Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

Al-Quran bakal tersimpan di hotel

by AURA JIHAD

Beberapa hari lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa sebanyak 50,000 naskhah al-Quran dan terjemahannya bakal dicetak untuk ditempatkan di bilik-bilik hotel seluruh negara tidak lama lagi. Sebagai permulaan naskhah al-Quran tersebut akan ditempatkan di hotel-hotel bertaraf lima bintang, ujarnya. Katanya lagi, usaha penyebaran dakwah kepada penginap hotel itu telah mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia (MAH).

''Pendekatan sebegini bertujuan menyebarkan ajaran Islam kepada para pelancong untuk membolehkan mereka memahami dan mengkaji isi kandungan Islam itu sendiri. Jika selama ini kita tahu adanya kitab Injil diletakkan dalam bilik hotel, apa usaha kita pula untuk menempatkan al-Quran untuk memberi informasi kepada mereka bahawa Islam menganjurkan keamanan bukan keganasan," katanya.

Sekali imbas memanglah bagus usaha dakwah yang cuba dijalankan oleh kerajaan ini. Namun persoalannya efektifkah bentuk dakwah begini? Bagaimana dengan suasana sekitaran yang langsung tidak mengikut Al-Quran, bahkan di hotel itu sendiri seperti hidangan arak, hiburan yang menggaulkan lelaki-wanita ajnabi, peluang-peluang zina dan sebagainya? Bagi mereka yang pernah ke hotel, apatah lagi hotel lima bintang, semua orang akan tahu bahawa pelbagai jenis arak biasanya sudah sedia tersimpan di dalam setiap bilik hotel. Amat pelik sebuah negara Islam Hadhari yang cuba meletakkan Al-Quran di dalam laci bilik hotel yang mana di dalam peti sejuk di sebelah laci tersebut dipenuhi arak yang mahal-mahal.

Kenapa tidak ada ‘usaha dakwah’ untuk membersihkan hotel dari arak, supaya pelancong yang datang ke Malaysia tahu bahawa Malaysia berpegang teguh dengan Islam dengan tidak membenarkan arak dihidangkan secara terbuka di hotel-hotel. Kenapa tidak ada usaha dakwah yang sebenar untuk menghapuskan hiburan, night club atau apa sahaja aktiviti maksiat yang selama ini dibenarkan di hotel-hotel, namun diwujudkan pula ‘usaha dakwah’ untuk meletakkan Al-Quran di dalam keadaan tersimpan kemas di dalam laci-laci dengan tujuan agar pelancong-pelancong ini mengenal Islam?

Sesungguhnya Al-Quran merupakan risalah dari Allah Azza wa Jalla kepada umat manusia sebagai panduan hidup. Ia mengandungi peraturan hidup yang lengkap bagi seluruh umat manusia, bukan sekadar kaum Muslimin. Bagi umat Islam, Al-Quran wajib diimani terlebih dahulu sebelum setiap ajarannya difahami, di amal dan disebar-luaskan. Al-Quran bukan sekadar tulisan atau bahan bacaan seperti yang difahami oleh golongan kafir dan sekular, bahkan ia tidak setaraf Injil (apatah lagi sesudah ia diubahsuai oleh tangan-tangan kafir), malah penurunan Al-Quran itu sendiri telah mengalahkan/menghapuskan semua ajaran yang terkandung di dalam kitab selainnya. Firman Allah,

“Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengatasi kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran...” [TMQ al-Ma’idah (5):48]

Penurunan Al-Quran adalah untuk umat manusia berhukum dengannya, tidak kira Muslim mahupun kafir. Dalam sebuah Negara Islam, hukum Al-Quran bukan sahaja wajib dilaksanakan ke atas orang-orang Islam malah wajib dilaksanakan ke atas orang kafir sekalipun. Ajaran Islam yang terkandung di dalam Al-Quran wajib dizahirkan di dalam kehidupan individu, masyarakat mahupun negara. Barulah ia menunjukkan izzah (kemuliaan) Islam dan umatnya. Sekali gus, Al-Quran itu mampu merubah dunia dan mengajak manusia memeluk deen suci ini dan menjadi adidaya dunia menggantikan ideologi-ideologi/agama-agama rosak yang wujud tatkala ini.

Usaha untuk mencetak 50,000 Al-Quran amatlah bagus namun motifnya hendaklah selari dengan ajaran Al-Quran itu sendiri yakni mestilah agar segala isi kandungannya dipelajari, difahami, diamalkan dan disebar luaskan, bukan hanya sekadar untuk 'disimpan' kemas dihotel namun ajarannya 'dibuang'. Janganlah hendaknya ada motif lain dari itu, apatah lagi jika ada motif untuk memberi kekayaan kepada syarikat yang bakal mencetaknya atau hanya untuk ‘menunjukkan’ bahawa Malaysia adalah sebuah kerajaan Islam kerana Al-Quran berjaya telah diletakkan di hotel-hotel setelah lebih 50 tahun merdeka!

Filed under having 0 Ulasan  

Terputus bekalan elektrik, rakyat terus ditindas,oh KERAjaan Bee End

by AURA JIHAD

Disebabkan keengganan 39 pemilik bangunan memberikan kerjasama, hampir 6.5 juta isi rumah di seluruh negara kemungkinan menghadapi krisis terputus bekalan elektrik seperti yang berlaku pada 13 Januari 2005. Ini kerana sikap pemilik bangunan itu menyebabkan projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) bernilai RM324 juta milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dapat disiapkan [Utusan Malaysia 21/11/2008].

Akibat nila beberapa titik maka rosaklah susu sekawah. Kenapakah orang lain yang tidak bersalah harus ‘dibebankan’ dengan penderitaan? Walau apa jua alasan yang diberikan Tenaga Nasional Berhad (TNB), ia sudah tentu hanya menguntungkan kelompok Kapitalis manakala segala beban kerugian dipulangkan kepada rakyat. Padahal, setiap rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan elektrik tanpa mengira sama ada dia itu beragama Islam atau bukan. Jadi, mengapa disebabkan segelintir kecil pihak yang enggan membayar dan TNB pula tidak mahu kerugian, maka beban kerugian diserahkan kepada rakyat. TNB sebagai sebuah badan Kapitalis, dan sebagai sifat badan Kapitalis, mereka tentunya tidak mahu kerugian walau satu sen pun. Persoalan sama ada elektrik hak milik umum (al-milkiyyah al-ammah) atau hak milik negara (al-milkiyyah al-daulah) tidak pernah mereka pedulikan. Ini kerana Kapitalis mengajar bahawa elektrik boleh dimiliki oleh mana-mana individu di dalam negara yang mempunyai modal yang besar (Kapitalis) dan mereka boleh mengenakan sebanyak mana bayaran yang mereka suka.

Masalah seperti ini sudah berulang kali berlaku dan yang jadi mangsanya adalah rakyat. Berapa banyak rumah yang bergelap kerana tidak mampu membayar bil elektrik? Kita tentu masih ingat kejadian kebakaran pada pukul 3 pagi, 9hb Ogos 2007 yang berlaku di Kluang, Johor yang mengorbankan lima sekeluarga yang berpunca daripada api lilin kerana keluarga tersebut tidak mampu membayar bil elektrik. Adakah kerajaan begitu buta atau sengaja menutup mata atas kejadian yang berlaku? Atau kerajaan menunggu lebih banyak lagi kematian yang berlaku seumpama kes di Kluang itu, barulah kerajaan akan membuka mata?

Para kelompok kapitalis yang kebanyakannya adalah pemimpin negara atau kroni mereka menjadi begitu berkuasa menguasai segala infrastruktur perkhidmatan yang seharusnya diberikan percuma kepada rakyat. Lebih teruk lagi, perasaan simpati langsung tidak wujud di dalam benak para penghisap darah rakyat ini. Pada pandangan mereka, itu adalah suratan dan hidup mesti diteruskan. Inilah sebahagian daripada akibat penerapan sistem kehidupan kufur pada hari ini. Walhal menurut Islam, elektrik adalah termasuk di dalam kategori al-milkiyyah al-ammah yang mesti diberikan kepada rakyat dengan percuma atau dengan kata lain, ditolak dengan harga kos. Puak Kapitalis yang menguasai segala infrastruktur ini tidak pernah memikirkan semua ini dari perspektif Islam, bagi mereka atau apa yang mereka tahu hanyalah, mereka tidak boleh rugi satu sen pun dengan elektrik yang diperniagakan kepada rakyat ini. Inilah dasar Kapitalis!

Justeru, belumkah tiba masanya perubahan yang mendasar dilakukan untuk kita membuang sistem sekular ini dan kembali kepada sistem Islam? Adakah cukup kita sekadar berserah kepada kezaliman? Bukankah ganjaran orang-orang yang memperjuangkan syariat Allah itu jauh lebih baik berbanding mereka yang hanya berpeluk tubuh? Mana satukah pilihan kita, mati kerana dizalimi atau mati kerana menentang kezaliman?

Filed under having 0 Ulasan  

Polis tak lemah semangat kritikan pembangkang

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, polis tidak pernah lemah semangat apabila berdepan kritikan yang memperlekehkan kredibiliti pasukan itu oleh pelbagai pihak termasuk parti pembangkang. Menurutnya, tindakan pihak terbabit tidak sedikit pun melenturkan semangat anggota pasukannya, malah mendorong mereka untuk lebih bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab untuk menjamin keselamatan awam dan ketenteraman negara.

Kata beliau, pasukan polis juga tidak pernah berkecil hati dengan kritikan-kritikan dan kenyataan memperlekehkan pasukan polis sebaliknya pegawai dan anggota-anggota meneruskan tugas harian seperti biasa. Katanya, tidak sepatutnya ada pihak yang cuba mempolitikkan isu kredibiliti pasukan polis sedangkan pihaknya sentiasa bertungkus-lumus setiap masa menjaga keselamatan dan ketenteraman negara.

"Adakah adil untuk mereka mengkritik sehingga seolah-olah polis mengabai tugas mereka? Pegawai dan anggota saya bertugas siang malam, malangnya pengorbanan mereka tidak dihargai sebaliknya dikutuk. "Ahli-ahli politik sentiasa mempunyai pandangan mereka tersendiri, kalau mereka rasa polis tiada kredibiliti, kita pun tidak boleh buat apa-apa. Yang penting, kita laksanakan tugas kita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Musa diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam Utusan Malaysia hari ini yang meminta semua pihak terutama parti pembangkang supaya jangan memperlekeh kredibiliti pasukan keselamatan. Syed Hamid turut menyelar tindakan wakil rakyat parti-parti terbabit yang cuba meraih populariti dengan cara mengutuk anggota polis serta menyifatkan tindakan mereka sebagai tidak munasabah. Menurut beliau, kejayaan pihak polis tidak pernah dipuji pembangkang namun hanya kutukan demi kutukan dilemparkan.

Sumber: Utusan Malaysia

Ulasan:

Baguslah jika pihak polis tidak pernah lemah semangat, kalau mereka lemah semangat lagi meningkatlah kes jenayah yang sudah pun semakin meningkat ini. Segala kritikan yang dilemparkan haruslah dilihat dari aspek positif dan negatif. Jika yang dilontarkan itu adalah satu kritikan, dan bukannya satu fitnah, maka ia seharusnya dilihat dan diperhalusi untuk diperbaiki (jika benar). Namun, jika apa yang dilontarkan itu adalah satu fitnah semata-mata, maka pihak polis haruslah memperbetulkan keadaan dengan memberikan bukti-bukti yang meyakinkan bahawa hal itu hanyalah satu fitnah sahaja. Dan pihak polis juga hendaklah mengingatkan pihak yang berkenaan agar takut kepada azab Allah dengan fitnah yang mereka lontarkan itu.

Semua orang tidak mempertikaikan tugas mencabar pihak polis di dalam mencegah jenayah, malah orang ramai sangat-sangat mengharapkan respons yang cepat dan cekap dari polis di dalam menangani kes-kes jenayah, apatah lagi kes-kes jenayah berat. Namun apa yang dikesalkan adalah sikap ketidakprofesionalan pihak polis di dalam menjalankan kewajipan mereka, dan melalaikan banyak tanggungjawab mereka sehingga kadar jenayah semakin meningkat dari hari ke hari.

Juga, amat dikesalkan apabila pihak polis menjadi pihak yang cepat dan cekap di dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa, malah berapa ramai dari kalangan pihak atasan PDRM yang telah pun dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah yang melibatkan hingga jutaan ringgit. Dari polis trafik jalanan yang sanggup menerima puluhan ringgit suapan, hinggalah ke pegawai kanan yang memakan jumlah suapan yang lebih besar, semua orang tahu bahawa ramai dari kalangan anggota polis yang tabiatnya menyapu bersih apa sahaja ‘makanan neraka’ yang disuapkan kepada mereka. Di dalam kes ini, kita tidak hanya menyalahkan polis yang menerima suapan, tetapi mereka yang menyuap pun dua kali lima sahaja. Namun, alangkah mulianya jika pihak polis menolak dan terus menangkap pemberi rasuah tersebut dan mengingatkannya mereka bahawa apa yang cuba dilakukan itu adalah suatu dosa besar yang akan diazab oleh Allah di akhirat kelak.

Juga, kita amat dikesalkan apabila pihak polis hanya menjadi alat kerajaan, diperguna dan diperkuda sedemikian rupa oleh kerajaan, malah mereka pula sanggup dan merelakan diri mereka dipergunakan, untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap golongan yang dibenci kerajaan khususnya pihak pembangkang, walaupun pihak pembangkang tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tindakan pihak polis di dalam menembak orang yang melakukan demonstrasi aman, menghalang demonstrasi, ceramah dan sebagainya yang dijalankan dengan aman, semua ini hanya menunjukkan bahawa pihak polis ibarat kuda tunggangan yang setia. Tidak hairanlah jika ramai pihak yang membenci dan menganggap polis ini tidak lebih dari ‘anjing kerajaan’ dek ketaatan kepada kerajaan yang membabi buta dalam apa jua tugasan mereka.

Yang lebih dikesali adalah tindakan pihak polis di dalam menangkap golongan-golongan pendakwah di jalan Allah. Golongan pendakwah yang berdakwah tanpa permit, berceramah tanpa permit, menyebarkan risalah tanpa permit, mengadakan perhimpunan tanpa permit dan sebagainya sering menjadi mangsa tangkapan pihak polis, walhal pihak polis itu sendiri tahu bahawa apa yang dilakukan oleh pendakwah berkenaan langsung tidak salah, malah wajib di sisi Islam. Namun, oleh sebab melanggar undang-undang negara yang dibuat oleh Lord Reid atau dibuat oleh manusia di Parlimen/DUN dan mungkin pula terdapat unsur-unsur mengkritik kerajaan di dalam ceramah atau risalah yang disebarkan, maka pihak polis dengan tunduk dan patuh menjalankan perintah kerajaan, walaupun bertentangan dengan perintah Allah sekalipun.

Tidak ada pihak yang akan marah jika polis menjalankan tugas menangkap penjenayah atau benar-benar menjaga keamanan, namun siapa yang tidak marah apabila orang yang ingin menegakkan Islam juga turut ditangkap oleh polis, seolah-olah mereka ini pun penjenayah juga. Tindakan pihak polis yang sering melanggar perintah Allah kerana patuh dan taat kepada perintah kerajaan inilah yang sering menjadi kemarahan parti pembangkang yang tidak lain tidak bukan hanya mahu menerapkan Islam, namun dihalang oleh polis. Masyarakat juga turut mencemuh tindakan maksiat yang dijalankan oleh polis ini.

Semoga polis-polis kita sedar dan bertaubat bahawa apa yang mereka lakukan dengan menghalang orang-orang yang ingin menegakkan kebenaran/Islam akan diperhitungkan oleh Allah satu per satu di akhirat kelak. Semoga mereka sedar bahawa kaki mereka tidak akan berganjak sedikit pun untuk ke syurga atau ke neraka hinggalah Allah Azza Wa Jalla menghisab keseluruhan amal mereka, termasuklah dosa-dosa mereka yang menghalang dari ditegakkan hukum-hukum Allah secara kaffah di dunia, hanya semata-mata kerana mereka mengikut perintah kerajaan yang sekular lagi zalim yang tidak berhukum dengan hukum Allah.

Filed under having 0 Ulasan  

Kemiskinan masih tidak mendapat perhatian serius kerajaan

by AURA JIHAD

TASEK GELUGOR 16 Nov. - Golongan berpendapatan rendah perlu menggunakan kemahiran dan kebolehan masing-masing bagi membantu meningkatkan taraf hidup sekali gus keluar daripada garis kemiskinan. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerajaan telah menyediakan pelbagai jenis bantuan termasuk ilmu kemahiran bagi membolehkan golongan itu memperbaiki kehidupan mereka [Utusan Malaysia].

Sekali imbas nampak macam ada kebenarannya kata-kata Menteri Kewangan Kedua ini. Memanglah jika kita berpijak pada realiti, industri pendidikan teknik dan vokasional kebangsaan yang cenderung kepada aliran kemahiran (praktikal) telah melahirkan ribuan graduannya. Tak kurang, institusi pengajian tinggi teknikal dan teknologi juga melahirkan para siswazah yang berkebolehan dalam kemahiran. Namun persoalan asasnya adalah, apakah peluang-peluang yang boleh diraih untuk meningkatkan taraf hidup mereka jika ‘peluang-peluang pekerjaan’ itu tidak wujud? Atau ianya amat sedikit sekali disediakan oleh kerajaan, atau kewujudannya hanya diperuntukkan kepada kroni dan pihak yang lebih berkepentingan?

Setelah menyediakan beberapa pusat kemahiran, kerajaan nampaknya boleh cuci tangan dengan kemiskinan yang masih wujud, dan golongan miskin ini kena mencari inisiatif sendiri untuk menambah pendapatan. Dasar ‘lepas tangan’ oleh kerajaan kapitalisme seperti Malaysia ini dan dalam masa yang sama meluahkan kata-kata ‘motivasi’ serta ‘nasihat’ kepada golongan miskin, berpendapatan rendah serta kurang upaya sebenarnya adalah suatu perkara lama yang sudah basi. Di mana-mana sahaja saranan seperti ini kedapatan. Para pemimpin kerajaan kapitalisme ini hanya meluahkan buah fikiran sekadar melepas batuk di tangga, namun tidak pernah serius untuk mengatasi masalah kemiskinan. Kemiskinan sebenarnya tidak masuk dalam agenda perjuangan mereka melainkan jika ia boleh menaikkan lagi ‘status dan jawatan’ mereka di tengah-tengah masyarakat.

Bukan kita tak sedar jumlah pengangguran yang wujud ketika ini, dan masalah jenayah yang terhasil darinya hasil dari keperluan manusia untuk meneruskan hidup. Ia sungguh membimbangkan kerana peluang pekerjaan tidak disediakan secukupnya oleh pihak berwajib. Golongan berkemahiran tidak diberi peluang memanfaatkan kemahiran mereka dalam sektor industri ringan mahupun berat demi meningkatkan taraf hidup mereka, apatah lagi bagi golongan yang miskin dan kurang upaya. Nyata sekali seruan untuk mengubah taraf hidup golongan miskin dan kurang upaya sangat jauh dari nyata. Walhal menurut hukum Islam, sekiranya terdapat pengangguran di dalam negara, maka kewajipan ketua negara adalah menyediakan lapangan pekerjaan yang secukupnya.

Di tambah pula krisis ekonomi yang bakal melanda menjadi parah tidak lama lagi, kos sara hidup, peningkatan harga komoditi dan perkhidmatan membayangkan betapa kesengsaraan golongan miskin dan kurang upaya bertambah kronik. Apa gunanya ada kemahiran sekiranya keperluan perut sendiri tidak dapat dipenuhi? Apakah rumusan yang kerajaan kapitalisme gunakan untuk mengaitkan kemahiran hidup dengan peningkatan taraf hidup? Tidakkah ini sebenarnya suatu fakta yang keliru lagi mengelirukan terbit dari falsafah ekonomi kufur, kapitalisme. Buktinya, berapa ramai dari kalangan mereka yang berkemahiran tetapi tetap menganggur kerana medan pekerjaan tidak ada ataupun terhad.

Kita perlu fahami bahawa kemahiran adalah termasuk di dalam sektor pengelolaan harta kekayaan. Ia tergolong dalam soal produktiviti, yang langsung berkait dengan mekanisme pengembangan harta melalui industri. Ini bermakna, kemahiran merupakan ‘perkhidmatan’ (services) yang digunakan bagi meningkatkan pengeluaran. Sedangkan taraf hidup pula adalah berkaitan soal pemenuhan keperluan diri, keluarga dan rakyat. Tidak ada gunanya jika di dalam sesebuah komuniti itu terdiri dari para pakar-pakar namun kebanyakan mereka adalah menganggur (kerana tiada lapangan pekerjaan) dan hidup dalam kebuluran dan derita tanpa gizi.

Jenuh sudah umat Islam menghadapi penderitaan di dalam sistem pemerintahan Kapitalis hari ini. Pemimpin mereka beragama Islam tetapi cara hidup mereka adalah Kapitalis. Jadi, sistem Islam mereka campakkan, walhal satu-satunya jalan untuk mengatasi maslah pengangguran, kemiskinan, kebuluran dan seumpamanya adalah dengan kembali kepada sistem Islam. Sistem Ekonomi Islam menjamin pemenuhan keperluan biologi manusia tanpa mengira Muslim atau selainnya. Ekonomi Islam juga menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Daulah Islam (Khilafah) sebagai salah satu usaha bagi memenuhi keperluan manusia. Golongan miskin dan kurang upaya mendapat perhatian serius oleh pihak Khilafah sama ada mereka dibekalkan prasarana peningkatan diri melalui pendidikan, peluang kerjaya mahupun disara sepenuhnya. Rasulullah dan Khulafa Rasyidun dahulu tidak pernah membiarkan rakyat mereka hidup dalam kemiskinan, pengangguran apatah lagi kebuluran. Mereka semua dapat menikmati hidup yang sejahtera di bawah naungan sistem pemerintahan Khilafah.

Filed under having 0 Ulasan  

Sajak Kematian Untuk Menteri Pelajaran

by AURA JIHAD

Sejak rungutan pasangan suami isteri Micheal O’leary Abdullah dan Dr. Intan Sabrina Mohamad terhadap penayangan sajak kematian kepada para pelajar sekolah rendah, isu tersebut telah mengundang polemik pro dan kontra. Terdapat pasangan ibu bapa yang beranggapan bahawa video tersebut terlalu ekstrem dan boleh membawa kesan trauma kepada kanak-kanak. Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein pula dipetik sebagai berkata,

"Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak akan membawa manfaat," [Malaysiakini, 11 Nov 2008]

Sajak yang diselitkan pada sebuah sketsa mayat menghadapi seksaan kubur telah dijadikan bahan pengajaran oleh sesetengah pihak sekolah dengan tujuan untuk mendidik pelajar-pelajar sejak dari kecil agar tidak meninggalkan solat.

Amat pelik, akibat rasa tidak senang ibu bapa melihat perubahan kanak-kanak tahap 1 dan 2 setelah menonton video tersebut, Kementerian dengan sepantas kilat mengarahkan penayangan video tersebut dihentikan, Sebaliknya filem-filem seram yang sarat dengan khurafat yang tumbuh bagai cendawan yang ditayangkan di kaca televisyen tidak pula dianggap ekstrem serta meninggalkan kesan trauma.

Inisiatif guru-guru dalam kes ini amat mudah difahami. Generasi yang lahir dari acuan sistem pendidikan sekular semakin hari semakin jauh dari kehidupan Islam. Kes-kes jenayah dan salah laku yang melibatkan para pelajar semakin hari semakin meningkat akibat sistem yang hanya mementingkan pencapaian akademik dan meninggalkan aspek pembentukan syakhsiyah Islam.

Memupuk para pelajar sejak dari kecil agar tidak meninggalkan solat, menjadi anak yang patuh kepada perintah dan larangan Allah SWT dilihat tidak sepenting mendapat 5A dalam UPSR. Ibu bapa akan berbangga apabila anak-anak mereka mendapat 5A walaupun anak-anak itu hakikatnya sering meninggalkan solat atau langsung tidak tahu cara untuk solat. Walhal Allah SWT berfirman;

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” [TMQ At-Tahrim (66):6]

Hakikatnya, mendidik anak agar patuh kepada segala perintah dan larangan Allah SWT merupakan kewajipan sang ibu bapa dan jika dilalaikan akan mengakibatkan dosa besar terhadap ibu bapa dan akan di azab oleh Allah di akhirat nanti.

Pada peringkat awal umur, anak-anak telah didik agar mentaati Allah SWT. Sungguhpun perintah solat tidak diwajibkan sebelum umur baligh, Rasulullah SAW telah mewasiatkan;

“Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat apabila berumur tujuh tahun, pukullah (jika tidak solat) apabila ia mencapai umur 10 tahun” [ Hadis Riwayat Muslim]

Dalam hadis di atas telah digariskan tahapan umur mendidik anak-anak agar mendirikan solat. Pada tahap umur 7 tahun hingga 10 tahun, anak-anak dididik mendirikan solat tanpa pukulan sebaliknya cukup dengan cara memotivasikan dengan kenikmatan syurga dan dengan cara ancaman dengan seksaan neraka.

Jika ada pihak berpendapat bahawa video klip tersebut terlalu ekstrem untuk digambarkan kepada anak-anak di bawah umur, ini bermakna ia wajar ditayangkan kepada pihak yang sudah berumur. Sudah tentu sajak-sajak dan video klip yang menginsafkan seperti ini amat sesuai untuk Menteri Pelajaran, dan harus diperbanyakkan lagi untuk tayangan beliau agar beliau sedara bahawa kurikulum pendidikan sekular yang beliau terapkan hari ini akan melayakkan beliau untuk mendapat seksa dan azab Allah. Insya Allah jika Menteri Pelajaran sudah insaf, maka kita akan dapat melihat perubahan sistem pendidikan kita kepada sistem pendidikan Islam yang akan melahirkan generasi yang mempunyai syakhsiyah Islam yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunah sebagai panduan hidup, menggantikan falsafah dan dasar polisi pendidikan negara yang sekular yang ada sekarang.

Filed under having 0 Ulasan  

Obamania atau Baracknophobia?

by AURA JIHAD

WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjadi Presiden terbanyak menerima ancaman, termasuk ugutan bunuh berbanding pemimpin sebelumnya.

Pasukan Perkhidmatan Perisikan bagaimanapun enggan mengulas atau memberikan butiran mengenai bilangan kes siasatan berhubung ancaman berkenaan.

Bagaimanapun sejak berakhirnya pemilihan Presiden pada 4 November lalu, pegawai keselamatan mengakui menerima banyak aduan berhubungan ancaman dalam bentuk tulisan, paparan di internet dan kegiatan seumpamanya yang ditujukan kepada Obama yang muncul Presiden kulit hitam pertama negara itu.

"Apa yang pasti, Obama menjadi Presiden paling banyak menerima ancaman berbanding Presiden sebelumnya," kata pegawai yang enggan dikenali atas alasan isu keselamatan Presiden sememangnya sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.

Awal minggu ini, pihak Perkhidmatan Perisikan menyiasat kes membabitkan ancaman dalam bentuk papan tanda diletakkan pada sebuah pokok di Vay, Idaho.

Ia antara lain memaparkan nama Obama, lengkap dengan tawaran menggantungnya di depan khalayak ramai.

Di Carolina Utara, pegawai hak asasi awam, turut membuat aduan mengenai tulisan menghina Obama yang ditemui dalam sebuah terowong dekat kampus Universiti North Carolina State.

Di sebuah pasar raya Maine, wartawan agensi berita Associated Press (AP), mendakwa melihat satu papan tanda mempelawa orang ramai bertaruh bilakah tarikh Obama menjadi mangsa dibunuh pembunuh upahan.

Malah, papan tanda itu turut memaparkan nilai taruhan sebanyak AS$1 (RM3.20 sen) bagi tekaan tarikh 'The Osama Obama Shotgun Pool,' yang secara terang-terangan mengaitkan Obama dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.

"Wang ini akan dimenangi mereka yang dapat meneka tarikh serangan ke atas Obama. Semoga kita ada pemenangnya kelak," kata papan tanda itu yang sudah dialihkan. AP

Sumber: Berita Harian 16 Nov 2008

Ulasan:

Ramai yang mengatakan bahawa AS yang memilih Presiden ke-44 mereka yang berbangsa Afrika telah mengakhiri zaman aparteid mereka, tetapi laporan akhbar menunjukkan sebaliknya. Di samping ramai yang gembira dan mengharap, tidak kurang juga yang terus membenci dan sakit hati dengan kemenangan Obama sebagai presiden kulit hitam pertama AS ini.

Dalam satu laporan daripada Yahoo Inc. pada 17 Nov 2008, sebanyak 200 insiden kebencian perkauman yang menyalahkan kepada kaum kulit hitam terjadi di Amerika Syarikat sebaik sahaja Barrack Obama diisytiharkan menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-44.

Amerika Syarikat berumur lebih sedikit daripada 200 tahun sejak penubuhan pada tahun 1776, dan 43 orang telah menjawat jawatan sebagai Presiden AS. Tetapi bagi suatu negara ideologi yang masih muda, seramai 4 orang Presiden mereka telah mati ditembak. Abraham Lincoln iaitu Presiden AS yang berjuang memenangkan wilayah Utara memenangi perang saudara di antara tahun 1860-1865 adalah merupakan Presiden AS yang pertama dibunuh melalui tembakan, diikuti oleh James Garfield, William McKinley dan terakhir sekali adalah John F. Kennedy pada tahun 1963.

Dan terdapat sebanyak 18 percubaan untuk membunuh Presiden AS di antaranya adalah Andrew Jackson, Theodore Roosevelt, Franklin Rossevelt,, Henry Truman, John F. Kennedy (akhirnya mati tertembak), Richard Nixon, Gerald Ford, Jimmy Carter, Ronald Reagan, Goerge H.W Bush (Sr.), Bill Clinton dan George W. Bush (Jr.). Ford dan Reagan mengalami percubaan untuk membunuh sebanyak dua kali. Kali terakhir seorang Presiden AS yang tercedera ditembak adalah Reagan pada tahun 1981.

Presiden G.W. Bush yang membuat lawatan rasmi ke Asia Barat telah dikatakan menerima kawalan yang sangat ketat sekali. Rory McCarthy wartawan bagi akhbar Guardian (UK) pada 9 Januari 2008 melaporkan bahawa seramai 10,000 anggota polis Israel akan mengawal keselamatan Bush semasa lawatan ke kota Al-Quds (Jerusalem), dan suatu yang pelik kerana Israel adalah sekutu kuat AS di rantau Asia Barat. Sementara Irit Rosenblum dari akhbar Haaretz di Israel melaporkan bahawa belanja untuk kawalan keselamatan Bush semasa di Israel adalah USD25,000 sejam. Malah dalam suatu rancangan di Discovery Channel memaparkan kawalan keselamatan yang sangat ketat dan teliti semasa Presiden Bush menjadi orang yang mengurniakan ijazah kepada graduan Universiti Maryland semasa konvokesyen Universiti Maryland.

Dengan perkembangan yang berlaku ke atas Obama, walaupun dia masih belum menjalankan tugas-tugas presiden secara rasmi lagi, apakah Obama akan menjadi Presiden AS yang kelima yang bakal mati ditembak? Wallahu'alam.

Filed under having 0 Ulasan  

PEMERINTAH TIDAK WAJIB MELAYU TETAPI WAJIB MUSLIM

by AURA JIHAD



PEMERINTAH TIDAK WAJIB MELAYU TETAPI WAJIB MUSLIM

Rentetan dari kemenangan Barack Obama sebagai presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat baru-baru ini, ia telah mencetuskan polemik kepimpinan politik di Malaysia selaku sebuah negara yang selama ini turut dibarisi kepimpinan dari puak minoriti, sehingga ada suara pemimpin bukan Melayu yang mahukan bukan Melayu diberi peluang menjadi Perdana Menteri. Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia membebaskan diri mereka daripada belenggu isu perkauman.
Dengan mengambil Obama sebagai contoh, Tee Keat berkata, “Sedihnya di Malaysia, kita masih berbalah dalam soal remeh berhubung pelantikan seorang wanita Cina sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).” Perkembangan yang sama berlaku di Singapura di mana Perdana Menteri republik itu, Hsien Loong menegaskan bahawa Singapura belum bersedia memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat. Hsien Loong membuat kenyataan tersebut semasa dialog dengan anggota masyarakat Melayu di republik itu sebagai menjawab soalan sama ada pemilihan Barack Obama sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS) bermakna anggota kaum minoriti di Singapura turut berpeluang menjadi Perdana Menteri [UM 11/11/08].

Sebagai respons kepada kenyataan tersebut, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr. Rais Yatim pun menyerlahkan keberaniannya dengan berkata, “Saya berani katakan bukan Melayu pun belum sampai masanya menjadi Perdana Menteri di Malaysia dan ia tidak akan menjadi kenyataan sebab majoriti tenaga politik di sini ialah Melayu” [UM 11/11/08]. Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir apabila ditanya tentang isu yang sama menjawab, “Tidak sepatutnya soalan itu ditanya, sama ada Melayu atau bukan Melayu, jika seseorang itu diterima oleh rakyat Malaysia, dia layak untuk menjadi Perdana Menteri”. Menurutnya lagi, undang-undang negara menetapkan sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri dan tiada sebarang spesifikasi bahawa pemimpin negara mesti diketuai oleh orang Melayu. “Tetapi spesifikasinya ialah orang yang layak menjadi Perdana Menteri adalah pemimpin kepada sebuah parti yang majoriti, jadi janganlah tanya sama ada dia Melayu, Cina atau India”, tegas Mahathir [UM 13/11/08].

Isu perkauman yang selama ini merupakan api di dalam sekam, acap kali mengundang dan menjelma menjadi api yang lebih besar. Bagi orang kafir, tidak peliklah jika mereka sentiasa bermain dengan api ini kerana undang-undang hidup mereka langsung tidak diatur oleh agama, namun bagi umat Islam, sungguh menyedihkan apabila mereka nampaknya masih lagi bermain dengan api dunia ini yang hakikatnya boleh menjerumuskan mereka ke dalam api akhirat. Kenapa masih ada yang ingin mempertahankan assabiyyah Melayu? Kenapa masih ada yang berpendapat orang kafir boleh menjadi pemimpin untuk memerintah orang Islam? Masihkah mereka tidak cuba membelek dan memahami ayat-ayat Allah dan hadis-hadis RasulNya? Nampaknya akal dan kitab keji Lord Reid masih tetap dijadikan panduan oleh mereka di dalam berbicara dan menghukum. Masya Allah! Sampai bilakah kalian mahu sedar bahawa Allah tidak akan tanya kenapa kalian berbangsa Melayu, tetapi Allah akan pasti tanya kenapa kalian memperjuangkan Melayu dan tidak memperjuangkan Islam?

Syarat-syarat Ketua Negara Di Dalam Islam

Sesungguhnya Ketua Negara Islam tidak lain tidak bukan adalah Khalifah. Khalifah adalah orang yang mewakili umat dalam menjalankan pemerintahan, kekuasaan dan penerapan hukum-hukum syara’. Hal itu kerana Islam telah menjadikan pemerintahan dan kekuasaan sebagai milik umat (al-sulthan li al-ummah). Untuk itu, maka diangkat seseorang yang melaksanakan pemerintahan sebagai wakil dari umat. Allah telah mewajibkan kepada umat untuk menerapkan seluruh hukum syara’.

Sesungguhnya Khalifah itu diangkat oleh kaum Muslimin. Jadi, seseorang itu tidak akan menjadi Khalifah kecuali jika umat membai’atnya. Bai’at umat kepada Khalifah untuk menjawat jawatan Khalifah telah menjadikannya sebagai pihak yang mewakili umat. Penyerahan jawatan kekhilafahan kepada seorang Khalifah telah memberinya kekuasaan dan menjadikan umat wajib mentaatinya. Orang yang memegang urusan kaum Muslimin tidak menjadi seorang Khalifah kecuali jika dibai’at oleh ahl al-halli wa al-‘aqdi yang ada di tengah-tengah umat dengan bai’at in’iqad (bai’at pelantikan) yang bertepatan dengan syara’. Bai’at hendaklah dijalankan atas dasar keredhaan (orang yang diba’iat) dan bebas memilih (orang yang membai’at) dan orang yang dibai’at itu wajib memenuhi seluruh syarat in’iqad. Dan sebaik sahaja sempurna akad Khilafah itu, Khalifah wajib melaksanakan hukum-hukum syara’ secara kaffah, tanpa di tangguh-tangguh lagi. Adapun syarat-syarat in’iqad seorang Khalifah adalah seperti berikut:-

(1) Muslim - Khalifah wajib seorang Muslim. Haram dan tidak sah sama sekali jawatan Khalifah diberikan kepada seorang kafir dan jika berlaku (Khalifah dari orang kafir) maka tidak wajib untuk mentaatinya. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, “Dan Allah sekali-kali tidak akan menjadikan jalan bagi orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” [TMQ an-Nisa’ (4):141]. Pemerintahan adalah jalan yang paling kuat dan mendasar untuk menguasai orang-orang yang diperintah. Penggunaan kata “lan” dalam ayat di atas berfungsi untuk menyatakan li ta’bid (selamanya) yang merupakan qarinah (indikasi) untuk menunjukkan larangan keras bagi orang kafir memegang pemerintahan ke atas kaum Muslimin, baik menyangkut jawatan ‘Khalifah’ itu sendiri atau jawatan yang terkait dengan apa jua bidang pemerintahan. Ini kerana Allah telah mengharamkan adanya apa sahaja jalan bagi orang kafir menguasai kaum Mukminin, maka adalah teramat jelas bahawa haram hukumnya kaum Muslimin menjadikan orang kafir sebagai penguasa atas mereka.

Tambahan lagi, Khalifah merupakan waliyul amri, dan Allah telah mensyaratkan bahawa seorang waliyul amri wajiblah Muslim. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul(Nya) dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu...” [TMQ an-Nisa’ (4):59]. Di dalam ayat lain, Allah berfirman, “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau ketakutan, mereka lalu menyiarkannya. Kalau saja mereka menyerahkan kepada Rasul dan kepada Ulil Amri di antara mereka...” [TMQ an-Nisa’ (4):83]. Tidak disebut di dalam Al-Quran kata ‘Ulil Amri’ kecuali ia mestilah “min kum” (dari kamu) yakni dari kalangan kaum Muslimin. Khalifah yang merupakan waliyul amri, maka Khalifah juga melantik setiap orang ke jawatan pemerintahan yang kesemua mereka wajiblah terdiri dari Muslim juga.

(2) Lelaki - Khalifah wajib seorang lelaki. Haram dan tidak sah melantik seorang Khalifah dari kalangan perempuan. Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abu Bakrah yang berkata, ketika sampai kepada Rasulullah bahawa penduduk Parsi telah melantik anak perempuan Kisra sebagai penguasa, baginda lantas bersabda, “Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (kekuasaan/pemerintahan) mereka kepada seorang wanita”. Sabda Rasulullah yang menafikan keuntungan bagi orang yang menyerahkan urusannya kepada seorang perempuan merupakan larangan untuk melantik wanita bagi jawatan tersebut. Larangan di dalam hadis tersebut menjadi qarinah larangan yang jazm (tegas) yang menjadikan hukumnya haram.

(3) Baligh - Khalifah wajib seorang yang baligh. Tidak boleh dilantik seorang kanak-kanak yang belum baligh sebagai Khalifah. Ini kerana Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Diangkat pena (beban hukum) dari tiga golongan, kanak-kanak hingga ia baligh, orang yang tidur hingga ia terjaga dan orang yang gila hingga ia sembuh” [HR Abu Daud]. Sesiapa sahaja yang diangkat pena darinya, maka dia dengan sendirinya tidak sah mengurusi urusannya. Secara syar’ie, dia bukanlah seorang mukallaf. Oleh itu, dia tidak sah menjadi Khalifah ataupun memegang apa jua jawatan pemerintahan lantaran dia tidak memiliki hak untuk mengelola apa jua urusan. Dalil lain yang menunjukkan orang yang belum baligh tidak boleh menjadi Khalifah adalah apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari, “Dari Abu Aqil Zahrah bin Ma’bad, dari datuknya Abdullah bin Hisyam, manakala ia mengenal Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam, lalu ia pergi dengan ibunya Zainab binti Humaid menemui Rasulullah. Ibunya lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, terimalah bai’atnya’. Nabi bersabda, ‘Dia masih kecil.’ Lalu baginda mengusap kepalanya dan mendoakannya” [HR Bukhari]. Jika anak kecil tidak sah untuk membai’at, maka apatah lagi tidak sah untuk dia di bai’at (sebagai Khalifah).

(4) Berakal - Khalifah wajib seorang yang berakal dan tidak layak seorang yang gila menjadi Khalifah. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam di atas, “Diangkat pena (beban hukum) dari tiga orang...” yang salah satunya adalah “orang gila sampai ia sembuh". Siapa sahaja yang telah diangkat pena darinya, maka dia tidak termasuk seorang mukallaf kerana akal menjadi manath at-taklif (tempat pembebanan hukum) dan menjadi syarat sahnya mengatur berbagai urusan, sedangkan tugas seorang Khalifah adalah mengatur urusan pemerintahan dan melaksanakan penerapan beban-beban syariat. Oleh itu, tidak sah jika Khalifah itu adalah seorang yang gila atau rosak akalnya, kerana orang seperti ini tidak layak untuk mengurusi urusannya sendiri pun, apatah lagi untuk mengatur urusan manusia keseluruhannya.

(5) Adil - Khalifah mestilah seorang yang adil. Orang yang fasik tidak sah diangkat sebagai Khalifah. Adil adalah syarat yang wajib demi keabsahan kekhilafahan dan keberlangsungannya, sebab Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mensyaratkan pada seorang saksi dengan syarat ‘adalah (adil). Firman Allah, “Dan saksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu” [TMQ at-Talaq (65):2]. Kedudukan Khalifah tentu sahaja lebih tinggi dari sekadar seorang saksi, oleh kerana itu selayaknya dia memiliki syarat adil sebab kalau pada seorang saksi sahaja ditetapkan syarat adil, tentu lebih patut jika syarat itu diwajibkan ke atas seorang Khalifah.

(6) Merdeka - Khalifah wajib seorang yang merdeka. Ini kerana seorang hamba adalah milik tuannya sehingga dia tidak memiliki kekuasaan untuk mengatur, walau dirinya sendiri. Seorang hamba juga tidak memiliki solahiyah (autoriti) untuk mengatur urusan orang lain, apatah lagi urusan manusia seluruhnya dan hal ini tidak melayakkan dia untuk menjawat jawatan Khalifah.

(7) Mampu - Khalifah wajib seorang yang mampu melaksanakan amanat kekhilafahan. Ini kerana, ‘kemampuan’ adalah termasuk syarat yang dituntut di dalam bai’at. Orang yang lemah tidak akan mampu menjalankan urusan-urusan rakyat mengikut Al-Quran dan Sunnah, sedangkan berdasarkan keduanyalah ia dibai’at. Dalam menentukan kemampuan seseorang untuk menjadi Khalifah, Mahkamah Mazhalim memiliki hak untuk menetapkan jenis-jenis kelemahan yang tidak boleh ada pada diri Khalifah sehingga ia dikira sebagai seorang yang mampu memikul amanah-amanah kekhilafahan.

Kesemua syarat di atas adalah syarat in’iqad (syarat sah) kekhilafahan yang wajib ada pada diri seorang Khalifah. Selain ketujuh syarat ini tidak ada syarat lain yang layak dijadikan syarat in’iqad. Meskipun demikian ia boleh menjadi syarat afdhaliyah (keutamaan) jika didukung oleh nas-nas yang sahih atau terhasil dari hukum yang telah ditetapkan berdasarkan nas yang sahih. Hal itu kerana syarat-syarat terwujudnya akad Khilafah untuk seseorang Khalifah itu harus memiliki dalil yang mengandung tuntutan yang tegas (jazm) yang mengisyaratkan wajibnya syarat tersebut. Oleh kerana itu, jika sesuatu dalil tidak mengandung perintah yang jazm, maka syarat itu akan menjadi syarat afdhaliyah (keutamaan) sahaja, bukannya syarat in’iqad. Ternyata selain ketujuh syarat di atas, tidak terdapat dalil-dalil lain yang mengandungi perintah yang jazm yang menjadikannya syarat in’iqad. Adapun syarat-syarat lainnya yang memiliki dalil yang sahih yang menjadikan syarat afdhaliyah kekhilafahan adalah ketentuan bahawa Khalifah hendaklah dari keturunan Quraisy, seorang mujtahid, seorang ahli di dalam persenjataan dan peperangan, seorang ahli politik yang unggul, pemberani dan beberapa syarat lain lagi.

Perlu ditegaskan di sini bahawa ketujuh syarat di atas bukanlah syarat ke atas Khalifah semata-mata, tetapi ia merupakan syarat ke atas orang yang memegang kepimpinan dari segi pemerintahan dan yang terkait dengannya. Oleh itu, syarat yang sama adalah terpakai ke atas Muawin Tafwidh, Wali, Amil serta mereka yang terkait rapat dengan pemerintahan seperti Muawin Tanfiz, Qadhi Qudhat (ketua qadhi) dan juga Qadhi Mazhalim. Perlu juga ditegaskan di sini bahawa kita juga hendaklah membezakan di antara bidang pemerintahan (al-hukm) dan bidang pentadbiran/administrasi (al-idarah). Kesemua syarat di atas adalah untuk mereka yang terlibat di dalam bidang al-hukm dan bukannya al-idarah. Di dalam bidang administrasi/pentadbiran, syarat lelaki dan Muslim tidak terpakai, dengan kata lain dibolehkan seorang wanita mahupun seorang kafir untuk memegang jawatan di dalam administrasi (al-idarah) negara. Justeru, jawatan Ketua Negara yang nyata-nyata adalah jawatan pemerintahan (al-hukm), wajib dipegang oleh orang Islam dan haram secara mutlak diberikan kepada orang kafir mahupun wanita.

Sekiranya kita kaji realiti dan kedudukan PKNS pula, kita akan berkesimpulan bahawa PKNS hanyalah sebuah badan yang terlibat di dalam bidang al-idarah (pentadbiran) sahaja dan bukannya al-hukm. Dengan ini justeru, jika kita menggunakan hukum syara’ sebagai standard dalam menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan, maka isu jawatan Pengurus Besar PKNS itu langsung tidak akan menjadi masalah. Ia boleh dijawat oleh orang kafir, walau seorang wanita sekalipun. Namun apabila seseorang Muslim itu menjadikan ‘bangsa/perkauman’ sebagai asas pegangan, maka mereka tidak dapat menerima seorang wanita Cina mengetuai PKNS.

Malangnya mereka dalam masa yang sama boleh pula menerima dan langsung tidak mempersoalkan adanya orang kafir dan wanita di dalam bidang pemerintahan. Beginilah keadaan umat Islam apabila hukum kufur, assabiyyah dan maslahat yang dijadikan pegangan, bukannya hukum syara’. Lebih buruk dari itu, mereka juga langsung tidak mempertikaikan sama ada Ketua Negara mereka adalah seorang ‘Khalifah’ atau tidak, walhal nas begitu jelas lagi nyata menunjukkan bahawa Ketua Negara wajiblah seorang ‘Khalifah’. Wallahu’alam.

KEHANCURAN KAPITALISME

by AURA JIHAD

Logo SN

SETELAH KEHANCURAN SOSIALIS-KOMUNIS, KAPITALISME KINI MENUJU PERKUBURAN, HANYA ISLAMLAH SATU-SATUNYA PILIHAN

Ekonomi dunia kini berada di ambang kemelesetan. Bermula dengan krisis hartanah yang melanda Amerika dan kejatuhan nilai gadaian yang mengakibatkan peminjam tidak mampu membayar hutang, kemudian krisis ini semakin merebak menyebabkan bank-bank utama serta syarikat kewangan menjadi muflis atau sedang berada di ambang muflis. Sebelumnya, bank-bank dan juga syarikat kewangan menumpukan perhatian mereka kepada sektor hartanah yang sedang berkembang dan menjanjikan keuntungan lumayan. Akhirnya, bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan ini jatuh tersungkur dan membawa yang lain rebah bersamanya. Amerika seolah-olah kini sedang demam dan bersin, lalu virusnya merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan seluruh dunia demam.
Beberapa sektor kewangan menganggarkan kerugian yang disebabkan oleh krisis gadaijanji hartanah mencecah hingga USD300 bilion di Amerika Syarikat sahaja, dan sebanyak USD550 bilion di luar Amerika. Natijahnya beberapa negara terutama negara kaya yang terjejas telah memberikan suntikan modal kepada pasaran kewangan supaya dapat memulihkan keyakinan pelabur dan memberi kecairan tunai untuk merangsang aktiviti perekonomian. Malahan, sesetengah negara telah campur tangan secara langsung dengan memiliknegarakan bank-bank tertentu, sebagaimana yang dilakukan oleh Britain.

Semua ini membawa maksud bahawa asas-asas penting ekonomi Kapitalis, pasaran bebas dan dasar tidak campur tangan negara (laissez-faire) dalam ekonomi telah musnah. Dua unsur ini merupakan kepercayaan asas para Kapitalis. Malahan, Dewan Senat Amerika Syarikat pada bulan Disember 1999 telah meluluskan akta yang melarang sebarang bentuk kekangan ke atas sistem kewangan dan mengumunkan bahawa pasaran kewangan adalah bebas walau apa pun harganya. Akhirnya, kerosakan dan kesalahan asas-asas tersebut dimanifestasikan sendiri oleh pihak yang memasarkan ideanya (yakni) Amerika. Amerika telah mengumunkan campur tangan negara dalam pasaran, setelah Dewan Senat dan Kongres meluluskan pelan oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Henry Paulson, agar menyuntik USD700 bilion untuk membeli instrumen kewangan oleh bank-bank dan syarikat kewangan yang terjejas dalam pasaran gadai-janji hartanah. Dan dalam masa singkat setelah diluluskan, Setiausaha Perbendaharaan Amerika telah melaksanakan pelan tersebut. Semua perkembangan ini menunjukkan bahawa setelah berkuburnya sistem Sosialis-Komunis, sistem Kapitalis pula kini sedang menuju perkuburannya.

Perkembangan ini telah memaksa dunia menggembleng usaha. Empat negara utama di Eropah, Perancis, German, Britain dan Itali telah mengadakan pertemuan dan mereka menggesa suatu pertemuan yang lebih menyeluruh untuk mengkaji semula sistem ekonomi. Begitu juga dengan Menteri Kewangan dan pegawai-pegawai bank pusat negara G7 (atau G-8 jika Rusia disertakan) telah mengadakan pertemuan tergempar di Washington. Walau apa pun usaha dilakukan, namun apakah usaha-usaha tersebut mampu memulihkan ekonomi Kapitalis sebagaimana yang diharapkan?

Para pemerhati perkembangan sistem Kapitalis dapat melihat bahawa sistem ekonomi ini kini sedang berada diambang kehancuran, jika pun ianya belum hancur lagi. Apa sahaja usaha pada saat ini untuk menyelamatkan sistem yang ada hanya dapat ‘melegakan kesakitan’ untuk suatu masa yang singkat sahaja. Ini kerana sebab-sebab kejatuhannya memerlukan baik pulih mendasar (overhaul) atas asas utama sistem ekonomi Kapitalis itu sendiri dan bukan sekadar memulihkan simptom-simptom yang dihadapinya. Di dalam memperkatakan tentang kehancuran ini, terdapat empat faktor utama yang merupakan asas sistem ekonomi Kapitalis yang perlu diperhatikan:-

Pertama: Kapitalisme telah memansuhkan emas sebagai sandaran/piawaian utama mata wang dan memperkenalkan mata wang dolar sebagai sandaran setara mata wang dunia selepas tamatnya Perang Dunia Kedua di bawah perjanjian Bretton’s Wood dan kemudiannya penggantian sepenuhnya emas dengan mata wang dolar Amerika di awal tahun 1970. Praktik ini menyebabkan ekonomi dunia begitu terdedah kepada keadaan ekonomi di Amerika syarikat. Ini kerana mata wang di kebanyakan negara di dunia, jika tidak semua, diikat dengan mata wang AS dan bukannya dengan emas, walaupun hakikatnya nilai mata wang AS hanyalah tidak lebih dari sehelai kertas yang dicetak di Amerika. Walaupun selepas diperkenalkan mata wang Eropah, dolar AS masih mengekalkan pengaruhnya, kerana kebanyakan mata wang dunia masih terikat dengan dolar. Selagi mana emas tidak dijadikan sebagai sandaran mata wang, selagi itulah dunia tidak akan bebas dari berulang dan berulangnya krisis ekonomi. Sebarang kejutan nilai dolar akan secara langsung menggoncang ekonomi negara-negara lain di dunia. Malahan dasar ekonomi Amerika Syarikat akan memberi kesan ke atas ekonomi di luar negara Uncle Sam tersebut.

Kedua: Pinjaman berasaskan riba telah menyebabkan kerumitan ekonomi. Walaupun nilai pokok pinjaman berserta riba sedikit demi sedikit berkurangan setiap masa, namun dalam banyak keadaan, individu atau negara tidak mampu membayar hutang mereka (kerana riba). Aktiviti ekonomi menjadi lembap disebabkan ketidakmampuan kebanyakan pihak untuk membayar hutang (campur riba) dan ini akan memberi kesan langsung kepada pengeluaran.

Ketiga: Sistem dan praktik pasaran kewangan dan bursa saham membeli dan menjual saham, instrumen kewangan dan komoditi yang tidak memerlukan ‘pemilikan barang’ (possession of goods). Malahan ianya dijual dan dibeli berulang-ulang kali tanpa berlakunya pemindahan pemilikan dari penjual kepada pembeli. Praktik ini tidak sah (haram) di sisi Islam. Ia menimbulkan lebih banyak kesukaran dari penyelesaian, kerana ia menyebabkan nilai barang meningkat dan jatuh, walaupun hakikatnya barang-barang tersebut tiada dalam pemilikan. Semua ini mengundang ketidakstabilan dalam pasaran kerana keuntungan dan kerugian yang dialami adalah berdasarkan jalan spekulatif. Semua ini akan berulang tanpa disedari sehinggalah berlakunya krisis ekonomi.

Keempat: Yang paling penting adalah tiada kefahaman akan realiti pemilikan (ownership) baik di pihak negara-negara Timur mahupun Barat. Di bawah Ideologi Sosialis-Komunis, semua pemilikan adalah berkisar kepada negara manakala di bawah Ideologi Kapitalis, semuanya adalah hak milik individu tanpa campur tangan negara, kerana fahaman Kapitalis memasarkan idea pasaran bebas. Keadaan ini semakin sukar dan membarah di bawah globalisasi.

Kejahilan terhadap realiti ini menyebabkan dunia mengalami kegoncangan dan krisis ekonomi. Ini kerana hak milik tidak sepatutnya dibolot baik oleh negara atau pun individu-individu sahaja. Sistem Ekonomi Islam berbeza sama sekali dengan sistem ekonomi kufur buatan manusia di atas. Sistem ekonomi Islam adalah sempurna kerana berasal dari wahyu, dan dari segi pemilikan, ia menerangkan kepada kita bahawa terdapat tiga jenis pemilikan:-

(i) Hak milik umum: meliputi mineral-mineral dalam bentuk pepejal, cecair dan gas termasuk petroleum, besi, tembaga, emas dan sebagainya yang didapati sama ada di dalam perut bumi atau di atasnya, termasuk juga segala bentuk tenaga dan intensif tenaga serta industri-industri berat. Semua ini merupakan hak milik umum dan wajib diuruskan (dikelola) oleh negara manakala manfaatnya wajib dikembalikan kepada rakyat

(ii) Hak milik negara: meliputi segala bentuk bayaran yang dipungut oleh negara secara syar’ie dari warganegara, bersama dengan perolehan dari pertanian, perdagangan dan aktiviti industri, di luar dari lingkungan pemilikan umum di atas. Negara membelanjakan perolehan tersebut untuk kemaslahatan negara dan rakyat

(iii) Hak milik individu: selain dari kedua jenis pemilikan di atas, harta-harta lain boleh dimiliki oleh individu secara syar’ie dan setiap individu itu perlu membelanjakannya secara syar’ie juga.

Jika ketiga-tiga jenis pemilikan ini dijadikan sebagai satu dan diletak sama ada sebagai pemilikan negara atau individu, sungguh krisis dan kegagalan tidak akan dapat dielak lagi. Kedudukan salah inilah yang sebelum ini telah menyebabkan kehancuran sistem ekonomi Komunis kerana mereka meletakan seluruh pemilikan sebagai hak milik negara. Akibat pengagihan yang tidak betul di dalam sistem ekonomi Komunis, harta yang secara semula jadinya dimiliki oleh negara seperti petroleum dan industri berat telah membawa kepada kejayaan ekonominya, sebaliknya harta yang secara semula jadinya dimiliki oleh individu seperti pertanian, perdagangan dan industri kecil telah mengundang kegagalan yang menyebabkan keruntuhan sistem ekonomi mereka.

Begitulah juga nasib yang menimpa sistem ekonomi Kapitalis yang sedang diambang keruntuhan ini. Ini disebabkan ia meletakan pemilikan umum seperti petroleum, gas dan sumber tenaga, industri berat malahan industri ketenteraan kepada individu dan syarikat-syarikat, sementara negara menjauhkan diri untuk campur tangan di dalam pasaran, menghalang dirinya dari memiliki sesuatu yang sepatutnya menjadi hak milik negara. Semuanya adalah atas nama pasaran bebas, laissez-faire, berkecuali dan globalisasi. Kesannya dapat kita lihat sekarang yang sudah tidak dapat dielakkan lagi, berulangnya kemelesetan ekonomi, kejatuhan mendadak pasaran kewangan dan juga kejatuhan syarikat-syarikat korporat satu demi satu.

Setelah kegagalan Ideologi Komunis dan sekarang Ideologi Kapitalis pula sedang mengikuti langkah kehancuran yang sama. Sebagai Muslim, kita hendaklah yakin dan tidak ragu sedikit pun bahawa hanya sistem Islamlah satu-satunya yang mampu mengubati dan menghindari dari berlakunya krisis ekonomi. Ini kerana sistem ekonomi Islam mengharamkan faktor-faktor yang boleh mengundang berlakunya krisis ekonomi.

Islam menetapkan hanya emas dan perak sahajalah sebagai sandaran kewangan. Sebarang bentuk mata wang yang dikeluarkan mestilah disandarkan kepada emas dan perak dan boleh ditukar di atas permintaan. Mata wang kertas sesebuah negara tidak boleh diikat dengan mata wang sebuah negara yang lain. Setiap mata wang negara mestilah tidak bergantung kepada mata wang lain dan ia perlu memiliki nilai yang tetap, tidak boleh ubah dan nilai intrinsik.

Islam juga mengharamkan riba dalam apa bentuk sekalipun dan menganjurkan pinjaman kepada orang yang memerlukan tanpa riba atas jumlah asal (prinsipal). Islam menjadikan perbendaharaan negara, Baitul Mal, kekal sebagai satu struktur pemerintahan yang tersendiri untuk memberikan pinjaman tanpa riba kepada siapa sahaja yang memerlukan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan.

Islam juga mengharamkan proses jualan barang sebelum pembeli memperolehinya, yang bermakna Islam mengharamkan transaksi barang yang tidak dimiliki. Islam juga mengharamkan transaksi dalam instrumen kewangan, pasaran hadapan dan saham yang dihasilkan dari kontrak yang tidak sah dan juga yang bersifat jual-beli spekulatif. Sebaliknya semua perkara tersebut dibenarkan dalam ekonomi Kapitalis.

Islam juga mengharamkan mana-mana individu, syarikat dan badan korporat dari diberi hak milik harta-harta yang datang dari pemilikan umum seperti petroleum, mineral, sumber tenaga, tenaga elektrik dan sebagainya. Sebaliknya Islam mengamanahkan negara agar mengurusinya menurut hukum syarak. Ini bermakna sistem ekonomi Islam telah mengenal pasti dan mengubati semua masalah ekonomi dan krisis yang disebabkan oleh sifat tamak manusia. Inilah sistem yang diperintahkan oleh Pencipta alam semesta, Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk makhluknya. FirmanNya,

“Apakah Allah yang Menciptakan itu tidak mengetahui? Walhal Dia Maha Halus Maha Mengetahui” [TMQ al-Mulk (67):14].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Allah SWT telah mengurniakan kalian kemuliaan dengan deenul Islam yang diturunkanNya melalui Rasulullah SAW dan Dia juga telah memberi amaran kepada kalian melalui wahyuNya. Hanya kerana Islamlah kalian dikeluarkan untuk menjadi umat yang terbaik di kalangan manusia. Kemuliaan dan kesejahteraan kalian bergantung kepada pelaksanaan deenul Islam sebagai cara hidup. Dan kesejahteraan ini bukanlah untuk kalian sahaja, tetapi untuk seluruh manusia, setelah manusia menanggung dan terus menanggung kekejaman di bawah kejahatan sistem buatan manusia. Tambahan lagi, penerapan cara hidup terbaik ini tidak akan mampu direalisasikan selagi Al-Quran diketepikan, dan selagi tidak ada sebuah Negara yang akan menerapkan segala ajarannya dan membawa risalah ini ke seluruh dunia - iaitu melalui Negara Khilafah ala minhaj nubuwwah - yang akan membawa keberkatan, rahmat dan kesejahteraan.

Ingatlah wahai saudaraku! Dalam keadaan kalian diselubungi kemewahan mahupun penderitaan, Allah SWT tidak akan menghantar para malaikat untuk menubuhkan Negara Khilafah, sebaliknya ia (penubuhan Khilafah) merupakan kewajipan yang wajib diusahakan oleh kalian, sebagaimana ia kewajipan yang telah diusahakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang telah menubuhkan Negara Islam Madinah. Justeru, sediakanlah diri kalian dan bangkitlah menggembleng tenaga bersama Hizbut Tahrir dan berilah sokongan kalian. Carilah limpah kurnia Allah untuk bersama dengan sebuah parti yang berusaha untuk mewujudkan rahmat Allah ke seluruh alam. Moga-moga dengan sokongan kalian, janji Allah SWT untuk memberi kemenangan dan kekuasaan serta khabar gembira yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW bahawa Khilafah akan kembali semula akan dapat direalisasikan, Insya Allah. Wahai kaum Muslimin! Kalian adalah pembawa cahaya kepada alam dan kalian adalah orang yang selayaknya memimpin dunia, dengan Islam.

“Dan Allah berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya” [TMQ al-Anbiya’ (21):21].