Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

Rasuah seks lebih penting dari seks?

by AURA JIHAD

Sabtu, 18 Oktober 2008 18:36 IPOH 18 Okt – Fairul Azrim Ismail, 30, ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini mengaku mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didakwa melakukan perbuatan tersebut secara rasuah. Dia didakwa menerima daripada Mohamad Imran Abdullah suapan wanita tersebut bagi tujuan mengadakan hubungan seks. Terdahulu, Fairul mendakwa bahawa dia telah diperangkap oleh BPR untuk melakukan perkara tersebut. Dalam surat aduannya kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Fairul Azrim mendakwa, pada 14 Ogos lalu, semasa dalam perjalanan ke Permatang Pauh, Pulau Pinang, dia bersama rakannya Zul Hassan dan Ruslan Sahat telah singgah di Hentian Rehat dan Rawat Kuala Kangsar untuk bertemu dengan Mohamad Imran yang membawa bersama tiga wanita yang dikatakan berasal dari China.

Sementara itu, Zul yang ditemui sebaik mengadakan pertemuan dengan pegawai JAIP, apabila ditanya sama ada dia turut melakukan hubungan seks, Zul berkata: “Tidak mengaku tidak boleh, dia (BPR) ada gambar.'' Katanya, dakwaan BPR bahawa dia dan dua rakannya meminta perempuan China daripada Mohamad Imran adalah tidak benar.

“Kita tak minta, tak cari, Mohamad Imran yang hantar. Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?’’ ujarnya.

Ungkapan ‘zina umpama sedekah’ yang dikeluarkannya itu telah menjadi kontroversi apabila beberapa pihak terus membidasnya. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyifatkan ungkapan itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama selain merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan. Manakala Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, yang terkejut dan kesal dengan kenyataan itu berkata, sebagai orang Islam, Zul seharusnya faham dan sedar ungkapan yang digunakan itu secara terang telah memalukan umat Islam. Dalam nada perli, beliau menyarankan agar ulama terutama daripada Pas memberikan nasihat dan mentarbiyyah Zul.

“Janganlah pula selepas ini ulama-ulama Pas mencari dalil dan alasan untuk menutup perkara berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Perak, Zulkifli Ibrahim memberi komen bahawa ungkapan tersebut sekadar satu 'kesilapan bahasa yang tidak disengajakan'. Beliau juga meminta Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) menyiasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 berhubung laporan yang dibuat kepada jabatan itu oleh Zul dan Fairul Azrim pada 23 September lepas bahawa mereka telah diperangkap oleh BPR untuk melakukan hubungan seks masing-masing dengan wanita dari China.

Sebagai Muslim kita pastinya tidak akan bersetuju dengan kata-kata Zul Hassan itu kerana dua perbuatan tersebut sangat bertentangan antara satu sama lain. Zina merupakan perkara yang diharamkan oleh syarak manakala sedekah pula adalah halal dan sunat hukumnya. Mana mungkin halal dan haram boleh dicampurkan sekali atau pun disamakan. Sama ada ia dibuat dengan niat dan penuh kesedaran atau pun tersasul, hakikatnya kata-kata tersebut tidak boleh diterima kerana ia dikeluarkan dalam rangka membela diri dari keharaman yang telah diakui.

Sebagai sebuah negara sekular yang berhukumkan hukum buatan manusia, Fairul Azrim telah didakwa atas kesalahan ‘rasuah seks’. Walaupun terdapat pengakuan (sebagaimana dilaporkan akhbar), namun dia tidak pula didakwa atas kesalahan zina! Kesalahan yang menjadi ‘minat’ kerajaan sekarang adalah kesalahan rasuah, bukannya zina. Biasalah negara sekular, mereka akan memilih dan mendakwa mengikut sesuka hati mereka sahaja tanpa memandang bentuk keharaman yang dilakukan.

Namun isu ini sebenarnya tidak sepatutnya difokuskan kepada ungkapan dan pengakuan yang dibuat sahaja. Kita haruslah melihat dari aspek yang lebih besar berkenaan ‘kejayaan’ sistem sekular itu sendiri dalam melahirkan orang-orang yang banyak melakukan keharaman atau maksiat kepada Allah di dalam profesion mereka, termasuklah di pihak kerajaan sebagai institusi pelaksana hukum. Dari segi politik pula, oleh sebab ‘kesalahan’ ini dilakukan oleh ahli parti pembangkang, maka kes ini perlulah dibesar-besarkan agar menampakkan keburukan pembangkang (PKR) dan melemahkan keyakinan rakyat kepada mereka. Seterusnya diharapkan agar rakyat menolak pembangkang dan beralih kepada kerajaan yang mengamalkan sekular yang lebih baik dari pembangkang.

Dari aspek uqubat Islam pula, kita dapat menyaksikan bagaimana Negara Islam Hadhari yang sekular ini tidak menerapkan hududullah di dalam kes pengakuan zina, walhal ayat Quran dan Hadis jelas memperkatakan tentang hukumannya. Ternyata, ‘rasuah seks’ dilihat lebih besar dan lebih penting bagi mereka dari ‘hubungan seks’ itu sendiri.

Alangkah jauhnya kerajaan Malaysia dari syariat Islam, malah tidak melaksanakan hudud itu langsung tidak dilihat sebagai satu kesalahan oleh mereka. Semua hukum syariat hanya tersimpan sebagai tulisan di dalam kitab suci Al-Quran, tanpa satu pun diamalkan oleh mereka, kecuali beberapa hukum-hukum ibadat seperti solat dan puasa. Islam langsung tidak diambil sebagai way-of-life oleh mereka. Dalam keburukan sekular sekarang, apakah kita masih mahu berdiam diri tanpa berusaha untuk menegakkan hukum Allah? Apakah dengan bergelumang apatah lagi menyokong kerajaan dan sistem sebegini yang kita harapkan dapat menyelamatkan diri kita dari azab Allah di akhirat nanti?

Filed under having 0 Ulasan  

Patriotisme memecahbelahkan umat!

by AURA JIHAD

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu supaya patriotisme di perkasakan di negara ini kerana tanpa semangat itu sesebuah bangsa akan hanyut tanpa pedoman. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Semangat Merdeka 2008 sempena Majlis Aidilfitri Bersama Biro Tata Negara (BTN) di Akademi Kenegaraan di sini pada 15 Oktober lepas. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin ketika mengampu saranan Pak Lah berkata, saranan itu tepat pada masanya di mana rakyat Malaysia perlu berusaha untuk memperkasakan semangat patriotisme di dalam diri masing-masing dengan mendalami sejarah negara.

Sementara itu, Pensyarah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah, Zaini Othman berkata, kegagalan menerapkan pemahaman sejarah di kalangan pemimpin muda negara dan generasi akan datang boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan politik dan sosial negara. Beliau juga turut menyentuh fenomena segelintir golongan muda yang memperjuangkan demokrasi ala-barat. Menurutnya, demokrasi di Malaysia adalah berbeza dari Barat kerana ia dijadikan sebagai alat untuk mentadbir negara dengan matlamat mewujudkan negara yang harmoni dan aman.

Inilah di antara contoh ketidakjelasan berfikir yang ada pada golongan intelektual di negara ini. Dalam satu masa mereka meminta kita agar tidak meniru Barat, tapi dalam masa yang sama mereka sebenarnya sedang meniru Barat. Sistem demokrasi dalam apa jua bentuk dan caranya sekalipun adalah merupakan satu sistem yang berasal dari Barat. Mengambilnya dengan cara yang sama mahupun berbeza dari Barat, hakikatnya tetap mengambil sesuatu yang berasal dari Barat. Matlamat yang baik sekalipun apabila mengambil perkara yang haram, maka haram pulalah hukumnya. Ibarat kata Robin Hood yang berniat suci menolong orang susah, namun merompak dari harta orang kaya.

Semangat patriotisme yang sering diseru oleh golongan pemimpin dan intelektual sekarang juga bukan berasal dari Islam, malah keharamannya teramat jelas. Patriotisme/wathaniyah merupakan manifestasi dari gharizatul baqa (survival instict) yang melahirkan rasa cinta kepada tanah air. Ia menyebabkan seseorang itu merasa bangga dengan tanah airnya dan akan merendahkan tanah air orang lain. Apatah lagi jika tanah airnya dihina atau diserang, maka perasaan patriotisme ini semakin membuak-buak.

Anehnya, dalam pada pemimpin dan golongan intelektual menyeru kita agar melihat kembali sejarah dan tidak meniru Barat, mereka umpama orang yang hilang akal bahawa berdasarkan sejarah, patriotisme itu sendiri adalah satu semangat yang ditiup oleh kuffar Barat kepada umat Islam untuk memecahbelahkan umat Islam dan negara mereka (Daulah Khilafah). Dengan semangat patriotisme dan nasionalisme inilah Barat dahulunya berjaya menghancurkan Negara Islam (Khilafah), dengan melaga-lagakan sesama umat Islam atas dasar semangat haram tersebut.

Patriotisme bukan dari Islam bahkan ia dilarang jelas oleh syarak. Maka, menjadikan sejarah untuk menaikkan semangat patriotisme tidak akan memberikan keuntungan kepada umat Islam, malah akan terus memperlemah dan memecahbelahkan sesama umat Islam di seluruh dunia.

Mereka menyeru kita agar berpegang kepada sejarah, malangnya mereka buta bahawa sejarah yang mereka jadikan pegangan sekarang hanyalah sejarah yang telah ditulis dan diedit oleh kuffar Barat. Mereka belajar dan faham sejarah dengan cara yang dikehendaki dan diredhai oleh golongan kuffar musuh Islam. Jika benar mereka mengkaji sejarah dari sumber yang benar, mereka akan dapati bahawa Daulah Khilafah Islamiyyah telah memerintah selama lebih 13 abad dan telah menguasai hampir dua per tiga dunia. Umat Islam di satukan di bawah satu payung pemerintahan dan dipimpin oleh seorang Khalifah sahaja selama berabad-abad lamanya. Hanya setelah kuffar Barat yang bencikan Islam berjaya menjajah dan memecahbelahkan umat Islam, barulah umat Islam hidup terpisah-pisah atas dasar bangsa dan tanah air.

Justeru, jika kita ingin kembali kepada sejarah, maka umat Islam mestilah bersatu semula di bawah Daulah Khilafah, inilah sejarah Islam yang tidak dapat dimungkiri oleh sesiapa pun. Malangnya sungguh pelik! Apabila pemimpin dan para cerdik pandai ini menyeru kepada sejarah, mereka menyeru agar kita sayangkan tanah air (patriotisme), dengan kata lain kita diseru agar kekal di dalam bentuk perpecahan sempadan yang telah dibuat oleh Barat ke atas kita. Pelik sungguh mereka ini bercakap tentang sejarah! Inilah golongan yang menyeru kepada sejarah di dalam rangka yang diredhai oleh kuffar.

Demikian juga halnya dengan demokrasi. Sejarah membuktikan bahawa demokrasi bukan berasal dari Islam, tetapi ia adalah ciptaan Barat yang berupa gubahan akal manusia-manusia kafir Barat dahulu yang cuba merangkak keluar dari kegelapan dengan memisahkan agama dari kehidupan. Demokrasi adalah alat yang digunakan oleh negara untuk menolak ketetapan (peraturan) Allah dalam kehidupan manusia. Demokrasi, sama ada di Barat atau di Timur atau di mana sahaja, ia tetap pada hakikatnya sama sahaja, iaitu ia merupakan sebuah sistem pemerintahan di mana undang-undangnya dibuat oleh manusia dengan suara majoriti. Demokrasi menjulang suara manusia mengatasi ‘suara Tuhan’.

Kerana itulah demokrasi ini jelas-jelas suatu yang haram di dalam Islam kerana manusia telah mengambil hak Allah di dalam membuat hukum (undang-undang). Tidak tercatat satu peristiwa pun di dalam sejarah Islam yang bertahan selama lebih 1400 tahun bahawa demokrasi diterapkan (digunapakai) di dalam Negara Islam. Umat Islam selama mula berdirinya Daulah Islam pada tahun pertama Hijriyyah hinggalah ke saat-saat akhirnya kejatuhan Daulah Khilafah pada awal 1920-an, tetap menggunakan hukum wahyu, bukannya hukum nafsu yang dibuat oleh tangan-tangan manusia. Justeru, seruan untuk kembali kepada sejarah dengan mengamalkan patriotisme dan demokrasi hanyalah seruan haram Jahiliyyah yang akan memecahbelahkan lagi umat Islam dan menjauhkan mereka dari hukum wahyu!

Filed under having 0 Ulasan  

Alangkah kaya rayanya orang-orang UMNO...

by AURA JIHAD

Persaingan untuk merebut jawatan tertinggi di dalam UMNO semakin sengit. Pencalonan demi pencalonan telah diputuskan oleh mesyuarat bahagian-bahagian UMNO di seluruh Malaysia ketika ini. Seiring dengan sengitnya persaingan jawatan, begitulah sengitnya politik wang (baca: rasuah) calon-calon yang ingin bertanding. Datuk Mustapa Mohamed, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang juga Menteri Pertanian pada Jumaat lepas menyatakan kebimbangannya tentang budaya tersebut yang pada pandangannya akan menyebabkan orang-orang Melayu menjauhkan diri dari UMNO dan akan akhirnya menghancurkan UMNO sendiri.

Gejala politik wang yang sudah mendarah daging dalam UMNO nampaknya sudah tidak dapat dihapuskan. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Banyak sebabnya, tapi antara yang menarik untuk dihighlightkan adalah kerana UMNO dari dulu memang dipenuhi oleh golongan Kapitalis (golongan kaya raya). Mungkin peribahasa Melayu moden ‘siapa nak kaya masuklah UMNO’ amat tepat untuk menggambarkan realiti yang wujud di dalam UMNO. Siapa tak tahu yang para pemimpin UMNO ini mempunyai wang ratusan ribu malah juta-juta sejak memegang jawatan penting dalam UMNO? Jika mereka tidak mempunyai wang sebanyak itu, sudah tentulah tidak akan berlaku politik wang! Berapa banyakkah setiap pemimpin UMNO mengaut duit sejak menjawat jawatan penting sama ada dalam UMNO atau dalam kerajaan? Wallahu a’lam, hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu, termasuklah ‘kehalalan’ wang yang dikaut mereka.

Kekayaan yang dimiliki oleh pemimpin-pemimpin UMNO menjadikan pesta politik wang semakin meriah setiap kali pertandingan. Bagi orang UMNO yang sedikit duitnya, jangan haraplah nak bertanding, apatah lagi nak menang. Dalam pemilihan UMNO, makin besar rasuah diberi, makin cerahlah peluang untuk menang. Inilah tradisinya.

Persoalan yang timbul adalah, jika jawatan-jawatan di dalam UMNO itu tidak menjanjikan kemewahan dan kesenangan, apakah akan wujud persaingan dan rasuah politik wang sebagaimana sekarang? Sudah tentu tidak, bahkan mungkin tidak ada seorang pun yang akan menawarkan dirinya untuk bertanding. Tetapi apa yang berlaku hari ini, golongan yang kaya raya di dalam UMNO ini sedang berebut-rebut untuk mencalonkan diri sendiri dan tidak kisah akan ‘pengorbanan’ wang ringgit yang mereka rasuahkan kepada para perwakilan, kerana sudah barang pasti apabila menang, jutaan wang lagi yang akan menanti di depan mata! Siapa sanggup menolak peluang dosa keemasan ini?

Biar apa pun diperkatakan oleh sesiapa sahaja untuk menghentikan rasuah politik wang ini, baik dari dalam UMNO mahupun dari luar, baik dari pemimpin mahupun rakyat, baik dari cendekiawan mahupun ulama, namun oleh sebab pemimpin UMNO ini terlalu amat kaya raya, maka politik wang tetap menjadi pilihan utama. Mungkin hanya setelah dibalut kain kafan, barulah mereka berhenti dari perbuatan keji ini...

Filed under having 0 Ulasan  

Bakal Bekas Perdana Menteri Malaysia Memperkatakan Isu Penyatuan Barat dan Islam

by AURA JIHAD

Selasa, 14 Oktober 2008 18:25 KUALA LUMPUR 13 Okt - Setelah gagal menyatukan suara-suara sumbang dalam komponen Barisan Nasional yang menolak kepimpinannya, yang berakhir dengan rancangan peletakan jawatannya bulan Mac akan datang, bakal bekas PM Malaysia hari ini bercakap soal penyatuan dunia Islam dan Barat. Menurut Utusan Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa dunia Islam dan Barat mengalihkan fokus kepada perkara yang boleh menyatukan mereka agar jurang yang wujud selama ini dapat di atasi. Perdana Menteri berkata, daripada hanya menumpukan kepada soal perbezaan, pemimpin dari kedua-dua dunia itu sepatutnya memberikan tumpuan kepada isu-isu yang dapat menyatukan mereka.

"Agak jelas kepada saya bahawa dalam mendamaikan Amerika Syarikat (AS) atau Barat dengan dunia Islam kita tidak seharusnya melihat kepada penyelesaian terhadap perkara yang menjadi jurang sahaja sebaliknya ia perlu turut melibatkan faktor-faktor yang menyatukan. "Dengan hanya menyelesaikan satu isu dan mengabaikan isu yang satu lagi tidak akan membawa kita ke mana-mana," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Serantau Amerika Syarikat (AS) dan Dunia Islam di sini hari ini.

Forum dua hari bermula hari ini yang dihadiri kira-kira 100 peserta dari dalam dan luar negara itu bertujuan membincangkan isu-isu yang relevan antara kedua-dua dunia. Sementara itu, Abdullah berkata, dunia Barat dan Islam seharusnya cuba berkongsi aspek yang menjadi persamaan bagi menjadikan usaha merapatkan jurang lebih efektif. "Kita perlu fokus pada banyak prinsip dan perkara yang menjadi kepentingan bersama. "Kita mesti elakkan kecenderungan untuk berfikir yang kita merupakan satu-satunya penjaga kepada apa yang baik, manakala lainnya tinggal di dunia yang gelap dan sengsara," tegasnya. Abdullah berkata, sebagai contoh, walaupun daripada segi sejarah, penduduk Islam di Asia Tenggara pernah dijajah oleh kuasa Barat namun mereka menerima keadaan pada masa lalu itu dengan hati terbuka. "Apabila kita nilai keadaan hubungan antara negara penduduk majoriti Islam di Asia Tenggara dengan AS dan negara Barat yang lain pada hari ini, kita kurang dibebani jurang itu sebaliknya menjalin hubungan yang baik dengan mereka. "Ini dapat dilihat bagaimana AS dan Eropah merupakan antara rakan dagang dan pelabur paling penting bagi Indonesia, Malaysia dan Brunei," katanya. Kata Abdullah, jurang antara dua dunia ini sebenarnya lebih terarah kepada faktor politik dan bukannya kerana agama. "Sebahagian besar disebabkan faktor politik, seperti isu Palestin dan pencerobohan di Iraq, yang kekal menjadi duri bagi hubungan kedua-dua pihak selagi ia berlarutan," ujarnya. [Sumber : Utusan Malaysia ]

Perbezaan Doktrin Antara Barat dan Islam

Inilah di antara kelemahan ketara pemimpin umat Islam dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan atau isu, kita sering sahaja ingin mengajak serigala yang lapar dan buas itu untuk ke meja perundingan, melupakan segala kejahatan yang mereka lakukan dengan membuang sahaja ‘persengkataan’ itu. Al-Quran sendiri mengingatkan kita tentang sikap orang kafir ini;

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan reda kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka. Katakanlah “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar.” Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu." [TMQ Surah Al-Baqarah (2):120]

Jadi dengan kata lainnya kalau kita inginkan ‘penyatuan’ dunia seperti yang diimpikan oleh Barat, maka kita mestilah memeluk cara hidup mereka, itulah persamaannya. Tidak ada persamaan yang dapat dicari dalam dua ideologi yang berlainan, kerana asasnya berbeza. Islam yang sistem dan peraturan Illahi di atas segala-galanya, hadharah dan cara hidup (life style) yang tersendiri. Sedangkan Barat mengagungkan kebebasan manusia dan hadharahnya (budaya kuning) yang jelas berlainan sekali dengan Islam. Bagaimana mungkin dua ideologi (Islam dan kufur) ini bersatu apabila wahyu sendiri menyatakan sebaliknya?

Peperangan Barat Terhadap Islam kerana Aqidah Mereka

Syed Qutub pernah berkata, itulah kompleks jiwa mereka yang berterusan yang dapat kita lihat buktinya di setiap zaman dan tempat. Akidahlah yang menjadi persoalan utama. Dari dulu hingga sekarang, itulah hakikat pertarungan yang dilancarkan oleh kaum Yahudi dan Nasara di mana-mana negeri dan pada mana-mana waktu terhadap kaum Muslimin. Kenapa Barat menyerang Iraq dan Afghanistan, itu adalah kerana faktor akidah (agama) mereka iaitu cara hidup kapitalis yang mereka anuti berasaskan ‘kepentingan’ yang menjadikan mereka tamak untuk menguasai segala sumber yang ada.

Mereka tahu jika isu doktrin (aqidah) ditonjolkan untuk memerangi kaum Muslimin maka ini akan mencetuskan dan menaikkan semangat jihad kaum Muslimin, jadi mereka menamakan peperangan mereka adalah peperangan atas nama tanah air, ekonomi, politik, mempertahankan kedudukan-kedudukan yang strategik dan sebagainya. Mereka ini kemudian menipu umat Islam dengan kata-kata yang manis bahawa mereka berperang bukan faktor agama, tapi faktor lain seperti memerangi keganasan, diktator, mengambil semula tanah mereka yang dirampas dan sebagainya. Pemimpin umat Islam yang cetek akal pula dengan mudah tertipu oleh kata-kata Barat.

Umat Islam yang memiliki pemikiran yang sederhana sekalipun boleh memahami penipuan Barat ini, sebaliknya para pemimpin boleh tertipu dan keliru dengan penyatuan tajaan Barat. Kalau Barat ingin berdamai dan jujur berdamai kenapa mereka tidak membebaskan dulu bumi Palestin, Iraq dan Afghanistan, dan membayar wang diyat ke atas kematian lebih dari 2 juta umat Islam di sana? Kenapa dalam mereka mengajak berdamai dengan umat Islam mereka tetap menghina Nabi kita, ibu kita (Aisyah ra), kononnya atas dasar kebebasan bersuara dengan bahan seperti kartun, filem pendek dan buku seperti The Jewel of Medina? Tidakkah mereka menghina Islam atas dasar aqidah mereka? Sekarang Pak Lah nak mengajak Barat meninggalkan faktor agama dan merujuk kepada faktor politik, sungguh naïf pemikiran sedemikian!

Tidakkah yang lebih aula kepada kaum Muslimin mewujudkan balik institusi politiknya dengan mendirikan semula Khilafah di mana seluruh dunia Islam disatukan untuk melawan propaganda jahat kuffar ini dan seterusnya Khalifah nanti akan melancarkan dakwah dan jihad ke atas mereka, sehingga bumi Allah ini diliputi rahmat dan berkat?

Filed under having 0 Ulasan  

Masuk kelab joget untuk hentikan joget

by AURA JIHAD

Perebutan jawatan di dalam Umno semakin mengeluarkan bau busuk kapitalisme. Asas sekularisme yang menjadi dasar parti tersebut terus memuntahkan larvanya sehinggakan ahli-ahlinya sendiri tidak tahan dengan racun-racun yang ditaburkan yang dilakukan oleh kalangan mereka sendiri. Pelbagai gelagat dan sepak terajang politik kapitalisme terus menjadi mainan ahli-ahli Umno bagi merebut jawatan yang dipertandingkan.

Dalam keghairahan ahli-ahli UMNO mencari dosa menjatuhkan satu sama lain, biasanya terdapatlah beberapa orang insan di dalam UMNO yang cuba mencari peluang untuk merubah kemaksiatan yang telah pekat diamalkan sejak sekian lama. Kita tidak tahu sama ada apakah perubahan atau populariti yang dicari, hanya Allah dan orang itu sahaja yang mengetahuinya.

Jika dahulu, Anwar Ibrahim sering dimomokkan sebagai insan mulia yang datang untuk merubah UMNO dari dalam. Akhirnya semua orang tahu siapa Anwar Ibrahim dan setakat manakah kejayaannya ‘mengIslamkan’ UMNO. Kini muncul pula seorang tokoh baru yang mencuba nasib, namun nampaknya telah kecundang di peringkat awal. Niat yang baik yang dihebahkan kepada dunia untuk mengubah UMNO terkubur setelah ternyata kejahatan lebih mendominasi kebaikan di dalam parti assabiyyah tersebut. Siapa tidak kenal UMNO? Siapa tidak tahu bagaimana perangai orang-orang UMNO apabila berebut jawatan? Anehnya, di celah-celah kemaksiatan tersebut, masih ada insan berlatar belakangkan agama yang tinggi yang cuba menyertainya atas alasan keimanan. Aneh sungguh! Seorang yang ingin merubah pesta joget masuk ke dalam kelab joget dan mahu menghentikannya!

Mungkin perumpamaan di atas lebih lembut dari seorang penulis yang pernah menyifatkan mana-mana cubaan untuk membersihkan UMNO adalah umpama terjun ke dalam tong t*hi dan cuba membersihkannya dari dalam! Apa yang berlaku di dalam pemilihan UMNO sekarang (dan sejak dulu) memberi gambaran kepada kita betapa busuknya politik yang dimainkan oleh ahli-ahli UMNO untuk mendapatkan jawatan di dalam parti yang mereka anggotai. Ya bagi perjuangan politik Kapitalisme idea matlamat menghalalkan cara adalah sesuatu yang lumrah dan persoalan dosa dan pahala sudah tidak wujud bagi mereka.

Bagi mereka yang berpegang kepada idea politik sekular kapitalisme, kekuasaan itu adalah batu loncatan untuk mengaut kekayaan dan kemewahan. Buktinya mana ada ahli politik yang memegang jawatan di dalam UMNO yang hidup miskin? Semakin besar pangkat dan jawatan di dalam UMNO, semakin besar pulalah habuan yang mereka akan dapat. Justeru, agak melucukan apabila ada insan yang masih mengharapkan sinar cahaya di dalam UMNO.

Memang benar sebagai seorang Muslim adalah menjadi kewajiban dan tanggungjawab kita untuk melakukan usaha bagi merubah kerosakan dan kemungkaran yang tumbuh subur di sekeliling kita. Namun perubahan yang dilakukan itu hendaklah selaras dengan Islam, bukannya mengikut logik akal dan hawa nafsu kita. Jika kita meyakini bahawa kelab joget itu haram, justeru untuk merubahnya bukanlah dengan cara kita memasuki kelab joget (keharaman) tersebut, tetapi Islam menunjukkan cara yang lain. Merubah kemungkaran bukanlah dengan cara kita masuk ke dalam kemungkaran walaupun dengan niat yang baik sekalipun.

UMNO itu sendiri merupakan sebuah parti yang asas kewujudannya adalah berasaskan assabiyyah, dan segala perjuangannya adalah untuk assabiyyah. Semuanya ini (assabiyyah) adalah perkara yang jelas-jelas diharamkan oleh Allah dan Rasul. Justeru, bagaimanakah kita da[at menerima seorang yang mempunyai latar belakang agama yang tinggi boleh terjebak ke dalam sebuah keharaman yang nyata? Apakah pelajaran agama yang dipelajari hanya menjadi maklumat semata-mata dan bukannya menjadi mafhum untuk diamalkan di dalam kehidupan? Bagi seseorang yang mempunyai pemikiran yang sederhana sekalipun dapat memahami bahawa Nabi Muhammad SAW adalah ikutan kita di dalam melakukan perubahan di mana baginda telah menunjukkan contoh bagaimana baginda merubah masyarakat Jahiliyyah dahulu kepada Islam, tetapi bukannya dengan cara masuk ke dalam keharaman asssabiyah, tetapi merubahnya dengan Islam. [sila baca di sini]

Di dalam Islam justeru, niat yang baik sahaja tidak mencukupi kerana ia mestilah disertai dengan amalan/perbuatan yang betul/syar’i. Contohnya jika ada seorang lelaki yang berniat baik ingin menyelamatkan ramai perempuan pelacur, bukanlah caranya dengan lelaki tersebut masuk dan tinggal serumah dengan pelacur-pelacur yang berkenaan, walaupun saban hari ceramah agama dia berikan kepada mereka sekalipun!

Semoga peringatan di atas berguna untuk mereka yang mempunyai keikhlasan di dalam berjuang menegakkan agama Allah.

Filed under having 0 Ulasan  

Dalam puak assabiyyah ada lagi puak!

by AURA JIHAD


Di dalam Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Pemimpin-Pemimpin UMNO Negeri Kedah pada 10 Oktober lepas, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepada semua ahli UMNO supaya ‘jangan berpuak’. “Kita sebut tidak ada puak dalam parti. Saya akan amalkan (dasar) tidak ada puak dalam UMNO. Tidak kira dia orang siapa, yang penting kita semua orang UMNO,” katanya.

Inilah hakikat yang ada di dalam UMNO sebagai sebuah parti assabiyyah yang mengikat ahli-ahli mereka atas dasar assabiyyah Melayu dan juga ikatan manfaat. Ikatan manfaat yang ada dalam UMNO telah lama menimbulkan puak-puak yang ‘saling bantu-membantu’ selama mana 'manfaat’ masih wujud di kalangan sesama mereka. Seterusnya, apabila ikatan manfaat ini terburai, maka seseorang itu akan meninggalkan, malah menghentam puak tersebut dan beralih ke puak lain pula. Apabila ada manfaat yang lebih besar yang boleh didapati dengan puak lain lagi, maka melompat lagi seseorang itu ke puak lain pula dan begitulah seterusnya cara mereka berpuak-puak.

Memang sudah lumrah dalam parti politik assabiyyah seperti UMNO di mana akan sentiasa wujud ‘puak-puak’ di dalam parti, kerana pertimbangan masing-masing adalah ‘manfaat’. Mungkin tidak keterlaluan jika kita menganalogikan mereka ini umpama serigala di satu kawasan perburuan. Dalam kawanan serigala yang besar ini tentunya wujud puak-puak kecil dan dalam setiap puak ini tentu wujud pula seekor ketua yang mendominasi. Dan apabila mereka ‘mencari rezeki’, masing-masing akan bersatu dan bekerjasama atas dasar ‘manfaat’. Jika ada puak lain yang datang menceroboh dan mengganggu di kawasan perburuan mereka, maka akan berlakulah pergaduhan yang boleh membawa kekacauan di seluruh kawasan tersebut. Dan jika berlaku pergaduhan, maka tentunya puak yang kuat akan mendominasi puak yang lemah dan seterusnya akan mendominasi kawasan tersebut, sesuai dengan prinsip ‘the law of the jungle”. Jika lagi banyak puak, maka lagi bahayalah kedudukan, khususnya kepada mereka yang ingin menjadi ketua kerana persaingan akan menjadi semakin sengit dan peluang untuk kalah akan semakin membesar.

Semua orang tahu, apatah lagi orang UMNO sendiri, bahawa seruan agar semua ahli UMNO tidak berpuak-puak hanyalah umpama anjing menyalak bukit. Perebutan kerusi di dalam UMNO yang menyaksikan wujudnya ‘Team A’ atau pun ‘Team B atau pun ‘My Team’ dan sebagainya, telah lama wujud dan tidak pernah dapat di atasi di dalam setiap kali pemilihan. Berita-cerita tentang rasuah, ugut-mengugut, fitnah-memfitnah, penggunaan bomoh dan sebagainya untuk memastikan kemenangan, sering kali kedengaran dan ia berlaku sejak dulu lagi. Selama mana manfaat dunia yang menjadi pegangan, selama itulah puak-puak ini akan pasti wujud. Cuma yang berubah adalah ‘ahli’ puak. Mungkin tahun ini ahli itu berada di dalam puak A, tahun depan dia berada di puak B, tahun satu lagi di puak C dan tahun satu lagi kembali kepada puak A dan begitulah seterusnya. Puak mana yang boleh memberi 'manfaat' yang paling banyak, maka tentunya puak itulah yang menjadi pilihan ahli tersebut.

Inilah keburukan dan kucar-kacirnya keadaan sekiranya parti itu didirikan bukan ‘berasaskan’ aqidah Islam. Perjalanan parti sekular ini pastinya akan banyak dipengaruhi oleh ‘manfaat’ demi memenuhi hawa nafsu masing-masing. Berbeza dengan parti yang asasnya adalah aqidah Islam, ia akan mewujudkan sekelompok daripada orang Islam yang ikhlas yang berjuang untuk Islam, demi menzahirkan agama Allah di atas agama-agama lain. Parti Islam yang jelas fikrah dan thariqahnya (sebagaimana perjuangan Rasulullah) akan memimpin ahlinya (dan umat Islam secara keseluruhannya) ke arah Islam, bukannya ‘ke arah 'manfaat’. Mereka akan memilih pemimpin dan berjuang di dalam parti untuk menegakkan Kitabullah dan Sunah RasulNya, bukannya berjuang untuk ‘memenangkan’ puak masing-masing atas dasar assabiyyah dan manfaat.

Kerana telah lamanya mereka bergelumang di dalam parti untuk mendapatkan habuan dunia, puak-puak sekular yang telah keras hatinya ini lupa bahawa semua tindakan mereka ini sedang diperhatikan oleh Zat Yang Maha Melihat. Mereka lupa bahawa mereka akan dibangkitkan di hari kemudian di mana tidak ada gunanya harta dan anak-anak, puak-puak, jawatan dan kekayaan mereka pada waktu itu, kecuali hanya takwa kepada Allah yang akan menyelamatkan mereka. Mereka lupa bahawa mereka akan dihisab di akhirat nanti atas apakah mereka telah melaksanakan perintah dan larangan Allah dan puak-puak mereka yang ada langsung tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Malah pada hari itu, puak-puak ini akan berlumba-lumba melepaskan diri masing-masing darinya. Pada hari itu, barulah mereka sedar bahawa tidak ada ‘keistimewaannya’ mereka dengan bangsa Melayu mereka, malah Allah akan menimpa-nimpakan dosa atas perjuangan assabiyah mereka semasa di dunia yang telah diharamkan oleh Allah swt. Pada hari itu jugalah, baru mereka sedar bahawa tindakan mereka berjuang dan berpuak-puak di dalam puak assabiyyah telah menjadi penyesalan besar ke atas mereka. Namun pada waktu itu, sudah tidak ada gunanya sebarang penyesalan kerana taubat mereka sudah tidak diterima dan sudah tidak ada seorang pun yang akan dapat menyelamatkan mereka dari neraka Allah. Nauzubillahi min zalik.

Filed under having 0 Ulasan  

Memulihkan ekonomi dengan sukan!

by AURA JIHAD

Ketika berucap di Kuala Terengganu pada 8 Oktober sempena majlis pelancaran countdown FEI-World Endurance Championship 2008 yang akan berlangsung dari 6 hingga 9 November ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan terus memberi sokongan terhadap pembangunan industri sukan pelancongan kerana ia berupaya meningkatkan ekonomi negara ketika berhadapan dengan kemelut ekonomi dunia. Walaupun ekonomi Malaysia tidak terjejas teruk dan masih mampu bertahan namun usaha perlu dilakukan untuk membangunkan sektor-sektor yang boleh terus menjamin keutuhan ekonomi negara, katanya.

Adalah menjadi perkara biasa bagi seseorang Menteri di Malaysia untuk ‘menafikan’ apa jua masalah yang wujud di bawah kementerian jagaannya. Najib selaku Menteri Kewangan yang baru dilantik, cuba untuk menafikan bahawa ekonomi Malaysia masih ‘tidak terjejas teruk’ dan masih mampu bertahan.

Secara logiknya, jika ekonomi Malaysia tidak terjejas teruk, masakan sukan pelancongan yang secara jelas tidak memberikan kesan besar kepada pendapatan negara perlu digiatkan, malah dikatakan mampu menjamin keutuhan ekonomi? Sebenarnya, dengan kata lain, Malaysia bakal terjejas teruk akibat krisis ekonomi yang melanda AS kerana ekonomi Malaysia masih terperuk di bawah jajahan ekonomi kuasa besar dunia tersebut. Krisis ekonomi negara penjajah Uncle Sam ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara-negara dunia, bahkan ia turut ‘menjejaskan’ pemikiran para pemimpin umat Islam yang ada.

Akibat terjejasnya ekonomi Malaysia, yang menggelikan hati, sektor sukan pelancongan pula yang sangat kecil sumbangannya kepada pendapatan negara, dilihat sebagai salah satu ‘penyelamat’ bagi mengutuhkan ekonomi negara. Kita semua tahu bahawa kos yang ditelan untuk menyediakan segala trek dan kemudahan bagi sukan-sukan besar di Malaysia adalah berjuta-juta ringgit jumlahnya, dan jumlah kos ini biasanya disembunyikan dari rakyat. Manakala yang dihebah dan dibesar-besarkan kepada rakyat adalah ‘pulangan/pendapatan’ yang diperolehi dari penganjuran sukan-sukan tersebut. Ini dilakukan agar rakyat hanya ‘dinampakkan’ dengan jumlah pulangan hasil dari sukan yang tak berfaedah ini. Pulangan ini pula seolah-olah telah banyak menyumbang kepada pendapatan negara dan dapat menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Walhal apa yang pasti ialah, jika ada pihak yang mendapat pulangan sekalipun dari penganjuran sukan-sukan besar tersebut, maka mereka adalah golongan kerajaan itu sendiri dan kroni-kroni mereka yang Kapitalis, manakala rakyat tetap dalam keadaan tertindas dan tak mendpat apa-apa faedah pun. Jutaan ringgit yang telah dikaut oleh 2-3 kerat kroni sebagai keuntungan, lalu jumlah ini dimasukkan sebagai sebahagian dari KDNK, maka sudah tentulah jumlah pendapatan negara akan bertambah. Namun hakikatnya adalah, kekayaan tersebut hanya dinikmati oleh 2-3 kerat kroni itu sahaja, manakala jutaan lagi rakyat langsung tidak mendapat satu sen pun dari pulangan tersebut. Namun bagi Kapitalis, ini tidak mengapa kerana ‘pendapatan negara’ telah meningkat, walaupun ‘pendapatan rakyat’ langsung tidak mengalami perubahan. Yang penting adalah ‘pendapatan negara’.

Inilah antara hasil dari kejayaan penjajah di mana sektor ekonomi yang ada langsung tidak terlepas dari dominasi golongan Kapitalis dan pemerintah yang ada langsung tidak boleh berfikir untuk menggantikannya dengan ekonomi Islam. Kepala otak mereka sudah penuh tersumbat dengan pemikiran Kapitalis dan sudah tidak dapat keluar dari situ. Justeru, walaupun negara kita telah dilanda krisis ekonomi dari masa ke semasa dan hingga ke tahap serius sekalipun, golongan pemerintah yang berideologi Kapitalis ini tetap dengan kekapitalisan mereka, seolah-olah Islam tidak mempunyai penyelesaian terhadap krisis yang melanda.

Islam sebagai sebuah agama yang sempurna telah lama menggariskan pelbagai sumber masukan yang berupa pendapatan negara yang tetap. Di dalam Islam, di samping usaha pemerintah menjana pendapatan negara dari sumber-sumber yang telah ditetapkan syarak, pemerintah juga mengutamakan pelayanan atau perkhidmatan kepada rakyat agar rakyat terus hidup makmur dan menikmati kekayaan negara dengan adil. Bagi negara Islam (Daulah Khilafah), pendapatan negara diperolehi dari sumber yang besar seperti ghanimah, anfal, fai’, kharaj, ‘usyur, jizyah dan lain-lain. Sumber pendapatan seperti sukan pelancongan atau sumber cukai hasil keringat rakyat langsung tidak masuk dalam agenda perekonomian negara. Ini adalah kerana Khilafah tidak melakukan eksploitasi atau manipulasi dari keperluan atau kehendak rakyat seperti yang dilakukan oleh negara Kapitalisme. Khilafah juga tidak akan melakukan perkara-perkara yang haram untuk memasukkan kekayaan negara ke poketnya, sebagaimana diamalkan oleh pemerintah Kapitalis sekarang.

Jelas bagi kita, bahawa penjajahan Barat atas pemikiran dan negara masih belum berakhir. Para pemimpin yang ada sekarang hanyalah penyambung kepada kesinambungan penjajahan Barat ke atas kita. Lihat sahaja idea dan pemikiran mereka dalam mengatasi kemelut yang melanda, mereka adalah terdiri dari orang yang hilang pedoman, tercari-cari penyelesaian seperti orang tak cukup akal, padahal Islam telah menggariskan segala penyelesaian tentang masalah kehidupan, sama ada individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Terlalu lamanya para pemerintah ini telah menjauhi Al-Quran, kerana itulah sekarang kita melihat betapa dangkalnya pemikiran mereka di dalam menyelesaikan masalah kehidupan. Allah swt mengingatkan kita,

“Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).” [TMQ Yaasin (36):9]

Filed under having 0 Ulasan  

Barang Naik A.K.A Be End (BN) - mengharap tikus membaiki labu?

by AURA JIHAD

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 8 Oktober, kira-kira 7,000 kontraktor Melayu yang terbabit dengan projek-projek rakyat di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kini menderita ekoran tiada tindakan sewajarnya untuk membantu meringankan beban mereka. Ahli Majlis Eksekutif Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Razak Yaacob berkata, kenaikan harga bahan binaan tidak terkawal dan melampau sejak lebih empat bulan lalu gagal ditangani dengan berkesan walaupun isu tersebut diberi perhatian serius oleh kerajaan sebelum ini. Antara bahan yang menggusarkan kontraktor terbabit adalah kenaikan harga simen sebanyak 60 peratus, besi (60 peratus), kayu (15 peratus), sewa jentera (40 peratus), batu (50 peratus) dan konkrit (30 peratus).

Jika kita teliti, bahan-bahan utama binaan merupakan bahan yang diperoleh dari sumber alam seperti kayu balak (hutan), batu-batan, pasir, logam dan lain-lain. Oleh kerana ia telah dieksploitasi oleh pihak tertentu dengan izin pemerintah sekular, maka sudah pasti, kuasa meletak harga atas bahan-bahan tersebut adalah mutlak milik pengeksploitasi seperti pengusaha-pengusaha produk tersebut. Turut menikmati hasil manipulasi bahan-bahan binaan adalah para pemimpin yang tamak yang turut memiliki ‘share’ di dalamnya. Ini merupakan senario yang menggambarkan mekanisme pemerintahan kapitalisme yang bobrok dalam mengelola kekayaan sumber alam. Mereka tanpa menghiraukan hukum syarak, malah tanpa segan silu bahkan tiada langsung simpati ketika berusaha memakan semua hasil kekayaan bumi yang ada dalam negara.

Kenapa hal ini menjadi isu, ia bukanlah semata-mata soal mekanisme kawalan harga bahan binaan yang naik, tetapi ia sebenarnya berpunca dari masalah soal pemilikan (milkiyyah) serta proses pengelolaan yang tidak mengikut syariat. Setiap sumber alam yang jumlahnya banyak, syarak telah menetapkan bahawa ianya milik umum (milkiyyah al-‘ammah). Ini bermaksud, pemilik sebenar kekayaan sumber alam adalah umat (rakyat), bukan pemerintah atau kroni atau sesiapa sahaja yang cuba mengeksploitasi dan memanipulasi produknya. Negara (pemerintah) adalah pihak yang bertanggungjawab di dalam pengelolaan (tetapi bukan pemilik) yang bertanggungjawab untuk memelihara ketentuan hukum syarak ke atas milkiyyah al-ammah ini agar ia berjalan secara adil tanpa berlaku kezaliman seperti yang muncul sekarang. Negara boleh memberi kuasa proses (pengelolaan) kepada mana-mana pihak atas dasar pemprosesan, dan membayar upah (ujr) mereka, tetapi bukan memiliki dan memanipulasinya. Negara juga wajib menghalang produk bahan-bahan tersebut dari di monopoli oleh syarikat-syarikat tertentu sahaja sehingga mereka boleh meletakkan harga sesuka hati.

Campur tangan negara (kerajaan) yang dicari-cari oleh pihak terbabit tidak akan menemui jalan penyelesaian selagi dasar ekonomi dan politik negara yang sekular sekarang tidak ditukar kepada Islam. Jika dapat diatasi dalam masa terdekat sekalipun, senario ini tetap dan terus berulang dari masa ke semasa, dan tidak mustahil yang ia akan berulang dalam masa yang terdekat juga. Mengharapkan kerajaan sekular untuk membaik pulih masalah ini adalah umpama mengharapkan tikus membaiki labu.

Filed under having 0 Ulasan  

Pak Lah - Pengorbanan atau dikorbankan?

by AURA JIHAD

Apakah yang berlaku apabila ketua harimau sudah kehilangan taring? Sudah tentulah ia tidak lagi digeruni harimau-harimau yang lain dan jika ada bangkai yang ditinggalkan, sudah tentulah pula harimau-harimau lain akan berebut-rebut untuk mendapatkan bangkai tersebut. Itulah perumpamaan realiti yang berlaku di dalam UMNO pada ketika ini. Pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO Mac tahun depan dianggap sebagai satu pengorbanan besar oleh ramai pihak khususnya dari kalangan pemimpin UMNO sendiri. Banyak kenyataan-kenyataan positif yang dikeluarkan yang menunjukkan mereka sebenarnya ‘mengalu-alukan’ keputusan bapa mertua Khairy Jamaluddin itu.

Desakan agar Pak Lah yang bermasalah ini untuk melepaskan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri telah disuarakan oleh beberapa pemimpin UMNO sejak kekalahan BN dalam pilihan raya Mac lalu lagi. Namun, bekas Mr. Clean ini berkali-kali menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana beliau masih mendapat sokongan rakyat, katanya. Tidak tahan panas telinga dengan desakan pemimpin tertinggi dalam UMNO sendiri, maka Pak Lah terpaksa membuat pelan peralihan kuasa yang ditetapkan pada Jun 2010. Namun, suara-suara pedas yang memanaskan telinga Pak Lah masih belum puas hati kerana 2010 dirasakan terlalu lama. Desakan dilakukan lagi agar proses peralihan kuasa dipercepatkan.

Kini, Perdana Menteri Malaysia kelima ini nampaknya terpaksa akur dengan kehendak ‘musuh’ di dalam selimut yang mahukan beliau turun dari takhta secepat mungkin. Setelah pengumuman dibuat untuk tidak mempertahankan jawatan presiden UMNO dan sekali gus menyerahkan kepimpinan negara kepada Timbalannya, maka ramailah pula pihak yang beranggapan bahawa ini satu pengorbanan dari beliau. Benarkah ini satu pengorbanan, atau Pak Lah sememangnya terpaksa berkorban kerana sudah tidak tahan dengan desakan dari luar, bukan dari dirinya sendiri? Kalau ikutkan hatinya, mungkin beliau masih ingin menjadi Perdana Menteri, setidak-tidaknya sama tempoh dengan Tun Dr Mahathir yang telah memegang takhta selama 22 tahun.

Jika semasa Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendiriannya dengan tegas yang mahukan peralihan kuasa dipercepatkan, dia dikecam daripada segenap penjuru oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang lain kerana dianggap telah ‘menderhaka’ kepada Presiden Parti. Namun sebenarnya ternyata, pandangan Muhyiddin itu telah mendapat tempat nun jauh di lubuk hati setiap pemimpin tertinggi UMNO, cuma yang lain masih kecut perut untuk bersuara. “Silence majority’ dalam kepimpinan UMNO ternyata telah menyebabkan Pak Lah terpaksa berundur lebih awal, dari mendapat malu kalah dalam pertandingan Mac nanti.

Kebiasaan yang wujud di dalam UMNO adalah terdapat ‘perang saudara’ yang sengit dan tidak kurang juga banyak kambing hitam yang perlu dikorbankan di dalam setiap kali pemilihan parti berlangsung. Kini, nampaknya majoriti pemimpin UMNO bersetuju bahawa yang patut dijadikan ‘korban’ kali ini adalah ketua mereka sendiri, dan sebagai satu penghormatan, mereka bersepakat agar ‘korban’ tersebut tampil ke hadapan bagi menyatakan ‘pengorbanannya’. Hakikat ini lebih mulia dari ketuanya ‘terkorban’ semasa pertandingan nanti, yang mana besar kemungkinan untuk ianya berlaku.

Persoalan kepada rakyat, khususnya kita umat Islam adalah, siapakah yang untung daripada pengunduran Pak Lah ini? Sudah tentulah tidak ada apa-apa keuntungan kepada rakyat kerana penggantinya nanti pun sama-sama sekular dengan orang yang diganti, sistemnya pun nanti sama, kepimpinannya nanti pun sama, malah tidak mustahil lebih zalim dari yang sebelumnya. Pokoknya, tidak ada keuntungan sedikit pun baik kepada Islam mahupun umatnya kerana agenda mereka adalah sekular, bukannya Islam. Kita langsung tidak mendengar pengganti PM nanti akan menegakkan syariat Islam secara kaffah dan menukar matlamat perjuangannya, apabila dia memerintah nanti. Apa yang kita dengar adalah perebutan jawatan sesama ahli UMNO yang semakin hebat dan tidak ada satu pun suara di kalangan mereka yang ingin menegakkan hukum Al-Quran dan Sunnah.

Sisa-sisa kekayaan negara yang masih banyak yang bakal ditinggalkan Pak Lah kini tentunya menjadi perhitungan dan rebutan, bukan sahaja di kalangan pemimpin atasan, malah yang di bawah juga tidak mahu ketinggalan. Masing-masing pada ketika ini mungkin sudah ada yang mula mengira bajet dan mencari wang sebanyak mungkin serta memikirkan teknik terbaik bagaimana untuk merasuah para perwakilan UMNO nanti agar mengundi mereka. Inilah hakikat yang berlaku dalam UMNO sejak dulu, kesan dari politik Kapitalis di dalam perjuangan assobiyah mereka. Malang sungguh bagi umat Islam, kerana inilah para pemimpin mereka.
Semoga dengan usaha berterusan yang dijalankan oleh golongan yang ikhlas untuk menerapkan Islam dan mendirikan sistem Khilafah, semua pemimpin korup yang ada sekarang akan diganti oleh Alah dengan seorang Khalifah yang akan memimpin dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Insya Allah.

Filed under having 0 Ulasan