Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

Berakhir drama tebusan tidak berakhirnya masalah

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Harapan 29 lagi anak kapal warga Malaysia yang dijadikan tebusan sejak 42 hari lalu menyertai rakan-rakan mereka untuk berhari raya bersama ahli keluarga masing-masing tercapai apabila lanun bersenjata Somalia membebaskan kapal MT Bunga Melati 2, pagi ini.

Berita gembira itu melegakan banyak pihak setelah anak-anak kapal MT Bunga Melati 5 yang juga milik MISC Berhad yang menjadi tebusan selama 35 hari, dibebaskan pada Jumaat lepas.

Bernama melaporkan wang tebusan berjumlah AS$2 juta (RM6.8 juta) bagi setiap kapal telah dibayar oleh MISC.

Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar berkata, kesemua anak kapal daripada kedua-dua kapal tangki itu berada dalam keadaan selamat kecuali seorang warga Filipina yang terbunuh akibat terkena peluru sesat pada awal drama tebusan tersebut berlaku.

‘‘Mereka (tebusan Bunga Melati 2) dibebaskan pada pukul 4.14 pagi ini (waktu tempatan) dan berada dalam keadaan gembira kerana berpeluang berhari raya bersama keluarga.

‘‘Kedua-dua kapal terbabit kini sedang menuju ke Pelabuhan Djibouti (Timur Afrika) dengan diiringi dua kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekiu dan KD Inderapura,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Panglima TLDM itu memberitahu, kedua-dua kapal tangki tersebut dijangka tiba di Djibouti pada 2 Oktober ini.

Katanya, sebaik sampai di Djibouti, MISC dijangka membuat pertukaran anak-anak kapal dari kedua-dua kapal tersebut.

‘‘Anak-anak kapal yang ditawan akan diterbangkan ke Malaysia bagi menyambut Aidilfitri, manakala mayat warga Filipina itu akan disimpan sebelum diterbangkan ke negara asalnya,’’ jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Sel Operasi Khas Markas Angkatan Bersama, Kepten Saifudin Kamarudin dari TLDM memberitahu, kedua-dua kapal milik MISC itu sebenarnya ditawan oleh dua kumpulan lanun yang berbeza.

Beliau yang bertindak sebagai salah seorang pegawai menguruskan krisis itu berkata, kumpulan lanun yang menawan kapal MT Bunga Melati 2 disifatkan lebih ‘tidak bertamadun’ berbanding kumpulan lanun yang menahan kapal MT Bunga Melati 5.

Menurutnya, kumpulan lanun yang menawan MT Bunga Melati 2 sering berdolak-dalik dengan persetujuan perbincangan dan sering berubah fikiran pada saat-saat akhir.

‘‘Justeru, perbincangan serta pembebasan kapal MT Bunga Melati 2 berlarutan dan lambat sungguhpun ia ditawan lebih dahulu daripada MT Bunga Melati 5.

‘‘Kumpulan lanun tersebut turut bertindak menyembelih kambing di dalam kapal MT Bunga Melati 2 untuk hidangan berbuka puasa mereka dan semua kekotoran terpaksa dibersihkan oleh Pasukan Khas Laut (Paskal) ’’ jelasnya.

Mengenai sebuah lagi kapal logistik TLDM di Teluk Aden, KD Mahawangsa, beliau menjelaskan, ia kini mengiringi empat lagi kapal milik MISC yang melalui teluk itu bagi mengelakkan ancaman lanun.

Pada 19 Ogos lalu, kapal milik MISC, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal - 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina - dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen.

Seorang daripada anak kapal warga Filipina itu terbunuh akibat terkena sebutir peluru yang tersasar.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina, dirampas di perairan yang sama semasa dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

Sumber: Utusan Malaysia 30/09/08

Ulasan:

Teluk Aden terletak di sebelah selatan Laut Merah dan Terusan Suez yang merupakan perairan yang merbahaya disebabkan oleh kehadiran lanun-lanun yang merompak kapal-kapal yang membawa muatan yang banyak.

Terusan Suez, Terusan Panama dan Selat Melaka merupakan perairan yang sibuk di dunia kerana perairan tersebut merupakan laluan kapal-kapal dagang yang terutama di dunia. Tidak hairanlah kenapa Amerika Syarikat mahu menguasai Selat Melaka setelah menguasai Terusan Suez dan Terusan Panama.

Pelan Amerika Syarikat menguasai Terusan Suez banyak dinyatakan dalam buku The Game of Nations karangan Miles Copeland. Amerika Syarikat pada tahun 1950an memberikan bantuan kepada Gamal Nasser untuk menggulingkan Raja Farouk yang menjadi sekutu British. AS memberikan sokongan kepada Gamal Nasser, walaupun Nasser adalah seorang Sosialis sementara AS adalah negara Kapitalis. Tetapi semata-mata mahu menamatkan pengaruh British di Mesir, maka AS sanggup menyokong Nasser dalam usahanya menguasai Terusan Suez tersebut.

Walaupun Nasser banyak mengungkapkan kata-kata kritikan terhadap AS yang merupakan sekutu Israel, tetapi hakikatnya AS-lah yang memberikan tekanan kepada Britain, Perancis dan Israel apabila ketiga-tiga negara tersebut menyerang Mesir pada tahun 1950an disebabkan Mesir menjadikan Terusan Suez sebagai milik negara Mesir (nasionalisasi ala Sosialis).

Akibat tekanan AS tersebut, Mesir dengan Nasser dilihat sebagai wira Arab yang ‘mengalahkan’ Britain, Perancis dan Israel dalam satu peperangan. Akibat daripada bantuan AS kepada Mesir dalam perang Suez dalam tahun 1950an, tamatlah riwayat pengaruh dan penguasaan British terhadap Mesir.

Perkara yang sama akan dilakukan oleh AS pada kurun ke 21 ini untuk menguasai Selat Melaka yang merupakan jalan dagang terbesar yang menghubungkan Barat dengan Timur Jauh seperti China, Jepun dan Korea. AS takut dengan kemaraan China sebagai negara kuasa ekonomi yang besar, dan perlu membuat apa sahaja untuk menyekat China daripada mengancam kepentingannya.

Anehnya, penguasaan AS terhadap Terusan Suez selama beberapa dekad selepas peperangan di terusan tersebut tidak menjadikan kawasan perairan di sekitarnya lebih selamat tetapi lebih banyak mengundang gejala rampasan kapal-kapal dagangan oleh lanun-lanun yang beroperasi berdekatan dengan perairan Terusan tersebut. Kemungkinannya adalah, AS sengaja membiarkan lanun-lanun beroperasi untuk membolehkan AS menjadi polis dunia yang mempunyai sebab untuk mendirikan lebih banyak pangkalan ketenteraan di kawasan sekitar, atas alasan untuk menjaga keselamatan rantau tersebut. Atau mungkin juga AS sengaja membiarkan lanun-lanun beroperasi di kawasan tersebut, supaya syarikat-syarikat insuran AS mendapat kontrak yang lumayan demi menjamin insuran kepada kapal-kapal yang belayar di Teluk Aden. Sebagai sebuah negara Kapitalis, hal ini langsung tidak mustahil telah dirancang rapi oleh AS.

Jika tidak, kenapa AS boleh melayarkan kapal perang (carrier) mereka daripada Laut Mediterranean ke Teluk sebelum pencerobohan Irak pada Mac 2003? Sungguh hairan kenapa AS dengan kekuatan besar yang mereka miliki tidak boleh menewaskan lanun?

Dengan kewujudan lanun-lanun sebegini, apakah jaminan yang ada kepada kapal-kapal dagang yang melalui kawasan tersebut untuk belayar dengan selamat? Kononnya dunia mempunyai undang-undang antarabangsa yang lengkap yang mesti dipatuhi oleh semua, persoalannya, siapakah pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan undang-undang ini dan ‘menghukum’ lanun-lanun ini, apabila keganasan terjadi?

Oleh sebab undang-undang antarabangsa adalah tidak lebih dari undang-undang yang hanya menjaga dan menguntungkan negara-negara besar, maka negara-negara kecil dan lemah biasanya akan tetap dan terus menjadi mangsa. Di manakah AS selaku polis dunia tatkala pengganas di lautan ini merompak mangsanya? Kenapa AS tidak berminat untuk campur tangan dan membebaskan mangsa-mangsa ini, walaupun mereka mempunyai masa lebih sebulan untuk bertindak? Sudahnya, drama ini berakhir dengan pembayaran wang tebusan berjumlah AS$2 juta (RM6.8 juta) bagi setiap kapal yang telah dibayar oleh MISC kepada pihak lanun terbabit. Walaupun kita gembira kerana nyawa telah terselamat, namun hakikatnya masalah tidak selesai. Tiada jaminan langsung bahawa perkara ini tidak akan berulang di masa akan datang.

Hukuman hirabah menurut Islam

Hirabah termasuk di dalam hudud. Di dalam Islam, sesungguhnya hukuman terhadap lanun-lanun yang melakukan rompakan bersenjata (hirabah) adalah sama seperti orang yang memerangi Allah dan RasulNya iaitu dibunuh atau disalib, dipotong kaki dan tangan mereka secara bersilang, atau dibuang negeri bergantung kepada tahap kesalahan oleh setiap lanun tersebut. Firman Allah:

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di Akhirat mereka beroleh siksaan yang besar" [TMQ al-Mai’dah (5):33]

Atas dasar itu, hukuman bagi orang yang melakukan hirabah adalah (1) dibunuh, (2) disalib, (3) dipotong tangan dan kakinya bersilangan, (4) dibuang negeri.

Daulah Islam (Khilafah) adalah sebuah Daulah yang akan menjaga warganegaranya dan akan menghukum para pesalah, apatah lagi di dalam kesalahan berat seperti hirabah ini. ‘Ulama berbeza pendapat mengenai pengertian lafadz ‘au’ (atau) pada ayat itu. Apakah kata ‘au’ pada ayat di atas bermakna takhyiir (pilihan), atau tanwi’ (perincian). Pendapat yang menyatakan, bahawa “au” pada ayat tersebut adalah takhyiir, didasarkan pada hujah, “Bahawa secara bahasa huruf au (pada ayat tersebut) berfaedah pada takhyiir, sebab, mereka tidak menjumpai dalil-dalil lain yang memperincikannya.” Pendapat ini diikuti oleh Abu Tsaur, Malik, Said bin Musayyab, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz, Muhajid, al-Dhahak, dan Nakha’iy. Berdasarkan penafsiran ini, seorang hakim boleh memilih salah satu hukuman, dari empat hukuman tersebut.

Pendapat kedua menyatakan, bahawa, lafadz ‘au’ pada ayat tersebut berfaedah kepada tanwi’ al-hukum (perincian hukum). Mereka mengetengahkan riwayat dari Ibnu ‘Abbas yang terdapat dalam musnad Syafi’e, mengenai muharibiin, “Jika mereka membunuh dan merampas harta benda, maka dibunuh dan disalib; jika mereka membunuh namun tidak merampas harta, mereka dibunuh dan tidak disalib; jika mereka merampas harta namun tidak membunuh, maka, tangan dan kakinya dipotong bersilangan; jika mereka melakukan teror dan tidak merampas harta, dibuang dari negerinya.”

Pendapat kedua adalah pendapat yang lebih tepat. Pendapat ini dipegang oleh Imam Syaifi’iy, Abu Hanifah, dan Imam Ahmad dalam satu riwayat. Perompak dan penyamun di jalan selalu melakukan dua atau lebih perbuatan jahat. Tindakan atas dua kejahatan atau lebih tidak boleh dijatuhi hukuman dengan jalan memilih (takhyiir) salah satu dari hukuman hirabah, namun harus diperincikan sesuai dengan tindak kejahatan yang mereka lakukan. Allah SWT telah berfirman:

“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa.” [TMQ asy-Syuura : 40].

Justeru itu, cara menjatuhkan hukuman bagi muharibiin adalah dengan memperincikan dahulu tindakan kejahatan mereka, sebagaimana riwayat dari Ibnu ‘Abbas. Menyalib muharibiin dilakukan setelah dilakukan pembunuhan. Maksudnya, setelah mereka dibunuh baru disalib, agar masyarakat mengetahui bahawa ia telah mati. Mereka dijatuhi hukuman sesuai dengan kejahatan yang mereka lakukan.

Kejahatan yang menyebabkan mereka dikenai hukuman hudud, bagi muharibiin, terbatas pada tiga perkara, iaitu membunuh, merampas harta, dan membuat kerosakan di laluan. Jika mereka tidak melakukan tiga pelanggaran di atas, mereka tidak dikenai hukuman. Sebab, hukuman hudud telah ditetapkan secara sharih oleh nas. Oleh kerana itu, bila mereka tidak melakukan tiga kesalahan di atas (membunuh, merampas harta, dan membuat kejahatan di laluan), maka mereka tidak dikenai hukuman dari empat hukuman hudud di atas. Akan tetapi, mereka akan dikenai hukuman jika melakukan penganiayaan terhadap jiwa, di mana hal ini masuk dalam bab jinayat.

Insya Allah, jika Khilafah yang memerintah kita semua, maka semua perlakuan hirabah ini akan ditangani segera oleh Khalifah berdasarkan hukum Allah, tidak seperti undang-undang sekular, yang mana kewujudannya pada hari ini hanyalah akan meramaikan lagi lanun-lanun dan mewujudkan pelbagai bentuk kerosakan lainnya.

Filed under having  

0 Ulasan: