Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

KABINET BENARKAN ISLAM SAHAJA GUNA KALIMAH ALLAH

by AURA JIHAD

PUTRAJAYA 3 Jan. – Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar masing- masing bagi mengelakkan wujud suasana tidak harmoni.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, keputusan itu dibuat kerana penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan di kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain dijadikan perbahasan umum yang menggambarkan seolah-olah tiada kebebasan beragama di negara ini.

‘‘Semalam, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ seperti mana yang telah diputuskan dalam mesyuaratnya pada 18 Oktober dan 1 November 2006.

‘‘Lagipun, mengikut amalan sejak sekian lama di negara ini, kalimah ‘Allah’ hanya merujuk kepada Tuhan penganut agama Islam sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1429/2008 yang akan disambut pada 10 Januari ini di sini hari ini.

Acara tahunan kali ini yang bertemakan ‘Menjana Ummah Gemilang’ itu akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Pada 31 Disember lalu, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah ‘Allah’.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Timbalan Menteri KKDN, Datuk Johari Baharum menegaskan, sekali pun permit akhbar itu diperbaharui, larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ masih kekal.

Sehubungan itu, Abdullah memberitahu, pihaknya akan memaklumkan secara rasmi kepada KKDN berhubung keputusan tersebut secepat mungkin.

Beliau berkata, selain kalimah ‘Allah’, kalimah solat, Kaabah dan Baitullah adalah dilarang penggunaannya dalam penerbitan agama lain.

‘‘Ia berdasarkan keputusan Kabinet pada 31 Julai 2002,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 04/01/08

Ulasan:

Apa yang diputuskan oleh Kabinet ini menggambarkan kecelaruan berfikir yang amat parah dalam diri mereka. Sungguh malang kerana keputusan ini bukan datang dari satu orang, tetapi dari Kabinet, apatah lagi diulas oleh seorang Menteri yang dipertanggungjawab dengan hal-ehwal agama Islam.

Alasan yang diberikan sungguh tidak masuk akal dan bertentangan dengan realiti. Tidak membenarkan penganut agama lain menggunakan perkataan ‘Allah’ di dalam akhbar mereka dikatakan untuk menjaga keharmonian dan sensitiviti umat Islam. Keharmonian apa yang nak dijaga, sensitiviti apa yang nak dimaksudkan? Walau apa alasan yang diberikan sekalipun, ia menggambarkan betapa sempitnya pemikiran pemimpin-pemimpin yang ada, apatah lagi hal ini menyentuh kefahaman tentang akidah.

Tidakkah pemimpin ini belajar dan faham bahawa ‘Allah’ adalah Tuhan untuk semua manusia, tidak kira bangsa dan agama apa dia sekalipun. Allah adalah Tuhan bagi orang Arab, orang Eropah, orang Melayu, orang Afrika, orang Cina dan orang apa sekalipun dan agama apa sekalipun. Sebagai seorang Muslim, kita wajib percaya dan menyembah Allah yang Satu. Ini adalah akidah kita. Dan akidah kita juga mengajar bahawa Allah adalah Satu-SatuNya Tuhan bagi semua manusia, bukan Tuhan bagi orang yang sudah masuk Islam sahaja. Akidah Islam mewajibkan kita meyakini bahawa Allah adalah Tuhan bagi orang Kristian, Allah adalah Tuhan bagi orang Yahudi, bagi orang Hindu, Budhha dan sebagainya dan Allah adalah Satu-SatuNya Tuhan yang wajib dipercayai dan disembah oleh mereka. Inilah ajaran akidah Islam.

Jadi, bila disebut atau ditulis kalimah ‘Allah’ maka kita perlu faham bahawa Allah adalah Tuhan bagi seluruh manusia dan bahkan Tuhan bagi seluruh makhluk, alam dan kehidupan.

Orang-orang kafir Jahiliyyah dan orang-orang sekarang pun mengakui yang Allah adalah Tuhan, cuma mereka mengambil sembahan selain Allah (dengan tidak menafikan yang Allah adalah Tuhan – kecuali atheis), kononnya untuk mendekat diri mereka kepada Allah.

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?” [TMQ al-Ankabut (29):61].

“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)” [TMQ Luqman (31):25]

“Tanyakanlah (Wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?" Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?" [TMQ al-Mukminun (23):84-87]

Allah swt telah menjelaskan bahawa orang-orang kafir ini mengakui bahawa Allah adalah Tuhan mereka, walaupun mereka tidak beriman. Jadi, tidak ada salahnya jika orang-orang kafir, hatta orang-orang athies sekalipun jika mereka ingin menggunakan atau menyebut kalimah Allah. Bahkan, mereka ini (menurut Islam) wajib mengakui dan mengucap bahawa “Tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasulullah”. Malah menjadi tugas dan kewajiban setiap Muslim agar mereka ini mengenal Allah dan beriman kepada Allah yang Satu.

Oleh yang demikian, amat naif sekali hujah yang diberikan untuk tidak membenarkan orang-orang kafir menggunakan kalimah ‘Allah’. Setakat ini apa yang kita tahu, orang kafir masih berani untuk memburuk-burukkan atau menghina Rasulullah, tapi kita tidak pernah mendengar ada orang kafir berani menghina Allah secara terang-terangan. Selaknat-laknat orang Yahudi sekali pun, kita tidak pernah mendengar yang mereka berani menghina Allah secara terang-terangan sekarang ini, sehingga boleh menaikkan kemarahan kaum Muslimin. Jadi apatah lagi penganut agama lain. Jika benar mereka akan buat atau mereka berani buat sekalipun, cukuplah Allah yang akan membalas ‘tindakan berani’ mereka itu. Dan kita yakin jika mereka benar-benar berbuat demikian, maka Allah sendiri akan membalas perbuatan mereka.

Inilah padahnya apabila yang memimpin umat Islam adalah golongan sekular yang tidak memahami ajaran Islam dengan benar dan tidak merujuk kepada Al-Quran dalam setiap tindakan mereka. Sudahnya, mereka akan menjauhkan lagi penganut agama lain dari Allah, bukannya berusaha untuk memberi kefahaman ISlam yang benar untuk mendekatkan mereka dengan Allah.

Filed under having  

0 Ulasan: