Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

Kes liwat Saiful-Anwar terus celaru

by AURA JIHAD

Kata dikota, janji dilaksana. Begitulah apa yang dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi DS Anwar Ibrahim, Jumaat 15 Ogos 2008 sekitar jam 6.25 petang di dewan solat Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Beliau yang hadir bersama bapanya, Azlan Mohd. Lazim dan disaksikan oleh imam masjid, Ramlang Porigi menyelesaikan upacara sumpah (pengakuan) dirinya diliwat oleh DS Anwar Ibrahim dengan menyebut. Berikut adalah lafaz sumpah Saiful,

“Bismillahir rahmanir rahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, nombor kad pengenalan 850706-01-5687, sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:“A'uzubillahi minas syaitanir rajim. Bismillahir rahmanir rahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya.“Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah SWT dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah SWT sehingga kiamat. Wallahualam.”

Sesungguhnya kes liwat Saiful dan Anwar ini ‘ganjil’ sejak mula lagi. Dengan sumpah yang baru dilakukan Saiful ini, bertambahlah kecelaruan pihak-pihak berwajib di dalam menyelesaikan masalah ini.

Di dalam Islam, kes liwat adalah termasuk di dalam kategori hudud. Di dalam kes hudud, Islam menggariskan cara-cara penyelesaian yang tertentu, bukan secara hentam keromo mengikut pendapat masing-masing. Kita mesti faham bahawa kes hudud adalah kes yang wajib dibicarakan di mahkamah, bukannya diputuskan di masjid. Persoalan sumpah laknat (mubahalah) langsung tidak timbul di sini. Ringkasnya, di dalam kes ini, Saiful menuduh Anwar meliwatnya, maka wajib bagi si Saiful membuktikannya di mahkamah dengan mendatangkan saksi. Beliau juga boleh bersumpah bahawa beliau diliwat sebagai salah satu bentuk kesaksian, tetapi bukan bersumpah mubahalah. Baik saksi mahupun sumpah, ia wajib dilakukan di mahkamah di hadapan qadhi, bukannya di masjid di hadapan imam solat dan beberapa orang pengawal.

Amat pelik hukum Islam yang dijalankan di Malaysia, kes hudud boleh diselesaikan dengan begitu sahaja di hadapan imam sebuah masjid. Beginikah caranya Rasulullah SAW menyelesaikan masalah liwat? Dan apa pula peranan mahkamah syariah yang wujud di sekeliling kita ketika ini? Si Saiful bersumpah di masjid manakala Anwar Ibrahim pula di dakwa di mahkamah sivil. Masya Allah!.

Apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan terhadap Saiful selepas ini, walhal Saiful adalah orang yang membuat dakwaan dan sewajibnya dia membuktikan dakwaannya. Apakah cukup bagi kerajaan dan bagi Saiful sendiri hanya sekadar berdiam diri, menanti 'reaksi' Allah terhadap Saiful, apakah terdapat laknat Allah atau tidak?

Kita perlu faham bahawa sumpah Mohd Saiful mengandungi dua unsur;

1. Pengakuan yang dia diliwat,

2. Tuduhan bahawa Anwar meliwatnya.

Bagi ‘pengakuan’ yang telah dilakukan (diliwat), maka hal ini wajib ditanya oleh qadhi, sama ada liwat tersebut berbentuk paksaan atau sukarela? Jika dipaksa, perlu diperhalusi lagi, apakah paksaan itu ‘bersangatan’ (ikrahul mulji’) yang boleh membawa kematian atau kecederaan berat, atau sekadar paksaan yang tidak memudaratkan? Qadhi perlu memeriksa perkara ini agar perlakuan liwat tadi boleh ditentukan statusnya, sama ada termasuk ke dalam perkara penganiayaan (jika ikrahul mulji’) atau kemaksiatan (jika dilakukan secara sukarela, atau paksaan yang tidak memudharatkan).

Jika ia termasuk ke dalam penganiayaan dan dapat dibuktikan, maka Anwar Ibrahim wajib dipanggil untuk membela diri. Namun sebaliknya, jika perlakuan liwat itu berupa kemaksiatan, dengan sukarela atau tanpa paksaan yang bersangatan, maka Mohd Saiful wajib dijatuhi hukuman bunuh, sebagaimana tuntutan sabda Rasulullah SAW,

“Barangsiapa yang kalian dapati sedang melakukan perbuatan kaum Luth (yakni liwat), maka bunuhlah keduanya” [HR Imam lima kecuali An-Nasa'ie]

Manakala bagi hal ‘tuduhan’ pula, Mohd Saiful mesti membawa 2 saksi sebagai bayyinat (pembuktian) yang sah di sisi syarak untuk membuktikan dia diliwat. Dalam hal ini, dia mesti mendatangkan dua orang saksi, atau dia boleh bersumpah (bukan mubahalah) sebagai salah satu kesaksian, dan dia mesti datangkan seorang lagi saksi (lihat Syeikh Ahmad Daur dalam kitabnya Ahkamul Bayyinat fil Islam). Jika dia gagal, maka layaknya Mohd Saiful dikenakan pula hukuman kerana menuduh orang tanpa bayyinat dan selepas itu (selepas dia dihukum) kes ditutup. Jika dia berjaya buktikan kesnya, maka Anwar Ibrahim mesti dipanggil untuk menyatakan pembelaannya. Wajib bagi qadhi mendengar hujah dan pembuktian dari kedua-dua pihak, sebelum memutuskan hukuman.

Demikianlah secebis dari sistem keadilan Islam dalam menyelesaikan permasalahan manusia, khususnya di dalam kes liwat. Amat menyedihkan apabila hukum Islam ini telah diganti dengan hukum sekular, yang mana kesudahannya kes liwat di selesaikan bukan dengan cara yang Islami. Amat menyedihkan juga, apabila golongan agamawan cuba menyelesaikan masalah ini dengan Islam, tetapi telah mengambil jalan yang jauh terkeliru dari yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Semoga dengan berdirinya Daulah Khilafah sedikit masa lagi, segala hukum uqubat dan bayyinat Islam akan di terapkan oleh Khalifah dengan seadilnya ke atas manusia. Insya Allah.

Filed under having 0 Ulasan  

Jangan undang murka Allah - hentikan segera wabak assabiyyah

by AURA JIHAD

Bermula dengan secebis lontaran pandangan Menteri Besar Selangor pada 10 Ogos 2008 agar kerajaan membuka pintu kemasukan ke UiTM sebanyak 10% kepada golongan bukan bumiputera, 5000 pelajar UiTM terus berhimpun di hadapan bangunan SUK, Shah Alam sebagai bantahan. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan kritikan pedas daripada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah yang menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sebagai seorang yang “cetek pemikiran” kerana sanggup mengeluarkan kenyataan sesuka hati sehingga dilihat menghina dan mengutuk kaum sendiri. Isu ini terus dicanangkan oleh media arus perdana dengan memperbesarkan percikan api ini sehingga seolah-olah bangsa Melayu telah musnah.

Walhal tindakan kerajaan selama ini yang banyak menzalimi rakyat, khususnya golongan Melayu yang berpendapatan rendah, dengan kenaikan harga minyak, tol, barangan dapur dan pelbagai lagi kesengsaraan yang berpanjangan, tidak pula diperjuangkan oleh Ibrahim Abu Shah. Media arus perdana juga tidak berminat melaporkan semua itu, kerana kini peluang terbuka luas untuk media arus perdana, sebagai kuda tunggangan kerajaan untuk ‘menghentam’ MB dari Pakatan Rakyat dengan isu yang dilontarkan itu.

Tidak hanya di UiTM Shah Alam, wabak assabiyyah kini terus merebak ke serata negara. Bermula Shah Alam, kemudian UiTM Machang, Kelantan, Ipoh, Arau, Bandar Jengka, Melaka, Sungai Petani, Kuala Terengganu, dan kini wabak Jahiliyyah ini terus merebak ke UiTM Permatang Pauh, UiTM Segamat dan terus terbang menyeberangi laut China Selatan ke UiTM Samarahan Sarawak. Sungguh cepat penyakit kufur ini merebak, entah apakah ‘agen pembawanya’ yang sangat efisien itu hingga berjaya menjangkiti berpuluh-puluh ribu mangsa dan entah berapa banyak lagi mangsa yang akan dijangkiti selepas ini. Sebelum isu kuota 10% UiTM ini timbul, isu pembukaan kuota sebanyak 45% biasiswa JPA kepada bukan bumiputera dan kuota 10% kemasukan ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia umpama benih bagi wabak ini walaupun ia hanya dibincangkan oleh sekelompok golongan ekstremis assabiyyah Melayu sahaja.

Sesungguhnya assabiyyah adalah penyakit kufur Jahiliyyah yang jelas dilaknat oleh Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW,

”Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang kerana assabiyyah dan yang mati kerana assabiyyah [HR Abu Dawud]

Wahai pejuang bangsa Melayu sekalian! Apakah kalian tidak takut dengan azab yang dijanjikan oleh Allah bagi penyeru kepada assabiyyah? Apakah yang terlalu istimewa dengan benih Melayu yang kalian miliki berbanding dengan aqidah Islam yang maha agung yang diturunkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad SAW tetapi tidak kalian perjuangkan? Jika kalian betul-betul ingin memperjuangkan ‘bangsa Melayu’, maka apakah kalian merasakan yang Rasulullah yang ‘berbangsa Arab’ itu lebih rendah dari kalian yang berbangsa Melayu, sehingga bangsa Melayu mesti dipertahankan habis-habisan? Jika kalian merasakan Rasulullah yang berbangsa Arab itu lebih tinggi, kenapa pula kalian tidak memperjuangkan bangsa Arab? Sungguh hina apa yang kalian perjuangkan. Kalian memperjuangkan bangsa walhal Rasulullah sendiri tidak pernah memperjuangkan ‘kearabannya, malah Rasulullah melaknat setiap pejuang bangsa! Ingatlah, apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah adalah ‘Islam’, bukannya ‘bangsa’. Justeru, kenapa kalian memilih untuk memperjuangkan bangsa Melayu, yang mana tidak ada satu keistimewaan pun yang Allah berikan kepada bangsa Melayu, tidak ada di dalam al-Quran dan tidak ada di dalam hadis. Tingginya manusia itu adalah kerana ketakwaannya kepada Allah, bukan kerana bangsanya. Malah, para pejuang bangsa itu adalah sebuah kelompok yang hina di dalam Islam kerana mereka menyeru kepada seruan jahiliyyah!

Rasulullah telah diutus untuk menyampaikan Islam dan menyeru seluruh umat manusia untuk menganuti dan memperjuangkan aqidah Islam serta menyatukan pelbagai bangsa di dunia ini agar melebur menjadi ummatan wahidah atas dasar aqidah Islam dan bukannya atas nama kebangsaan. Kaum kuffar pastinya akan tersenyum lebar melihat penyakit yang mereka tanam beratus-ratus tahun dahulu ke atas umat Islam, hingga kini masih terus tumbuh dan bercambah.

Justeru, tinggallah penyakit assabiyyah ini wahai saudaraku. Apa yang kalian lakukan, baik orang yang memperalatkan mahupun yang diperalatkan untuk memperjuangkan ‘bangsa Melayu’ ini, maka kalian hanya mengundang murka dan laknat Allah ke atas kalian sendiri. Kepada yang berpandangan bahawa UiTM merupakan “benteng terakhir” bagi bangsa Melayu, maka bertaubatlah segera selagi nyawa masih di kandung badan. Di akhirat nanti, Allah tidak akan memperhitungkan kalian berdasarkan ‘bangsa’ kalian, tetapi atas ‘amalan’ kalian kepadaNya. Namun, Allah pasti akan memperhitungkan amalan kalian yang menjadikan ‘bangsa’ sebagai perjuangan, dan bukan menjadikan ‘agama’Nya sebagai perjuangan. Di padang mahsyar nanti, barulah kalian sedar bahawa bangsa Melayu yang kalian perjuangkan tidak ada keistimewaan langsung dan tidak ada nilai sebesar zarah pun di sisi Allah Azza wa Jalla. Justeru, takutlah kalian kepada azab Allah dengan apa yang kalian lakukan. Tinggalkanlah segera perjuangan yang akan membinasakan diri-diri kalian ini! Na’uzubillah min zalik.

Filed under having 0 Ulasan  

Demonstrasi pelajar UiTM – bukti kerosakan sistem pendidikan sekular!

by AURA JIHAD

Dalam kekecohan Forum Memeluk Islam, satu lagi hal kecoh berlaku di sana sini berikutan cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar membuka kuota penyertaan non-bumiputera dan asing ke pusat pengajian tinggi Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pelbagai reaksi para pelajar yang menuntut di IPT tersebut dan juga pihak lain dalam menyentuh isu terbabit. Ketua pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, Khalid tidak patut mengeluarkan kenyataan yang berunsur menghasut apabila mencadangkan UiTM dibuka kepada bukan bumiputera.

Dalam perkembangan yang berkaitan di Machang, beberapa kumpulan pelajar itu diketuai oleh para pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan persatuan-persatuan dalaman UiTM yang sebahagian besar memakai pakaian serba hitam melakukan perhimpunan memberi respons kepada isu berkenaan. Perhimpunan itu berakhir selepas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Kelantan, Shaik Aznan Md. Eusoff menyerahkan memorandum yang ditandatangani oleh mereka kepada Pengarah kampus tersebut, Prof. Datuk Dr. Hussin @ Mohamed Abd. Rahman seraya berkomentar, "Persoalannya, kenapa UiTM diganggu sedangkan di negara ini terdapat sebanyak 22 buah universiti kerajaan, 32 universiti swasta dan beratus institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang terbuka kepada semua kaum".

Inilah manifestasi dari penerapan dasar diskriminasi perkauman yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kaum Melayu mempunyai hak-hak istimewa berbanding yang lain. Kesannya dapat dirasakan hingga sekarang. Kaum bukan Melayu mula bangkit menuntut hak hidup mereka sebagai warganegara. Mereka sentiasa mencari-cari jalan agar hak mereka dikembalikan termasuk menggunakan pentas politik. Kaum Melayu sekarang benar-benar tersepit dengan situasi yang mereka pilih sendiri, kerana berhukum dengan hukum sekular. Mereka sentiasa dihimpit dengan ketidakadilan yang mereka sendiri pilih untuk bertahkim, iaitu bertahkim dengan undang-undang kufur jahiliyyah, bertahkim dengan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat oleh sikafir Lord Reid.

Memanglah Melayu sangat sinonim dengan Islam. Malangnya, kaum Melayu meninggalkan sebahagian besar ajaran Islam dalam kehidupan mereka. Sistem kehidupan kaum Melayu diselubungi dengan sekularisme, nasionalisme dan patriotisme yang datangnya dari Barat. Sudahnya, kaum Melayu lebih sayangkan Melayu dan memperjuangkan bangsa Melayu dari memperjuangkan Islam itu sendiri. Walaupun Islam tidak dilaksanakan, hukum Islam dipijak-pijak oleh pemerintah yang ada, namun kaum Melayu tidak bangkit untuk membela Islam dan membuang hukum kufur sekular yang keji ini. Namun, jika persoalan ‘bangsa Melayu’ sedikit sahaja di ungkit, maka kaum Melayu bangkit dan mempertahankannya habis-habisan.

Di dalam sebuah Negara Islam (Daulah Khilafah), polisi pendidikan yang diamalkan adalah bersifat adil untuk semua warganegara. Islam tidak sama sekali meletakkan kuota pendidikan berdasarkan kaum, warna kulit, ras mahupun agama. Bahkan setiap warganegara Daulah Islam (Khilafah) menikmati pendidikan secara menyeluruh dan percuma kerana pendidikan itu merupakan keperluan sekunder manusia. Bagi memenuhi keperluan tersebut, Khilafah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan prasarana dan fasiliti yang berkaitan pendidikan secara percuma kepada rakyatnya tanpa mengkelas-kelaskannya berdasarkan ‘bangsa’ atau sentimen perkauman atau bahkan agama sekalipun. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW dari Sulaiman bin Buraidah r.a,

"..dan beritahukanlah kepada mereka (orang-orang kafir) bahawa apabila mereka telah melakukan semua itu (berhijrah menjadi warga Daulah Islam -pent), maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana yang dimiliki kaum muhajirin (warganegara Daulah Islam), dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum muhajirin" [HR Muslim]

Apa yang penting di bawah polisi pendidikan Islam adalah, segala silabusnya mestilah sesuai dengan syarak. Tidak sebagaimana sekarang, silabus pendidikan yang ada mestilah sesuai sebagaimana yang dikehendaki oleh Barat dan pemerintah yang sekular. Dunia pendidikan kita masih berkiblatkan Barat di mana polisi pendidikannya memisahkan agama dari kehidupan (faslu deen anil hayah). ‘Islam’ hanya menjadi salah satu subjek yang dipelajari dan boleh dipilih untuk dibuang, jauh sekali dipelajari (Islam) untuk diterapkan.

Kedudukan orang-orang kafir yang berada di bawah naungan Daulah Khilafah disebut ahlu-dzimmah atau kafir dzimmi. Hak hidup bagi setiap ahlu-dzimmah adalah sama sepertimana hak-hak kaum Muslimin sesuai dengan tuntutan syarak. Dalam dunia pendidikan, hak kafir dzimmi tidak dinafikan atau dipencilkan seperti yang ada hari ini. Kewujudan diskriminasi kuota seperti yang termaktub dalam dasar pendidikan nasional sekarang amat menggusarkan kaum bukan Melayu (orang-orang kafir) di Malaysia. Padahal mereka juga adalah manusia yang memiliki hak seperti dinyatakan dalam hadis di atas. Tambahan lagi, oleh sebab sentimen perkauman yang tebal yang ada dalam polisi pendidikan negara, maka para pelajar bukan sahaja terbina dengan sifat perkauman Melayu yang tebal, malah secara tak langsung mereka membenci bangsa lain yang berbeza dengan bangsa mereka. Justeru, persoalan tentang hak-hak kafir dzimmi yang diterangkan dengan jelas oleh Rasulullah, langsung hilang dari benak orang Melayu.

Apa yang berlaku hari ini, menjadi bukti betapa rosaknya sistem pendidikan sekular yang telah mendarah daging di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Sistem pendidikan yang rosak sudah tentulah melahirkan pelajar yang rosak. Sistem pendidikan yang assobiyyah sudah tentulah akan melahirkan pelajar yang bersifat assobiyyah, yang sayang kepada bangsa dan yang akan memperjuangkan bangsa. Manakala jika sistem pendidikan Islam diterapkan, sudah tentulah yang terlahir darinya adalah para pelajar yang bersyakhsiyah Islam, yang sayangkan Islam dan yang akan memperjuangkan Islam, tidak kiralah bangsa apa sekalipun dia. Justeru, demostrasi pelajar UiTM yang ingin mempertahankan hak Melayu beserta komen ahli-ahli politik kerajaan dalam isu ini membuktikan dengan jelas bahawa sistem pendidikan sekular yang ada sekarang, yang melahirkan pejuang 'bangsa', bukannya pejuang 'Islam,' sudah terbukti rosak dari akar umbi lagi hinggalah ke pucuknya.


Filed under having 0 Ulasan  

Riba PTPTN 1 peratus - Kadar baru bebankan sejuta pelajar dengan dosa!!!!!!

by AURA JIHAD

PUTRAJAYA 13 Ogos – Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan kadar caj Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 1% berkuat kuasa 1 Jun lalu adalah satu lagi bentuk penganiayaan kepada rakyat, khususnya golongan pelajar. Ia akan melibatkan 1.04 juta peminjam PTPTN yang kini akan membuat bayaran balik dengan ‘nilai riba’ yang lebih rendah.

Riba adalah satu bentuk bayaran tambahan dari sejumlah hutang yang dikeluarkan oleh pemberi hutang kepada peminjam. Keharaman riba jelas ditegaskan di dalam Al-Quran di mana Allah berfirman,

“Mereka berkata sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba. Padahal, Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” [TMQ al-Baqarah (2):275].

Tidak kira jumlah bayaran balik pinjaman itu 30%, 3%, 1% atau 0.01% sekalipun, setiap ‘tambahan’ yang perlu dibayar kepada setiap pinjaman/hutang, maka ia adalah riba. Hal ini adalah jelas menurut Islam dan tidak ada helah yang boleh menghalalkannya. Apa sahaja nama yang diletak untuk ‘menjustifikasikan’ ia sebagai bukan riba seperti ‘caj perkhidmatan’ dan sebagainya, ‘helah’ sebegini sekali-kali tidak akan menukar hakikat riba. Di manakah nas yang membolehkan pinjaman dibayar balik dengan bayaran tambahan?

Sebelum ini, ‘caj perkhidmatan’ pinjaman PTPTN adalah 3% bagi pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda manakala peminjam pembiayaan peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran dikenakan caj sebanyak 5%. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah PTPTN tersebut dijangka mampu meningkatkan semula jumlah kutipan pinjaman perbadanan itu berbanding sebelum ini. Menurut beliau, keputusan menurunkan kadar caj perkhidmatan itu dipersetujui oleh Jemaah Menteri minggu lalu dan Majlis Fatwa Kebangsaan juga mengesahkan ia tidak bertentangan dengan syariah.

Kita amat pelik dengan fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang nampaknya memihak kepada apa yang dikehendaki oleh kerajaan, bukan dengan apa yang dikehendaki oleh Islam. Pemahaman bahawa riba yang diharamkan adalah riba yang berlipat ganda, dengan kata lain riba yang sedikit dibenarkan adalah pemahaman yang keliru yang diambil dari kaedah istimbat yang salah. Ini kerana, dalam ayat di atas, Allah telah menerangkan dengan jelas bahawa riba itu haram, tanpa disebutkan gandaan atau tidak. Jumlah gandaan yang dikenakan oleh kaum Jahiliyyah dahulu ke atas pinjaman hanya merupakan salah satu bentuk riba yang mereka amalkan pada waktu itu. Pokoknya, dengan turunnya ayat di atas, Allah telah mengharamkan apa jua bentuk riba, sama ada berganda atau tidak, sama ada banyak atau sedikit. Jadi segala bentuk riba adalah diharamkan.

Angka terkini peminjam PTPTN adalah seramai 1.04 juta dengan nilai pinjaman keseluruhan mencecah RM23 bilion. Ini satu jumlah yang besar telah dibebankan oleh kerajaan kepada rakyat. Kerajaan sepatutnya menjadi penjaga rakyat seperti yang telah dijelaskan oleh hadis Rasulullah,

“Imam (ketua negara) itu adalah penjaga, maka dia akan ditanya tentang apa yang ada di bawah jagaannya” [HR Muslim]

Rasulullah SAW telah pun menunjukkan peranan ketua negara dalam ‘menjaga’ hal ehwal rakyat dalam bidang pendidikan di mana, di dalam peristiwa tahanan Badar, Rasulullah SAW menentukan bahawa setiap tawanan dikehendaki mengajar anak-anak kaum Muslimin sebagai tebusan pembebasan mereka. Manakala perbelanjaan tersebut dikeluarkan oleh Rasulullah dari Baitul Mal. Inilah dalil yang menunjukkan bahawa pemerintah wajib memberikan pendidikan yang percuma kepada rakyat, bukannya dengan memberikan pinjaman atas pendidikan, apatah lagi mengenakan riba atas pinjaman yang diberikan. Dengan sistem sekular Kapitalis yang diamalkan oleh kerajaan sekarang, maka kerajaan telah menanggung dosa yang amat banyak dan setiap pelajar juga ingin dibebankan oleh kerajaan dengan dosa yang sama. Masya Allah!!!

Filed under having 0 Ulasan  

Jangan biarkan dirimu diperangkap dengan assobiyyah wahai adik-adikku!

by AURA JIHAD

Kebangkitan mahasiswa? Itulah yang diharapkan apabila melihat ribuan mahasiswa UiTM berada di jalanan melakukan bantahan berhubung cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim agar UiTM membuka kuota 10% kepada pelajar bukan bumiputera dan pelajar asing untuk memasuki universiti tersebut.

UiTM pada masa ini telah dianggap sebagai salah satu ikon bangsa Melayu dan ramai pelajar Melayu yang berbangga kerana wujudnya satu-satunya universiti yang dianggap menjadi pertahanan akhir kepada hak pendidikan anak-anak bangsa Melayu. Untuk memastikan bahawa semangat Melayu itu terus hidup dan relevan, maka UiTM telah menganjurkan pelbagai program dan seminar yang bersifat kemelayuan. Jadi, dengan itu, semangat Melayu dapat terus dipupuk dan sentiasa diberi ‘nafas baru’ kepada kalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM.


Manakala pemikiran dan ruhiyah keIslaman pula mendapat layanan yang berbeza. Para pelajar dilarang untuk melakukan perhimpunan untuk tujuan keIslaman bahkan untuk mengedar risalah Islam juga dilarang sama sekali. Semua ‘gerakan Islam’ dimansuhkan bahkan sebarang aktiviti usrah dan kegiatan-kegiatan surau di asrama sunyi sepi. Barang siapa yang dilihat cuba menaikkan semangat perjuangan Islam akan dicop sebagai radikal dan diberi amaran akan dikenakan tindakan tatatertib. Barangsiapa yang cuba berhimpun di surau-surau atau di bilik-bilik asrama untuk membincangkan perjuangan Islam, maka kemungkinan besar akan ditangkap. Maka pemikiran assabiyyah Melayu tumbuh subur dan budaya serta gaya hidup berasaskan kepada kebebasan/liberalisme berkembang biak di bumi UiTM.

Inilah antara ’kerosakan-kerosakan’ yang telah diusahakan dengan gigih oleh Naib Canselornya Prof Ibrahim Shah selama ini dan perarakan beribu-ribu mahasiswa UiTM itu dilihat hasil daripada ’usaha gigih’ tersebut. Bahkan ada di antara kita yang turut merasa teruja apabila melihat beribu-ribu mahasiswa berada di jalanan melakukan bantahan kerana sudah agak lama fenomena sedemikian tidak berlaku. Namun, adakah objektif mereka berkumpul itu benar-benar berlandaskan kepada pemikiran Islam yang benar, atau semata-mata atas dasar assabiyyah yang telah diharamkan oleh Islam? Daripada sepanduk dan panji-panji yang dikibarkan, amat jelas bahawa perhimpunan bantahan itu sebenarnya berlandaskan semangat assobiyah iaitu perjuangan mempertahankan hak pendidikan bangsa Melayu. Bangsa Cina dan India yang telah menjadi Muslim tidak sangat diambil peduli, apatah lagi kaum minoriti Islam lain yang ada di Malaysia, seperti orang Siam, orang Bangladesh, orang Burma dan lain-lain yang juga beragama Islam.

Para mahasiswa dan mahasiswi adalah golongan intelek yang dikurniakan oleh Allah otak yang cerdas dan sihat sepatutnya lebih bijaksana di dalam memilih bentuk perjuangan yang sebenar. Mengapakah pemikiran mereka perlu disempitkan dengan perjuangan assobiyyah? Mereka seharusnya membebaskan belenggu-belenggu pemikiran kufur assobiyyah ini agar dapat berfikir dengan lebih matang. Jika tidak, mereka akan mudah diperalatkan oleh pihak tertentu. Nasib ‘bangsa’ Melayu bukanlah satu perkara yang patut diperjuangkan, malah haram, dan haramnya teramat jelas dan ia adalah assobiyyah yang sangat-sangat dibenci oleh Rasulullah. Dengan akal yang cerdas dan sihat itulah, mereka sepatutnya meninggalkan assobiyyah dan mengambil Islam, sebagai satu-satunya wadah perjuangan. Mereka perlu ingat bahawa mereka pasti akan dihisab oleh Allah atas setiap langkah assobiyah atau langkah Islam yang mereka ambil. Pilihan di tangan mereka. Perjuangan assobiyyah telah lama menghancurkan dan menyekat kesatuan umat Islam. Disebabkan itulah ia mendapat larangan yang tegas daripada Rasulullah SAW, sabdanya:

”Bukan dari kalangan kita yang menyeru kepada assobiyyah, berperang kerana assobiyyah dan mati kerana assobiyyah [HR Abu Dawud]

Memperjuangkan assobiyyah Melayu yang haram ini tidak akan menjadikan bangsa Melayu lebih baik, malah akan terperosok nun lebih jauh ke dalam jurang kejahilan dan kemusnahan yang amat dahsyat.

Wahai adik-adikku semua!

Ingatlah akan ayat-ayat Allah, ketika mana kaum Muslimin dahulu dihasut syaithan dan sedikit tergelincir ke jurang assabiyyah, maka Allah swt terus menurunkan ayatNya,

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya, supaya kamu berpetunjuk.” [TMQ Ali Imran (3):102-103]

Justeru, janganlah hendaknya adik-adikku semua tergelincir dengan hasutan syaithan, baik itu syaithan dari kalangan jin mahupun syaithan dari kalangan manusia yang senantiasa berusaha menyesatkan kalian dari jalan yang lurus. Berjuanglah untuk Islam, jangan berjuang untuk bangsa! Hanya dengan perjuangan kepada Islam sahajalah yang akan dapat menyelamatkan kita dari jurang neraka. Na’uzubillah min zalik.

Filed under having 0 Ulasan  

5000 PELAJAR UITM DIPERALAT??

by AURA JIHAD

Pelik bin Aneh bin Hairan bin Ajaib!!! Seramai 5,000 pelajar UiTM berdemonstrasi di hadapan bangunan SUK, Shah Alam sebagai membantah cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membuka kuota universiti itu kepada bukan bumiputera.

Sudah bertahun-tahun lamanya kita tidak pernah mendengar apatah lagi menyaksikan himpunan pelajar yang begitu ramai berhimpun untuk menyuarakan bantahan. Lebih menghairankan, ia adalah pelajar dari UiTM yang terkenal sepi dari demonstrasi, tidak seperti pelajar UM, UIA atau UKM. Apa sudah berlaku? Banyak betul kehairanan yang tak masuk akal berlaku di sini. Cuba kita sama-sama fikirkan beberapa persoalan:-

  1. Kenapa pihak polis atau FRU tidak kelihatan atau sememangnya mereka tidak berada di tempat perhimpunan. Sungguh menghairankan jika mereka tidak berada di tempat kejadian! Apakah SB-SB yang ada sudah ‘tidur’ semuanya sehingga tidak tahu satu perhimpunan sebesar itu akan diadakan.
  2. Kenapa pihak kerajaan ataupun pihak polis tidak memberi komen dari segi sama ada perhimpunan ini mendapat permit atau tidak? Selama ini, kalau ada demonstrasi aman sekalipun, pihak polis dan pihak kerajaan mesti sibuk menyatakan perhimpunan tidak ada permit. Sebaliknya, kenyataan Pak Lah yang menyatakan MB Selangor tidak ada kuasa menentukan kuota, nampaknya bersifat menyokong demonstrasi oleh pelajar UiTM tersebut.
  3. Atau apakah pelajar ini telah mendapat permit? Jika ya, alangkah efisiennya pihak polis Malaysia, di mana MB Selangor baru mengeluarkan cadangan pada hari Ahad, pada hari Selasa perhimpunan besar-besaran telah di adakan. Ini bermakna pihak polis hanya mengambil masa sehari sahaja (Isnin) untuk mengeluarkan permit. Tahniah untuk PDRM yang begitu efisien.
  4. Apakah salahnya MB Selangor yang hanya ‘mencadangkan’ agar kuota sebanyak 10% dibuka kepada bukan bumiputera, bukan MB ada kuasa pun untuk ubah kuota tersebut, dia hanya mencadangkan, itu pun untuk meningkatkan status UiTM juga. Ringkasnya, apakah sebuah ‘cadangan’ yang tak salah dan tak membawa kesan pun, perlu dijawab dengan demonstrasi besar-besaran.
  5. Media memetik kata-kata beberapa orang pelajar yang menggambarkan seolah-olah hak keistimewaan orang Melayu akan terhakis dan musnah dengan ‘cadangan’ pembukaan kuota 10% itu. Waraskah hujah ini?
  6. Apakah dalam negara demokrasi kufur ini yang mendewa-dewakan kebebasan berpendapat, kini, dengan hanya menyuarakan pandangan sekecil itu pun sudah dianggap salah dan mesti ‘diperangi’ habis-habisan?

Kita sama-sama saksikan nanti sama ada AUKU akan digunakan oleh kerajaan untuk mendakwa para pelajar UiTM ini yang telah terbabit dengan satu perhimpunan haram, atau jika mereka tidak di dakwa, mungkin sebenarnya perhimpunan ini telah ‘dihalalkan’ oleh kerajaan untuk memburukkan parti lawan? Berdasarkan keanehan yang kita saksikan ini, kita yakin bahawa ia bukanlah secara murni datangnya dari para pelajar, yang masih boleh bergelak ketawa, tersenyum lebar dan bersorak-sorak di sepanjang perhimpunan tersebut. Para pelajar ini langsung tidak kelihatan bersungguh-sungguh memperjuangkan atau risau dengan kehilangan hak Melayu mereka, malah kelihatan bersorak-sorai dengan riang dan tawa sambil menyanyikan lagu terima kasih kepada pemimpin. Jadi, siapakah di belakang tabir? Siapakah di belakang semua ini? Nampaknya ada pihak yang mendalangi dan memperalatkan pelajar UiTM ini untuk kepentingan politik keji mereka? Wallahu ‘alam.

Filed under having 0 Ulasan  

FORUM MEMELUK SEKULAR!!!

by AURA JIHAD

Semenjak perhimpunan membantah Forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam beberapa hari lepas, kekecohannya masih hingga kini belum reda. Pelbagai reaksi dari pemimpin, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik mahupun orang awam.

Antara yang memberi komen adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menganggap penganjur forum berkenaan sebagai 'bermain api'. Begitu juga beberapa reaksi lain yang mengatakan Majlis Peguam melanggar peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, mengenepikan kesepakatan pemimpin kaum terdahulu dan pelbagai lagi. Perlu kita selami isu yang dikatakan sensitif ini dengan pemikiran yang nalar, jauh dari sentimen atau emosi yang liar. Kita perlu realistik dalam mencari punca dan penyelesaiannya supaya ia tidak membawa padah akibat pertembungan emosional yang pasti merugikan.

Dalam membincangkan isu ini, kita mesti sedar bahawa realitinya, Malaysia adalah sebuah negara sekular! Penerapan syariah (peraturan Islam) hanyalah tertakluk kepada peruntukan yang disediakan oleh undang-undang kufur sekular yang ada. Ini bererti, dalam apa keadaan sekalipun, ‘kuasa’ syariah adalah terhad. Undang-undang syariah sekali-kali tidak akan dapat dilaksanakan kecuali mendapat 'keizinan' dari undang-undang kufur terlebih dahulu. Inilah hakikatnya. Pendek kata, undang-undang syariah, jika ada pun, hanyalah ‘menumpang’ dan dilaksanakan dengan ‘ihsan’ undang-undang selainnya.

Forum memeluk Islam anjuran Majlis Peguam adalah untuk membincangkan konflik undang-undang yang tidak berkesudahan di Malaysia. Konflik yang dimaksudkan ialah di antara undang-undang Islam dan juga undang-undang kufur sekular yang diterapkan di Malaysia. Memang di dalam forum apa pun yang menyentuh tentang undang-undang, apatah lagi yang dianjurkan oleh badan kepeguaman, maka undang-undang yang mendominasi perbincangan adalah undang-undang kufur, kerana inilah teras kepada undang-undang yang diterapkan di Malaysia. Maka, jika badan profesional itu menganjurkan forum memeluk Islam seumpama itu, apakah natijah yang kita harapkan, jika tidak mempertahankan undang-undang sekular yang ada, sesuai dengan sifat badan profesional itu yang dipenuhi oleh orang-orang yang berfikiran sekular. Kebanyakan peguam yang ada adalah terdiri dari mereka yang telah diasuh dan dididik dengan undang-undang kufur sekular. Inilah hakikatnya.

Justeru, orang-orang politik sepatutnya tidak berkokok dengan penganjuran forum tersebut, kerana merekalah golongan yang telah ‘membuat’ dan menjadikan undang-undang kufur sebagai undang-undang di Malaysia. Dengan kata lain, merekalah yang menjadikan Malaysia ini dipenuhi dengan undang-undang sekular kerana merekalah yang selama ini membuat undang-undang di Parlimen. Justeru, apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang-orang berkuasa politik ini adalah, untuk menerapkan undang-undang Islam secara kaffah dan membuang segala undang-undang kufur yang ada, kerana pelaksanaan undang-undang kufur inilah yang selama ini telah menyebabkan segala kerosakan yang berlaku.

Kita harus sedar bahawa ruang kebebasan bersuara yang diberikan oleh sistem demokrasi kufur inilah yang sebenarnya telah digunakan oleh pihak penaja forum untuk mengenengahkan undang-undang kufur yang ada. Demokrasi merupakan wadah politik yang lahir dari sekularisme dan sudah semestinya akan digunakan oleh para pengamal undang-undang sekular untuk mempertahankan kesekularan mereka. Nah, inilah akibatnya!

Jika syariah yang menjadi asas kepada peraturan negara, pastinya tidak akan berlaku 'havoc' sebegini. Orang-orang kafir zimmiy tahu dan sedar akan hak mereka sebagai warganegara Daulah Khilafah di mana mereka mesti tunduk kepada undang-undang Islam dengan ketundukan yang sepenuhnya. Jika mereka ingin berdebat tentang akidah dan syariat Islam secara intelektual di dalam mencari kebenaran, ya kita persilakan. Tetapi jika mereka ingin berdialog atau berdebat kerana ingin melaksanakan kekufuran, maka Daulah Khilafah ada jawapannya untuk mereka.

Filed under having 0 Ulasan  

HUKUM MENGUNDI DI PILIHANRAYA TASHRI'IYYAH

by AURA JIHAD

Soalan:

Sebagaimana yang pihak tuan sedia maklum, kami di Algeria ini mempunyai pilihanraya tashri'iyyah. Sebahagian parti-parti di sini menyeru ke arah berhukum dengan shariat Islam dan sebahagian lain pula tidak mahu kepada hukum Islam. Maka apa hukumnya mengundi golongan yang tidak mahu menegakkan hukum Islam walaupun dia solat ?

Jawapan:

Wajib bagi orang Islam yang berada di Negara yang tidak berhukum dengan hukum Islam untuk mengerah tenaga dan usaha mereka semampu mungkin untuk berhukum dengan Shariat Islam. Mereka hendaklah berganding bahu dalam membantu parti yang diketahui akan menghukum dengan Shariat Islam.

Adapun membantu orang yang menyeru ke arah tidak melaksanakan shariat Islam adalah tidak boleh malah boleh membawa kepada Kufur berdasarkan kepada firman Allah :
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.
(Al Maa'idah 49-50)

Oleh kerana itu setelah Allah menerangkan kekufuran orang yang tidak berhukum dengan shariat Islam maka Allah memberi amaran agar tidak membantu mereka dan tidak mengambil mereka sebagai penolong/kawan/ pemimpin. Lalu Allah memerintahkan orang-orang beriman agar bertaqwa jika mereka benar-benar beriman.

Maka Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir musyrik itu: Menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
(Al Maa'idah 57)

Wabillahittawfiiq. Wa Sollallah `ala Nabiyyina Muhammad wa aalihi wa sohbihi wa sallam.