Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

KERAJAAN LANCAR PERANG MAKLUMAT MELALUI "SAHIH"

by AURA JIHAD

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan menubuhkan Pusat Rujukan Maklumat Sahih (Sahih) yang akan beroperasi 1 Feb ini bagi menangani penyebaran maklumat palsu, khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang, kata Menterinya Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata penubuhan Sahih dapat memastikan hanya maklumat tepat dan benar disampaikan kepada rakyat dengan menggunakan kemudahan teknologi sedia ada.

"Kepantasan dan kemudahan teknologi juga telah mendemokrasikan maklumat hinggakan masyarakat ataupun mana-mana pihak juga boleh menjadi punca maklumat dan menyebarkannya dengan pantas menerusi internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya.

"Ini termasuklah maklumat-maklumat palsu yang sengaja dieksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab atas kepentingan tertentu," katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri di sini Khamis.

Menurutnya pusat Sahih akan menggunakan empat mekanisme iaitu hotline, e-mel serta SMS DAPAT, menghantar secara `broadcast', menghantar secara `cell broadcast' dan langganan maklumat sahih.

Menerusi mekanisme hotline, e-mel dan SMS DAPAT, orang ramai boleh menghubungi Pusat Sahih melalui nombor telefon 03-22843114 (beroperasi waktu pejabat dan 24 jam apabila Parlimen bubar), faksimili 03-22822979, e-mel di alamat sahih@kempen.gov.my dan SMS di alamat SAHIH_mesej (dan hantar ke) DAPAT (32728).

Zainuddin berkata panggilan telefon dan e-mel akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik Kementerian Penerangan yang telah dilatih.

Katanya semua SMS itu akan terus disalurkan oleh DAPAT ke Pusat Sahih untuk tujuan pengesahan.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menggunakan pusat itu bagi mendapat pengesahan terhadap sebarang maklumat atau SMS meragukan selain bagi membolehkan kementeriannya mengambil tindakan sewajarnya.

Orang ramai juga boleh melaporkan sumber-sumber penyebaran maklumat palsu untuk perhatian kerajaan menggunakan SMS yang disediakan secara percuma ini, katanya.

Beliau berkata menerusi mekanisme penghantaran secara `broadcast', Pusat Sahih akan menghantar maklumat secara pakej kepada semua pengguna telefon manakala SMS berdasarkan kriteria tertentu contohnya berdasarkan kawasan seperti Petaling Jaya pula akan dihantar melalui mekanisme menghantar secara `cell broadcast'.

Zainuddin berkata orang ramai juga boleh melanggan kesemua maklumat yang dikeluarkan menerusi Pusat Sahih dari semasa ke semasa.

Beliau berkata penyebaran maklumat yang tidak diketahui kesahihannya adakalanya tidak akan memberi impak yang serius, tetapi ada juga yang mampu menimbulkan masalah dan kekecohan di kalangan masyarakat.

"Antara beberapa maklumat (palsu) yang berlaku tidak lama dahulu termasuklah penyebaran khabar angin mengenai pergaduhan kaum yang dikatakan melibatkan kematian di Johor Baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meninggal dunia semasa menerima rawatan di Institut Jantung Negara dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau berkata sesetengah penerima akan membuang SMS atau maklumat seperti ini tetapi ada juga yang akan menyebarkannya kepada rakan lain sehingga mampu menimbulkan suasana panik dan kurang senang di kalangan masyarakat.

"Justeru, kerajaan berpendapat jika trend yang amat membimbangkan ini tidak ditangani secara berkesan, ia akan merosakkan jaringan masyarakat hingga boleh menjejaskan kesejahteraan orang ramai, mencetuskan prasangka kaum dan memporak-perandakan negara," katanya

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak yang akan cuba menggunakan pusat itu untuk menyebarkan maklumat palsu.

"Kita mempunyai mekanisme untuk mengesan perbuatan sebegini kerana setiap panggilan atau maklumat akan dinilai dan jika didapati menjejaskan keyakinan rakyat, perkara itu akan dijelaskan segera bergantung kepada tempoh yang diperlukan bagi mengesahkannya," katanya.

Beliau juga menafikan pusat itu ditubuhkan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Penerangan untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat berkualiti," katanya.

Zainuddin berkata penyebaran maklumat palsu dijangka meningkat menjelang pilihan raya umum kali ini.

Sumber : BERNAMA 24/1/2008

Ulasan:

Seseorang itu tidak perlu mempunyai tahap pemikiran yang tinggi untuk memahami bahawa penubuhan Sahih pada ketika hampir Pilihan Raya Umum ke 12 ini, adalah semata-mata kerana pilihan raya. Walaupun hakikat ini dinafikan oleh Zainuddin, namun rakyat sekarang sudah tahu menilai, mudahnya ‘apa yang dinafikan oleh kerajaan itu, itulah yang sebenarnya’. Contohnya, dalam kes jerebu tidak lama dulu, kerajaan menafikan udara kita dalam tahap bahaya, maka rakyat terus memahami bahawa maksudnya ‘memang udara kita di tahap bahaya’. Kerajaan juga menafikan ada perbalahan kaum dan pembunuhan, maka rakyat terus faham bahawa ‘memang ada perbalahan kaum dan pembunuhan’. Kerajaan juga menafikan bahawa ISA adalah digunakan oleh kerajaan untuk kepentingan politik, maka rakyat terus memahami bahawa ‘ISA memang digunakan oleh kerajaan untuk kepentingan politik’. Dan begitulah seterusnya.

Jika setakat hendak menepis khabar angin tentang pembohongan berita kematian menteri atau yang lain-lain seumpamanya, patut dan logikkah kerajaan menubuhkan sesuatu seperti Sahih? Tidak cukupkah selama ini dengan media arus perdana yang telah dikawal oleh kerajaan sepenuhnya untuk menerangkan ‘kesahihan’ sesuatu berita sehingga perlu ditambah dengan e-mel, sms dan lain-lain sarana lagi? Hakikatnya, penubuhan Sahih sudah tentulah akan digunakan oleh kerajaan untuk menangkis segala propaganda pembangkang yang dilihat semakin kuat menggunakan saluran seperti internet, e-mel, sms dan sebagainya untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat. Pelbagai isu termasuklah kes pembunuhan kejam Altantuya Shaaribu yang dikaitkan dengan TPM, Datuk Seri Najib Tun Razak, kegagalan kerajaan di dalam menangani kes rasuah, kenaikan tol, petrol dan barangan runcit dan sebagainya, semua ini sudah cukup merimaskan kerajaan. Jadi, ditubuhkanlah Sahih agar semua dakyah pembangkang dapat ‘dicounter’ menjelang pilihan raya nanti.

Putar belit dan penafian fakta sebenar sudah tentu akan menjadi uslub/cara utama Sahih di dalam menangkis serangan pembangkang. Banyak isu-isu besar yang ditutup dan diputar belitkan selama ini menyebabkan rakyat Malaysia semakin memahami dan membenci permainan politik kerajaan. Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan terpaksa dipertahankan dan diperjelas dengan sedemikian rupa (oleh kerajaan) kerana rata-rata rakyat tidak menerimanya, malah diperlecehkan oleh banyak pihak. Melihat kepada kes rasuah, penyelewengan kuasa, jenayah, kemiskinan, keruntuhan akhlak dan pelbagai majlis maksiat yang semakin meningkat dari hari ke hari, masyarakat umumnya telah menjadikan konsep Islam Hadhari ini sebagai bahan lawak dan perli sahaja. Ini semua perlu ditangkis oleh kerajaan yang sudah terdesak sekarang menjelang pilihan raya. Ini belum lagi mengambil kira pandangan gerakan-gerakan Islam yang semakin marahkan kerajaan kerana sering dituduh sebagai ektremis, radikal dan seumpamanya. Ini adalah contoh antara pembohongan fakta dan salah penafsiran yang jelas yang dibuat oleh kerajaan sendiri.

Sebagai seorang Muslim, Allah swt telah mengajar kita bagaimana cara untuk kita menerima maklumat dan memastikan kesahihannya. Dalam hal ini, Allah swt berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan" [TQM al-Hujurat (49):6].

Allah swt juga mengajar kita bagaimana untuk mengenal orang yang fasik. FirmanNya,

“...dan barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik"
[TMQ al-Ma’idah (5):47].

Apakah kerajaan kita sekarang berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah?

Jadi, Allah swt mengingatkan setiap individu Muslim agar meneliti dahulu setiap maklumat, tidak kiralah berkaitan dengan ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan lain-lain, semuanya wajib diteliti kesahihannya jika yang menyampaikannya adalah orang-orang yang fasik. Nampaknya, dengan tertubuhnya Sahih ini membuktikan lagi keterdesakan kerajaan di saat-saat akhir pilihan raya ini untuk menangkis habis-habisan apa yang cuba dilemparkan oleh kubu lawan.

Filed under having  

0 Ulasan: