Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

ISA HARAM DI SISI ISLAM

by AURA JIHAD

“Kerajaan tidak cadang kaji ISA” – Itulah keputusan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagaimana disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 19/10/08. Beliau berkata, “tumpuan saya ialah untuk membentangkan tiga rang undang-undang ini (suruhanjaya pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan aduan khas) di Parlimen dan oleh itu tolong jangan soal saya tentang langkah untuk mengkaji ISA kerana akta hampir sama juga masih diguna pakai di Amerika Syarikat (AS) dan Britain”, tegasnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 di Kuala Lumpur pada 18 Oktober lepas. Perdana Menteri nampaknya langsung tidak mahu tunduk kepada bantahan yang ditimbulkan dari pelbagai pihak termasuklah dari parti komponen BN sendiri untuk memansuhkan Akta zalim tersebut.

Siapa tidak kenal ISA? Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang lebih dikenali sebagai ISA iaitu akronim nama Bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang berkuat kuasa di Malaysia sejak 1960 lagi. Akta yang telah benar-benar digunakan kerajaan untuk menyelamatkan hegemoni politik mereka ini membolehkan sesiapa sahaja ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang disyaki atau dipercayai mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dan sekali gus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Dan Menteri boleh menyambung dan terus menyambung tempoh tahanan ‘ikut suka beliau’ selama tempoh yang tiada hadnya, selama beliau masih berkuasa atau masih bernyawa.

Secara umumnya akta hasil pemikiran penjajah ini mengenepikan kuasa kehakiman dan bercanggah dengan kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan yang diagungkan oleh mereka sendiri. Ringkasnya, individu yang ditahan di bawah ISA (i) tidak memerlukan waran tangkap atau apa-apa arahan dari Mahkamah (ii) tidak perlu dan tidak akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atau dibuktikan kesalahannya (iii) kuasa mutlak untuk ‘menjatuhkan hukuman’ terletak kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri (iv) ‘kuasa mutlak’ untuk menyeksa tahanan terletak pada polis cawangan khas (SB) yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan. Sautun Nahdhah kali ini bukanlah ingin membincangkan fakta-fakta kezaliman ISA dan mereka yang telah ‘menjadi korbannya’ sejak sekian lama, kerana sememangnya risalah kecil ini tidak akan dapat memuat segala penderitaan tersebut. Namun apa yang ingin kami utarakan adalah hukum syarak mengenai akta gubalan tangan manusia ini yang mana para penggubal dan pengamalnya langsung tidak memikirkan hukuman dan azab Allah yang bakal menimpa mereka satu hari nanti dek kezaliman yang mereka lakukan.

Kaedah Penghakiman/Keadilan Dalam Islam

Sebagai sebuah deen yang sempurna, agama Islam yang diturunkan oleh Allah ini mencakup segala perkara dan tidak ada satu pun yang tertinggal darinya. Dalam bab pengqadhian (penghakiman), Islam telah menggariskan hukum dan kaedah yang lengkap yang wajib diikuti oleh umat manusia. Antara kaedah syarak yang masyhur di dalam bab penghakiman/keadilan Islam adalah “Al-Aslu bara’atu zimmah” yang bermaksud “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah” (innocent until proven guilty). Mengikut kaedah ini, oleh sebab hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya, maka seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan keputusan mahkamah (setelah dibicarakan dan dibuktikan), dan seseorang itu tidak boleh sama sekali (secara mutlak) dihukum (punish) oleh mana-mana pihak selagi dia tidak disabitkan kesalahan [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, Fasal 13].

Perkara pertama: Al-Aslu bara’atu zimmah. Kaedah ini diambil dari hadis Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam iaitu, “(Beban) pembuktian adalah di atas pendakwa, dan sumpah (penafian) adalah di atas yang tertuduh” [HR Baihaqi dan Mutafaq alaih]. Imam Nawawi ketika mensyarah hadis ini mengatakan, “Pembuktian terletak di pihak pendakwa kerana ia menyalahi perkara yang zahir. Ini adalah kerana asasnya seseorang itu adalah ‘bebas dari kesalahan/liabiliti’ (bara’atu zimmah), sedangkan bagi tertuduh (accused/defendant) cukup dengan sumpah sahaja di pihaknya kerana dia meminta mengekalkan status quo, sesuai dengan asalnya iaitu bara’atu zimmah (tidak bersalah)” [Syarah Matan Arba’in, ms 153]. Hadis ini dengan jelas menerangkan bahawa hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah (innocent), dan pendakwa hendaklah membawa/menunjukkan bukti bahawa si tertuduh bersalah. Jika dia gagal membuktikan, maka si tertuduh tetap berada dalam keadaan asalnya yakni tidak bersalah. Justeru, menjatuhkan hukuman tanpa bukti, malah tanpa dakwaan sedikit pun seperti yang berlaku dalam kes ISA adalah bertentangan sama sekali dengan hadis ini. Dengan kata lain, perbuatan ini telah menyalahi hukum yang telah ditetapkan oleh Rasulullah.

Perkara kedua: Seseorang tidak boleh dijatuhkan hukuman kecuali dengan keputusan Qadhi (Mahkamah). Dalil untuk hal ini dapat dilihat dalam Hadis Nabi, “Maka barang siapa yang telah terambil hartanya olehku, maka inilah hartaku, maka silalah dia mengambilnya dan barang siapa yang telah aku tersalah sebat belakangnya maka inilah belakangku untuk disebatnya, maka hendaklah dia mengambil keputusanku ini” [HR Baihaqi]. Dalam kes ini, kita mesti ingat bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam mengatakan hal ini dalam kapasiti baginda sebagai seorang pemerintah dan juga hakim. Ini bermaksud bahawa sesiapa sahaja yang telah dihukum (oleh hakim) secara salah, maka dia boleh menuntut pembalasan yang serupa. Hadis ini menjadi dalil yang tidak membenarkan pemerintah menghukum rakyatnya tanpa terbuktinya dakwaan terhadapnya yang melayakkan dia dihukum. Oleh itu, seseorang tidak boleh mendera orang lain kecuali dengan keputusan hakim dan adalah haram bagi seseorang hakim untuk menghukum (sama ada mengambil harta, mendera atau memenjara) orang lain tanpa hak.

Tambahan pula ada dalil lain di dalam kes li’an, yang mana seorang perempuan yang dituduh oleh suaminya bersekedudukan dengan orang lain kemudian perempuan ini dibawa ke hadapan Rasulullah (sebagai hakim), tetapi dia telah teragak-agak dalam melakukan penafian. Dalam kes itu, perempuan tersebut terselamat dari direjam kerana dia telah melakukan sumpah li’an. Namun Rasulullah bersabda, “Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti, nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani]. Ini menunjukkan bahawa tidak boleh merejam (menghukum) seseorang apabila tidak ada bukti jelas meskipun anda kesamaran dalam penafian perempuan tersebut. Jika Rasulullah sendiri justeru memanggil bicara dan tidak menghukum tanpa bukti yang jelas (walhal baginda diberi wahyu tentang perkara tersebut), maka alangkah hebatnya kuasa seorang Menteri (dan polis-polis yang terlibat) melampaui batas yang ditetapkan oleh Rasulullah, apabila mereka dengan mudahnya terus menghumban suspek ISA ke Kamunting dan menyeksa tahanan tanpa bicara dan tanpa bukti yang kukuh!

Dalam keadaan di mana individu tersebut disyaki melakukan kesalahan, Islam sememangnya membenarkan pihak polis menahan seseorang tertuduh (seperti tahanan reman) bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat sebelum melakukan dakwaan. Bagaimanapun, penahanan ini hanya boleh dilakukan dengan syarat mendapat akuan/perintah dari Mahkamah dan masa penahanan adalah pendek dan terhad. Hal ini berdasarkan dalil hadis dari Bahz bin Hakim dari bapanya, dari datuknya, “Bahawa Nabi SAW menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” [Riwayat Lima kecuali Ibn Majah] dan dari Abu Hurairah ia berkata, “Rasulullah SAW menahan seorang individu selama sehari semalam dalam satu kes pertuduhan”. Perlu difahami bahawa penahanan tersebut bukanlah satu bentuk ‘hukuman’ tetapi ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan keterangan (tempoh siasatan), dan tidak boleh sama sekali mendera atau menyeksa tertuduh pada waktu ini.

Perkara ketiga: Hukuman hanya boleh dikenakan selepas sabit kesalahan. Tidak boleh (haram) melaksanakan hukuman kepada si tertuduh sebelum disabit kesalahannya. Dalilnya adalah berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa SallamSeandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani]. Meskipun (berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas) perempuan tersebut memang diketahui telah melakukan zina, namun ternyata Rasulullah tidak menyeksa atau melakukan apa jua tindakan agar perempuan itu mengaku. Tambahan lagi, jikalau hukuman boleh dikenakan kepada si tertuduh semata-mata kerana kesalahannya ‘diketahui’, maka sudah tentu perempuan itu dihukum oleh Rasulullah kerana kejahatannya memang sudah pun diketahui ramai. Namun ternyata hakikatnya tidak demikian. Ini menunjukkan bahawa secara mutlak tidak dibolehkan (haram) melaksanakan hukuman terhadap si tertuduh tanpa disabitkan kesalahannya. Oleh yang demikian, adalah haram mengugut, memukul, mendera, memenjara atau mengenakan apa jua bentuk hukuman (punishment) selama mana tertuduh masih belum disabitkan kesalahan.

Hal ini disokong lagi oleh hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam tidak menghukum seorang yang mabuk kerana tidak ada bukti. “Ibnu Abbas berkata, seorang lelaki telah meminum khamar dan mabuk dan dilihat terhuyung hayang. Lelaki ini dibawa kepada Rasulullah dan ketika menghampiri rumah Abbas, dia terlepas lalu masuk ke rumah Abbas dan berselindung di situ. Apabila hal ini sampai kepada Rasulullah, baginda tertawa seraya bertanya, ‘Adakah dia melakukan semua itu?’ Dan (kata Ibnu Abbas) Rasulullah tidak memerintahkan apa-apa pun dalam perkara ini”. Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada peminum khamar kerana tidak ada pengakuan dari tertuduh dan dakwaan ke atasnya juga tidak terbukti. Ini bermakna dia telah ‘dituduh’ mabuk tetapi tidak dapat dibuktikan (bahawa dia minum arak). Rasulullah tidak mengugut atau menyeksa atau mendera dia agar mengaku, dan Rasulullah juga tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya hanya semata-mata kerana adanya ‘tuduhan’. Oleh yang demikian, adalah haram untuk mengenakan sebarang bentuk tindakan ke atas tertuduh selagi kesnya tidak disabitkan oleh Mahkamah. Dengan kata lain, selagi tidak ada sabitan, statusnya tetap sebagai tertuduh (accused) dan bukannya pesalah (guilty) dan tidak ada seorang pun, baik polis atau menteri yang boleh menghukum (punish) orang yang ‘dituduh’. Berdasarkan hadis ini, hukuman tahanan 60 hari dan juga dua tahun penjara (dan diseksa) yang dilakukan di bawah ISA oleh Menteri Dalam Negeri dan juga pihak polis adalah teramat jelas menyalahi perbuatan Rasulullah dan ternyata haram hukumnya ditinjau dari aspek mana sekalipun.

Selain ketiga perkara di atas, terdapat banyak hadis di mana Rasulullah berpesan, “Jika dua orang yang bersengketa di hadapkan di hadapan engkau (hakim) maka janganlah engkau menjatuhkan keputusan sehingga engkau mendengarkan dari pihak yang satu lagi sebagaimana engkau mendengar dari pihak pertama” [HR Ahmad]. Malangnya di dalam kes ISA, suspek langsung tidak dihadapkan di hadapan hakim dan langsung tidak diberi hak untuk berbicara. Suspek hanya ‘dipaksa’ menerima keputusan Menteri yang dibuat tanpa (Menteri tersebut) melihat kepada syariat Islam sedikit pun dan suspek terus dikategorikan sebagai pesalah. Kita sungguh sedih menghadapi kekejaman undang-undang ini tatkala melihat ia dilakukan oleh pemerintah yang mengaku bahawa mereka adalah beragama Islam. Islam manakah yang diikuti oleh mereka walhal hadis-hadis Rasulullah dalam hal ini mereka campakkan kesemuanya?

Sesungguhnya keharaman ISA adalah ibarat cahaya matahari. Bagi mereka yang jahil agama sekalipun, semua tahu bahawa ISA adalah undang-undang buatan manusia di Parlimen yang diluluskan dengan cara majoriti. ISA bukan berasal dari wahyu, malah jelas bertentangan dengan apa yang diwahyukan. Jika dulu ISA digubal untuk menghalang kebangkitan komunis, dan ternyata ia telah berjaya melumpuhkannya. Kini setelah hilangnya pengaruh ideologi tersebut, ISA digunakan pula untuk menghalang kebangkitan dan penerapan Islam, dengan ditangkap dan dipenjarakan pendakwah-pendakwah yang ingin menegakkan agama Allah dan siapa sahaja yang berjuang ke arah menggantikan kerajaan sekular ini dengan Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita semua tahu bahawa ISA adalah sebuah akta yang memang terkenal zalim. Namun, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah mengukur ‘zalim’ itu dari perspektif Islam semata-mata, bukannya dari perspektif emosi. Apabila kita memandang dari kaca mata Islam, maka kita akan mendapati bahawa bukan sahaja ISA, malah hampir kesemua undang-undang yang dibuat oleh manusia yang diamalkan di Malaysia hari ini adalah zalim. Ini kerana semua undang-undang itu adalah undang-undang yang bertentangan dengan Islam yang hanya diluluskan dengan mudah melalui sistem demokrasi berdasarkan suara majoriti. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45]. Oleh itu, kita hendaklah memahami bahawa kezaliman ISA itu adalah kerana keharamannya, sama sebagaimana undang-undang haram lain yang bertentangan dengan Islam yang diamalkan di negara kita. Justeru, ISA dan juga akta-akta gubalan manusia wajib dihapuskan dan diganti dengan undang-undang Islam yang berasal dari wahyu. Wallahu a’lam.

Kempen Anjing Menyalak Bukit Dari KERAjaan

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kempen Budi Bahasa akan diperhebatkan dalam kalangan anggota Parlimen kerana mereka adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. “Anggota Parlimen selalu menjadi perhatian rakyat, apa yang mereka katakan adalah menjadi tanggapan rakyat dan sudah semestinya mereka juga terikat dengan sikap berbudi bahasa” ujarnya [Utusan Malaysia].

Apa yang cuba dilakukan oleh Shafie Apdal ini nampaknya baik. Mungkin beliau sendiri sudah tidak tahan dengan bahasa kesat dan kasar yang dikeluarkan oleh beberapa orang ahli parlimen, khususnya di kalangan UMNO/BN sendiri. Seruan agar ahli Parlimen berbudi bahasa dan bersopan santun semasa berada di Dewan Rakyat bukanlah kali pertama kita dengar, namun usaha berterusan ke arah ini bolehlah dipuji walaupun ia ibarat anjing menyalak bukit.

Siapa tidak tahu akan perangai ahli-ahli Parlimen bila mereka bersidang? Beberapa orang ahli Parlimen memang terkenal dengan mengeluarkan bahasa kesat dan kasar, khususnya termasuklah di kalangan mereka yang beragama Islam. Perkataan-perkataan seperti monyet, bodoh, babi dan sebagainya sudah tidak asing lagi di Parlimen. Perangai ahli Parlimen yang mengalahkan budak-budak bila mereka bergaduh boleh ditonton oleh sesiapa sahaja. Perkara ini yang hakikatnya boleh memalukan diri sendiri sudah tidak lagi mereka rasakan. Apabila hukum Islam sudah tidak mereka pegang, persoalan akhlak sudah tidak ada apa-apa erti bagi mereka. Dosa dan pahala langsung sudah tidak dipertimbangkan. Nafsu syaithanlah juga yang menjadi panduan.

Banyak sebab kenapa hal begini boleh terjadi, namun antara yang penting adalah kerana ‘kedudukan’ Parlimen itu sendiri yang kebal dari undang-undang dan apa sahaja yang dikatakan di Parlimen tidak boleh di bawa ke Mahkamah. Dalam sistem demokrasi kufur yang diamalkan di Malaysia, undang-undang yang terpakai dan diamalkan di Parlimen adalah lebih tinggi dari Al-Quran itu sendiri di mana walau apa pun jua yang diperkatakan atau dilakukan di Parlimen, walau pun hal itu jelas-jelas salah dari segi hukum Islam, maka seseorang ahli Parlimen itu tetap kebal dan tidak boleh di bawa ke Mahkamah. Justeru, tidak hairanlah jika bahasa kesat dan perlakuan yang langsung tidak berakhlak ditunjukkan sekalipun, orang itu tetap ‘tidak bersalah’ selama mana ia berlaku di dalam dewan Parlimen ‘yang mulia’ itu.

Sungguh malang bagi umat Islam yang masih terperangkap dan percayakan sistem demokrasi kufur tinggalan penjajah di bumi Malaysia ini. Mereka percayakan sistem demokrasi berparlimen dan menganggap Parlimen sebagai sebuah tempat yang mulia kerana undang-undang telah memperuntukkan demikian. Namun di ‘tempat yang mulia’ itulah mereka boleh mengeluarkan kata-kata fahsya’ dan kotor, menyumpah seranah sesiapa sahaja tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Kebanyakan umat Islam masih belum sedar bahawa Parlimen adalah pusat maksiat terbesar di Malaysia kerana di situlah tempat manusia membuat undang-undang dengan mengenepikan hak Allah sebagai Satu-Satunya Zat yang layak Membuat Hukum. Dari Parlimenlah lahirnya segala undang-undang yang bertentangan dengan Islam kerana telah diluluskan oleh majoriti manusia yang memaksiati Allah. Parlimenlah yang menjadi punca kepada segala sistem dan undang-undang yang buruk yang ada kerana di situlah undang-undang itu datang. Dengan kata lain, Parlimenlah yang menjadi punca kepada segala maksiat yang ada pada hari ini kerana di situlah undang-undang yang ada digubal, tanpa melihat sedikit pun kepada Al-Quran dan Sunah.

Untuk melihat betapa ‘sopan dan berakhlaknya’ beberapa orang ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya di bawah sistem demokrasi yang dikatakan Islam ini, lihatlah beberapa contoh di bawah. Video-video ini hanyalah secuil dari ‘keindahan’ kebebasan bersuara yang dibenarkan dan diamalkan di bawah sistem demokrasi di Malaysia. Selagi mana sistem demokrasi berparlimen di amalkan di Malaysia, selagi itulah kita akan dapat terus menyaksikan video-video hebat ini...wallahu'alam.




























Filed under having 0 Ulasan  

Kelantan bayar riba RM57.46 juta kepada kerajaan Pusat?

by AURA JIHAD


KOTA BHARU 30 Okt - Mengikut laporan dari harakahdaily, jumlah hutang yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Kelantan sehingga kini adalah sebanyak RM220.26 juta yang telah dibayar oleh kerajaan PAS. Berdasarkan kepada jumlah tersebut RM57.46 juta adalah kadar faedah (bunga) yang dikenakan, manakala jumlah pokok hutang yang dibayar adalah sebanyak RM162.8 juta [harakahdaily.net].

Membayar hutang dengan kadar faedah (bunga) sudah menjadi lumrah di dalam sistem Kapitalis. Istilah ‘kadar faedah’ atau ‘bunga’ yang biasa digunakan dalam sistem perekonomian tidak lain dan tidak bukan adalah ‘riba’ yang telah diharamkan dengan jelas lagi nyata oleh Allah swt. Oleh sebab riba telah begitu sebati dengan sistem Kapitalis yang diamalkan, maka pembayaran riba ke atas hutang/pinjaman walaupun jutaan jumlahnya sekalipun, maka ia tidak lagi dilihat dari aspek halal dan haramnya ataupun dosa dan pahala, namun ia dilihat sebagai jumlah yang ‘wajib’ dibayar, walaupun si pemiutang dan si penghutang tahu bahawa jumlah itu adalah riba yang diharamkan. Kedua-dua mereka tidak lagi memandang bahawa jumlah tersebut sebenarnya ‘haram’ utk diambil atau dibayar.

Malangnya berita sebegini tidak lagi menjadi satu isu sensitif di kalangan kebanyakan umat Islam kerana konsep riba, sama ada mengenakan atau membayar riba, ada di mana-mana dan telah menjadi darah daging masyarakat. Bahkan orang yang berstatus agamawan sendiri tidak sensitif dengan isu sebegini, kerana mereka memandang riba yang dikenakan itu sebagai sebahagian dari ‘hutang’, bukannya sebahagian dari ‘dosa’. Lihat sahajalah umat Islam di sekeliling kita pada hari ini yang membuat pembelian rumah atau pun kereta dengan pinjaman riba, seolah-olah langsung tidak ada kesalahan dan dosa di dalamnya. Walhal Allah SWT secara jelas telah mengharamkan riba dan ada mengancam pelakunya dengan perang. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut), jika benar kamu orang- orang yang beriman. Maka, jika kalau kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah kamu bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu hanyalah pokok hartamu. Kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” [TMQ Al-Baqarah (2):278 -279]

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim dari Jabir ra,

“Rasululllah saw melaknat pemakan riba (yang mengambil riba), yang membayar riba, yang menjadi pencatat dan dua orang yang menjadi saksi dan baginda bersabda, ‘Mereka semua sama”.

Dalam ayat dan hadis di atas serta banyak lagi ayat dan hadis lainnya, haramnya riba itu teramatlah terang lagi bersuluh. Malangnya umat Islam kini sudah melihat riba umpama satu kebiasaan, bukan lagi keharaman. Oleh sebab sistem Kapitalis peninggalan penjajah ini telah mengajar bahawa riba adalah suatu yang ‘wajib’ dikenakan di dalam memberi pinjaman, malah ‘wajib’ pula membayarnya, maka persoalan haram dan jijiknya riba sudah tidak lagi dipandang atau diperhitungkan oleh kebanyakan umat Islam. Malah, sebuah negeri yang ingin menerapkan Islam sekalipun telah terjebak dan tunduk kepada sistem kufur Kapitalis ini.

Kenapa perlu membayar riba? Di manakah nas yang membolehkan kita membayar riba? Sedangkan perintah Allah dan perintah Rasulullah amat jelas memerintahkan umat Islam agar meninggalkan riba. Malah jika masih tidak mahu bertaubat dan meneruskan kerja-kerja maksiat ini, maka Allah dan Rasul telah ‘mengisytiharkan’ perang terhadap pelaku riba. Sesungguhnya di dalam keadaan apa sekalipun, riba tetap haram dan tidak ada ‘keadaan’ yang boleh menjadikan riba itu halal kecuali ada nas yang menyatakannya. Walaupun ada sesetengah golongan menyatakan ia termasuk di dalam ‘dharurat’, namun sebagai umat Islam, kita hendaklah jelas bahawa tidak akan wujud keadaan dharurat kecuali dalam keadaan di mana nyawa seseorang itu terancam jika tidak melakukan keharaman tersebut. Justeru, tepuk dada tanya iman, apakah terdapat ancaman kepada ‘nyawa’ jika tidak membayar riba tersebut?

Dilihat dari sisi yang lain, kenapa boleh berlakunya hutang di antara kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri, ia tidak lain adalah kerana sistem Federasi yang diamalkan di Malaysia hasil dari peninggalan penjajah kuffar. Malaysia, walaupun satu negara, namun sistem Federasi telah membezakan beberapa bidang kuasa di antara pusat dan negeri yang menyebabkan urusan menjaga kebajikan warganegara juga dipisahkan. Di dalam Islam, urusan menjaga kebajikan umat terletak di tangan Negara dan setiap perbelanjaan unit-unit kecil dalam Negara adalah satu, bukannya terpisah-pisah. Di dalam Daulah Islam, wilayah mana sekalipun yang memerlukan bantuan kewangan, maka Daulah akan membantu, malah wajib bagi pusat pemerintahan Daulah untuk membantu, dan jumlah ini bukanlah ‘hutang’, tetapi ‘kewajipan’ yang mesti dilaksanakan.

Uniknya sistem di Malaysia hasil peninggalan bekas penjajah Kapitalis ini adalah wujudnya entiti yang berbeza di antara pusat dan negeri. Bertambah malang apabila ramai di kalangan umat Islam sendiri yang, walaupun menginginkan Negara Islam, tetapi masih tidak tahu/sedar bahawa sistem Federasi ini bukan dari Islam, malah bertentangan dengan Islam. Pemikiran umat Islam seolah-olah sudah terkongkong dan mereka tidak lagi berupaya untuk berfikir di luar kotak (think out of the box). Islam cuba ‘dicampur gaulkan’ dengan sistem demokrasi yang sedia ada, tanpa mereka sedar bahawa Islam mempunyai sistem pemerintahannya yang tersendiri dan sempurna dan jauh berbeza dengan sistem demokrasi yang ada sekarang. Di bawah sistem demokrasi dan federasi ciptaan penjajah kuffar ini, medan perbalahan antara umat Islam semakin membesar apabila parti yang memerintah kerajaan Persekutuan berbeza dengan parti yang memerintah kerajaan negeri, walaupun hakikatnya mereka adalah bersaudara dan berada di bawah satu bumbung pemerintahan.

Justeru, kuasa dan kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan Pusat yang jauh lebih besar dari kerajaan negeri menyebabkan mereka boleh ‘menindas’ kerajaan negeri sesuka hati, apatah lagi kerajaan negeri yang tidak separti dengan mereka. Apa yang kita harapkan adalah agar umat Islam dan kerajaan negeri yang inginkan Islam, sedar akan hakikat ini, bahawa sistem demokrasi dan sistem Federasi ini bukanlah dari Islam, malah bertentangan dengan sistem Islam yakni Sistem Khilafah. Kerajaan Negeri sepatutnya tegas mempertahankan hukum syarak bahawa riba adalah haram dan mereka sepatutnya tidak membayar satu sen riba kepada kerajaan Pusat kerana ianya haram di sisi Islam. Malah konsep ‘hutang’ antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri langsung tidak timbul kerana Islam hanya mengenal ‘satu negara/pemerintahan’ sahaja dan Islam tidak pernah membezakan di antara satu-satu wilayah atau kawasan-kawasan kecil di dalam pemerintahannya. Semuanya merupakan kawasan yang wajib dijaga oleh Khalifah di bawah sumber kewangan yang satu.

Oleh yang demikian, kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri mesti ingat dan takut kepada seksaan Allah terhadap pelaku riba dan mereka wajib menukar kerajaan yang sedia ada kepada bentuk Sistem Pemerintahan Khilafah yang akan menjalankan pemerintahan yang langsung tidak akan ada unsur-unsur riba di dalamnya. Firman Allah,

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian adalah disebabkan mereka berkata: “Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba” padahal Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) dan urusannya terserah kepada Allah. Orang yang mengulangi (perbuatan mengambil riba itu) maka orang itulah adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [TQM al-Baqarah (2):275]

Filed under having 0 Ulasan  

Undian Al-Jazeera: 88.5% percaya Sistem Ekonomi Islam yang paling baik untuk diterapkan di dunia.

by AURA JIHAD

After the outbreak of the global financial crisis, what financial system do you believe it is best for the world to follow? (Setelah krisis kewangan global melanda, sistem kewangan apakah yang anda percaya paling baik untuk diikuti di dunia?)

Begitulah bunyi soalan yang diajukan oleh Al Jazeera. Hasilnya, 88.5% dari 29,486 responden menjawab sistem kewangan Islam. Sedangkan responden yang memilih sistem kewangan Kapitalis hanya 5.0% sahaja dan yang memilih sistem kewangan Komunis sebanyak 6.5%.



Sistem ekonomi Kapitalisme kini sedang karam, setelah sebelumnya sistem ekonomi komunisme berkubur. Kini hanya tinggal Islam sahajalah satu-satunya penyelesaian yang paling ampuh dan bebas dari berbagai krisis. Kapitalisme sekarang benar-benar berada di hujung tanduk dan hanya menunggu masa untuk jatuh tersungkur.

Di saat-saat akhir kejatuhan Daulah Khilafah dahulu, umat Islam terpegun dengan peradaban Barat sehingga mereka telah mengabaikan institusi politik yang telah menaungi mereka berabad lamanya. Kebangkitan Barat yang berideologikan Kapitalisme dilihat sebagai satu kemajuan baru dunia yang diasaskan atas konsep kebebasan. Umat lalu mula meninggalkan Islam dan mengejar kemewahan dunia yang diajar oleh kapitalis dan meninggalkan hukum-hakam Islam serta mengabaikan Khilafah Islam. Setelah kejatuhan Khilafah, peradaban Barat masuk dengan agak drastik ke dalam kehidupan umat Islam dan pandangan hidup umat mula berubah kepada kecintaan kepada dunia. Umat Islam kemudian hilang arah tuju dan mula lupa untuk apakah mereka diciptakan. Kemewahan dunia yang ditawarkan oleh Kapitalis di bawah kebebasan berekonomi membutakan mata mereka kepada akhirat. Lalu, mereka terperosok ke lembah kehinaan kerana telah mengambil Kapitalis sebagai cara hidup dengan meninggalkan Islam.

Namun, oleh sebab adanya ulama dan gerakan-gerakan Islam yang tidak putus-putus berjuang untuk menerangkan kebatilan sistem kufur Kapitalis dan mereka berusaha untuk mengembalikan semula kemuliaan umat di bawah naungan Daulah Khilafah, lama-kelamaan kesedaran mula tumbuh di tubuh umat. Kehinaan yang dialami selama ini sedikit demi sedikit telah menimbulkan kesedaran, sehinggakan umat mula nampak kebobrokan Kapitalis dan mula mencari jawapan kepada seribu macam masalah yang mereka hadapi selama ini. Mereka telah melihat sosialisme menuju kehancuran kerana gagal menyelesaikan masalah manusia. Kejahilan umat terhadap Islam kemudian memerangkap mereka untuk menerima Kapitalisme dan untuk jangka masa yang agak lama, mereka hanyut di dalam arus Kapitalis tanpa mereka sedar bahawa arus ini membawa mereka ke jurang maut.

Kini, setelah ramai yang terkorban di bawah Kapitalisme, barulah umat sedar bahawa ada satu sistem lain yang boleh menyelamatkan mereka. Setelah melihat dengan mata dan kepala sendiri sistem Kapitalis sedang menuju ke lembah maut, umat mula memikirkan untuk mencari penyelamat, dan sudah tidak ada lagi yang boleh menyelamatkan mereka kecuali satu sistem yang datangnya dari wahyu. Kini, umat Islam telah mula menyatakan aspirasi mereka untuk kembali kepada sistem yang benar, yang pernah satu ketika dahulu menjadikan mereka umat yang mulia di kalangan semua manusia. Hanya saja, umat ini perlu dididik dan dipandu kepada kebenaran, kerana telah lama mereka berada di dalam kegelapan. Umat kini perlu dididik dengan cara yang benar bagaimana untuk menegakkan kembali sistem Khilafah, yang satu ketika dulu kehidupan ekonomi mereka begitu sejahtera di dalamnya.

Filed under having 0 Ulasan  

Sistem ekonomi Kapitalis tidak akan pernah membawa keadilan

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 28 Okt – MCA meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing. Naib Presidennya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, ini kerana elemen penting dalam pertumbuhan ekonomi negara kini adalah daya saing yang kuat bagi membolehkan negara berhadapan dengan kesan buruk ekonomi dunia.

Kenyataan beliau di atas dibuat semasa mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melahirkan keyakinan unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi
Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

Kita perlu faham bahawa DEB atau DEN diwujudkan sebagai merit kepada peningkatan atau kawalan perolehan (pendapatan) mengikut quota bangsa. Ia hanya merupakan merit ‘pengagihan kekayaan mengikut bangsa’ tetapi bukannya dasar untuk menjamin kemakmuran ekonomi sesebuah negara. Kemakmuran ekonomi sesebuah negara adalah bergantung kepada konsep dan polisi ekonomi yang diamalkan oleh negara itu sendiri. Konsep dan polisi ini pula terlahir dari pemikiran pemimpin yang memerintah sesebuah negara. Jadi, jika pemikiran pemimpin itu adalah sekular-Kapitalis, maka tentunya sistem ekonomi Kapitalislah yang akan diterapkannya. Manakala jika pemikiran seseorang pemimpin itu adalah Islam, maka sudah pasti sistem ekonomi yang diterapkannya pun Islam.

Jadi, pemimpin yang sekular-Kapitalis hanya akan menggunakan akal mereka semat-mata untuk menyelesaikan segala permasalahan ekonomi yang wujud. Manakala bagi seorang pemimpin Islam, wahyulah yang menjadi panduannya di dalam mengatur urusan ekonomi negara. Bagi sistem ekonomi kufur Kapitalisme, kesejahteraan ekonomi diukur melalui KDNK atau KNK. Ringkasnya, jika pendapatan per kapita di dalam sesebuah negara meningkat maka ekonomi di negara itu dikatakan baik, walhal hakikatnya kekayaan negara hanya dimiliki oleh 20% penduduk manakala 80% lagi hidup melarat.

Pokoknya adalah, akallah yang dijadikan panduan di dalam mengatur urusan ekonomi dan menentukan kesejahteraan, bukannya wahyu. Walhal Islam, dalam mengurusi perekonomian negara, Islam melihat setiap individu secara perseorangan, bukannya secara purata. Maksudnya jika ada walaupun hanya seorang individu di dalam negara tersebut yang tidak cukup makan, maka pemerintah wajib menyelesaikan masalah tersebut (memberi makan kepadanya) dengan segera. Jika diabaikan, maka pemerintah akan berdosa dan akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak dari hal pengurusannya.

Oleh sebab ideologi Kapitalis mengajar bahawa akallah yang menentukan hukum, maka setiap pemimpin yang Kapitalis termasuklah Malaysia mengendalikan ekonomi negara dengan akal masing-masing, bukannya dengan Al-Quran dan Sunah. Justeru, hal ini tentunya akan menimbulkan ketidakadilan, penindasan, peminggiran (diskriminasi), kemiskinan, pengagihan kekayaan yang tidak sama rata dan pelbagai keburukan lainnya.

DEB atau DEN yang dilaksana sejak ia dilancar hanyalah sebagai untuk melindungi bangsa Melayu/bumiputera di dalam bersaing dengan bangsa lain, khususnya Cina. Ironinya, sejak berpuluh-puluh tahun ia dilaksanakan, bangsa Melayu masih ramai yang mundur dan hakikatnya hanya sedikit daripada mereka (khususnya yang menjadi kroni pemerintah) yang menjadi kaya di bawah dasar ini. Sebagai ‘bangsa’ yang ditolong di bawah DEB/DEN, maka tentunya kaum Melayu akan bergembira, namun bagi bangsa lain, hal ini jelas merupakan diskriminasi. Peruntukan quota (merit) berasaskan bangsa amat berisiko diukur dari perspektif kemajmukan masyarakat dan daya saing. Ia juga membuka ruang yang luas kepada gejala kronisme, nepotisme dan rasuah. Selain itu ia turut memberi kesan buruk kepada pemangkin daya pengeluaran serta produktiviti. Selain kedudukan istimewa ini hanya akan mengukuhkan lagi perasaan assabiyyah yang ada pada kaum masing-masing, Kedudukan ini ibarat ‘bom jangka’ yang jika sudah sampai masanya, ia boleh meletup pada bila-bila masa sahaja.

Islam mempunyai kaedahnya yang tersendiri di dalam mengatur urusan ekonomi dan kaedah ini tentunya akan pasti memberi keadilan kepada setiap manusia, kerana ia berasal dari wahyu. Sejak lebih 1300 tahun Khilafah Islam memerintah dunia, terbukti bahawa sistem ekonomi Islam yang diamalkan oleh para Khalifah telah mendatangkan kesejahteraan, bukan sahaja kepada umat Islam, malah kafir zimmi yang berada di dalam Daulah Khilafah. Setiap manusia dipandang sebagai manusia, bukan sebagai ‘bangsa’ dan Islam menyelesaikan masalah ekonomi mereka sebagai seorang manusia, bukannya sebagai ‘bangsa apa’kah dia. Islam cuma membezakan di antara orang Islam dan orang kafir di dalam beberapa bab tertentu, contohnya orang Islam diwajibkan membayar zakat manakala orang kafir mesti membayar jizyah sebagai ketundukan mereka kepada hukum syarak. Sedangkan dalam banyak hal lain, maka hak dan kewajipan setiap warganegara, sama ada Muslim atau Zimmi dalam Daulah Islam adalah sama, tanpa memandang lagi apakah bangsa mereka.

Peluang untuk memanfaatkan kekayaan dalam bentuk barang (goods) ataupun perkhidmatan (services) dibuka kepada semua tanpa dihadkan dengan quota atau merit. Ini adalah kerana pengelolaan harta kekayaan untuk meraih manfaatnya diberi keizinan oleh syarak tetapi sesuai dengan aktiviti-aktiviti yang dibenarkan (halal) sahaja. Siapa pun dibenarkan menjalankan aktiviti pertanian, penternakan, perdagangan, perindustrian, perkhidmatan dan lain-lain selagi mana ia tidak menyalahi hukum syarak.

Jelas di sini bahawa Islam menyajikan sebuah bentuk kehidupan yang sesuai diamalkan oleh setiap manusia, bukan hanya kaum Muslimin sahaja. Wacana ekonominya sangat meluas sehingga manusia dijamin agar keperluan mereka dipenuhi, bukan hanya tertumpu kepada soal pendapatan (keuntungan) suatu pihak seperti negara, bangsa atau golongan tertentu. Peraturan ekonomi Islam juga menjamin kemakmuran dari aspek pengelolaan agar manusia tidak menzalimi sesamanya berbanding dengan Kapitalisme yang sedia ada zalim dalam setiap aspek termasuk membenarkan segala bentuk pengelolaan yang zalim seperti insurans, saham, industri haram dan seumpamanya. Dunia kini menyaksikan kesengsaraan dan kepincangan hidup yang dialami segenap lapisan manusia di seluruh pelosok dunia akibat pengamalan sistem ekonomi Kapitalisme mahupun Sosialis. Nah, belumkah tiba masanya untuk kita mengubah nasib kita dengan kembali kepada sistem ekonomi yang berasaskan wahyu dari Allah Yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui? Say no to Kapitalisme, say yes to Islam...

Filed under having 0 Ulasan  

Zakat untuk orang-orang kafir?

by AURA JIHAD

SHAH ALAM 22 Okt. - Dua anggota pembangkang mempersoalkan langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim yang mencadangkan agar kerajaan negeri menyalurkan sebahagian peruntukan zakat kepada bukan Islam di Selangor. Datuk Dr. Satim Diman (BN-Sri Serdang) dan Abdul Shukur Idrus (BN-Kuang) berkata, soal pengurusan wang zakat tidak harus dibangkitkan oleh mana-mana pihak dan dijadikan isu untuk kepentingan politik. Menurutnya, wang zakat yang dikumpul adalah untuk diagih-agihkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan agama Islam.

Dr. Mohd. Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) membangkitkan perkara itu ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebagai salah satu pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang untuk menangani masalah kemiskinan di kalangan bukan Islam. Beliau menegaskan bahawa ia merupakan soalan (kemusykilan) bukan usul. Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menolak cadangan tersebut dari dilaksanakan dalam negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat ketika ini.

Keseluruhan asnaf yang layak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah hanya kepada orang-orang Islam sahaja. Ia termaktub dengan jelas di dalam Al-Quran,

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan ibnu sabil. (Yang demikian itu) sebagai satu ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” [TMQ At-Taubah (9):60]

Justeru, amat naif sekali pandangan yang menyatakan agar zakat turut diberi kepada orang-orang kafir. Inilah akibatnya apabila konsep keadilan yang sama rata yang terdapat dalam fahaman sosialis ingin diterapkan ke dalam Islam. ‘Keadilan’ di dalam Islam langsung tidak sama dengan ‘keadilan’ yang ada di dalam Ideologi lain. Keadilan dalam Islam bukan bergantung pada kesamaan damal hal material yang dibahagikan kepada seseorang walaupun inilah makna keadilan yang terdapat di dalam Ideologi Sosiallis mahupun Kapitalis.

Islam memandang bahawa dua bahagian kepada anak lelaki dan satu bahagian kepada anak perempuan dalam masalah pusaka adalah adil. Islam memandang bahawa aurat lelaki dari pusat ke lutut dan aurat perempuan adalah keseluruhan anggota badan kecuali tapak tangan dan muka adalah adil. Islam memandang bahawa lelaki boleh kahwin sehingga empat manakala perempuan satu sahaja adalah adil. Dengan kata lain, keadilan di dalam Islam adalah dengan mengikuti setiap perintah dan larangan Allah, walaupun hak dan pembahagian tersebut tidak sama pada pandangan manusia. Hal ini berbeza dengan Ideologi Sosialis mahupun Kapitalis yang mengukur keadilan menggunakan akal.

Dalam Islam, orang Islam diwajibkan zakat, manakala orang kafir diwajibkan membayar jizyah. Pengiraan zakat telah tetap caranya, manakala jumlah jizyah bergantung pada pendapat Khalifah selaku ketua negara. Walaupun jumlah kedua tidak sama, namun ini adalah adil menurut Islam. Islam mengukur keadilan berdasarkan hukum wahyu, bukan hukum akal. Justeru, apa sahaja hukum yang ditetapkan oleh Allah, maka itu adalah adil bagi manusia. Sebagai Muslim, kita mesti ingat bahawa Allah adalah Pencipta Manusia, Pembuat Hukum, Maha Mengatur dan Maha Adil. Oleh itu, apa sahaja yang diputuskan oleh Allah yang berupa hukum-hukum syarak bagi manusia, maka kesemuanya adalah adil. Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia adalah zalim.

Jika direnung dengan teliti, pandangan ini juga merupakan manifestasi dari fahaman liberalisme yang sedang menular di kalangan umat Islam. Ia cuba meliberalkan semua perkara termasuklah hukum-hukum Allah yang qath’ie sifatnya. Idea yang dicanangkan oleh Barat ini telah mendapat tempat di kalangan orang-orang Islam yang jahil dan jauh dari Islam. Oleh kerana kejahilan di kalangan umat Islam itu sendiri, maka fahaman dan pemikiran asing yang merosakkan Islam boleh bercambah dengan suburnya. Hukum akal didewakan oleh golongan ini, manakala hukum wahyu ditinggalkan. Malang sungguh bagi umat Islam kerana di kalangan mereka, terdapat golongan seperti ini yang menjadi pemimpin.

Filed under having 0 Ulasan  

Demokrasi melindungi kepentingan rakyat?

by AURA JIHAD

Ketika ahli Parlimen Sepang yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berucap pada majlis penyampaian bantuan Deepavali kepada lebih 400 penduduk keturunan India di sekitar Tanjung Sepat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Teluk Merbau 22hb Oktober lepas, beliau menyatakan bahawa kerajaan akan terus melindungi kepentingan majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini daripada ancaman pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Menurutnya lagi, kumpulan majoriti mesti dipertahankan daripada kumpulan minoriti yang cuba hendak menggugat keamanan kerana ia adalah prinsip asas demokrasi.

Mungkin kumpulan minoriti yang dimaksudkan itu adalah Hindraf dan juga kumpulan-kumpulan lain yang tidak berpuas hati dengan kerajaan. Kumpulan mana sahaja yang mengkritik kerajaan biasanya akan dianggap sebagai ‘menggugat keamanan negara’. Seperkara lagi, kumpulan-kumpulan yang mengkritik kerajaan ini juga akan dianggap sebagai menentang ‘demokrasi’ yang dianggap suci yang menjadi amalan negara sejak sekian lama. Justeru, apa sahaja tindakan mana-mana kumpulan yang menentang kerajaan akan dikatakan tidak demokratik dan akan ditafsirkan sebagai menggugat keamanan.

Inilah hakikat demokrasi yang disucikan oleh ramai orang, apatah lagi pemerintah dalam sistem sekarang. ‘Demokrasi’ akan digunakan oleh pemerintah untuk melabelkan siapa sahaja yang mereka tidak suka sebagai ‘melanggar prinsip demokrasi’. Dan apabila prinsip suci ini dilanggar, maka setiap orang akan menjadi bersalah dan akan dihukum.

Idea asal demokrasi adalah memberi hak kepada setiap orang untuk bersuara dan berkumpulan. Namun oleh sebab demokrasi ini hanyalah diletakkan di bawah ketiak kerajaan, maka terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat pelbagai tafsiran mengenainya. Walaupun mereka menafikan hak rakyat untuk bercakap, berhimpun, menubuhkan kumpulan dan sebagainya (yang sebenarnya dibolehkan dalam sistem demokrasi), namun mereka tetap menyatakan tindakan mereka menghalang semua ini sebagai demokratik. Kerana apa? Kerana ‘definisi’ demokrasi adalah di tangan mereka dan mereka memiliki hak mutlak untuk menafsirkannya.

Justeru, mana-mana individu atau kumpulan yang mereka tafsirkan sebagai membahayakan demokrasi, maka individu atau kumpulan terbabit biasanya akan ditangkap, termasuklah para pejuang Islam yang ingin menegakkan agama Allah. Walaupun tanpa bukti yang para pejuang Islam ini menimbulkan kekacauan, ketidakstabilan atau keganasan, namun oleh sebab tindakan mereka mengkritik kerajaan, maka ini dikatakan boleh menimbulkan huru-hara dan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Hakikatnya demokrasi bukanlah memberi kesejahteraan kepada rakyat tetapi hanya memberi kesejahteraan kepada pemerintah. Demokrasi memberi kebebasan sepenuhnya kepada pemerintah untuk sewenang-wenangnya menggubal pelbagai undang-undang dan peraturan, hatta sezalim mana sekalipun undang-undang tersebut, selagi mana majoriti ahli-ahli parlimen menyokongnya, maka ia akan diluluskan. Dengan inilah wujudnya, ISA, OSA, AUKU, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi akta-akta lain yang bertentangan sama sekali dengan Islam yang mereka luluskan demi membendung mana-mana orang atau kumpulan dari mengkritik kerajaan. Inilah hakikat demokrasi yang disucikan oleh kerajaan kerana dapat menjaga ketamakan, kerakusan dan kezaliman mereka terhadap rakyat.

Jadi, kepentingan siapakah yang sebenarnya dilindungi oleh demokrasi, rakyat atau kerajaan? Kerajaan kononnya mengatakan bahawa mereka akan memastikan kepentingan majoriti rakyat dilindungi tetapi pada masa yang sama hak rakyat dirampas sewenang-wenangnya. Kepentingan dan hak rakyat ke atas hasil minyak, gas, balak dan hasil bumi lainnya, semuanya telah dikaut oleh pemerintah dan pemerintah menjadi kaya raya kerananya, manakala rakyat terus merana. Bila rakyat bersuara ingin menuntut hak mereka, dengan kata lain mengkritik kerajaan kerana hak mereka telah dirampas, maka perbuatan rakyat ini akan terus dicop sebagai melanggar prinsip demokrasi. Inilah keindahan demokrasi yang dinikmati oleh kerajaan dan rakyat yang masih belum sedar bahawa demokrasi hanyalah sebuah sistem kufur yang diwariskan dari penjajah terus menerus berusaha memperjuangkannya, walhal mereka senantiasa dalam keadaan ditipu dan ditindas oleh pemerintah, atas nama demokrasi!

Filed under having 0 Ulasan  

Menunggu Mac 2009 - Musim bercakaran sesama UMNO

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 23 Okt - Hampir setiap hari akhbar kini memaparkan pergolakan dan pertiakian lidah antara ahli-ahli UMNO. Tidak sekadar itu, kes-kes pergaduhan, kutuk-mengutuk, baling kerusi, demonstrasi, boikot, fitnah-memfitnah, rasuah dan pelbagai kemungkaran lain turut dilaporkan berlaku sepanjang mesyuarat UMNO sekarang.

Terbaru, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menganggap saranan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya semua jawatan tertinggi parti Umno dipertandingkan secara 'tender' sebagai menghina parti Melayu terbesar itu. Beliau berkata, gejala politik wang tidak akan dihapuskan melalui sistem itu, malah menenggelamkan amalan demokrasi kerana hanya yang mempunyai wang yang banyak yang dapat menguasai parti. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu secara berseloroh berkata, jika beliau diminta menilai Rais secara tender maka nilai yang akan diberikan kepadanya hanya RM1.

Setiap kali berlangsungnya pemilihan parti, haru biru UMNO jadinya dengan kerenah dan gelagat ahli-ahli parti yang berebut ingin bertanding. Apa tidaknya, kemenangan akan menjanjikan seribu satu kemewahan, siapa tidak mahu? Inilah hakikat UMNO yang masih berpegang erat dengan politik Kapitalis. Bau busuk politik kufur sekular tercium di seluruh Malaysia, apatah lagi di dalam UMNO itu sendiri. Dari dalam, bau busuk yang menerjah hidung ahlinya sendiri sudah tidak lagi dapat mereka tahan. Segala kemungkaran yang berlaku ini ibarat orang yang membuka pekung kudis dan nanah di badannya sendiri. Apabila terbuka maka keluarlah segala macam bau busuk yang meloyakan, yang selama ini ditutupi oleh baju yang cantik bergaya dan mahal harganya.

Inilah kesan dan akibatnya apabila pemikiran politik sekular kapitalisme membelenggu cara fikir ahlinya. Para pemimpinnya sendiri sudah naik muak dan jijik dengan apa yang berlaku apatah lagi orang luar yang memerhatikan sepak terajang permainan politik mereka. Penyakit rasuah yang dibungkus dengan jenama politik wang masih tidak dapat dibebaskan dari UMNO. Setiap kali naiknya seorang pemimpin UMNO, termasuklah Pak Lah sendiri, setiap kali itulah kita mendengar mereka ingin menghapuskan rasuah. Namun setiap kali itulah kita menyaksikan indeks rasuah dan gejala rasuah semakin berleluasa. Jika Pak Lah gagal membendung aktiviti haram dan keji ini di dalam parti yang dipimpinnya sendiri, bagaimanakah dia ingin menghapuskannya dalam kerajaan yang dipimpinnya?

Sampai bilakah agaknya pemimpin dan orang-orang UMNO akan sedar dan bertaubat dari segala keburukan yang mereka lakukan ini? Adakah mereka hanya akan terhantuk bila telah disepak keluar dari UMNO seperti apa yang berlaku ke atas Anwar Ibrahim? Mungkin juga. Apa yang pasti ialah, selama mereka masih menikmati ‘manfaat’ dari UMNO, walau busuk macam mana sekalipun parti assabiyyah ini, mereka akan tetap sanggup bersamanya.

Persoalan untuk kita umat Islam adalah, bagaimana mungkin kita akan mendapat rahmat atau kebaikan apabila golongan yang memimpin kita ialah golongan yang terkenal dengan politik wang, rasuah, suka memfitnah, bergaduh, menghentam sesama sendiri dan hanya mementingkan kepentingan peribadi? Apakah kebaikan yang kita harapkan dengan adanya pemimpin yang merasuah rakyat untuk menjadi pemimpin? Sebagai Muslim, anda pasti ada jawapannya!

Kita hendaklah sedar bahawa Allah swt menjanjikan kita sebagai umat yang terbaik, dengan syarat kita melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar,

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3):110].

Justeru, apabila umat Islam itu melakukan kemungkaran dan mencegah kebaikan dan mereka tidak beriman kepada Allah, maka mereka akan menjadi umat Islam yang terhina. Allah telah menghina golongan ini dunia dan akhirat,

“Apakah kamu hanya beriman kepada sebahagian (dari isi) Al-Kitab dan kufur akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan dimasukkan ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai dengan apa yang kamu lakukan.” [TMQ al-Baqarah (2):85]

Pemimpin-pemimpin UMNO yang rata-ratanya adalah pemimpin Malaysia perlu bertanya diri mereka, apakah mereka telah menerapkan isi Al-Quran, apakah mereka telah menerapkan hududullah? Ternyata, mereka bukan sahaja tidak menerapkan hukum Allah, malah mereka berbangga menerapkan hukum kufur yang mereka luluskan dengan cara majoriti di bawah sistem demokrasi! Alangkah besarnya kemungkaran yang mereka lakukan! Inilah hakikat politik mereka. Mereka bukannya mencontohi aktiviti politik yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, sebaliknya mereka mengikuti jejak langkah politik Abu Jahal, Abu Lahab, Walid bin Mughirah, Utbah bin Rabi’ah dan sekutu-sekutu mereka. Apabila kita menasihatkan mereka dengan Islam, maka mereka sombong, mereka menjadi marah, malah mereka memantau, menangkap, menyeksa dan memenjara golongan yang menyuruh mereka menerapkan Kitabullah. Alangkah hinanya mereka!

Filed under having 0 Ulasan  

Polemik Sultan Murka: Sebuah Manipulasi Berita

by AURA JIHAD


KOTA BHARU 21 Okt – Speaker DUN Kelantan, Ustaz Nasaruddin Daud memberikan peluang sehari kepada Berita Harian untuk menarik balik kenyataan Akhbar Berita Harian semalam yang bertajuk Sultan murka kerajaan PAS gagal tadbir Kelantan. Dalam artikel ini kelihatan Berita Harian cuba memanipulasi titah ucapan Sultan Kelantan kepada kerajaan negeri yang dipimpin PAS, untuk menghentam PAS yang pada pandangan mereka gagal mentadbir kerajaan negeri. Hentaman dan propaganda Berita Harian ini cuba ‘dilapik’ mereka dengan titah ucapan Sultan.

Mungkin Berita Harian cuba memulangkan paku buah keras kerana sebelum ini PAS dilihat menyerang Kerajaan Pusat dengan kenyataan Sultan Kelantan melalui tulisan yang bertajuk Sultan tegur kerajaan pusat lambatkan projek pembangunan di Kelantan. Isu itu tidak dijawab oleh kerajaan Pusat, tetapi kemudian Berita Harian kini cuba menyerang balik PAS dengan penulisan yang hampir sama. PAS bagaimanapun terus merespon kepada serangan ini dengan meminta Berita Harian menarik balik laporan. Berita Harian pula hari ini memuatkan satu penulisan untuk melawan balik dan mempertahankan kebenaran dengan tulisan Tajuk berita titah Sultan dibantah.

Bermula dengan pertikaman pena, kemudian pertikaman lidah dan tidak mustahil boleh membawa kepada mahkamah, semuanya kerana teknik penyampaian/penulisan berita dalam Sistem Kapitalis yang cuba untuk menjatuhkan satu sama lain, walaupun penulisnya beragama Islam dan bersaudara. Berita sering dimanipulasi sedemikian rupa untuk menutup kelemahan sendiri dan mencari kelemahan orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan pihak lawan.

Perseteruan yang melibatkan dua kerajaan ini (kerajaan negeri dan kerajaan pusat) hanyalah menyebabkan rakyat menjadi mangsa, ibarat kata pepatah gajah sama gajah berlawan, kancil mati di tengah-tengah. Siapa tak tahu yang rakyat Kelantan sering di anak tirikan oleh Kerajaan Pusat dengan tidak memberi atau pun melambat-lambatkan segala projek atau pemberian geran dan sebagainya, semata-mata kerana yang memimpin Kelantan adalah mereka yang datang dari parti yang berbeza dari kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat seolah-olah memberitahu bahawa inilah padahnya jika kamu mengundi selain UMNO/BN. Inilah hakikat sebuah parti sekular yang sememangnya tidak akan dapat bekerjasama dengan sebuah parti Islam.

Sistem demokrasi telah mengajar bahawa yang memimpin kerajaan adalah parti politik. Oleh itu, mana-mana parti yang memimpin sudah secara tabiinya akan mengutamakan rakyat yang merupakan ahli partinya dari ahli parti lain. Mereka memandang dan melayan ahli-ahli dari parti lain seolah-olah seperti ‘musuh’, walaupun akidah keduanya adalah sama-sama Islam. Kerana cara berfikir yang salah inilah yang telah menyebabkan rakyat yang tidak separti dengan pemerintah terabai.

Sedangkan Islam mengajar bahawa kewajipan seorang pemimpin adalah untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengatur hal ehwal mereka, tidak kiralah parti apa yang dimasuki rakyatnya, atau yang tidak mempunyai parti atau bahkan jika rakyatnya kafir sekalipun. Selama mana mereka adalah rakyat, maka kewajipan bagi pemimpin/pemerintah untuk menjaga mereka. Sabda Rasulullah saw,

“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya” [HR Muslim]

Menurut Imam Nawawi dalam Syarah Muslimnya, perkataan al-ra’i dalam hadis ini bermaksud pemimpin atau pemelihara yang diberikan amanah dan tegas dalam menjalankan amanahnya sebaik mungkin bagi memastikan kebaikan, keselamatan dan kesejahteraan apa yang diamanahkan kepadanya sama ada dari segi kehidupan keduniaan dan keagamaan atau keakhiratan dan lain-lain perkara yang bersangkutan dengan kedua-duanya.

Justeru, bukanlah tugas pemimpin (sama ada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat) membuat laporan-laporan akhbar yang boleh menipu rakyatnya sendiri, atau memutar belit berita yang boleh mengelirukan atau pun berpolemik dengan berita, apatah lagi melaporkan berita yang boleh menyebabkan pergaduhan sesama umat Islam.

Islam memandang penting akan berita-berita yang dilaporkan sehingga Allah SWT menyeru kita agar melakukan pemeriksaan rapi terhadap berita yang kita dengar. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan" [TMQ al-Hujurat (49):6]

Justeru, kita sepatutnya keluar dari polemik yang boleh memecahbelahkan lagi sesama umat Islam dan kita sepatutnya bersama-sama berusaha untuk menyatukan umat Islam di bawah satu pemerintahan dengan menegakkan kembali Sistem Khilafah. Hanya dengan ini sahajalah, maka tidak akan wujud lagi konsep ‘kerajaan negeri’ dan ‘kerajaan pusat’ yang menjadi amalan dalam sistem federasi di Malaysia yang telah ditinggalkan penjajah kuffar ini.

Filed under having 0 Ulasan