Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

Sekular semakin bertelagah, Khilafah semakin melangkah

by AURA JIHAD

Pelan peralihan kuasa Perdana Menteri dari pemangkunya sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 mungkin dapat dilaksanakan lebih awal. Menurut PM, tempoh peralihan itu fleksibel dan boleh berlaku di antara tempoh sekarang hingga Jun 2010, tidak lebih dari itu, semasa bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya siang tadi (17 Sept). Jika diteliti dengan mendalam, kenyataan terbaru Pak Lah ini menampakkan ‘ketundukan’ beliau kepada tekanan yang ada sekarang, khususnya setelah Tan Sri Muhyidin mendesak agar Pak Lah menyerahkan kuasanya lebih awal. Walaupun peralihan kuasa sebelum ini telah disepakati akan dilakukan pada bulan Jun 2010, kini ia telah menjadi semakin ‘fleksibel’.

Manakala bagi jawatan tertinggi UMNO di dalam pemilihan Disember nanti, Najib mengesahkan bahawa beliau tidak akan mencabar kerusi tersebut dari Abdullah. Nampaknya percaturan politik sebegini mungkin dapat ‘menyelamatkan’ kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu dari kerusi masing-masing. Iklim panas yang tidak menentu yang berlaku dalam UMNO sekarang sebenarnya boleh menimbulkan pelbagai kemungkinan, namun jika dua ‘kuasa besar’ tersebut bergabung membentuk satu kesepakatan, maka ‘kuasa-kuasa’ kecil yang lain akan semakin melemah. Mungkin inilah yang diharapkan akan berlaku, dalam keadaan masing-masing cuba menyelamatkan diri masing-masing dari ‘terbakar kepanasan’ dek cuaca yang tidak menentu ini.

Mutakhir ini, isu pisang goreng dilihat semakin menjadi-jadi. Dimulai dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang ingin membentuk kerajaan baru beberapa bulan lepas, kemudian menyusul pula isu undi tidak percaya dari SAPP terhadap Pak Lah, Dr Mahathir pula telah meletak jawatan kerana tidak lagi percayakan kepimpinan Pak Lah manakala dalam masa yang sama Tengku Razaleigh juga tidak mahu ketinggalan mengintai peluang menjadi Presiden UMNO. Beberapa hari lepas, Muhyidin Yassin pula beraksi di pentas apabila mencadangkan agar pelan peralihan kuasa tersebut dilakukan lebih cepat dari tempohnya. Kemudian timbul pula isu percanggahan pendapat tentang ISA di antara Zaid Ibrahim dan Syed Hamid Albar yang diakhiri dengan peletakan jawatan Zaid dari kabinet. Terbaru, Pak Lah mengumunkan pertukaran (switching) portfolio Menteri Kewangan 1 dan Menteri Pertahanan di antara beliau dan Timbalannya. Semuanya ini berlaku dalam tempoh yang amat singkat. Tentunya masing-masing pihak sekarang ini amat sibuk memikirkan strategi untuk kepentingan masing-masing! Yang berkuasa masih tamak dan tidak mahu turun dari kerusi yang menjanjikan seribu satu macam kemewahan manakala yang merasa ada peluang pula tidak mahu terlepas untuk berebut takhta dan singgahsana.

Sebagai seorang Muslim, satu perkara yang perlu kita pertimbangkan adalah, apakah segala fenomena yang berlaku ini memberi kebaikan kepada umat Islam, atau lebih jauh dari ini, apakah telah selesai masalah kita umat Islam, atau semakin bertambah kesengsaraan kita dengan percakaran yang berlaku di peringkat atasan ini? Apakah kebaikan yang kita perolehi dari semua ini berbanding berapa lama kita sudah ketiadaan Khilafah yang menjaga kita semua?

Inilah yang sepatutnya difokuskan oleh umat Islam. Sandiwara sekarang yang sentiasa dimainkan oleh para pelakon layarnya hanyalah drama politik yang tidak akan pernah memberi penyelesaian kepada masalah umat Islam. Mereka tidak lebih daripada watak-watak yang akan membawa kebaikan dan kepentingan kepada diri mereka sendiri dan kepada beberapa kerat yang rapat dengan mereka. Dalam diri mereka, umat Islam dan Islam itu sendiri bukanlah agenda yang perlu diutamakan. Biar apa pun yang berlaku, kepentingan diri adalah sentiasa terkehadapan berbanding yang lainnya. Hal ini adalah lumrah kerana amalan politik hari ini langsung tidak lari dari politik kepentingan tajaan ideologi Barat yang sekular.

Politik Islam adalah bermaksud mengurusi urusan rakyat dengan syariah. Umat Islam dan manusia seluruhnya wajib diatur dengan hukum-hakam Islam, bukan selainnya. Pemimpin Islam yang memimpin dan menjalankan urusan politik sentiasa dipimpin oleh taqwallah dan hukum syarak, mereka takut kepada azab akhirat yang amat pedih dan menjadikan kepimpinan sebagai suatu amanah yang amat berat hingga mereka sangat berhati-hati ketika memikulnya. Lihatlah bagaimana kisah para Khalifah Rasyidun yang begitu tawadhuk pemimpin amanah kerana takutkan azab Allah. Juga, Khalifah lainnya seperti Harun Ar-Rasyid yang menangis tertunduk apabila ditegur oleh Imam al-Fudhail menunjukkan betapa pemimpin Islam itu sangat peka dengan tanggungjawabnya di dunia. Mereka semua mengurus urusan rakyat dengan syariat dan menyebarkan agama Allah ke seluruh pelosok alam. Bandingkanlah politik mereka dengan ‘politik kepentingan’ yang berlaku dalam negara kita sekarang. Alangkah jauhnya para politikus kita dari kebenaran.

Perlu kita sedari bahawa mainan politik yang berlaku di sekeliling kita adalah tidak lebih dari permainan politik sekular warisan penjajah yang mana masing-masing pihak yang bertelagah cuba memanjangkan tempoh hegemoni sekular mereka ke atas kita, sesuai dengan kehendak Barat. Penjajahan yang Barat lakukan secara ‘halus’ ini sentiasa dilakukan tanpa putus asa agar kita sentiasa terpengaruh dengan racun yang mereka suntik melalui para pelakon yang telah ‘terdidik’ dengan tsaqafah mereka ini.

Sebagi Muslim, apa yang penting bagi kita adalah Islam. Segalanya fenomena yang berlaku sekarang wajib diukur dengan Islam, yakni sama ada ia bersesuaian dengan tuntutan Islam atau sebaliknya. Islamlah yang mesti kita jadikan standard berfikir dalam mengukur kebenaran dan kebatilan terhadap senario politik yang tidak menentu yang berlaku saat ini. Dengan berfikir secara Islam sahajalah, maka kita akan dapat menghindarkan diri kita dari terpengaruh dengan racun sekular Barat ini. Isu politik dan isu peralihan kuasa ini tidak akan, dan tidak akan pernah membawa apa-apa erti kepada kita umat Islam, sekiranya yang memimpin kita bukannya pemimpin yang mempunyai pemikiran Islam. Biarpun 1001 kali pemimpin bertukar sekalipun, apalah gunanya jika sang sekular yang tetap berada di atas dan nasib umat Islam tidak pernah terbela dengan hukum-hakam dari Al-Quran dan Sunah. Kita memerlukan sistem (dan pemimpin) Islam yang tulen, bukan mereka yang datangnya dari celupan Barat! Kita memerlukan seorang Khalifah yang memerintah dengan apa yang Allah kehendaki dan melarang dengan apa yang Allah tegahi. Inilah sebenar-benarnya pemimpin di dalam Islam!

Pertelagahan sekular yang semakin parah ini sesungguhnya hanya menunjukkan hakikat kerapuhan sistem yang datangnya dari Barat ini. Sememangya itulah sifat semulajadi sekularisme yang lahir dari Ideologi Kapitalis yang memisahkan agama dari kehidupan. Walaupun dari segi agamanya, para pemimpin kita adalah Muslim, namun dek kerana ideologi Kapitalis-sekular yang mendominasi pemikiran mereka, maka pertelagahan dan perebutan yang berlaku ini adalah lumrah bagi penganut ideologi ini kerana masing-masing hidup hanya untuk meraih sebanyak mungkin 'manfaat', bukannya hidup untuk mematuhi perintah dan larangan Allah sebagai persiapan diri menuju ke akhirat. Sesungguhnya Ideologi sekular ini tidak lama lagi akan berakhir dan Khilafah sekarang sebenarnya semakin melangkah setapak demi setapak dengan gagahnya untuk menampilkan dirinya yang telah lama menghilang. Kedatangannya kali ini akan menghapuskan segala Ideologi kufur yang membelenggu umat Islam selama ini dan seterusnya ia akan membawa agama Allah ini untuk dizahirkan di atas segala agama dan ideologi lainnya. Di saat kemunculannya, maka akan berkuburlah sekular yang sedang retak menanti belah ini. Insya Allah.

Filed under having 0 Ulasan  

Percanggahan tentang ISA – Bukti kelemahan manusia membuat undang-undang

by AURA JIHAD

Berikutan dari kenyataannya yang tidak bersetuju terhadap penggunaan ISA ke atas tiga orang individu terbabit baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah mengumumkan keputusannya untuk berundur sebagai anggota Kabinet. Walaupun Perdana Menteri memintanya memikirkan semula akan hal itu, namun Zaid tetap tegas dengan keputusannya. Zaid di dalam kenyataannya menegaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik. Kata beliau, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menyanggah pendapat Zaid berkata, penahanan tiga individu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah bertujuan menjaga keselamatan serta ketenteraman rakyat negara ini dari isu perkauman dan agama yang telah dibangkitkan. Manakala dalam masa yang sama, Syed Hamid dilihat hanya bersikap acuh–tidak acuh sahaja bila ditanya mengapa Datuk Ahmad Ismail tidak turut ditahan walhal beliau telah membangkitkan hal yang sama. Ujar beliau, Ahmad sudah menerima hukumannya selepas digantung daripada memegang sebarang jawatan dalam parti selama tiga tahun. Polis juga sedang menyiasat Ahmad berikutan aduan dibuat beberapa pihak sebelum ini.

Selain pertikaian lidah di antara kedua ahli UMNO tersebut, beberapa pihak lain juga muncul melakukan ‘anti-thesis’ kepada kerajaan yang mengabsahkan ISA untuk tujuan melestarikan kerajaan yang sedia ada. Parti-parti pembangkang yang memang selama ini tidak bersetuju dengan ISA muncul dengan hujah yang sama, yang bersumber dari akal, untuk menangkis ‘kebaikan’ ISA yang di canang-canangkan oleh pihak Kerajaan.

Apa yang berlaku mutakhir ini menunjukkan ISA sudah mula dipertikaikan secara terbuka oleh anggota kerajaan sendiri, satu fenomena yang sukar dilihat di Malaysia. Percanggahan ini sebenarnya adalah satu perkara biasa di dalam sistem buatan manusia, cuma persoalannya sama ada mereka berani membincangkannya secara terbuka atau tidak. Hari ini, Zaid Ibrahim nampaknya cuba memecahkan tradisi.

Dalam membincangkan tentang perbezaan sesama sendiri berhubung peraturan yang lahir dari undang-undang buatan manusia ini, Syeikh Taqiyuddin Al-Nabhani, pendiri Hizbut Tahrir pernah menyatakan bahawa selama mana manusia mencipta peraturan sendiri untuk menguruskan hidupnya dan membuat sistem hidup sendiri, ini akan menzahirkan pelbagai kelemahan. Komentarnya,

“ … apabila dibiarkan manusia mengatur sendiri sistem hidupnya, perkara ini akan membawa kepada perbezaan (tafaawut), perselisihan (iktilaf), pro-kontra (tanaaqud) dan dipengaruhi oleh lingkungan hidup…yang seterusnya akan membawa kesengsaraan kepada kemanusiaan” [Nizhamul Islam, ms 10]

Kalau kita melihat kepada kenyataan Zaid Ibrahim pastinya kita akan dapat menemukan kenyataan beliau sendiri yang ‘berbeza’ tentang ISA. Beliau bukanlah menafikan ISA seratus peratus tapi melihat bahawa orang awam tidak boleh dikenakan ISA, yang boleh dikenakan ISA hanyalah ‘pengganas’ atau kepada orang yang ingin menggulingkan kuasa dengan cara kekerasan. Cara melihat manusia dari aspek ‘orang awam’ atau ‘pengganas’ inilah yang disebut sebagai tafawut (perbezaan).

Walhal perbezaan tersebut hanyalah terjadi disebabkan ‘syak’ dan ‘tafsiran’ dari kerajaan semata-mata. Contohnya, katalah satu kenyataan perkauman yang sama bentuknya dikeluarkan oleh A, B dan C. Maka ‘terpulanglah’ kepada kerajaan untuk menilai siapakah di antara ketiga orang ini termasuk dalam kategori ‘orang awam’ atau ‘pengganas’. Zaid sendiri tentunya akan membuat penilaian sendiri berhubung ‘status’ orang tersebut, yang, mungkin sama dan mungkin tidak sama dengan penilaian kerajaan. Oleh sebab kuasa ada di tangan kerajaan, maka ini menjadi hak mutlak kerajaan untuk menentukannya dan tafawut (perbezaan) ini hakikatnya terpaksa ditelan oleh Zaid. Justeru, membezakan antara ‘orang awam’ dan ‘pengganas’ tidak memberi apa-apa penyelesaian, kerana ‘cara pandang’ sebegini adalah cara pandang yang tidak menjadikan Islam sebagai panduan. Oleh sebab itulah, walaupun kenyataan Ahmad Ismail dan Raja Petra, kedua-duanya boleh ‘mencetuskan’ huru-hara (bagi kerajaan), tetapi kerajaanlah yang akan ‘menilai’ dan menentukan siapakah yang akan disumbat ke dalam ISA. Walhal menurut Islam, siapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan syarak, maka hukumannya sama sahaja, tidak kira siapa pun dia, kerana yang menjadi ukuran adalah ‘syarak’, bukan ‘orangnya’.

Keadaan tafawut ini berlaku juga kepada parti pembangkang, sebagai contohnya, apabila kerajaan mengenakan tindakan ISA kepada orang yang ‘disyak-wasangka’ pengganas itu, datangnya dari ‘gerakan Islam’ seperti JI atau Al-Qaeda, maka pihak pembangkang seperti DAP ataupun Hindraf tentunya tidak akan berkata apa-apa, namun bila Teresa Kok dan beberapa orang pejuang Hindraf dikenakan tindakan ISA, barulah mereka akan berjuang habis-habisan untuk memansukhkan ISA. Bahkan ada juga seruan yang hanya bersifat kepartian, iaitu mereka hanya ingin membebaskan beberapa orang tertentu sahaja dari ISA.

Hukum akal buatan manusia juga tidak lain akan menghasilkan perselisihan (ikhtilaf) dalam kehidupan dan sudut pandang manusia, iaitu memandang sesuatu dari sudut yang berbeza. Sebagai contohnya Datuk Ahmad Ismail bekas ketua cawangan UMNO Bukit Bendera walaupun mengaku membuat kenyataan bersifat perkauman namun dia tidak dikenakan tindakan ISA oleh kerajaan kerana mengikut sudut pandang Menteri Dalam Negeri dia sudah dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO. Sedangkan orang yang tidak dapat didisiplinkan oleh UMNO akan dikenakan ISA. Isu keselamatan Negara digembar-gemburkan untuk menghukum penduduk Malaysia yang disyaki akan menimbulkan huru-hara telah bertukar menjadi isu politik dalaman UMNO. Sudut pandang yang mencuat inilah yang dinamakan Ikhtilaf yang sering kita temukan dalam sistem buatan manusia hari ini.

Dari sudut pro-kontra (tanaaqud) manusia sering mengukur mengikut ‘kepentingan’ masing-masing. UMNO/BN menyokong dan ingin mengekalkan ISA kerana ISA boleh digunakan untuk ‘kepentingan’ politik mereka, manakala parti pembangkang sendiri menolak ISA kerana lebih ramai penghuni Kem Kamunting (Kemta) adalah dari golongan pembangkang. Mungkin jika ISA masih diguna pakai sebagaimana tujuan asal kewujudannya iaitu membendung anasir komunis, lalu beberapa orang pejuang komunis dimasukkan di bawah ISA, maka hal ini tidak akan menjadi satu bangkangan dari pembangkang. Tapi, jika ahli mereka yang ditangkap di bawah ISA, maka mereka pastinya akan membangkang. Pro-kontra ini wujud kerana nilaian ISA dibuat berdasarkan akal, bukannya syarak, yakni ‘cara pandang’ sesuatu yang ditempelkan kepada rasional akal, bukannya berdasarkan kehendak Tuhan. Walhal di dalam Islam, masalah tanaqud sebegini tidak akan wujud kerana setiap orang wajib melihat ISA dari sudut hukum syarak (yakni) sama ada diperbolehkan atau tidak (oleh Islam) menahan seseorang tanpa bicara. Dengan kata lain, apakah Allah dan RasulNya membolehkan kewujudan undang-undang seperti ISA, inilah satu-satunya cara pandang yang benar dan hak di dalam menjawab isu ISA.

Justeru, berdasarkan hukum syarak dengan nas-nas yang jelas, Hizbut Tahrir menolak apa sahaja undang-undang buatan manusia yang bercanggah dengan Islam, termasuklah ISA. Tahanan tanpa bicara ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan Islam, di mana terdapat kaedah syarak dalam Islam yang menyebut,

“Al-Aslu Bara’atu Zimmah” (seseorang itu asalnya tidak bersalah sehinggalah dibuktikan - Innocent until proven guilty).

‘Syak wasangka’ tidak boleh dijadikan alat untuk menghukum manusia kerana Islam meletakkan ‘pembuktian’ (baiyyinat) sebagai asas kepada hukuman. Tanpa bukti, haram bagi setiap pemerintah untuk menghukum seseorang. Justeru, menghukum (memenjarakan) seseorang di bawah ISA tanpa bicara adalah jelas-jelas haram di dalam Islam. Kerana itulah, Hizbut Tahrir menolak Akta ini, dan juga segala Akta lain yang dibuat berdasarkan akal, tanpa mengikut panduan wahyu! Bukan sahaja Hizbut Tahrir, malah keseluruhan umat Islam wajib menolak Akta ini, dan juga semua undang-undang kufur yang ada, kerana semuanya adalah hasil dari buatan manusia di dalam sistem demokrasi, yang jelas-jelas bercanggah dengan Islam. Segala Akta kufur ini bolah muncul di negeri umat Islam kerana adanya sistem demokrasi yang mana undang-undang itu boleh dibuat oleh manusia hanya dengan suara majoriti di antara mereka, walaupun undang-undang tersebut bersalahan sama sekali dengan undang-undang Allah swt.

Filed under having 0 Ulasan  

Projek 'make-up' sang Kapitalis

by AURA JIHAD

Kementerian Pelajaran menyasarkan sejuta pelajar yang menyertai program jawi, al-Quran dan fardu ain (j-Qaf) ketika ini mampu menguasai al-Quran menjelang 2010. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sasaran itu boleh dicapai berdasarkan kemajuan yang dikecapi sejak pelaksanaan projek perintis itu pada 2005. "Ini adalah langkah untuk memperkasakan pendidikan sedia ada dan dijangka program ini dapat diperluaskan ke peringkat sekolah menengah suatu hari nanti," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Khatam al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ketiga di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas di sini semalam. Di samping peningkatan jumlah guru j-Qaf dari 3,567 pada 2005 kepada 13,470 guru, tahun ini ia juga mensasarkan supaya lebih ramai generasi muda celik al-Quran terutama pelajar peringkat rendah. Sejumlah belanjawan yang cukup besar untuk program itu iaitu RM146.2 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)

RM146.2 juta untuk projek celik al-Quran memanglah satu jumlah yang begitu besar. Namun siapa yang akan cek sama ada jumlah tersebut benar-benar akan digunakan untuk projek tersebut atau hanya sebahagian kecil sahaja, manakala bahagian yang besarnya akan mengalir ke lain? Hanya Allah, Hishamuddin dan mereka yang terlibat sahaja akan mengetahui.

Baguslah dengan adanya projek seumpama ini, cuma yang tak kenanya adalah projek ini hanya ditumpukan untuk melahirkan pelajar yang celik al-Quran. Dapat membaca al-Quran adalah satu hal, mengamalkan isi kandungan al-Quran adalah satu hal lagi. Tidak ada guna melahirkan insan yang pandai membaca al-Quran, namun meninggalkan isi/ajarannya. Al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan sebagai panduan hidup bagi seluruh umat manusia. Ramai cerdik pandai Al-Quran yang ada di dunia termasuk di Malaysia memahami hal ini, namun berapa ramaikah generasi yang lahir dari projek ini yang akan berjuang untuk menerapkan hukum-hukum al-Quran? Kemungkinan tidak seorang pun, kerana fokus projek adalah hanya mencelikkan pelajar kepada ‘pembacaan’, bukannya kepada penerapan terhadap apa yang dibaca. Justeru, dengan projek sebesar ini, nampaknya kalam hanya tinggal kalam. Kenapa? Kerana inilah yang dimahukan oleh ‘pengarah’ projek. Pengarah projek bukannya ingin melahirkan insan yang mengamalkan syariat yang ada di dalam al-Quran, ia cuma ingin melahirkan insan yang sekadar boleh mengenal huruf dan membaca al-Quran.

Siapa tidak tahu bahawa sistem pendidikan Malaysia adalah bertunjangkan sekular. Kata-kata Hishamuddin untuk ‘memperkasa pendidikan sedia ada’ adalah bermaksud mengukuhkan lagi pendidikan sekular yang segar berjalan!

Projek j-Qaf hanyalah ‘make-up’ untuk mencantikkan sekularisme yang sememangnya hodoh dan buruk. Ia hanya dijadikan projek agar anak-anak kaum Muslimin tahu membaca dan mungkin mendapat sedikit pemahaman, namun tidak boleh sama sekali melaksanakan apa sahaja yang bertentangan dengan kepentingan sekularisme itu sendiri.

Lihat saja betapa banyak masalah kehidupan di sekeliling kita yang menimbulkan huru-hara yang tidak pernah diselesaikan dengan Al-Quran, walhal kita mempunyai berapa ramai golongan tahfiz dan celik Al-Quran?

Al-Quran juga hanya dibaca oleh para pemimpin (yang tahu membaca) apabila ada majlis bacaan yassin, tahlil dan seumpamanya, itupun sekiranya ada lensa kamera yang fokus terhadap mereka. Di masa selainnya, Al-Quran tinggal sebagai kitab suci yang disimpan rapi dalam rak khas, tanpa pernah golongan pemerintah ini melaksanakan isinya. Inilah realiti pemerintah yang kononnya ingin memartabatkan Al-Quran, walhal tidak pernah memikul tanggungjawab yang Allah taklifkan ke atas mereka di dalam al-Quran. Firman Alah swt,

“Perumpamaan orang-orang (Yahudi) yang dipikulkan ke atas mereka (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul bebanan kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Begitulah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” [TMQ Al-Jumu’ah (62):5]

Filed under having 0 Ulasan  

NUZUL AL QURAN – Turunnya Perintah dan Larangan Allah

by AURA JIHAD

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)” [TMQ al-Baqarah (2):185].

17 Ramadhan sering diingati dan di peringatkan kepada kita setiap tahun. Tarikh yang di mana turunya kitab terakhir, yang memansuhkan kitab- kitab umat yang terdahulu, iaitu Al Quran. Peringatan yang sering dilontarkan adalah agar kita semua mengimarahkan hari-hari di bulan Ramadhan dengan membaca Al- Quran sebanyak- banyak yang mungkin. Malah, ada yang melakukan solat tarawikh dengan bacaan 1 juzuk daripada al-Quran pada setiap malam dengan harapan beliau akan mampu mengkhatamkan al-Quran semasa di bulan Ramadhan.

Tidak dapat dinafikan, amalan ini memang merupakan amalan yang baik dan terpuji. Malah, si pembaca akan mendapat ganjaran pahala bagi setiap bacaan al – Quran yang dilafazkannya. Namun begitu, kebanyakan daripada kaum Muslimin hari ini, mereka membaca al-Quran dan menghafalnya, tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya. Begitu juga, mereka sangat sensitif menjaga fizikal (mushaf) al- Quran, tetapi meremehkan, memperleceh, dan menolak hukum yang terkandung didalamnya. Allah dengan tegas mengingatkan golongan seperti ini di dalam al- Quran :

“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”. [TMQ al-Jumu‘ah (62):5].

Malah, sesetengah daripada umat akhir zaman ini menjadikan al- Quran sebagai kitab yang mempunyai kuasa ”mistik”, dimana mereka menjadikannya sebagai tangkal, pelaris jualan, penolak bala, penghalau syaitan tetapi Al- Quran yang sama tidak dijadikan pedoman, petunjuk dan pembentuk kesedaran dalam diri agar menjadi umat yang terbaik, yang terpancar hasil daripada terterapnya keseluruhan hukum Allah yang tedapat di dalam al- Quran dalam segenap aspek kehidupan mereka. Ada juga sebahagiannya yang hanya menjadikan ayat- ayat Allah ini sebagai bahan hiasan dalaman rumah yang menghiasi dinding- dinding rumah, tetapi tidak memahami langsung ayat tersebut dan lebih teruk sekiranya ada yang menganggap ayat- ayat Allah ini sebagai hasil seni yang sangat menakjubkan. Nauzubilahi min zalik!

Sering kita dengari umat Islam senantiasa mengatakan bahawa Al-Qur’an adalah pedoman hidup, tetapi pada masa yang sama mereka tidak menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur kehidupan. Umat Islam hanya memilih hukum-hakam tertentu yang ada di dalam Al-Qur’an untuk diamalkan dan mereka meninggalkan sebahagian besar hukum-hakam yang lain. Mereka mengambil ayat-ayat tentang akhlak tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang mua’malat. Mereka mengambil ayat-ayat tentang wudhu’ tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang hudud. Mereka mengambil ayat-ayat tentang puasa tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang jihad. Sebagai contoh, di dalam al-Quran Allah ada berfirman dengan lafaz yang sama dan hampir sama iaitu :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa [TMQ Al Baqarah (2) : 183]

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih.[TMQ AL Baqarah (2) : 178]


Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. [TMQ AL Baqarah (2) : 216]

Ketiga- tiga ayat di atas menggunakan lafaz perkataan ”kutiba” yang bermaksud ”telah diwajibkan keatas kamu”, yang memberi konotasi wajib untuk dilaksanakan. Namun begitu, kaum Muslimin pada masa sekarang berbondong- bondong menyahut seruan ayat tentang puasa, tetapi mengabaikan seruan Allah supaya menegakkan qishaash dan jihad. Walhal, kewajipan puasa, solat, zakat, dan haji adalah sama dengan kewajipan menerapkan hukuman qishaash dan melancarkan jihad oleh pemimpin kaum muslimin.

Di sini kita dapat melihat, bahawa mereka hanya memilih hukum-hukum yang mereka suka untuk diamalkan. Mereka berusaha menundukkan Al-Qur’an agar sesuai dengan hawa nafsu mereka. Mereka malah mengambil hukum kufur yang dibuat oleh penjajah dan meninggalkan hukum Allah. Dengan sebab inilah Allah menurunkan kehinaanNya ke atas mereka.

“.....apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang sangat berat.....” [TMQ Al-Baqarah (2):85].

Wahai umat Islam yang sentiasa dalam kasih sayang Allah sekalian. Kita mesti sedar bahawa, al- Quran yang diturunkan bukanlah hanya semata- mata untuk dibaca semata, tetapi ia mengandungi petunjuk sepanjang zaman, sebagaimana sabda Rasulullah :

Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara; jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya” [HR Muslim].

Semoga peringatan Nuzul al Quran yang ringkas kali ini memberi kesedaran kepada kita semua agar bersama- sama mengembalikan hukum- hukum Allah di dalam kehidupan dan bukannya ayat- ayat Allah ini sekadar menjadi pemanis mulut dan penyedap telinga semata- mata.

“Dari Ali, radhiaAllahu ‘anhu, katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, bersabda:

"Awaslah, sesungguhnya akan berlaku fitnah". Aku bertanya: "Apakah jalan keluar darinya ya Rasulullah?" Baginda menjawab: Kitabullah. Di dalamnya terdapat kisah-kisah apa yang sebelum kamu dan pengkhabaran apa yang akan datang sesudahmu; dan hukum-hakam di antara kamu; Ia (Al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa sahaja yang meninggalkannya kerana sombong, akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk dari selainnya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran yang bijaksana; Ia adalah As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar atau berputar belit; dan para ulama pula tidak pernah puas darinya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata “Sesungguhnya kami mendengar bacaan Al-Qur'an yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya."; sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; dan sesiapa sahaja yang beramal dengannya, pahalalah ganjarannya; dan sesiapa sahaja yang berhukum dengannya, adillah ia; dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya ia menunjuk kepada Siratil Mustaqim (jalan yang lurus)." [HR Tirmizi dan Darimi].

Filed under having 0 Ulasan  

Meninggal kesan kesengsaraan sistem Kapitalis

by AURA JIHAD

Menyayatkan! Seramai 21 rakyat miskin di Pasuruan meninggal semasa berebut wang zakat berjumlah Rp30 ribu (RM16) dari H. Syaichon, warga RT III RW IV Kelurahan Purutrejo, Kecamatan Purworejo, Kota Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia. Sementara itu puluhan lainnya cedera akibat perebutan tersebut. Kebanyakan yang maut adalah warga tua dan juga kaum ibu yang sesak nafas karena jatuh dan terpijak di dalam lautan manusia yang berebutkan zakat.

Kisah tragis itu bermula dari rancangan H Syaichon untuk membahagikan wang zakat berjumlah Rp30 ribu hingga 40 ribu kepada para fakir miskin pada hari Isnin (15/9/08) yang lalu. Serentak dengan itu, berita pun terus tersebar dari mulut ke mulut warga miskin di Pasuruan dan kota sekitarnya seperti Probolinggo. Di kawasan tersebut, wang sebesar itu bagi para dhu’afa sangat tinggi nilainya sehingga di antara mereka rela untuk berebut mendapatkan bahagian.

Ribuan kaum dhu’afa dari berbagai penjuru di Pasuruan dan sekitarnya telah menunggu sejak subuh hari Isnin. Mereka berharap mendapatkan wang zakat dari pemberi tersebut. Biasanya pembahagian zakat yang telah dilakukan oleh H Syaichon sejak 1975 lagi ini berjalan lancar. Namun pada kali ini ia telah mengundang kemalangan, hingga meragut nyawa. Hal ini menjadi petunjuk bahawa taraf kehidupan masyarakat di kawasan tersebut adalah semakin parah.

Tragedi ini dikatakan terjadi karena jalan menuju rumah Syaichon sangat sempit, yakni hanya selebar sekitar 2.5 meter. Seperti digambarkan detik.com sebelum tragedi berlangsung, di hujung jalan rumahnya dibuat sekatan dari buluh dan hanya ada pintu selebar 1 meter sahaja untuk keluar masuk ke rumah tersebut. Pemagaran tersebut dilakukan agar warga bisa beratur dengan tertib. Namun, ternyata ribuan penerima zakat sejak pagi telah berebut masuk ke dalam kawasan yang di pagar itu. Sementara yang lainnya menunggu giliran di sepanjang Jalan Dr. Wahidin Sudirohusodo.

“Akhirnya penggunaan sekatan tersebut telah menghasilkan mala petaka. Penerima zakat yang akan masuk dan keluar dari rumah Syaichon terperangkap di dalam sekatan. Mereka saling berebut melewati satu-satunya pintu yang tersedia. Akibatnya suasana di dalam kawasan berpagar tersebut menjadi tidak terkawal. Saling tolak-menolak dan saling pijak-memijak terjadi, akhirnya terjadilah insiden yang berdarah,” demikian lapor detik.com.

Jerit tangis mereka tak bisa cepat tertangani karena terbatasnya panitia dan besarnya jumlah warga yang antri. Air yang dikucurkan dari selang kecil tak sanggup menyegarkan warga yang berdesakan. Akhirnya puluhan warga pingsan. Sekitar 21 orang nyawanya tak tertolong. Mereka tewas sebelum mendapatkan bagiannya.Sementara puluhan orang di antaranya luka-luka.

Apa yang berlaku ini semakin membuktikan hakikat bahawa betapa negara selama ini telah mengabaikan nasib rakyatnya. Rakyat yang seharusnya bergantung kepada layanan negara, kebingungan mencari ‘ibu’nya. Para pemerintah hanya memikirkan diri sendiri dan kroninya sahaja, sementara rakyat senantiasa terabai. Tragedi ini pun semakin memperjelaskan bahawa sistem negara yang tidak berdasarkan aturan Allah tidak akan mendatangkan berkah, malah sebaliknya sentiasa menimbulkan musibah. Inilah akibatnya apabila sistem Kapitalis dijadikan tunjang pemerintahan negara, manakala hukum Allah dicampakkan. Kemiskinan berlaku di sana sini walhal kekayaan negara melimpah ruah. Kekayaan dikaut habis-habisan oleh golongan pemerintah yang Kapitalis, manakala rakyat dibiarkan menderita. Masihkah kita berharap kepada sistem Kapitalis dan tidak mahu melihat syariah mentadbir negara?

Filed under having 0 Ulasan