Bayangan daulah Islam sudah semakin jelas kelihatan. Janji Allah sudah semakin dekat dan kemenangan kian menghampiri.Berjaga-jagalah wahai kaum kuffar yang menderhakai Allah,tak lupa juga kaum muslimin terutama golongan pemimpin yang masih enak dibuai ulitan tampuk kepimpinan yang penuh kebusukan,penipuan dan kotoran lain yang sewaktu dengannya,kalian tidak akan selamat selagi tidak mengamalkan hukum-hukum islam yang wajib diterapkan dari Allah SWT. Justeru, bersegeralah kepada kemuliaan dan kemenangan ini wahai kaum muslimin yang masih wujud dan yakin lagi bahawa JANJI ALLAH ITU PASTI!!! )

Nak Kaji Apa Lagi Jang?

by AURA JIHAD

altKOTA BAHARU: Kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan dasar Islam di negara ini termasuk konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bagi memastikan keberkesanan dari segi pendekatan dan penerimaan rakyat terhadapnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata ini adalah di antara beberapa aspek yang akan dilihat beliau secara mendalam sebaik memulakan tugas dalam portfolio agama sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib) sendiri sudah memberi mandat kepada saya untuk melihat perkara-perkara berkaitan dengan agama sebaik dipertanggungjawabkan memegang portfolio ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa (Pertemuan) Guru-Guru dan Penyelia Kelas Fardu Ain (Kafa) Kelantan 2009 di Pusat Teknologi Pendidikan Kelantan, Pengkalan Chepa di sini, hari ini. Selain itu, katanya, beliau juga akan mengkaji kedudukan gaji dan elaun kakitangan guru Kafa yang diletakkan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Ini kerana guru-guru ini penting bagi melahirkan modal insan di peringkat awal di mana seperti kata pepatah melentur buluh biar waktu rebung," katanya.

Beliau berkata, kerajaan memperuntuk lebih RM221 juta bagi melaksanakan program Kafa pada tahun ini.

"Ini bagi membiayai bayaran elaun guru dan penyelia sahaja dan tidak termasuk untuk lain-lain aktiviti Kafa," katanya sambil menambah peruntukan itu disalurkan menerusi Jakim.

Katanya, Jakim juga meluluskan sebanyak RM2 juta untuk latihan guru dan penyelia dan RM340,000 untuk perolehan peralatan bantuan mengajar kelas Kafa tahun ini.

Katanya, Kelantan mendapat peruntukan tertinggi setiap tahun dengan peruntukan tahun lalu sebanyak RM32 juta membabitkan 6,194 guru, 15 penyelia dan 144,439 murid.

"Peruntukan itu bertambah sehingga RM37.2 juta pada tahun ini iaitu kenaikan sebanyak 16.5 peratus," katanya. - Bernama

Sumber : Berita Harian, 11/04/09

Yang Halal Itu Jelas Dan Yang Haram Itu Telah Jelas…Apa Lagi Yang Ingin Dikaji?

Sekali banjir melanda maka sekali lagilah pasir akan berubah... Begitu jugalah nampaknya persoalan yang berkaitan dengan Islam di Malaysia saat ini. Kalau dulu semasa era Mahathir Mohamad, umat Islam digula-gulakan dengan penerapan nilai-nilai Islam namun kita dapat melihat syariat Islam tetap diketepikan. Apabila Pak Lah berkuasa diperkenalkan pula Islam Hadhari yang akhirnya menjadi Islam ada had dan ada harinya. Kini era Najib telah bermula dan Najib telah memilih Jamil Khir sebagai mata tombaknya untuk menjaga urusan agama Islam. Dari kenyataan Jamil Khir di atas menunjukkan akan ada lagi perubahan terhadap perlaksanaan dasar-dasar Islam di Malaysia.

Soalnya sampai bila dan apakah sebenarnya yang akan dikaji berkenaan Islam di Malaysia ini? Persoalannya, adakah Islam telah benar-benar diterapkan di negara kita saat ini? Apakah sebenarnya realiti yang menuntut kepada kajian semula 'penerapan' Islam di Malaysia? Wahai pemimpin umat Islam! Realiti memang senantiasa berubah tetapi hukum Islam tidak akan berubah sehinggalah hari kiamat. Arak itu haram sampai ke hari kiamat walaupun namanya ditukar dari Carlsberg ke Guinness Stout. Riba itu tetap haram walaupun nama bank telah bertukar dari Bank Bumiputra ke CIMB Bank. Judi itu tetap haram hukumnya walaupun tauke judi negara, Lim Goh Tong telah menemui Penciptanya.

Perlembagaan negara yang diberikan oleh Lord Reid itu adalah perlembagaan kufur walaupun hakim-hakimnya beragama Islam. Undang-undang yang diterapkan di negara kita saat ini sejak lebih 50 tahun dahulu tetap sama, tetap undang-undang yang lahir dari akal-akal manusia yang secara sedar atau tidak telah mengambil alih peranan Allah dalam menetapkan perundangan untuk manusia. Inilah hakikatnya saat ini. Inilah realiti sekular yang perlu diubah kepada Islam. Untuk itu bukannya Islam itu yang perlu diubah-ubah agar tunduk kepada realiti tetapi sebaliknya, realiti itulah yang perlu tunduk kepada Islam. Firman Allah SWT:

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ al-Maaidah(5):50].

Oleh kerana itu niat untuk mengkaji dasar Islam yang ada saat ini adalah usaha yang tidak bermakna dan terpesong jauh dari kebenaran; bagaikan lalang yang ditiup angin ke sana ke mari, kita terus terumbang ambing diperdaya oleh kehidupan dunia dan syaitan yang menipu. Firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka” . [TMQ Faatir(35): 5-6]

0 Ulasan: