tanfizi), maka wajib bagi negara mengurus bekalan air, tanpa menghilangkan sifatnya sebagai hak milik umat. Antara kaedah pengurusan yang boleh digunakan adalah:-

(1) Negara mengusahakan sendiri pengurusan air dan membekalkannya kepada rakyat. Melalui kewangan negara, negara dapat memperoleh peralatan pemprosesan air sendiri seperti saluran paip, penapis air, menara takungan dan sebagainya bagi tujuan tersebut. Dan dengan alat-alat tersebut, dibentuk suatu usaha (jabatan pengendali) menjalankan proses perbekalan air sepenuhnya tanpa campur tangan dari luar. Negara boleh mengekalkan hak pemilikan ke atas alat-alat perusahaan tersebut atau memindahkan hak miliknya kepada pemilikan umum yakni di bawah akaun pemilikan umum di dalam Baitul Mal. Jika ini berlaku (pemindahan hak milik), maka kesemua peralatan tadi akan menjadi hak milik umum, namun pengendalian dan penyelenggaraannya tetap dilakukan oleh negara.

(2) Negara boleh menyewa peralatan pemprosesan air yang dinyatakan di atas dari mana-mana pihak yang memiliki harta tersebut serta mengendalikannya sendiri (oleh jabatan pengendali). Bayaran sewa (ujr) dibayar kepada pemilik peralatan tersebut melalui akaun negara di Baitul Mal atau menggunakan mana-mana masukan kewangan dalam akaun pemilikan umum kerana ia bersangkutan dengan kepentingan umum.

(3) Negara boleh menyerahkan urusan bekalan air kepada mana-mana individu atau firma (syarikat pengendali bekalan air) dengan syarat pemilikan ke atas air masih tetap milik umum, bukannya diserahkan atau dimonopoli oleh syarikat terbabit. Dengan kata lain, pihak yang telah diserahkan negara mengendali urusan bekalan air tadi hanya akan dibayar upahnya sahaja, bukan mendapat keuntungan dari pengeluaran bekalan air tadi. Kaedah ini menjadikan rakyat tidak dibebankan oleh kenaikan kos pengeluaran oleh syarikat air, kerana tugas mereka adalah untuk menguruskannya bukannya mengambil keuntungan dari penjualan barangan milik awam ini (air). Dalam suasana sekarang, sebenarnya akibat dari air yang diurus oleh pihak swastalah, harga air akan dinaikkan bila kos penyelenggaraan meningkat.

Apa pun yang negara lakukan, hukum syarak terhadap air ini adalah kekal, tidak berubah - iaitu ia adalah milik umum. Di dalam Islam, negara (pemerintah), sesuai dengan sifatnya sebagai pemelihara rakyat, hanyalah menjadi badan yang mengelola agar milkiyyah 'ammah ini sampai kepada rakyat dengan cara yang telah digariskan oleh Islam. Berbeza dengan keadaan sekarang di bawah sistem sekular di mana negara menjadi perampas hak rakyat. Walaupun pemerintah pada hakikatnya telah merompak hak rakyat, namun mereka bebas dari hukuman, kerana merekalah yang membuat peraturan yang membenarkan mereka mengaut segala kekayaan. Di dalam Islam, tidak timbul soal pembahagian kuasa yang berbelit-belit di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sehingga hak rakyat di suatu kawasan/negeri ‘ditentukan’ oleh sebuah kerajaan tersendiri, manakala hak rakyat di kawasan/negeri lain, ditentukan pula oleh kerajaan lain. Rasulullah tidak pernah menunjukkan kepada kita perkara ini. Hak rakyat di dalam Daulah Islam, di mana jua pun mereka tinggal adalah sama di sisi syarak kerana hukum Allah itu sama sahaja bagi semua kaum Muslimin, tanpa mengira kawasan. Rasulullah mengajar kepada kita bahawa pemerintahan dalam Daulah Islam adalah bersifat kesatuan, bukannya bersifat Federasi sebagaimana yang diajar oleh Lord Reid.

‘Kuasa pemilikan’ ke atas air yang ada pada kerajaan negeri sekarang adalah salah menurut syarak. Hakikatnya, dengan kuasa inilah, rakyat telah dirampas hak mereka oleh pemerintah sejak 50 tahun lepas. Pengurusan bekalan air dan mekanisme harga air diserahkan oleh pemerintah kepada syarikat persendirian (swasta) yang menjadikan harga (tarif) air yang dikenakan ke atas rakyat adalah tergantung kepada syarikat terbabit. Kerananya, jika syarikat tersebut menghendaki keuntungan yang besar, maka dinaikkan tarif air sehingga memenuhi jumlah keuntungan yang telah disasarkan. Air yang menjadi hak milik umum dijadikan satu ‘bahan’ untuk mengaut keuntungan oleh syarikat-syarikat Kapitalis dengan restu kerajaan yang memerintah. Inilah yang sebenarnya menjadi akar permasalahan – kerana penerapan sistem Kapitalis. Kapitalisme merupakan sebuah sistem kufur lagi keji yang menyajikan peluang kekayaan yang melimpah ruah kepada pemerintah dan para pemilik modal (Kapitalis) yang menjadi kroni mereka untuk menghisap darah rakyat dan menyedut segala kekayaan yang ada dalam negara. Kejahilan, keegoan dan ‘pertimbangan manfaat’ yang ada pada pemerintah menyebabkan mereka tetap kekal berhukum dengan hukum Jahiliyyah moden ini, dengan membelakangkan hukum Islam yang sempurna. Padahal, Islam telah menyajikan suatu sistem ekonomi yang cukup sempurna dan tidak mengandungi cacat cela sedikit pun, namun oleh pemerintah yang hati-hatinya tertutup, undang-undang kufur juga yang menjadi pilihan.

Justeru, sekalipun usaha membekalkan air secara percuma pada kadar 20 meter padu dilihat oleh ramai pihak sebagai usaha yang baik, namun pada hakikatnya ia masih dalam koridor sistem Kapitalis. Walaupun ada yang berhujah bahawa keadaan ini jauh ‘lebih baik’ dari keadaan sebelumnya, namun sebagai Muslim, kita wajib memahami bahawa, ukuran ‘baik dan buruk’ itu adalah di tangan Allah, bukan pada akal kita. Sesuatu itu hanya dikatakan baik apabila ia bertepatan dengan hukum Allah, dan sesuatu itu adalah buruk apabila menyalahi ketentuan Allah. Akal kita mungkin menyatakan bahawa orang yang berusaha untuk berpuasa separuh hari itu lebih baik dari orang yang langsung tidak berpuasa, namun hukum Allah menyatakan bahawa kedua-duanya adalah buruk. Hanya orang yang berpuasa penuh hingga ke maghrib, itulah yang baik. Begitu jugalah di dalam kes air percuma ini. Ia adalah baik apabila keseluruhan air itu diberikan secara percuma kepada rakyat, bukannya hanya sekadar 20 meter padu pertama. Oleh yang demikian, kita menyeru agar pemimpin-pemimpin Muslim yang ada untuk berhukum dengan hukum Allah secara sepenuhnya, tanpa sebarang sekat batasnya. Hukum Allah adalah hukum yang terbaik untuk kita dan ia adalah hukum yang terbaik untuk seluruh manusia. Dan demi sesungguhnya, hukum Allahlah satu-satunya hukum yang wajib bagi kita.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Wahai pemimpin kaum Muslimin! Masalah politik air yang melanda ini hanyalah simptom dari kerosakan sistem ekonomi yang mencengkam hidup kita semua. Selama mana kalian tidak kembali kepada hukum Allah secara kaffah, maka selama itulah kalian sebenarnya masih terperangkap dengan jerat kufur Barat. Kalian sebenarnya masih terperangkap dan terbelenggu dengan Ideologi Kapitalisme yang penuh dengan penindasan dan kekejaman. Ideologi ini sesungguhnya adalah sebuah ideologi kufur yang sedang menuju kehancuran, namun kalian masih berpaut padanya. Sepatutnya kalian menyedari hakikat ini dan melepaskan ikatan kalian darinya. Kalian sepatutnya berpegang kepada ideologi Islam. Kalian sepatutnya sedar bahawa kalian tidak hidup di bawah naungan syari’ah. Inilah yang menjadi punca kepada segala malapetaka yang ada. Allah Azza wa Jalla telah memberikan kepada sebahagian dari kalian akan kekuasaan, maka apakah kalian melupakan Allah sesudah itu? Apakah dengan kekuasaan yang ada, kalian masih ingin memberi alasan kerana tidak menerapkan hukumNya? Apa jua alasan yang kalian berikan untuk tidak menerapkan hukum Allah, kalian sesungguhnya telah menambahkan kegembiraan kepada orang-orang kafir dan kalian juga sesungguhnya telah memperpanjangkan umur kebatilan. Fikirkanlah sama ada alasan yang kalian berikan di dunia pada hari ini dapat menyelamatkan kalian dari azab Allah di akhirat kelak? Kenapa kebatilan yang kalian kekalkan, walhal kuasa ada di tangan kalian untuk merubahnya? Hizbut Tahrir dengan ini menyeru agar kalian menghijrahkan pemikiran kalian kepada Islam agar kalian keluar dari kepompong kehidupan yang penuh kehinaan ini menuju kehidupan yang penuh kemuliaan. Sesungguhnya tidak ada kemuliaan tanpa Islam, tidak ada Islam tanpa syariah dan tidak akan tegak syariah kecuali dengan adanya Daulah al-Khilafah. ALLAHU AKBAR!



Filed under having  

2 Ulasan:

Rembulan NagaGala said...

Setuju 100%.

Mohd Faizal said...

Pernah hantar ke majalah/akhbar/penerbitan ke artikel demo nih..bagus ni utk tatapan orang yg takder access internet!..ilmiah & membuka mata!..teruskan!..caiyok2