Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

KRISIS MAKANAN DUNIA

by AURA JIHAD

Dalam dua tiga bulan yang lepas, masalah krisis makanan global telah semakin mendapat perhatian para pemerhati ekonomi dunia. Antara perkara yang menjadi perhatian adalah peningkatan harga makanan di pasaran global yang telahpun memberi kesan langsung terhadap harga pasaran bahan makanan tempatan serta masalah kebuluran yang telahpun mula muncul di beberapa wilayah berasingan di dunia. Di Mahalla El-Kobra, Mesir, ribuan rakyat yang marah dengan kenaikan harga barang, tetapi tiada kenaikan gaji, telah membakar bangunan kerajaan, mencuri di kedai-kedai dan melontar batu ke arah polis di bandar industri tersebut baru-baru ini. Penunjuk perasaan menyerbu majlis perbandaran, memecahkan tingkap dan melarikan komputer serta dokumen lain. Sekurang-kurangnya dua buah sekolah dibakar dan beberapa buah bank dirosakkan. Hampir 100 orang ditahan di seluruh Mesir ketika ribuan penduduk tidak pergi bekerja atau ke sekolah kerana membantah kenaikan harga makanan dan keadaan kerja yang semakin teruk [BH 07/04/08]. Beberapa hari sebelum itu, akhbar melaporkan bahawa para petani di Argentina melancarkan mogok yang telah masuk hari ke-21 dan mengadakan lebih 300 sekatan jalan di seluruh negara kerana membantah dekri Presiden pada 11 Mac lalu yang menaikkan cukai eksport kacang soya sehingga 45 peratus dan mengenakan duti baru ke atas eksport lain. Akhbar melaporkan bahawa ia adalah krisis makanan terburuk negara itu di mana Presiden Cristina Fernandez sendiri menyamakannya dengan protes tiga minggu pada 1976 sehingga mencetuskan kekacauan dan rampasan kuasa tentera [BH 03/04/07].

Sementara itu, di Filipina, kerajaan telah mengumumkan bahawa pemilik gudang dan peniaga yang didapati menyorokkan beras di Filipina akan didakwa atas tuduhan melakukan “sabotaj ekonomi” yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup. Setiausaha Kehakiman, Raul Gonzalez berkata, ejen-ejen kerajaan dengan bantuan polis sudah mula melancarkan serbuan terhadap peniaga beras haram di bandar Cebu, tengah negara ini [UM 04/04/08]. Di Thailand pula, walaupun ia merupakan antara negara pengeksport beras utama dunia, krisis kekurangan beras telah dilaporkan berlaku di penjara negara Gajah Putih itu. Harga beras yang semakin mahal dibimbangi boleh mencetuskan rusuhan di penjara berikutan kontraktor yang dilantik pihak berkuasa untuk membekalkan makanan kepada penghuni pusat tahanan dipercayai mengalami kerugian, kata ketua Jabatan Penjara, Wanchai Rujanawong. Akhbar The Bangkok Post melaporkan, pihak berkuasa penjara bimbang sekiranya pembekal menghentikan penghantaran beras ia boleh menyebabkan masalah kekurangan makanan di penjara yang seterusnya akan mencetuskan rusuhan di kalangan banduan [BH 06/04/08]. Terbaru, PBB memberi amaran peningkatan harga makanan yang berterusan boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia. Amaran PBB itu dinyatakan oleh John Holmes, Timbalan Setiausaha Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bencana PBB di sidang bantuan kemanusiaan di Dubai. Harga purata makanan meningkat sehingga 40 peratus sejak pertengahan 2007, katanya. “Harga makanan dunia meningkat dengan ketara. Kesan krisis makanan ke atas keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan kerana rusuhan sudah meletus di beberapa negara”, tegasnya lagi [BH 09/04/08].

Sekilas Fakta

Makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya tahun lepas, rakyat Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan di pasaran, bayangkanlah bagaimana keadaannya kelak sekiranya anda dapati tiada lagi beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun setakat ini Malaysia masih belum terkesan dengan fenomena ini, namun berdasarkan trend ekonomi dunia, hal ini langsung tidak mustahil melanda negara.

Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan hanya sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi semakin kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkat dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja. Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun ini [Sunday Herald 09/03/08].

Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia di mana kita dapat saksikan ketidakpuasan hati terhadap apa yang sedang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. ‘Rusuhan Tortilla’ telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga tortilla (antara makanan ruji rakyat Mexico) yang meningkat sebanyak 400%. ‘Mogok Tempe’ selama tiga hari oleh para peniaga pula telah berlaku di Indonesia pada awal Januari lalu apabila harga bahan asas pembuatan tempe iaitu kacang soya meningkat dari sekitar Rp3,000 pada tahun 2007 kepada Rp7,400 pada tahun ini. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, telah mengatakan bahawa di banyak negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih 2 kali ke 3 kali ganda untuk makanan akibat dari kemelut ini [BBC 11/03/08]. Keadaan yang lebih dahsyat telah berlaku di India apabila dilaporkan lebih 25,000 petani telah membunuh diri mereka tahun lepas akibat dari kemurungan yang berpunca daripada kekurangan hasil pertanian dan peningkatan hutang [India Today]. Jumlah kematian ini tidak lagi termasuk dengan korban nyawa yang berpunca daripada masalah kebuluran dan kekurangan makanan yang selama ini telah lama melanda negara-negara miskin dan juga rakyat yang miskin di negara-negara yang kaya. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan [‘State of Food Insecurity in the World 2006’, PBB]. Dari jumlah ini, hampir 16,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari akibat dari masalah yang berkaitan dengan kekurangan makanan [‘Where and Why Are 10 Million Children Dying Every Year?’ The Lancet 361:2226-2234( 2003)].

Yang Dikatakan Menjadi Punca Krisis

Pakar ekonomi kapitalis tidak pernah kering dengan idea dan pandangan apabila berlaku permasalahan yang melibatkan ekonomi dunia. Begitu juga mereka tidak pernah lengang dengan seribu satu macam kaedah penyelesaian bagaimanakah caranya untuk mengatasi permasalahan yang timbul. Tetapi sebelum penyelesaian (yang tidak pernah menyelesaikan) di ambil, tabiat biasa Kapitalis adalah membincangkan ‘teori’ yang menjadi punca kepada krisis. Bagi Kapitalis, pada amnya, ada dua elemen asas yang menjadi perbahasan dalam isu krisis ini. Yang pertama adalah isu ‘jumlah bekalan makanan’ dan yang keduanya adalah isu ‘harga bahan makanan’. Kapitalis selalu menuding bahawa kerana kedua masalah inilah yang menyebabkan timbulnya kekangan bagi pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan. Kedua-dua elemen ini juga masing-masing mempunyai faktor penyebab tertentu dan juga faktor penyebab yang dikongsi bersama yang dikatakan menjadi punca mengapa krisis makanan global berlaku.

Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga dikatakan menjadi penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia (supply) dan permintaan (demand) yang memerlukannya. Contohnya (sebagaimana dilaporkan), tabiat makan penduduk China telah berubah di mana secara per kapita, penduduk Cina menghabiskan 50kg daging pada tahun 2007 berbanding hanya 20kg pada tahun 1985.

Keadaan yang ada dikatakan menjadi semakin rumit apabila faktor pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam, pencemaran dan perubahan iklim dunia. Australia dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun lepas menyebabkan hasil gandum negaranya telah menyusut sebanyak 60%. Hasil tuaian dari China juga telah menyaksikan penyusutan sebanyak 10% sepanjang 7 tahun yang lalu. Faktor-faktor ini dikatakan menjadi sebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yang boleh diperolehi oleh penduduk dunia.

Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia. Secara langsung, kenaikan harga minyak telah memaksa kenaikan kos bagi mengeluar dan memasarkan makanan (kos untuk menjana tenaga bagi menggerakkan kilang, jentera, kos pengangkutan dan sebagainya). Peningkatan harga minyak juga dilihat menjadi penyebab kenaikan kos baja sekali gus melonjakkan harga bahan makanan di pasaran.

Di samping itu, ‘kegilaan’ terhadap penghasilan bahanapi bio bukan sahaja dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekali gus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan pemakanan. Pada tahun lepas sahaja, suku daripada jumlah tuaian jagung Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan etanol (antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahanapi bio) yang mana jumlah ini pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang kepada 60% pasaran jagung dunia.

Begitulah antara sebab-sebab popular yang sering diutarakan oleh pakar ekonomi Kapitalis. Namun sebelum kita terus membuat kesimpulan dan bertindak mencari penyelesaian, kita teliti dulu akan realiti ‘punca-punca’ yang dinyatakan, sama ada ia adalah punca yang hakiki atau hanya merupakan ‘justifikasi’ kerana mahu menuding kesalahan kepada yang lain, sekali gus dapat menutup kebobrokan ‘sistem Kapitalis’ itu sendiri.

Hakikatnya, ada faktor-faktor yang diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan Bin Ajaib mengapakah boleh berlaku kekurangan bekalan makanan apabila tahap pengeluaran makanan dunia sebenarnya bertambah melebihi tahap pertambahan penduduk. Jika dibandingkan antara jumlah penduduk pada tahun 1961 dan 2005, kita dapati jumlah penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Tetapi jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda (berdasarkan data terkini dari World Resources Institute). Ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah (semakin banyak) saban tahun. Oleh yang demikian, rasional bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah satu pena’akulan yang meleset. Pada dasarnya, mereka yang memberikan alasan ini hanyalah meng‘kakak-tua’kan teori yang dikemukakan oleh Thomas Malthus dari Britain dalam kurun ke 18 di mana beliau menulis sebuah buku bertajuk ‘An Essay on the Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society’ pada tahun 1798. Di dalamnya dikatakan bahawa populasi manusia akan bertambah secara eksponen manakala pertambahan bahan makanan hanyalah secara aritmetik. Jika teori ini betul, maka beberapa ratus tahun selepas zaman Malthus, sebahagian populasi manusia akan mengalami kebuluran dan kekurangan makanan. Perlu diperhatikan bahawa Malthus menulis bukunya ketika Britain mempunyai populasi 11 juta penduduk dan pada kurun 21, populasi penduduk Britain telah bertambah sebanyak 59 juta. Namun begitu, tidak pula terdapat mana-mana kawasan di Britain yang mengalami krisis kekurangan makanan atau pun kebuluran yang serius, walaupun Britain pada hakikatnya mempunyai keluasan tanah yang tidak begitu besar berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Justeru, pendapat Malthus hanyalah benar dari segi pertambahan penduduk dunia namun teori beliau ternyata salah dalam meramal bahawa pertumbuhan makanan tidak akan dapat menampung pertambahan penduduk dunia.

Untuk isu perubahan tabiat makan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh kerana manusia telah semakin banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas, berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih banyak atau sebenarnya manusia zaman sekarang ‘membazir’ lebih banyak? Jika dilihat laporan kajian tentang pembuangan sisa makanan penduduk dunia, kenyataan kedua sebenarnya lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160 bilion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayuran segar, buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia sekarang. Jadi, logikkah tabiat pemakanan manusia dikatakan menjadi punca kepada krisis kekurangan makanan?

Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau, memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang akan berlaku. Namun bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya memberi kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak pernah menjadi kesan berpanjangan sehingga surutnya jumlah makanan dunia, sebagaimana didakwa oleh Kapitalis. Tambahan pula, di kebanyakan negara, mereka biasanya sudah pun menyediakan stok makanan yang mencukupi untuk menghadapi kesan jangka pendek yang ditimbulkan dari bencana alam ini. Banyak bahagian di dunia ini yang dilanda bencana alam sejak ratusan tahun dahulu lagi, namun krisis kekurangan bekalan tidak pula timbul, logikkah ini dikatakan sebagai punca? Di Malaysia sendiri sebagai contoh, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia (yang bersifat sementara) setiap tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada di dalam krisis makanan. Jika wujud pun masalah, ia adalah masalah pengagihan yang tidak betul yang dilakukan oleh kerajaan yang menyebabkan bekalan tidak sampai kepada mangsa. Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, ia sebenarnya bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta pengagihan yang tidak efisien.

Begitu juga dengan permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana penggunaannya untuk penghasilan bahanapi bio. Ia sebenarnya lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca masalah. Ini belum lagi mengira aktiviti spekulasi harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (futures market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara tidak realistik. Yang perlu difahami di sini adalah, masalah pengurusan bekalan yang diperkatakan adalah berhubung kait dengan ‘sistem’ yang diguna pakai untuk menguruskan ekonomi di dalam sesebuah negara. Ini kerana, perbezaan pandangan hidup (ideologi) pemerintah dan sistem ekonomi yang mereka anuti/terapkan akan membezakan tahap penilaian mereka (pemerintah) dalam membuat polisi untuk menentukan apakah yang perlu disimpan, apakah yang perlu dihasilkan, apakah yang perlu dibelanjakan dan sebagainya. Jika benak pemerintah didominasi pemikiran kapitalisme yang sememangnya rakus dalam mengambil hak rakyat, maka inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada segala kerosakan dan menyebabkan berlakunya krisis. Ini adalah kerana, ‘aqidah manfaat’ yang begitu kuat, yang dianuti mereka, menyebabkan para pemerintah Kapitalis ini hanya berminat untuk ‘membuncitkan’ perut masing-masing sahaja, tanpa mempedulikan kesusahan dan penderitaan rakyat. Nafsu serakah mereka yang berkuasa, yang mengaut sebanyak mungkin kekayaan negara, dan perangai mereka yang hanya ‘memberi makan’ kepada anak bini dan kroni, inilah yang sesungguhnya membawa manusia kepada krisis yang sedang dihadapi sekarang. Dengan sistem pemerintahan dan hawa nafsu Kapitalis ini, ia bukan sahaja menjadi punca kepada kekurangan makanan, malah punca kepada segala keburukan yang ada.

Penyelesaian Dari Islam

Setelah menyedari akan pembohongan, kebobrokan dan kejelekan sistem ekonomi Kapitalis, ke manakah lagi akan kita tuju dalam menghadapi segala malapetaka yang menimpa ini? Sebahagian besar pemerintah dan juga umat Islam menolak sistem Sosialis atau sistem komunis untuk diterapkan di dalam kehidupan kerana ‘terasa’ akan kesesatan dan kekufuran yang dibawanya, namun dalam masa yang sama, mereka sebenarnya mengambil dan mengamalkan sistem yang lebih buruk – sistem Kapitalis, yang juga adalah sesat dan kufur. Malangnya mereka ‘tidak terasa’ akan kesesatan dan kekufuran yang dibawa oleh sistem Kapitalis kerana terpesona dengan ‘manfaat’ yang mereka nikmati di bawahnya.

Menurut Islam, makanan adalah salah satu keperluan asas yang perlu dijamin oleh negara bagi setiap warganegara Daulah. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang Khalifah untuk memastikan bahawa bahan makanan dapat sampai ke setiap mulut manusia yang bernaung di bawah Khilafah. Daulah Khilafah, apabila tertegak nanti, akan menyusun strategi bagi memastikan bahawa permasalahan makanan tidak akan timbul. Strategi Daulah ini adalah berasaskan 4 kekuatan yang secara tabi’i terdapat di dalam dunia Islam. Empat kekuatan tersebut adalah; 1) tanah yang subur, 2) sumber air yang melimpah-limpah, 3) sumber manusia yang besar, 4) kekayaan dari sumber alam semulajadi. Dengan tanah yang subur dan luas yang terdapat di dalam dunia Islam, politik pertanian Daulah akan difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara - penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan lahan pertanian melalui penerapan hukum syarak yang bersangkutan dengan hukum tanah pertanian. Ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah pertanian baru (ihya’ al-ardh) dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan dengan meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yang berkesan. Selain itu, sistem pengangkutan yang efisien juga perlu dibina agar pengedaran makanan menjadi lebih berkesan.

Dari aspek sumber air, Allah telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum Muslimin. Di dunia Islam, terdapat lebih dari 150 billion meter padu air permukaan (sungai, tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734 billion meter padu!) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Apa yang pasti, dengan jumlah air yang sebegini banyak, masalah pertanian pasti tidak akan muncul. Daulah akan memastikan, melalui penerapan hukum syarak, bahawa sumber ini diuruskan dengan sempurna melalui pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.

Dari aspek sumber manusia, kini, terdapat lebih 48 juta kaum Muslimin yang menjalankan aktiviti pertanian. Bagi memastikan setiap individu di dalam Khilafah mendapat keperluan asasnya, Daulah akan memberikan peluang dan galakan kepada orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan segenap bantuan kepada mereka.

Kekuatan keempat, yakni kekayaan sumber alam semulajadi merupakan aspek yang paling menonjol di dalam dunia Islam. Untuk memberikan gambaran akan kekayaan yang ada di dunia Islam, Amerika, dalam kerakusannya, telah mendapat keuntungan minyak dari Arab Saudi sahaja sejumlah 86 trillion dolar!!! Bayangkan kekayaan yang ada di seluruh dunia Islam!! Sekiranya jumlah ini dibahagikan kepada seluruh kaum Muslimin, setiap seorang layak mendapat USD66,000! Bukan ini sahaja, dunia Islam ini dipenuhi dengan laluan-laluan strategi dan ini juga boleh dieksploitasi untuk mendapat keuntungan. Apa yang diperlukan hanyalah seorang Khalifah yang ikhlas yang akan menguruskan jumlah kekayaan yang besar ini secara efektif dan efisien bagi memastikan umat Islam dan bukan Islam yang tinggal di dalam Daulah hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Pada masa yang sama, hukum-hukum yang berkaitan untuk memastikan setiap individu mendapat sumber makanan seperti hukum nafkah, zakat dan sebagainya perlu ditegakkan secara menyeluruh agar tiada yang ketinggalan dalam hak mereka untuk mendapatkan makanan. Sekiranya berlaku bencana, Khalifah juga wajib memastikan halangan-halangan dapat diatasi dalam pengedaran makanan kepada yang memerlukan.

Para khalifah terdahulu telah memerintahkan agar kawasan-kawasan pertanian dibangunkan dan dimajukan dengan sistem pengairan dan sebagainya seperti yang dilakukan di wilayah Basra (Iraq) dan Sind (Pakistan). Dana yang berlebihan di dalam Baitul Mal juga telah dibelanjakan oleh Daulah pada pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk tujuan pembangunan pertanian. Pada era pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab, Madinah telah dilanda kemarau dan mengalami kekurangan makanan. Pada waktu itu, Khalifah Umar telah memerintahkan agar bekalan makanan dibawa masuk ke Madinah dari wilayah-wilayah lain yang tidak terkesan seperti dari Mesir dan Syria. Pada masa yang sama, perbendaharaan negara dibelanjakan untuk membeli dan menyediakan makanan kepada penduduk Madinah. Pendekatan yang sama juga telah dibuat oleh Khalifah Umar Abdul Aziz sewaktu Jazirah Arab telah dilanda kemarau yang teruk. Usaha-usaha ini dilakukan atas dasar memenuhi tuntutan hukum syarak agar keperluan makanan bagi setiap manusia di dalam Daulah dapat dipenuhi setiap masa, dan bukannya kerana ingin mendapat keuntungan dari suatu aktiviti ekonomi.

Khatimah

Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan menurut ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maha Suci Allah yang telah menurunkan agama Islam yang kita anuti ini untuk menyelesaikan segenap permasalahan manusia, sehingga tidak ada satu masalah pun yang tidak boleh diselesaikan oleh Islam. Bagi sesiapa yang mengi’tiqadkan bahawa sistem ekonomi Islam tidak mampu menyelesaikan masalah, maka sesungguhnya telah kufurlah mereka. Bagi sesiapa yang tidak mahu menerapkan sistem ekonomi Islam tetapi masih meyakini bahawa ia boleh menyelesaikan masalah, maka sesungguhnya telah zalim dan fasiklah mereka. Bagi sesiapa yang tidak berusaha untuk menerapkan sistem ekonomi Islam untuk menggantikannya dengan sistem Kapitalis yang kufur ini, maka telah berdosalah mereka. Sesungguhnya Allah selaku Pencipta manusia, alam dan kehidupan, Dia Maha Mengetahui akan kelemahan manusia dan alam ciptaanNya dan Dia telah pun memberikan penyelesaianNya kepada kita semua. Rasulullah dan para Khalifah Allah yang terdahulu telah pun menerapkan hukum Allah dalam pemerintahan mereka dan hasilnya, mereka berjaya keluar dari segala masalah dengan rahmat Allah.

Sebagaimana telah dijelaskan, beginilah caranya Islam mengatur urusan manusia termasuklah dalam mengatur urusan makan dan minum. Bagaimanapun, mekanisma-mekanisma yang dinyatakan di atas menjadi rumit dan amat sulit sekali untuk dilaksanakan dengan adanya pemimpin sekular dalam konteks negara bangsa yang ada sekarang. Sebagai contoh, untuk mendapatkan bantuan makanan dari Mesir untuk umat Islam di Somalia atau Indonesia secara percuma, atau mendapat bantuan makanan dari Arab Saudi atau Malaysia kepada penduduk Islam Afrika secara percuma, semua ini hanyalah umpama mimpi di siang hari. Di sinilah kita sekali lagi dapat melihat bagaimana pemimpin sekular dan negara-bangsa yang ada pada masa sekarang telah menjadi penyekat, pelemah malah penghancur kepada kekuatan Islam dan pembawa malapetaka kepada umat Islam itu sendiri khususnya dan manusia amnya. Sesungguhnya hanya dengan adanya seorang Khalifah dan Daulah Islam yang satu untuk semua umat Islam, maka barulah mekanisma ini tampak kekuatannya dan akan terbukti keberkesanannya. Tanpanya, umat Islam di negara-negara bangsa yang ada kini terus merintih dan bergenang air mata darah menyaksikan kemelut yang melanda. Atas dasar inilah, Hizbut Tahrir berkali-kali mengingatkan umat Islam di seluruh dunia agar terus istiqamah dalam menjalankan usaha untuk mengembalikan Daulah Khilafah yang akan menyelesaikan segala permasalahan yang sedang kita hadapi, sama ada berupa masalah pemakanan, maruah, nyawa mahupun darah. Bersatulah dan bergeraklah wahai saudaraku agar Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah kembali ke pangkuan kita secepat mungkin. ALLAHU AKBAR!

Nik Aziz: Sikap segelintir anggota Parlimen memalukan

by AURA JIHAD

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sikap yang ditunjukkan segelintir anggota Parlimen pada sidang Parlimen semalam adalah sesuatu yang memalukan.

Nik Aziz berkata tugas utama anggota parlimen ialah menyelesaikan masalah rakyat namun amat malang sekali apabila ada anggota Parlimen yang mempamerkan gelagat biadap dan tidak profesional yang sama sekali tidak bertepatan dengan kedudukan mereka.

"Saya malu dengan apa yang berlaku, ada juga ahli Parlimen yang tidak mengemukakan soalan. Tugas mereka bawa masalah rakyat, kalau mereka tak buat itu, apa guna mereka pergi ke situ (Parlimen). Tahu cakap kosong saja," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Ekspedisi 38 kereta Proton Perdana ke Melaka di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini, hari ini.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata siaran langsung sidang Parlimen juga perlu diteruskan bagi membolehkan rakyat melihat sendiri gelagat wakil yang mereka pilih.

"Tak ada sebab nak tutup apa yang dibincangkan ahli Parlimen dalam dewan. Mereka ini berbincang masalah rakyat, jadi rakyat perlu tahu. Biar wakil-wakil rakyat ini juga tahu ada kamera tertutup yang memerhati.

"Sikap dia dalam parlimen, itu dia punya pasal, biar rakyat tengok, ini orang yang mereka pilih. Kalau rakyat tak berkenan, pilihan raya nanti tak payah undi dia lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz yang diminta mengulas beberapa isu pekerja sempena sambutan Hari Pekerja hari ini, berkata golongan pekerja di negara ini perlu diberi layanan setimpal dan berpatutan.

"Kita berpendapat selagi ada tuntutan daripada Kongres Pekerjapekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), maknanya masih ada kekurangan dalam hal yang melibatkan golongan pekerja ini, jadi kerajaan kenalah tangani sebaik-baiknya," katanya.

Katanya beliau tidak melihat kepada perlunya gaji minimum ditetapkan namun majikan perlu bersikap adil terhadap semua pekerja.

"Pekerja ini kita kena layan seadil-adilnya, dalam Islam kita diminta bayar upah kepada buruh sebelum peluh mereka kering, sampai begitu sekali Islam jaga golongan ini," katanya. BERNAMA

Sumber: http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_a41b5992-c0a85062-13ada000-764e3036

Ulasan:

Jika kita menilai akhlak menurut perspektif kebiasaan (adat) segelintir daripada ahli parlimen, memang wujud sikap yang menjelekkan sejak dari dulu lagi. Bahkan watak-watak tersebut perlu wujud bagi 'memeriahkan' suasana 'musyawarah'. Dengan wujudnya 'ice breaker' seperti gelak tawa, maki hamun, riuh-rendah akan menghilangkan rasa 'tegang' para penggubal undang-undang negara yang sedang bersidang. Perangai budak-budak ini selalu muncul tatkala membahas isu yang remeh temeh, yang ada peluang untuk mengutarakan 'political milage' masing-masing. Inilah Parlimen – sebuah pentas bagi sang badut memaparkan taraf pemikiran masing-masing, begitu pula dengan sang pandir dan sang kelembai... masing-masing tunjuk 'belang' dalam dewan yang kebal dari saman-menyaman ini. Inilah Parlimen yang ‘suci’ yang mana di dalamnya, manusia bebas berkata apa sahaja. Kerana apa? Kerana dasar yang diamalkan iaitulah demokrasi!

Akhlak buruk yang melanda Malaysia bukan sahaja dipertontonkan oleh ahli Parlimen, malah dari segenap lapisan masyarakat. Seperti yang dapat kita tonton di kaca TV dalam rancangan uji bakat muda-mudi, iklan-iklan, siaran rencana kebejatan akhlak masyarakat dan sebagainya. Semuanya memaparkan akhlak masyarakat Malaysia yang lahir dan dibentuk dalam sistem demokrasi Kapitalis. Ini semua adalah simptom dari penerapan undang-undang sekular yang memisahkan agama dari kehidupan. Demokrasi yang ada hanya meletakkan agama dalam 'bidang'nya sahaja kerana kebebasan merupakan prinsip yang tertinggi dari segala-galanya yang diagungkan dalam sistem kufur buatan manusia ini.

Jika kita ikhlas menilai akhlak manusia menurut perspektif Islam, nescaya kita akan temui bahawa standard akhlak bagi umat Islam adalah Al-Quran. Apa-apa yang diperintahkan di dalam Al-Quran, mesti dikerjakan manakala apa-apa sahaja yang dilarang, maka mesti ditinggalkan. A'isyah r.a pernah berkata,

"Sesungguhnya akhlak Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam itu ialah Al-Quran." [HR Muslim]

Apabila kita ukur dari hadis di atas maka jelas tingkah laku (akhlak) kita seharusnya sejajar dengan apa-apa yang diperintah dan dilarang seperti yang termaktub dalam Al-Quran al-karim. Inilah kayu ukur akhlak setiap manusia!.

Dari sini, kita boleh ukur sama ada setiap ahli Parlimen telah berakhlak sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah atau tidak. Terkadang ada orang mengatakan bahawa jika si ahli Parlimen menggubal dan membahas undang-undang dengan cara yang profesional, maka dia dikatakan telah berakhlak. Apabila ahli Parlimen menjaga tutur kata dan adab sopan semasa membuat dan membahas undang-undang, maka dia ditakrifkan sebagai berakhlak mulia. Betulkah semua ini? Betulkah ukuran ini?

Demi sesungguhnya, perkara utama yang merosak akhlak para wakil rakyat atau ahli Parlimen adalah dengan menjadi “penggubal undang-undang” itu sendiri!!! Membuat undang-undang adalah satu perkara yang amat keji dan hina kerana manusia telah mengambil hak Allah. Justeru, profesional mana sekalipun sikap yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen, selama mana apa yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan apa yang Allah kehendaki, maka mereka sama sekali tidak akan dikatakan berakhlak!!! Apatah lagi di dalam kes ini – di mana Parlimen adalah sejelas-jelas tempat di mana Allah dimaksiati oleh mereka yang membuat undang-undang.

Apakah seseorang itu dikatakan berakhlak mulia apabila berada di Istana Budaya dan berjoget antara lelaki dan perempuan dengan penuh kesopanan? Apakah seseorang itu dikatakan berakhlak mulia apabila berada di bank dan membayar pinjaman riba tepat pada masanya? Apakah seseorang itu dikatakan berakhlak mulia apabila berada di kasino dan berjudi dengan mengikuti semua syarat yang telah ditetapkan. Apakah seseorang itu dikatakan berakhlak mulia apabila mematuhi hukum kufur dengan sepatuh-patuhnya? Apakah seseorang dikatakan berakhlak mulia apabila mereka telah mengambil hak Allah dan menggubal undang-undang dengan tangan-tangan mereka di Parlimen?

Filed under having 0 Ulasan  

Bernas tambah beras Super 15%

by AURA JIHAD

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan meningkatkan pengeluaran beras tempatan dengan kandungan hancur 15 peratus (Super 15 peratus) daripada 11,000 tan metrik kepada 20,000 tan metrik sebulan bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini.

Pengarah Urusannya, Bakry Hamzah berkata, Bernas akur kepada saranan kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan Super 15 peratus berikutan permintaan yang meningkat dan kekurangan bekalan beras kategori itu di pasaran. “Ketika ini Bernas mengeluarkan 11,000 tan metrik beras Super 15 peratus sebulan bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini. “Bagaimanapun, jumlah tersebut akan ditingkatkan sebanyak 9,000 tan metrik lagi bagi mencapai tahap yang disarankan oleh kerajaan iaitu 20,000 tan metrik sebulan,” kata Bakry dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sejak 16 April lalu, Bernas telah mengeluarkan hampir 500,000 kampit 10 kilogram beras Super tempatan 15 peratus dalam pelbagai jenama melalui anak-anak syarikat Bernas. Dalam beberapa minggu lalu berlaku kenaikan mendadak harga beras lebih berkualiti, khususnya beras import, yang tidak dikawal harganya.

Ketika ini, kerajaan hanya mengawal harga beras Super 15 peratus iaitu antara RM16.50 dan RM17.50 bagi sekampit 10 kilogram, manakala harga beras yang lebih berkualiti ditetapkan oleh pasaran. Bakry berkata, para pengguna yang ingin membeli beras tempatan Super 15 peratus keluaran Bernas boleh mendapatkan produk-produk beras tersebut di negeri masing-masing. “Jenama beras tempatan Super 15 peratus bagi Selangor dan Negeri Sembilan ialah jenama 77, Kelantan dan Terengganu (Bangau), sementara di Melaka jenamanya ialah Saga Super 15 peratus. “Di Johor dan Pahang, jenama beras tempatan Super 15 peratus ialah beras Kedah; Selangor dan Perak (jenama ABC); dan jenama Talipon di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” kata Bakry.

Menurut beliau, mulai bulan depan, satu jenama nasional iaitu Bernas Super Tempatan 15 peratus yang dikeluarkan melalui anak-anak syarikat Bernas akan digunakan untuk menyeragamkan gred beras tempatan Super 15 peratus di Semenanjung Malaysia. “Jenama tersebut akan menggantikan pelbagai jenama beras gred Super 15 peratus yang ada di pasaran. “Ia juga dijangka dapat membantu dan memudahkan para pengguna untuk memilih dan membeli beras gred Super 15 peratus,’’ jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Ulasan:

Inilah realiti kualiti hidup yang kita alami. Di serata ceruk manusia mengalami kualiti hidup yang semakin teruk, kecuali para pemimpin/penguasa, kroni dan orang-orang kaya. Semakin hari, kos sara hidup semakin menghimpit jiwa yang rindukan kualiti hidup lebih baik. Beras yang merupakan makanan ruji bagi penduduk di Malaysia kini mengalami rejatan harga akibat percaturan pengamal ekonomi kapitalisme. Tanpa mengambil kira faktor kemanusiaan, para kapitalis dan penguasa bersekongkol menghisap darah dan keringat rakyat masing-masing.

Beras import yang kualitinya tinggi dikecualikan kawalan harga, kerana ia membabitkan keuntungan cukai bagi negara sedangkan beras tempatan hancur 15% yang rendah kualitinya dikawal harganya seolah-olah inilah satu-satunya alternatif kepada masalah kenaikan harga beras baru-baru ini. Dengan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, mekanisme harga dan kawalan negara atas produk komoditi hanyalah akan menguntungkan pihak tertentu sahaja. Eksploitasi produk komoditi dan keperluan asas adalah salah satu ruang yang dioptimumkan puak rakus/kejam ini. Soal kemaslahatan umum langsung tidak dijadikan agenda dalam perencanaan mereka ketika menghadapi situasi sukar. Yang penting diri sendiri dan kroni!

Dalam membincangkan masalah makanan, sektor pertanian merupakan sektor terpenting bagi sesebuah negara. Ia perlu dijadikan agenda penting negara demi memelihara produk keluaran dalaman bagi memenuhi keperluan rakyat, bukan negara! Rakyat perlu diberi layanan (perkhidmatan) yang secukupnya agar keperluan mereka dipenuhi, bukan sebagai sumber eksploitasi keuntungan diri! Kualiti hidup rakyatlah yang melambangkan kemakmuran negara, bukannya kemewahan negara yang melambangkan kemakmuran rakyat!

Semua ini, pada hakikatnya mustahil berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme seperti Malaysia, Indonesia dan majoriti negara di dunia. Ianya hanya boleh berlaku dalam sebuah negara Islam - Daulah Khilafah. Ini adalah kerana prinsip ekonomi Islam berbeza seratus peratus daripada prinsip ekonomi kapitalisme. Sistem ekonomi Islam sentiasa menjadikan agenda pemenuhan keperluan asas manusia sebagai aspek yang paling utama. Ini berbeza dengan sistem kapitalis yang hanya mementingkan peningkatan daya pengeluaran (productivity) negara tanpa perhatian yang serius dalam memenuhi keperluan rakyatnya. Apa gunanya negara mencapai KDNK begitu tinggi sedangkan rakyat merempat dicelah-celah timbunan sampah mengutip sisa-sisa nasi yang basi?

Filed under having 0 Ulasan  

Laporan polis terhadap Karpal Singh

by AURA JIHAD

Pemuda UMNO Perak hari ini membuat laporan polis terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh (gambar) bahawa Sultan Perak tidak mempunyai kuasa untuk menukar Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin berkata, beliau membuat laporan itu supaya polis menyiasat dan meminta pemimpin DAP itu tidak lagi mengeluarkan kenyataan berbau hasutan itu. ''Kita meminta polis menyiasat Karpal Singh di bawah Akta Hasutan 1948 kerana kenyataan itu telah meresahkan rakyat Perak, khususnya berhubung dengan kuasa Sultan Perak itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan Sultan Perak tidak mempunyai kuasa terhadap penukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury. Karpal dilaporkan berkata, Sultan Perak tidak boleh berkata apa-apa terhadap keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri dan mengikut undang-undang, istana tidak boleh melantik kembali Jamry Sury ke jawatannya.

Selasa lalu, Sultan Perak, Sultan Azlan menitahkan agar ditarik balik arahan pertukaran serta-merta Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry pada hari Selasa lalu, telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Zainol berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Karpal Singh itu menimbulkan satu polemik serta keresahan dalam kalangan rakyat atas bidang kuasa raja ke atas agama dan istiadat Melayu di negeri ini. Katanya, ia sekali gus menjejaskan kepercayaan atas hujah tersebut. ''Oleh itu, polis perlu menyiasat atas kenyataan ini kerana ia telah menghasut kerana ia boleh menjejaskan di atas kuasa sultan terhadap agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri ini," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia


Ulasan :

Sejak kebelakangan ini, setiap kali ada tindakan politik yang tidak dipersetujui pihak pembangkang, atau sebaliknya, maka laporan polislah yang menjadi sandaran. Isu laporan polis kini sudah menjadi suatu yang memuakkan. Pelbagai alasan diutarakan – ISA, hasutan....namun, jarang pula kita temui laporan polis dibuat atas alasan yang lebih konkrit, seperti melaporkan suatu tindakan atau perbuatan atau polisi yang bercanggah dengan syariat Islam.

Bukankah suatu yang wajar sekiranya laporan polis dibuat ke atas tindakan Perdana Menteri yang bercanggah dengan Islam kerana menjenamakan Islam dengan Islam Hadhari – ‘rebranding’ yang bukan sahaja menjatuhkan martabat Islam bahkan menciptakan keresahan umat Islam di Malaysia. Mungkin laporan polis juga boleh dibuat terhadap pemerintah yang sekular kerana menghalang penerapan Islam di Malaysia. Mungkin juga laporan polis boleh dibuat terhadap mana-mana pihak yang menghalang usaha dakwah dan penerapan Islam. Malah mungkin parti Islam di Malaysia boleh membuat laporan polis terhadap BN kerana menghalang berdirinya Negara Islam di Malaysia dan penerapan hukum-hakam Islam di Malaysia...Namun, apa yang dibuat adalah laporan polis atas alasan-alasan yang hanya bersandarkan dendam kesumat bermotifkan politik kapitalis yang busuk.

Hakikatnya, politik dalam Islam adalah menjaga urusan umat dengan menerapkan hukum-hakam Islam, bukannya mempolemikkan isu untuk merendahkan parti lawan. Kalau itulah budaya pemimpin di Malaysia, tidak hairanlah jika insiden sarkas seperti yang berlaku tempoh hari akan terus berulang!

Filed under having 0 Ulasan  

Jangan kompromi - UMNO digesa tidak terus tunduk pada tuntutan jejas kuasa, hak Melayu

by AURA JIHAD

Apa jua usaha memulihkan kembali Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO hendaklah dilakukan tanpa kompromi terhadap kuasa dan hak Melayu. Beberapa peserta Kongres Permuafakatan Melayu yang ditemui berpendapat UMNO tidak perlu terus tunduk kepada permintaan rakan komponen BN yang lain kerana tuntutan-tuntutan itu tidak akan berakhir. Setiausaha Satu, Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, situasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 sedang menyaksikan politik toleransi mengambil tempat dalam BN. “UMNO dalam BN akan tawar-menawar (dengan komponen lain).

Semasa UMNO kuat, ia mampu pertahan semua milik Melayu, tetapi banyak perkara berlaku dalam masa UMNO tidak kuat. “MIC dan MCA secara terbuka meminta pelbagai perkara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu pun cuba mengambil kesempatan” , katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di Kongres Permuafakatan Melayu, di sini hari ini. Menurut beliau lagi, sesetengah orang melihat usaha memulihkan kembali BN pada masa ini mungkin boleh dilakukan dengan mendengar tuntutan kaum Cina dan India. Bagaimanapun katanya, sebahagian besar tuntutan itu mungkin bertentangan dengan hak dan keistimewaan orang Melayu. “Tuntutan akan terus berlaku atas kepentingan kaum,” katanya. Beliau berkata, tindakan memohon maaf oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai isu keris Panca Warisan baru-baru ini juga secara tidak langsung memperlihatkan hak Melayu terhakis akibat tekanan dan permintaan daripada kaum lain. “Ini semua berlaku (permohonan maaf) di kala tuntutan semakin kuat dan kita terperangkap dalam tuntutan-tuntutan itu,” katanya. Bekas

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman pula berkata, apabila ada kompromi dalam perkara-perkara pokok hak Melayu, maka lama-kelamaan hal-hal kecil pun akan dituntut. “Ini hanya meletakkan orang Melayu dalam keadaan tidak selesa dan menjadikan mereka tidak penting lagi walaupun orang Melayu adalah kaum asal di negara ini. “Malaysia bukan negara imigran seperti Amerika Syarikat. Maka hak penduduk asal tidak boleh dipersoalkan,” katanya. Naib Presiden Persatuan Anak- anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Syed Hussein Al Habshee berpendapat, perlu ada usaha untuk mendidik generasi muda pelbagai kaum di negara ini mengenai pengertian sebenar kontrak sosial. “Pendidikan kita tidak menekankan hal-hal berkaitan kontrak sosial dan ini perlu diajar supaya mereka mengetahuinya,” katanya. Katanya, apabila kaum bukan Melayu memahami kontrak sosial berkenaan, maka tidak akan wujud permintaan-permintaan yang luar biasa dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Sumber: Mingguan Malaysia: 04/05/08


Ulasan:

Apa yang jelas dari Kongres Permuafakatan Melayu baru-baru ini adalah banyak pihak merasa bimbang dengan ‘terhakisnya’ kekuatan bangsa Melayu di persada Negara. Kongres ini merupakan manifestasi semangat ‘keMelayuan’ yang mahukan ‘ketuanan’ Melayu dipertahankan dan sebarang gugatan ke atas status ini dihancurkan. Nampaknya, bangsa Melayu masih tidak dapat melihat permasalahan yang timbul ini dengan pandangan yang mendalam dan menyeluruh. Sesungguhnya, wahai saudara seagamaku, Allah tidak pernah memberikan kepada kita sebarang pilihan dalam kelahiran kita, samada kita memilih untuk menjadi orang Melayu atau bukan Melayu. Allah menjadikan kita berbangsa-bangsa bukannya untuk membangga diri menjadi bangsa Melayu atau bangsa orang putih atau lainnya. Allah menjadikan kita berbangsa-bangsa agar kita berkenalan dan bersatu di bawah payung Islam. Meskipun elemen Islam ada disebutkan dalam Kongress tersebut, kita perlulah berhati-hati dalam menentukan asas perjuangan kita. Peserta-peserta yang hadir nampaknya masih cenderung “berkokok” dengan laungan assabiyyah bangsa Melayu.

Marilah kita sama-sama meninjau kembali hakikat kelahiran kita di dunia ini sebagai seorang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu. Apakah ada jaminan dari Allah yang telah menciptakan kita sebagai bangsa Melayu ini, meletakkan kemuliaan kepada bangsa ini? - Yang menjadikan bangsa Melayu ini mempunyai hak istimewanya yang tidak boleh digugat oleh sesiapa? Berfikirlah wahai saudaraku!! Hakikatnya, seruan ‘keMelayuan’ inilah yang menjadi intipati kemunduran pemikiran yang masih lagi melekat di kalangan kita yang keMelayuannya lebih pekat dari keIslamannya. Bukankah kedatangan Islam itu adalah untuk membuang sisa-sia amalan dan seruan jahiliyyah? Salah satu darinya adalah perasaan assabiyyah itu sendiri. Ingatlah wahai saudara seagamaku yang berbangsa Melayu bahawa apa yang kalian serukan itu sebenarnya adalah sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Sesungguhnya yang menjadikan bangsa Melayu ini istimewa bukanlah kerana ‘keMelayuannya’ tetapi adalah kerana keIslamannya.

Perjuangan untuk menghidupkan assabiyyah Melayu ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Nabi yang kalian berselawat ke atasnya setiap hari. Apakah kalian akan mencari perlindungan di hari akhirat kelak di bawah naungan ‘Melayu’ atau Islam? Jika assabiyyah Melayu yang kalian serukan, maka sudah pastilah Nabi yang berbangsa Arab ini tidak akan mengenal kalian sebagai umatnya. Namun, jika kalian membawa akidah Islam dan berjuang dengan seruan Islam semata, insyaAllah Nabi akan bersama kalian.

Renungilah firman Allah SWT: ‘Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kalian (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kalian). [TMQ al-Hujuraat(49):13].

Apakah hujah yang akan kalian bawa di hadapan Allah SWT kelak jika secara jelas di dalam ayat di atas kemuliaan seseorang itu, mahupun bagi suatu bangsa itu, ukurannya adalah ketaqwaan kepada Allah SWT bukannya kerana ke’bangsa’ annya?

Renungilah juga firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kalian semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian ketika kalian dahulu [masa Jahiliyyah] bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati kalian, lalu jadilah kalian kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kalian telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kalian daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kalian agar kalian mendapat petunjuk” [TMQ áli Imran (3):103]

Wahai saudara-saudaraku! Apakah kalian masih mahu berpegang kepada seruan Hang Tuah “ takkan Melayu hilang di dunia” yang menjadi mitos Melayu saat ini ataupun kalian akan tunduk kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud… "Bukan dari kalangan kami, orang yang menyeru kepada assabiyyah dan bukan dari kalangan kami orang yang berjuang di atas jalan assabiyyah dan bukan dari kalangan kami orang yang mati di atas dasar assabiyyah"? [Sunan Abi Daud].

Yakinlah saudara-saudaraku yang masih berpegang kepada semangat ‘keMelayuan’ - sesungguhnya, Islam menyediakan buat kalian penyelesaian bagi masalah yang kalian perbincangkan. Kalian hanya perlu memalingkan wajah-wajah kalian kepada Deen yang mulia ini untuk mendapatkan penyelesaian tersebut. Sesungguhnya, ketuanan Islam sahajalah, di bawah entiti politik Imamah/Khilafah Islam, yang barang pasti akan menjamin kesejahteraan, keadilan dan kerahmatan – bukan hanya buat bangsa Melayu, bahkan untuk seluruh umat manusia!!!!

Filed under having 0 Ulasan  

"Jika boleh, kami akan laksanakan," kata Abdullah mengenai gaji minimum

by AURA JIHAD

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa terkejut dengan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan demonstrasi di depan bangunan Parlimen pada Rabu mengenai isu gaji minimum RM1,200.

Abdullah berkata, MTUC boleh mengadakan sehingga 100 demonstrasi jika itu yang mereka mahu lakukan tetapi jika kerajaan tidak dapat melaksanakan apa yang dituntut mereka, ia sememangnya tidak dapat dilaksanakan. Beliau berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab yang mahukan sebuah negara yang berjaya, kerajaan mempunyai sebab untuk menangguhkannya dan tidak membuat pengumuman popular. "Saya pun tak tahu (kenapa) pendekatan ini digunakan seolah-olah kita tak peduli. Bukan senang kita nak (buat keputusan).

Kita telah mengkaji isu ini dengan mendalam. "Apa sahaja yang dapat dilakukan dengan segera dan jika ianya baik, pasti kita akan lakukan. Tetapi jika kita berasa sangsi untuk memperkenalkannya sekarang, kita tidak dapat berbuat demikian. - Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 3/5/08


Ulasan:

Adalah merupakan suatu yang amat menyedihkan apabila kaum Muslimin yang telah dianugerahkan dengan Islam, gagal melihat Deen Allah ini sebagai penyelesaian bagi segenap masalah kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi di saat ini - tatkala negara mengalami krisis kenaikan harga bahan makanan yang semakin meruncing. Yang pasti, krisis ini merupakan justifikasi bagi golongan pekerja untuk menuntut kenaikan gaji dari pihak kerajaan. Tekanan ke atas kerajaan ini bukan sekadar datang dari kelompok pekerja sahaja, malah pihak pembangkang juga turut menggunakan kesempatan ini dengan menabur janji menaikkan gaji minimum sehingga RM 1,500.

Hakikatnya, dalam sistem kapitalis yang busuk ini, meskipun gaji minimum dapat dinaikkan setinggi-tingginya, kesejahteraan rakyat masih belum terjamin. Sistem kapitalis menjadikan harga sebagai alat untuk pengagihan, justru, menaikkan gaji atau menetapkan gaji minimum yang tinggi akan hanya menyebabkan harga barangan terus meningkat seiring dengan kenaikan gaji ini. Apa tidaknya, dengan gaji yang lebih tinggi, permintaan terhadap barang keperluan yang mampu dibeli menjadi semakin bertambah. Secara umumnya, ini akan menyebabkan harga barangan semakin meningkat dan akibatnya, kuasa membeli pekerja ini kembali kepada keadaan sebelum gaji dinaikkan. Ketika itu, kemampuan pekerja untuk membeli barangan yang diperlukan tadi sudah mula menghilang. Situasi unik ini berlaku hanya dalam sistem ekonomi kapitalis yang menjadikan harga sebagai alat untuk menentukan siapa yang berhak mendapatkan barangan keperluan. Kaedah pengagihan yang buruk inilah yang sebenarnya memberikan tekanan ke atas sebahagian kelompok pekerja. Dengan gaji rendah, ditolak dengan kos untuk ke tempat kerja, hutang rumah, kereta dan bil utiliti, berapa ringgit lagikah yang tinggal untuk keperluan makanan keluarga?

Wahai mereka yang memegang kekuasaan! Kalian sendiri tahu bahawa kalian kini berada di dalam dilema akibat dari sistem kufur yang kalian terapkan. Kalian bimbang jika gaji dinaikkan, pelbagai masalah akan timbul, antaranya kos buruh negara akan meningkat dan ini akan menyebabkan pelabur asing mencari negara lain untuk melabur. Kalian bingung ketika berhadapan dengan masalah ini, namun kalian tidak pula pernah berpaling kepada Islam untuk menyelesaikannya. Malah lebih buruk, kalian palingkan muka kalian dari Islam dan kalian rangkul penyelesaian kufur yang pastinya akan membawa lebih banyak kerosakan.

Islam menjamin keperluan rakyatnya dengan menyediakan peluang pekerjaan untuk setiap rakyat yang mampu bekerja. Islam meringankan beban rakyat dengan menjamin hak setiap individu rakyat dalam mendapatkan keperluan asas – makanan, pakaian dan tempat tinggal. Selain itu, hak-hak masyarakat seperti pendidikan, kesihatan dan lain-lain juga dijamin oleh Islam. Selain dari itu, hukum pekerjaan di dalam Islam akan memastikan bahawa setiap pekerja akan mendapat hak mereka yang sewajarnya. Jaminan-jaminan ini secara pasti akan melepaskan setiap individu rakyat, tidak kira dari golongan pekerja mahupun tidak, dari tekanan-tekanan kehidupan yang kini di alami oleh para pekerja yang terpaksa tunduk di bawah sistem kapitalis yang kejam ini.

Filed under having 0 Ulasan  

Pelajar terkejut gelagat ahli Parlimen

by AURA JIHAD

Para pelajar yang menghadiri hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini tidak menyangka mereka akan dikejutkan dengan tingkah laku dan perkataan kurang sopan daripada ahli-ahli Parlimen.

Mereka sama sekali tidak menduga perjalanan persidangan di Dewan yang sepatutnya dihormati selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pembuat dasar, dicemari dengan tindak-tanduk ahli-ahli Parlimen.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas, M. Jochim berkata, dia dan rakan-rakan sebelum ini menjangka sidang Dewan berjalan secara profesional dengan ahli-ahli Parlimen membangkitkan pelbagai isu.

Bagaimanapun, dia mengakui terkejut melihat ahli Parlimen bertindak seperti kanak-kanak apabila menggelarkan satu sama lain dengan panggilan tertentu.

‘‘Saya menjangka persidangan ini akan berlangsung dalam suasana formal apabila ahli-ahli Parlimen mengemukakan pandangan mereka tetapi lain pula yang berlaku.

‘‘Saya tak sangka mereka saling memanggil satu sama lain dengan pelbagai panggilan, seperti budak-budak,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen hari ini.

Jochim adalah antara 37 pelajar SMK Sri Andalas yang menyaksikan sidang Dewan Rakyat hari ini selain pelajar dari SMK Alam Megah dan Sekolah Tinggi Kajang.

Terdahulu, semasa sidang Dewan berlangsung, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh memanggil Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin sebagai ‘bigfoot’.

“Saya harap ‘bigfoot’ dari Kinabatangan tidak akan mengganggu saya. Bigfoot sit down,” kata Karpal.

Bung Moktar kemudiannya bangun dan berkata : ‘‘Berdirilah kalau berani. If I’m bigfoot, you are big monkey.”

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Dhamayanthi Nair berkata, dia pada awalnya amat gembira apabila diberitahu berpeluang mengikuti sidang Dewan Rakyat.

Dia menjangka banyak pengalaman berguna dapat diperoleh sepanjang mengikuti sidang itu apabila mendengar hujah-hujah daripada ahli-ahli Parlimen.

Bagaimanapun dia tidak menyangka kunjungan pertamanya ke sidang Dewan Rakyat dikejutkan dengan tingkah laku ahli-ahli Parlimen yang kurang sopan itu.

Katanya, dia terkejut dan ketawa apabila melihat serta mendengar sendiri bagaimana ahli Parlimen daripada pakatan pembangkang dan Barisan Nasional memanggil satu sama lain dengan nama ‘Bigfoot’ dan ‘Big Monkey’.

Sementara itu, guru SMK Andalas, Mariani Zainal berkata, dia pernah menyaksikan ahli-ahli Parlimen bergaduh sesama sendiri semasa menghadiri beberapa sidang Parlimen sebelum ini.

Sehubungan itu, apa yang disaksikan hari ini tidak begitu mengejutkannya tetapi berharap pelajar-pelajarnya dapat menimba pengalaman berguna semasa menyaksikan persidangan kali ini.

Sumber: Utusan Malaysia 01/05/08

Ulasan:


''Mengikut peraturan tetap tiada siapa pun dibenar bercakap sebelum dipanggil, ini belum pun dipanggil bercakap...semua pun bercakap, macam pasar,” kata Pandikar Amin yang berulang kali mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya menghormati Dewan dan tidak menggunakan perkataan-perkataan yang kurang sopan.

Parlimen macam pasar!!! Kenapa? Tak percaya? Itulah hakikat Parlimen. Ia sebenarnya bukan seperti pasar, malah lebih teruk dari itu. Bagi sesiapa yang pernah menghadiri persidangan Parlimen, perkara yang berlaku itu langsung tidak mengejutkan. Semua tahu bahawa Parlimen hanyalah tidak lebih seperti ‘sarkas’ di mana badut-badut berlakon, bergaduhan dan berlawak antara satu sama lain.

Ramai yang menganggap bahawa Parlimen itu sebagai ‘suci’ dan sebagai simbol kedaulatan Negara. Hakikatnya, bangunan Parlimen itu adalah simbol kemaksiatan terbesar di Malaysia. Ia adalah simbol kepada sistem demokrasi berparlimen yang ditinggalkan oleh penjajah British yang telah memberikan kemerdekaan kepada Malaysia 50 tahun yang lepas dengan syarat negara Malaysia yang merdeka ini mesti menjalankan dan menjunjung tinggi perlembagaan kufur yang telah dibuat oleh Lord Reid. Parlimen adalah tempat terbit dan lahirnya undang-undang yang dicipta oleh manusia di dalam sistem demokrasi yang haram ini. Inilah realiti yang sebenarnya berlaku di dalam mana-mana parlimen yang menjunjung sistem demokrasi yang mengagungkan idea kebebasan bersuara.

Malahan kita sering melihat bagaimana di dalam parlimen di luar negara sering berlaku pergaduhan fizikal seperti tumbuk menumbuk, sepak menyepak dan baling membaling di kalangan ahli-ahli parlimen yang sedang bersidang. Itulah mungkin gambaran yang boleh kita berikan berdasarkan gelagat yang dipaparkan oleh ahli-ahli parlimen yang saling berlakon untuk menunjukkan belang masing-masing. Mereka berbangga dengan hujah masing-masing untuk menunjukkan kehebatan yang dimiliki. Ada di kalangan ahli parlimen itu merasa bangga dengan apa yang mereka lakukan dengan merasakan mereka boleh mengeluarkan apa sahaja perkataan di dewan yang mereka anggap mulia itu. Itulah ‘keistimewaan’ Parlimen yang diberi oleh Perlembagaan di mana apa sahaja yang berlaku dan diperkatakan di Parlimen tidak boleh di bawa ke Mahkamah. Ia adalah sebuah institusi yang kebal!

Sebagai seorang Muslim, cuba kita bertanya kepada diri kita, apakah benar dewan parlimen itu kebal dari kawalan Allah SWT sehinggakan ahli-ahli parlimen yang berada di dalamnya merasakan mereka memiliki kebebasan yang mutlak untuk melakukan apa sahaja? Apakah ahli parlimen yang berada di dalam parlimen itu menyedari bahawa mereka sedang berada di dalam suatu tempat yang mengambil hak Allah SWT sebagai Musyari’ (Pembuat Hukum). Parlimen inilah tempat yang telah meluluskan undang-undang kufur untuk terus berjalan di saat ini? Semenjak berdirinya parlimen sehingga kini, ia adalah tempat lahirnya undang-undang ciptaan manusia yang diterapkan di tengah-tengah kehidupan umat Islam di Malaysia saat ini.

Sepatutnya sebagai seorang Muslim, guru yang membawa pelajarnya melawat atau menonton siding parlimen itu bukanlah semata-mata melihat gelagat ahli parlimen yang berlakon itu dan akhirnya menyebabkan mereka “terkejut beruk” melihat apa yang berlaku tetapi sepatutnya beliau mengambil kesempatan untuk menjelaskan kebatilan sistem demokrasi yang diterapkan sekarang ini dan menerangkan kepada para pelajarnya bahawa inilah tempat bagi terbitnya seluruh kemungkaran yang berlaku di saat ini. Inilah peluang terbaik yang sepatutnya digunakan oleh sang guru untuk menerangkan kepada para pelajarnya bahawa undang-undang yang selayaknya diterapkan adalah sistem dan peraturan yang datang dari Allah SWT dan bukannya undang-undang ciptaan manusia yang digubal dan diluluskan di Parlimen itu. Firman Allah SWT,

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? [TMQ al-Ma’idah (5):50]

Filed under having 0 Ulasan  

Tingkat perundangan syariah setaraf sivil

by AURA JIHAD

Kerajaan negeri dan Pusat harus bekerjasama memastikan sistem perundangan syariah di negara ini mendapat pengiktirafan yang setaraf dengan undang-undang sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses menyetarafkan sistem berkenaan pula perlu dilaksanakan tanpa mewujudkan syak wasangka kepada orang bukan Islam.

Dalam hal ini, katanya, kerajaan negeri mempunyai peranan tersendiri memandangkan enakmen syariah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

"Saya telah berbincang dengan Datuk Zaid Ibrahim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) kerana kita merasakan sudah sampai masanya melakukan rombakan untuk mengangkat sistem perundangan syariah setaraf dengan perundangan sivil.

"Namun pelaksanaannya memerlukan komitmen yang tinggi daripada kerajaan negeri untuk memberikan persetujuan di Dewan Undangan Negeri masing-masing," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penyelarasan UndangUndang Syarak dan Sivil Ke-18 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd. Noor; Ketua Hakim Syarie, Datuk Ibrahim Lembut dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Datuk Sheikh Ghazali Abd. Rahman.

Persidangan itu akan membincangkan beberapa perkara yang penting antaranya draf kaedah-kaedah jawatankuasa kariah, kertas cadangan mensyaratkan pemakluman kepada keluarga sebelum memeluk Islam dan meningkatkan had bidang kuasa kesalahan jenayah syariah.

Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan beberapa perkara yang berkaitan perlu mendapat pandangan pelbagai pihak termasuk pakar-pakar syarak agar tidak berlaku kontroversi kaum.

"Kita perlu mendapatkan pandangan semua pihak kerana dalam meningkatkan kehakiman syariah di negara ini, perkara yang perlu diambil kira ialah sentimen rakyat di negara ini.

"Pada masa yang sama, kita tidak mahu sebarang pergeseran berlaku akibat syak wasangka yang akhirnya boleh menyebabkan timbul rasa kurang senang dan penolakan di kalangan rakyat.

''Maka pandangan pakar-pakar amat penting dalam membawa hala tuju sistem syariah," katanya lagi.

Sumber: Utusan Malaysia 27/04/08

Ulasan:


Jika jalan raya di kawasan pedalaman dinaikkan tarafnya, maka ia merupakan suatu usaha yang amat besar faedahnya untuk rakyat kerana jalan raya merupakan kemudahan yang paling penting menghubungkan manusia sesamanya. Maka kita akan setuju dengan hal tersebut biarpun tertera dipapan tanda 'Satu lagi projek oleh Kerajaan Barisan Nasional'.

Begitu juga kalau jambatan yang sudah lama nak runtuh dan dibiarkan oleh kerajaan Barisan Nasional, kemudian mereka ingin membina jambatan baru dan tertera dengan angkuhnya ‘Satu lagi projek oleh kerajaan Barisan Nasional’, maka kita akan bersetuju dengan projek ini jika dilakukan untuk kemudahan rakyat, walaupun setelah lama kita sakit hati.

Begitu pula mekanisme sistem-sistem jentera pentadbiran negara, terutamanya dalam sektor pengurusan, jika dinaikkan tarafnya hingga menjadi yang paling efisyen di dunia maka faedahnya juga memberi impak yang besar kepada rakyat dan negara. Dan di dalam akhbar atau media massa tertulis, 'Satu lagi projek oleh Kerajaan Barisan Nasional' maka kita mungkin setuju kerana hal ini adalah tugas dan tanggungjawab negara.

Tetapi bila timbul ‘projek’ menaiktarafkan perundangan syari'ah agar setaraf dengan undang-undang kufur (sivil), maka kita sama sekali tidak bersetuju dan akan menentang sepenuhnya. Kerana apa? Kerana syari'ah itu memang yang tertinggi dan teratas dari segala undang-undang kufur yang ada. Undang-undang syariah adalah wajib diterapkan sepenuhnya dan undang-undang sivil/kufur wajib dihapuskan sepenuhnya. Keduanya sama sekali tidak boleh digandingkan, apatah lagi ingin di sama tarafkan. Apakah hak manusia atau menteri mana sekalipun ingin menyamatarafkan undang-undang Allah dengan undang-undang kufur buatan manusia? Ia merupakan usaha yang paling hina dalam sejarah peradaban Islam di mana hak dan batil ingin disamatarafkan. Firman Allah SWT,

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2):42].

Filed under having 0 Ulasan  

30,000 saudara baru di Sarawak tidak pernah diabaikan

by AURA JIHAD

KUCHING: Majlis Islam Sarawak akan terus membimbing dan membantu 30,000 saudara baru di negeri ini agar mereka lebih memahami serta menghayati ajaran Islam yang sebenar, kata Menteri Muda Hal Ehwal Islam Datuk Daud Abdul Rahman.

"Sarawak merupakan sebuah negeri yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, Islam bukan sahaja untuk masyarakat Melayu, malah juga untuk masyarakat lain dan sebab itulah golongan saudara baru ini sentiasa kita bantu," katanya.

Walaupun Islam merupakan agama rasmi negara ini, namun masyarakat bumiputera bukan Islam tidak pernah dipaksa untuk memeluk agama Islam sebaliknya akan diberikan penerangan tentang istimewanya menjadi seorang Islam, katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembinaan Pusat Islam Sarawak bernilai RM13 juta di sini hari ini.

Daud berkata banyak kemudahan seperti Pusat Islam yang menyediakan lebih banyak bahan rujukan Islam disediakan untuk masyarakat Islam di Sarawak sejajar dengan kehendak semasa.

Mengenai pembinaan Pusat Islam yang dijangka siap Jun ini, Daud berkata reka bentuknya unik kerana menggabungkan elemen seni reka Melayu, Cina, Iban dan Bidayuh yang menggambarkan Islam adalah untuk semua kaum.

Pusat yang lengkap dengan kemudahan asrama, auditorium, pusat sumber, pejabat, surau dan pejabat pentadbiran dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 17 Ogos ini dan serentak dengan mesyuarat Kongres Islam Malaysia Timur yang dijadual diadakan di pusat itu. BERNAMA

Sumber: http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_995c0f5c-c0a85062-e11a8700-38793650

Ulasan:


Kita sememangnya patut gembira apabila mendengar 30,000 masuk Islam. Ini bukanlah satu suatu angka yang sedikit. Jika dikumpulkan dalam stadium merdeka, mungkin hampir penuh. Namun persoalannya, apakah Majlis Islam Sarawak akan membawa mereka ke jalan Islam yang sebenar atau sekadar menjadi Islam pada ‘nama’? Apakah Majlis Islam Sarawak akan membawa mereka ke dalam Islam sehingga mereka akan menjadi pejuang Islam dan sanggup mati untuk Islam, sebagaimana Rasulullah mengislamkan para sahabat dahulu dan mereka (para sahabat) menjadi pejuang Islam yang hebat dan sanggup mati untuk Islam?

Realiti pada hari ini berbicara kepada kita bahawa, walaupun terdapat sejumlah 1.5 billion umat Islam di seluruh dunia, namun, umat Islam masih tetap belum terkebelakang kerana berada di dalam terpecah berdasarkan kaum (assabiyyah) dan tempat (watahniyyah) masing-masing. Hal ini tidak lain kerana umat Islam masih belum kepada Islam dengan cara yang benar dan menyeluruh. Sebahagian besar umat Islam masih mengambil Islam secara partial (juz'iy) terutama dalam soal peribadatan (ritual) dan meninggalkan bahagian yang lain seperti politik, muamalat, hudud, qisas, jihad dan sebagainya. Akibat dari penerapan Islam secara partial inilah, maka kesempurnaan, keunikan, keindahan, keteguhan Islam itu tidak terzahir dalam kehidupan kaum Muslimin, malah mereka menjadi hina. Firman Allah,

“...Apakah kamu hanya beriman kepada sebahagian (dari isi) Kitab dan kufur akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [TMQ al-Baqarah (2):85]

Inilah yang sepatutnya dilihat oleh badan-badan Islam di seluruh Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya. Mengambil Islam wajiblah secara kaffah dan bukannya dalam hal ibadat sahaja. Memasukkan orang ke dalam Islam adalah perbuatan yang amat mulia, namun ia tidak harus berhenti di situ. Muallaf itu mestilah diberi didikan Islam sebagaimana Rasulullah mendidik para sahabat dahulu. Mereka mesti dididik dengan ilmu Islam kesemuanya, bukan hanya masalah ibadat sahaja. Walaupun proses ini memakan masa, namun ia mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Bermula dari mengucap syahadah, mereka lalu mengambil Islam sebagai agama yang wajib ‘diperjuangkan’ dan mereka memperjuangkannya dengan darah dan harta mereka sehinggalah mereka berjaya mendirikan Daulah Islam di Madinah. Bukan berhenti di situ, mereka seterusnya berjaya menguasai dan memimpin dunia. Ingatlah! Inilah cara Islam yang benar dan hanya dengan cara ini sahajalah seseorang itu akan berpegang dengan Islam sebagaimana yang dipegang oleh para sahabat dahulu dan akan meraih kemenangan.

Filed under having 0 Ulasan  

Cari formula kembalikan Melayu kepada UMNO

by AURA JIHAD

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap perhimpunan besar-besaran badan bukan kerajaan (NGO) Melayu kebangsaan di Johor Bahru pada 2 Mei ini, turut mencadangkan formula untuk menarik kembali orang Melayu
kepada parti itu.

Ini kerana, katanya, UMNO adalah sebuah parti yang masih relevan kepada orang Melayu kerana tidak ada badan lain yang dapat memperjuang dan mempertahankan hak bangsa Melayu, agama dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu seperti UMNO.

Beliau menyifatkan inisiatif Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menganjurkan perhimpunan itu sebagai amat murni.

“Kalau mereka kata UMNO tidak boleh kerana mereka tidak yakin dengan kepimpinannya atau dalam situasi sekarang tidak begitu ghairah memperjuangkan nasib orang Melayu, saya fikir mereka boleh jadikan perhimpunan itu sebagai langkah memperbaiki kelemahan UMNO.

“Kalau mereka dapati terdapat kelemahan dalam perjuangan UMNO atau parti itu sudah menyimpang daripada perjuangan asalnya, mereka boleh tegur dan kita (pemimpin) harus menerima teguran itu dengan hati terbuka,” kata Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh selepas merasmikan satu majlis di kawasan Parlimen itu semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perhimpunan itu juga boleh mengemukakan cadangan kepada UMNO terhadap perkara yang mereka tidak berpuas hati berkenaan dasar parti tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pendidikan atau perjuangan UMNO tentang ekonomi orang Melayu.

“Kalau semua pertubuhan Melayu berjuang atas landasan yang sama dengan UMNO, eloklah cari satu titik pertemuan untuk menggabungkan usaha mereka dengan apa yang dilakukan oleh UMNO,” katanya.

Muhyiddin menarik perhatian bagaimana Perhimpunan Melayu Johor berjaya mengembalikan orang Melayu bersatu dalam parti ekoran perpecahan UMNO pada tahun 1988 kerana resolusi badan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu Johor sepakat bahawa orang Melayu tiada pilihan kecuali kembali bernaung di bawah payung UMNO.
– Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 28/04/08

Ulasan:


Dari dulu, kini dan entah sampai bila lagi UMNO akan hidup atas dasar perjuangan kemelayuannya. Entah sampai bila lagi UMNO akan sedar yang perjuangan assabiyyah ini bertentangan dengan Islam dan tidak akan membawa pejuangnya ke mana, kecuali ke jalan yang dimurkai Allah. Perjuangan melayu tidak akan membangkitkan Islam, malah akan membuatkan Melayu terus Melayu dan menjunam. Walaupun pejuang Melayu selalu melagukan dongengnya bahawa Melayu sinonim dengan Islam, hakikatnya Melayu dan Islam tetap berbeza sampai kiamat. Tambahan lagi, formula yang dicari oleh Melayu terutama UMNO tidak pula berpaksikan kepada formula Islam, melainkan formula ‘bangsa Melayu’ semata-mata. Mereka sebenarnya semakin jauh dari Islam.

Memperjuangkan Melayu ternyata memperjuangkan pemisahan Islam dari kehidupan. Kita bukan hidup untuk mempertahan atau memperjuangkan bangsa, tapi kita hidup untuk memperjuangkan Islam. Bumi Malaysia bukan hak Melayu, bumi Arab Saudi bukan hak orang Arab, bumi Turki dan Iraq bukan hak orang Turki dan Iraq dan begitulah seterusnya. Semua bumi ini adalah bumi yang Allah wariskan kepada orang Islam tanpa mengira bangsa. Ia adalah hak kita. Bumi Mekah adalah hak umat Islam, begitu juga dengan bumi Madinah, bumi Palestin, bumi Irak, bumi Mesir, bumi Indonesia mahupun bumi Malaysia. Ia semuanya hak kaum Muslimin, tanpa mengira bangsa, ras mahupun warna kulit.

Agama Islam telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai sebuah cara hidup (ideologi) yang telah berjaya membawa kegemilangan umat manusia (tanpa mengira bangsa) berbelas abad lamanya. Islam meletakkan formula penyatuan umat dengan menyatukan fikrah (pemikiran), perasaan (masya'ir) serta peraturan (nizham) yang kesemuanya datang dari ‘Islam’, bukan dari ‘bangsa’. Formula inilah yang telah berjaya menyatukan umat manusia di 2/3 daratan bumi.

Di sini jelas kepada kita satu kesimpulan bahawa UMNO dan agenda kemelayuannya hanya merupakan pemikiran kuno yang masih ada dalam benak pejuang bangsa ini, yang bertentangan dengan Islam dan kehendak kebangkitan hakiki. Melayu semakin terhimpit, mundur dan tidak bermaya kerana tidak berpegang kepada Islam. Apa bangsa pun, jika mereka berpegang kepada formula penyatuan berdasarkan akidah Islam, akan bangkit, maju dan mulia dan akan tetap terus berdiri megah, digeruni dan dihormati oleh orang-orang kafir dan akan menguasai dunia seluruhnya.

Filed under having 0 Ulasan  

Malaysia sedia bantu Thai pembanguan di selatan thailand

by AURA JIHAD

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia sedia menyumbang apa saja yang dianggap wajar oleh Thailand ke arah pembangunan ekonomi dan sosial penduduk di selatan negara itu.

Perdana Menteri berkata, walaupun telah ada kemajuan dicapai khususnya dalam bidang pendidikan dan kemahiran untuk golongan muda di wilayah itu, masih banyak yang perlu dilakukan.

Menurutnya, keamanan, kestabilan dan kemakmuran di selatan Thailand amat penting bukan sahaja kepada negara itu tetapi juga kepada Malaysia.

''Kita tahu bahawa penyelesaian terhadap masalah yang timbul akibat kemiskinan dan pembangunan bukan sahaja terletak pada pembinaan infrastruktur dan kemudahan awam tetapi juga pelaburan dalam modal insan.

''Apabila seseorang itu mempunyai ilmu dan kemahiran, dia akan menjadi warga berguna yang dapat meningkatkan kedudukan ekonomi dan sosialnya untuk menyumbang ke arah kemajuan masyarakat," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada jamuan tengah hari sempena lawatan Perdana Menteri Thailand, Samak Sundaravej di sebuah hotel di sini hari ini.
Samak tiba semalam untuk lawatan dua hari sebagai sebahagian daripada lawatan ke semua negara ASEAN selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 28 Januari lalu.

Abdullah berkata, kedua-dua negara perlu mengenal pasti langkah-langkah khusus yang boleh mempercepatkan kerjasama dalam hal-hal yang sudahpun dipersetujui selain meneroka bidang baru untuk bekerjasama.

Katanya, memandangkan Malaysia dan Thailand berkongsi sempadan darat dan laut, isu-isu akan sentiasa timbul tetapi pada masa yang sama terdapat banyak peluang yang boleh diusahakan untuk kepentingan bersama.

''Yang perlu diutamakan ialah hubungan mesra antara kedua-dua kerajaan dan rakyat kerana keamanan dan kemakmuran kedua-dua negara kita saling bergantung dalam banyak bidang," katanya.

Perdana Menteri turut menyuarakan rasa gembira kerana hubungan perdagangan antara kedua-dua negara telah meningkat.

Menurutnya, jumlah dagangan Malaysia dan Thailand bertambah kepada AS17.23 bilion tahun lalu berbanding AS15.66 bilion pada 2006. Pelaburan Malaysia di Thailand pula melebihi RM1 bilion.

''Bagaimanapun, hakikatnya ialah kedua-dua negara kita nampaknya lebih banyak melabur dan berdagang di negara lain," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri turut mempelawa pelabur Thailand meninjau peluang perdagangan yang boleh diterokai khususnya dalam kawasan pembangunan baru di Malaysia iaitu Wilayah Pembangunan Koridor Utara.

Katanya, pelaburan di kawasan itu dapat menyumbang untuk kemajuan penduduk di kawasan sempadan termasuk di selatan Thailand.

Mengenai ASEAN, Abdullah berkata, Malaysia akan memberi sokongan penuh kepada Thailand dalam meningkatkan lagi integrasi di antara negara-negara anggota dan membantu merealisasikan penubuhan komuniti ASEAN yang dijadualkan pada tahun 2015

''Kami yakin di bawah kepimpinan Thailand, Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 pada Disember ini akan menghasilkan kejayaan yang diharapkan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 25/04/08

Ulasan:


Selatan Thailand adalah bahagian yang majoritinya didiami oleh kaum Muslimin dan kawasan ini telah lama bergolak kerana kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan kufur Thailand ke atas kaum Muslimin di sana.

Penderitaan umat Islam di wilayah selatan Thai sebenarnya telah lama bermula, iaitu sejak kejatuhan Kesultanan Melayu-Islam Pattani pada tahun 1786. Tentera-tentera Siam telah bertindak di luar batas kemanusiaan ketika memasuki wilayah-wilayah Pattani. Dengan kejatuhan empayar agung itu, yang pernah menguasai wilayah selatan Thai bermula dari Phattalung hingga ke negeri Terengganu, ini bermakna wilayah Pattani telah dijajah sepenuhnya oleh Kerajaan Siam, termasuklah Kelantan dan Terengganu. Keamanan di kawasan tersebut hampir hilang terutamanya setelah penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu-Islam Pattani melalui dasar Thesaphiban pada tahun 1902. Empayar tersebut kemudiannya pupus secara mutlak apabila perjanjian sempadan (Perjanjian Bangkok) ditandatangani pada 1909 di antara Kerajaan Siam dan British, yang mana ia menyaksikan British mengiktiraf penguasaan Siam ke atas Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla manakala British pula mendapat kuasa mutlak ke atas Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sejak itu juga, orang-orang Islam selatan Thai berada di dalam keadaan tertekan dan daif.

Kedudukan umat Islam di selatan Thai saling tak tumpah dengan umat Islam di Kashmir yang mana British telah menyerahkan wilayah yang majoritinya Muslim itu kepada India. Akhirnya pembantaian demi pembantaian dilakukan oleh kerajaan India ke atas kaum Muslimin. Kedudukan umat Islam di kedua-dua kawasan itu amat tersepit dan mereka seperti sudah hilang tempat bergantung. Di selatan Thai mereka, mengharapkan bantuan dari kerajaan yang beragama Islam di Malaysia agar dapat mengeluarkan mereka dari malapetaka yang menimpa, namun kerana sempadan wathaniyyah dan assabiyyah yang telah British reka, pemimpin Malaysia hanya pejam mata menyaksikan umat Islam selatan Thai dibunuh dengan kejam saban hari oleh tentera kufur Thailand.

Apa yang kerajaan Malaysia berminat hanyalah membantu dari segi ‘pembangunan’, dan kerajaan nampaknya langsung tidak berminat untuk menyelamatkan ‘nyawa’ umat Islam yang semakin terancam di sana. Inilah hakikat sebuah kerajaan Kapitalis. Di saat nyawa umat Islam dianggap seperti nyawa ikan oleh kerajaan kufur Thailand, dan mereka (umat Islam) sentiasa disembelih oleh tentera Thai, kerajaan Malaysia hanya mengintai bagaimana untuk menambahkan duit poket dengan pembangunan yang bakal dilaburkan di sana!!! Kapitalis! Kapitalis!

Sesungguhnya nasib umat Islam di selatan Thai tidak akan terbela selagi tidak munculnya seorang Khalifah yang akan menyelamatkan umat Muhammad ini. Khalifahlah satu-satunya harapan yang ada untuk kita bersama-sama menyaksikan pembunuhan ke atas saudara-saudara kita di selatan Thailand segera berakhir. Bukan setakat itu, bahkan Khalifah jualah yang akan menjadi orang yang pertama menakluki Tahiland dan menjadikannya sebahagian dari Daulah. Jika selama ini, Thailand berbangga yang negaranya belum pernah dijajah oleh negara lain, Insya Allah dengan adanya Khalifah nanti, Thailand akan dibuka dan penduduknya akan memeluk Islam secara beramai-ramai.

Filed under having 0 Ulasan  

Larian Obor Olimpik meriah

by AURA JIHAD

Larian Obor Temasya Olimpik Beijing berlangsung meriah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur tanpa sebarang kekecohan dan disambut dalam suasana harmoni oleh rakyat Malaysia di sini semalam.

Larian sejauh 18 kilometer itu dimulakan tepat pada pukul 2.20 petang di Dataran Merdeka sebelum berakhir pada pukul 6.00 petang di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan menyaksikan 80 orang pelari terlibat.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menjadi pelari pertama yang memulakan acara larian tersebut sebelum diserahkan secara bergilir kepada orang kenamaan dan ahli sukan yang mengambil bahagian.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakop berkata, acara yang penuh bersejarah ini berjalan lancar tanpa ada sebarang kekecohan seperti di beberapa buah negara sebelum ini.

‘‘Saya amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam melicinkan acara yang dinantikan oleh rakyat Malaysia ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia sebaik sahaja upacara tersebut dilepaskan semalam.

Jelasnya, rakyat Malaysia menyokong penuh Larian Obor Sukan Olimpik Beijing ini yang kali kedua diadakan di sini dan berharap atlet yang layak ke temasya tersebut menyajikan persembahan yang cemerlang.

Larian Obor tersebut melalui beberapa jalan utama di Kuala Lumpur, antaranya Jalan Duta, Jalan Syed Putra, Jalan P. Ramlee dan Jalan Sultan Ismail.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, kerjasama yang erat antara kedua-dua negara banyak membantu menjayakan acara ini.

‘‘Saya berpuas hati dengan Larian Obor Sukan Olimpik 2008 ini semuanya berjalan lancar malah ia tamat lebih awal dari yang dijangkakan walaupun ketika menghampiri penamat, hujan mula lebat,’’ katanya.

Jelas Kok Chi, beliau berasa bangga dengan kerjasama yang diberikan oleh semua rakyat Malaysia dan ia berlangsung dalam keadaan yang harmoni.

‘‘Sukan adalah satu acara yang bebas dan ia tidak perlu dicampur adukkan dengan isu politik,’’ kata Kok Chi.

Larian itu juga melalui beberapa kawasan bersejarah di Malaysia antaranya, Muzium Negara, Masjid Negara, Stadium Merdeka dan juga bangunan kedua tertinggi di Malaysia Menara Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Presiden MOM, Tan Sri Imran Tuanku Jaafar dalam ucapannya berkata, acara ini begitu simbolik dan memberikan makna yang mendalam bukan sahaja kepada rakyat China tetapi rakyat negara kita.

‘‘Ia amat bermakna buat generasi muda dan saya berbangga negara kita terpilih untuk menganjurkan larian ini,’’ katanya.

Pembawa obor ke-79, Duta China ke Malaysia, Cheng Yong Hou tiba di lokasi penamat di KLCC pada pukul 5.45 petang sebelum diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selaku individu terakhir memegang obor tersebut dan dinyalakan di dalam kawah khas sebagai tanda penamat larian tersebut.

Antara mereka yang terlibat dalam larian tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab. Hakim Borhan; Ketua Pengarah Majlis Sukan Malaysia, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Manakala di kalangan ahli sukan pula mereka yang terlibat ialah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock, penerjun muda, Bryan Nickson Lomas, atlet jalan kaki Yuan Yu Fang dan legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun.

Obor Olimpik itu akan ke Jakarta, Indonesi hari ini sebelum meneruskan pengembaraan ke Canberra, Australia 24 April ini.

Sumber: Utusan Malaysia 22/04/08

Ulasan:

Bila ada sahaja perayaan agama seperti Maulidur Rasul atau Sambutan Maal Hijrah, khutbah-khutbah Jumaat kendalian kerajaan dan ceramah-ceramah agama tajaan kerajaan akan sibuk membincangkan sama ada perkara tersebut termasuk bidaah atau tidak. Dan penjelasan biasanya akan diberi dengan bersungguh-sungguh bahawa hal tersebut tidak termasuk dalam bidaah. Namun dalam kes ini - 'Larian Obor Olimpik', ceramah agama dan khutbah kerajaan semacam terbungkam mulut mereka untuk membincangkannya, apatah lagi untuk menghukumnya sama ada bidaah atau tidak dan sama ada bertentangan dengan Islam atau tidak. Tidak langsung kedengaran mufti bersuara dalam hal ini, tidak juga jabatan-jabatan agama mahupun khatib-khatib kerajaan.

Jadi sebelum kita melihat larian obor ini sesuai atau tidak dengan syariah Islam maka marilah kita mengkaji realiti terlebih dahulu dan sejarah larian obor ini. Kemudian dari sini barulah kita bertolak kepada hukum syarak berkenaan dengan masalah ini.

Api Olimpik, Obor Olimpik, dan Cahaya Olimpik semuanya merupakan nama-nama bagi satu lambang promosi Sukan Olimpik. Asal-usulnya terletak di Yunani Kuno di mana sebuah api dibiarkan bernyala sepanjang sambutan sukan Olimpik Kuno, serta memperingati kecurian api ini dari dewa Zeus oleh Prometheus. Api ini diperkenalkan semula pada Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam, dan semenjak itu menjadi sebati dengan Sukan Olimpik. Larian obor dari Greece ke tapak sukan moden itu tiada dalam temasya Olimpik kuno, sebaliknya diperkenalkan oleh Carl Diem, dengan sokongan Joseph Goebbels, di Olimpik Berlin 1936 yang diselubungi kontroversi sebagai cara memupuk fahaman Nazi. [The New York Times 14.08.2004]

Bagi masyarakat Yunani kuno, api membawa erti kerohanian. Api suci ini dikisahkan pernah dicuri dari dewa-dewi oleh Prometheus. Maka, api boleh dijumpai di kebanyakan tempat suci di Olympia, Yunani. Sebuah api yang membara secara berpanjangan di atas masbah Hestia di Olympia, Greece. Ketika berlangsungnya temasya Olimpik yang memberi penghormatan kepada Zeus, api tambahan di kuilnya dan juga kuil ratunya Hera. Api Olimpik moden dinyalakan di tapak di mana pernah didirikan kuil Hera. [www.wikipedia.org]

Setelah kita melihat dengan jelas bahawa larian obor dan nyalaan obor ini ternyata berasal dari akidah khurafat masyarakat Rom dan juga merupakan hadharah (peradaban) kufur, sedangkan Rasulullah melarang umat Islam mengikuti jejak langkah dan apa yang dilakukan oleh orang kafir, maka apakah patut bagi umat Islam merayakan khurafat dan tahyul Olimpik ini? "Dari Ibn Umar Radiyallahu anhu berkata, bersabda Rasulullah Shalallahu alaihi wassalam,

“Barangsiapa yang menyerupai satu satu kaum, maka ia telah menjadi golongan mereka". [HR Ahmad, Abu Daud dan Tabrani].

Apakah negara dan pemerintah Malaysia berbangga dengan menjalankan aktiviti yang dilakukan oleh Penyembah api dan Pemuja Api ini? Tidakkah mereka merasa bahawa aktiviti ini sama macam puak Majusi yang menyembah dan mendewa-dewakan api? Adakah pemerintah perlu berbangga kerana tidak ada kekacuan dalam majlis yang berasal dari Majlis Keagamaan bangsa Rom ini? Apa pun alasan yang diberikan, sesiapa sahaja yang terlibat dengan aktiviti khurafat ini pastinya akan ditanya oleh Allah swt di akhirat kelak tentang apa yang mereka lakukan. Tidak adakah Mufti yang ingin memberi fatwa menolak kepercayaan dan amalan Jahiliyyah ini?

Filed under having 0 Ulasan